DENGAN sesalan, catatan ini boleh sahaja menjadi bebelan ulangan tentang masalah yang melanda dalam usaha pembangunan filem kita. Sesal kerana hal ini masih lagi berlaku dan tampaknya masih dibiarkan berlaku tanpa renungan dan muhasabah yang mendalam.
Hal ini berlangsung pada masa kami, para ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, sedang meneliti aspek lakonan dalam filem, khususnya dalam memberikan pengiktirafan terhadap lakonan para pelakon wanita, yang melibatkan keupayaan peranan termasuk lakonan pelakon wanita itu ditempatkan, sama ada di bawah kategori pelakon wanita utama atau pelakon pembantu wanita.
Kesimpulan umumnya, tidak banyak citra, peranan dan lakonan para wanita yang dapat diingati dalam selang beberapa tahun ini. Filem kita, dengan sesalnya, lebih banyak tertumpu pada hal lelaki dan permasalahan patriarki daripada tumpuan yang diberikan terhadap wanita dan golongan wanita. Jika ada pun citra dan peranan pada watak wanita itu, hal itu lebih bersifat “sokongan” atau “citra reaksi” terhadap pilihan dan keputusan golongan lelaki. Wanita terletak lebih sekadar latar pada naratif utama atau filem tersebut, bukan ejen aktif yang menggerakkan persoalan cerita, bukan ejen yang memajukan gerakan plot. Wanita lebih termuncul sebagai ibu yang disanjung, isteri yang resah apabila sang suami perlu bertugas, dan mentaliti wanita yang perlu memahami atau cuba menyokong (dari belakang) usaha dan pilihan para lelakinya, baik suami, kekasih, guru, tunang, anak lelaki, atau ayah.
Hal ini jelas dapat dilihat dalam filem-filem bergenre yang kita hasilkan akhir-akhir ini, yang cukup kental menekankan pelibatan penting permasalahan atau keputusan lelaki, dan kurang terhadap peranan dan emansipasi para wanitanya.
Kita dapat lihat hal ini dalam filem aksi kita, filem jenayah kita, filem ngeri (thriller) kita, filem sukan kita, filem remaja kita, filem animasi kita, dan mutakhir ini, dalam filem fiksyen-sejarah dan filem-filem yang disokong oleh angkatan tentera kita. Apatah lagi filem-filem itu tampak jelas, sebuah penampilan kumpulan pelakon atau ensemble castnya menempatkan peranan dan kepentingan para lelaki lebih daripada wanita.
Dengan mengejutkan, tiga filem mutakhir adaptasi sastera turut tertumpu pada permasalahan lelaki daripada wanitanya. Man matters more than the women. Hal ini jelas dalam filem adaptasi Imam (2023), Memoir Seorang Guru (2024) dan Mereka yang Tertewas (2024). Hal ini seakan-akan suatu justifikasi bahawa karya sastera yang popular juga lebih tertumpu pada permasalahan, dilema dan kemahuan watak lelakinya, lebih daripada para wanitanya.

Kita menyedari bahawa kurangnya watak wanita utama yang mencabar, yang diberikan tempat yang khusus untuk sang wanita memperagakan keupayaan lakonan, baik secara dalaman mahupun luarannya. Mungkin selepas Umi Aida dalam Dukun (2018), Sofia Jane dalam Hanyut (2016), Farah Ahmad dalam Roh (2020), amat jarang-jarang sekali muncul lakonan wanita yang diingati, yang cukup mencabar jiwa dan rohaniahnya dalam permasalahan konflik yang dihadapinya.

Mungkin secara mutakhir, saya dapat mengingati lakonan baik Nabila Huda sebagai Ramlah dalam Rahsia (2023), yang secara permukaannya menampilkan gelisah dan ketakutan seorang ibu apabila anaknya tiba-tiba hilang secara supernatural. Secara permukaannya, kita dapat melihat sisi psikologi seorang wanita yang mula meretak dari dalam, ketika berlaku proses Ramlah menyelami trauma lalu (kehilangan ibunya) dan trauma masa sekarang sewaktu detik kehilangan anaknya yang disayangi, apatah lagi dalam detik demi detik paranoia dan kehilangan makna terhadap realiti sekitarnya mula menyoal kewarasan watak Ramlah yang dilakonkan oleh Nabila.
Secara dalamannya, peranan dan lakonan yang dibawa oleh Nabila mengemukakan representasi kolektif wanita/warganegara tentang tragedi Malaysia pada masa itu, dari segi politik (ketidaktentuan politik sehingga membawa kepada Langkah Sheraton) mahupun ketidakmampuan kita menjelaskan atau memahami kehilangan pesawat MH370, satu tragedi besar Malaysia pada masa itu yang membentuk suatu paranoia kolektif terhadap suatu peristiwa yang amat misteri dan tiada jawapan sehingga kini, oleh itu – supernatural.

Dalam persoalan itu, terdapat juga perletakan dan peranan para wanita dalam filem kita pada tahun lepas yang sofistikated, sehingga membawa kepada persoalan perletakan lakonannya pada taraf “utama” atau “pembantu”. Terdapat pelbagai kriteria yang diteliti, tetapi masih, kami juga meneliti sama ada watak wanita itu sememangnya ejen aktif yang bergelumang dalam nararif utama, yang memacu ceritanya ke depan, atau hanya semata-mata sebagai suapan atau pemain sayap kiri/kanan atau second fiddler terhadap naratif utama.
Hal ini mungkin boleh diumpamakan (walaupun percubaan ini sederhana) pada tiga situasi. Pertama, sifat keboleh tukar ganti watak utama-sokongan terhadap dua watak wanita yang menggerakkan cerita. Hal ini jelas dapat dilihat dalam filem yang menampilkan kekuatan watak atau perwatakan wanitanya dalam penceritaan. Contoh yang sangat boleh diingati ialah lakonan dan karakter yang dimainkan antara Bette Davis dengan Anne Baxter dalam All About Eve (1950). Kedua ialah sikap subversif pengarah untuk menampilkan semacam watak utama yang kemudian bertukar menjadi watak sokongan sebenarnya. Hal ini dapat dilihat dalam lakonan Janet Leigh yang ditampilkan sebagai antihero yang kemudian bertukar menjadi mangsa dalam Psycho (1960). Ketiga, walaupun tampak penting dan seakan-akan teraju utama, watak wanita tersebut tetap hanya “sokongan” terhadap peranan dan perlakuan watak utama lelakinya. Hal ini dapat dilihat dalam lakonan Emily Blunt sebagai isteri Oppenheimer (2023). Hal inilah nanti yang akan diteliti dalam pemilihan satu-satu lakonan watak dalam filem-filem keluaran tahun 2024 untuk pencalonan anugerah kali ini.
– FADLI AL-AKITI merupakan ahli dalam Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, dan tahun ini, mereka sedang dalam urusan memilih para pemenang bagi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2024. Fadli masih cuba aktif menulis tentang filem dalam blog peribadinya, tontonfilem3.blogspot.com dan tontonfilem2.blogspot.com.
