Pada 2 Januari 2026 (Jumaat), bertempat di Studio Sedar Ruang, Alam Budiman saya berkesempatan untuk mengikuti sesi bacaan skrip kelolaan seorang sahabat akademia, saudara Walid Ali yang menterjemahkan naskah ‘Mother Courage and Her Children (1939)’, karya Bertolt Brecht ke dalam bahasa Melayu dengan judul yang agak ‘catchy’, Mak Rimau dan Anak-Anak. Saudara Walid merencanakan pementasan teater ini pada bulan Februari nanti. Moga terus jaya saudara Walid Ali! Seimbas, sesi bacaan skrip ini berlangsung dengan melibatkan sembilan mahasiswa teater Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA), UiTM Puncak Perdana. Para siswa mengekspresikan ‘semangat Brechtian’ secara santai, bersahaja, bersulam senda-gurau, sedikit meresah dan tegang di beberapa ketika, namun tetap jua meresapkan untaian makna, melalui 4 babak yang sempat dibaca, daripada keseluruhan skrip yang berjumlah 12 adegan itu. Mother Courage and Her Children merupakan antara teks dramatik paling berpengaruh dalam sejarah teater moden abad ke-20. Drama ini bukan sekadar naratif tragedi seorang ibu yang kehilangan anak-anaknya dalam bejat peperangan, tetapi sebagai representasi eksperimen ideologi dan estetik, yang secara sedar menolak konvensi tragedi klasik, melalui upayanya untuk membentuk kesedaran politik penonton. Brecht memposisikan panggung drama sebagai ruang pedagogi sosial, buat mengajak penonton berfikir, menilai, menghayati, seterusnya mengumbar kritik terhadap struktur kuasa yang menormalisasikan keganasan, eksploitasi, pelecehan, bahkan derita umat manusia.

Lalunya, karangan saya pada kali ini bertujuan untuk berbicara tentang drama Mother Courage dan Her Children sebagai teks kritikan perang dan kapitalisme, dengan memberi tumpuan kepada tiga premis utama, yakni perang sebagai sistem ekonomi, runtuhnya moral individu dalam struktur ideologi, dan fungsi teater epik sebagai alat untuk memperteguh kesedaran politik. Kupasan ringkas, turut saya utarakan buat mengamati pemikiran Brecht dengan tradisi dialetika- materialisme gagasan Karl Marx, serta wacana estetika moden yang menolak unsur-unsur sentimental, sebagai keampuhan kepada wacana yang rasional dan kritikal.
Lintas Sejarah dan Konteks Ideologi
Brecht menulis Mother Courage and Her Children sekitar tahun 1938-1939, di saat Eropah dilanda ‘teriakan’, ‘hiruk-pikuk’ dan ‘gempitaan’ Perang Dunia Kedua. Walaupun latar dramatiknya berlegar dalam episod Perang Tiga Puluh Tahun (1618–1648), saya menanggapinya sebagai perkara yang bukan bersifat nostalgia dan bersentimen, akan tetapi berfungsi sebagai refleksi dialektik untuk mengkritisi realiti kontemporari Brecht sendiri. Dengan menjarakkan susur waktu, Brecht cuba menjauhkan pembacaan emosional yang terkurung, sekali gus ‘mengumpan’ penonton untuk mencermati perang sebagai struktur sosial yang berulang, bukan sekadar jujukan peristiwa sejarah yang asing serta terpinggir. Jika kita amati daripada sudut pandang ideologi, Brecht dipengaruhi secara mendalam oleh faham Marxisme, lebih-lebih terhadap kritik Karl Marx tentang hubungan antara ekonomi, ideologi, dan kesedaran semu (false consciousness). Dalam bacaan Brecth, perang bukan cuma ditanggapi sebagai dampak agresi manusia semata-mata, tetapi sebagai manifestasi sistem iktisad (ekonomi), yang menawarkan konflik perang sebagai sumber untuk mengaut keuntungan berganda-ganda. Justeru, drama ini berfungsi sebagai gugatan terhadap kapitalisme yang beroperasi di bawah logika laba-rugi, biarpun nyawa manusia yang menjadi nilai taruhannya.

Perang sebagai Komoditi
Tema paling dominan dalam Mother Courage and Her Children, apabila kesempatan bejat perang dialih menjadi peluang perniagaan yang eksploitatif. Watak teras, yakni Anna Fierling sebagai Mother Courage, menyara hidup dengan memperdagangkan barangan kepada tentera yang sedang berperang. Gerabak jualannya menjadi simbol visual kepada ekonomi zaman perang. Ia bergerak seiring dengan pasukan tentera, mengintai segenap peluang keuntungan di tengah-tengah ‘bara’ kehancuran. Brecht menolak situasi perang sebagai ruang untuk mempesonai heroisme atau pengorbanan suci. Sebaliknya, perang digambarkan sebagai komoditi perekonomian, yang menagih kepada konflik berpanjangan, demi survivalnya. Mother Courage sendiri sedar bahawa keamanan, justeru akan mendatangkan kerugian kepada perniagaannya. Paradoks sebegini, seolah-olah menjadi inti kepada tragedi, sebagai acuan yang paling mujarab kepada drama ini. Watak yang hidup daripada kancah perang, akhirnya musnah disebabkan perang yang sama. Kematian putera-puteri Mother Courage, Eilif, Swiss Cheese, dan Kattrin, bukan tragedi rawak, namun dinatijahkan secara langsung daripada iltizam ekonomi dan ideologi sang ibu. Setiap kematian berlaku dalam konteks transaksi, tawar-menawar, atau penangguhan yang dipuncai oleh kegilaan mencari keuntungan material, berbanding nilai-nilai kemanusiaan.
Teguhan Watak sebagai Kritik Sosial
Dalam teater epik Brecht, watak tidak dibina sebagai individu yang kompleks, tetapi sebagai pemeran sosial yang memuarakan nilai, sikap dan aspek-aspek tertentu dalam lingkungan masyarakat. Mother Courage sering ditafsirkan sebagai watak yang oportunistik, dingin dan kejam. Pada hemat saya, Brecht dengan sengaja membina watak ini sebagai susuk yang ambivalen (*keadaan perasaan yang terjadi secara bersamaan yakni, antara perasaan yang bertentangan terhadap seseorang). Mother Courage bukanlah antagonis klasik, tetapi mangsa yang turut menjadi pelaku. Dia merasa dapat hidup secara mandiri, dengan kekal berkecuali dalam perang. Dia hanya berniaga tanpa terlibat secara ideologi mahupun politik. Hakikatnya, pandangan semacam ini merupakan bentuk kesedaran palsu. Brecht menegaskan bahawa dalam sistem yang tidak adil, bersikap neutral adalah sebuah khayalan. Dengan terus berniaga, Mother Courage secara tidak langsung menyokong kesinambungan perang. Kegagalannya untuk belajar daripada kehilangan anak-anaknya bukan kelemahan dramatik, tetapi inspirasi estetik Brecht, untuk menolak semangat katarsis dan penebusan moral. Penonton tidak dibenarkan merasa lega dengan perubahan watak, sebaliknya mereka dipaksa bertanya, mengapa perubahan itu tidak terjadi?
Eilif, si anak sulung Mother Courage, mencitrakan mitos heroisme ketenteraan. Kegagahannya terjelma seketika perang sedang memuncak, namun hal yang sama dianggap sebagai perilaku jenayah, tatkala landskap siasah berubah. Melalui Eilif, Brecht mengkritik relativisme moral dalam perang, bahawa kebaikan dan kejahatan itu ditentukan oleh kepentingan kuasa, bukan prinsip etika sejagat (mirip jua tatanan Michel Foucault berkait soal kuasa dan pengetahuan). Putera kedua Mother Courage, Swiss Cheese pula mewakili kepatuhan birokratik dan kesetiaan membuta tuli terhadap sistem. Sifat polos beliau dalam menjaga wang tentera, berdampak menjadi asbab kepada kehilangan nyawanya. Brecht secara halus ingin menyiratkan pesan bahawa dalam sistem yang korup, kejujuran tanpa kesedaran politik bukanlah hal yang luhur, namun kelemahan yang membawa padah. Si bongsu Kattrin, anak perempuan bisu, menisbahkan watak yang paling berperikemanusiaan. Tindakannya membunyikan gendang untuk memberi amaran kepada penduduk bandar daripada serangan tentera, membuat Kattrin terjulang sebagai simbol etika nan sejati. Namun secara ironi, Kattrin juga menjadi watak yang paling awal bertemu kematian. Brecht seolah-olahnya cuba mengejek bahana perang yang tegar dengan noda-noda kapitalisme, bilamana raga manusiawi tidak akan pernah mempunyai tempat untuk terus hidup serta bertahan.

Persoalan Alienasi (Verfremdungseffekt)
Brecht memperkenalkan konsep Verfremdungseffekt atau kesan alienasi untuk menentang teater ilusionistik Aristotelian. Dalam Mother Courage and Her Children, terdapatnya penggunaan lagu-lagu yang bersifat ironik, struktur adegan yang berepisod, serta pemecahan ilusi di layar pentas. Lagu-lagu dalam drama ini tidak berfungsi untuk memperdalamkan emosi, tetapi untuk mengganggu aliran dramatik, malah mengundang penonton untuk turut sama berfikir secara kritis. Struktur berepisod pula, cuba untuk mengalihkan tumpuan penonton daripada terus melarut dalam naratif satu arah, sekali gus mengekalkan jarak intelektual antara penonton dan watak. Melalui pendekatan demikian, Brecht menolak tujuan tradisional teater sebagai hiburan atau pelepasan emosi, lalu secara bergaya menggantikannya dengan fungsi didaktik dan politikal. Hal ini sebenarnya amat berseberangan dengan konsep tragedi gagasan Aristotle, yang menekankan katarsis (lega emosi dan jiwa) berlandaskan belas dan empati, apabila Mother Courage and Her Children menolak untuk pendekatan emosi itu disakralkan. Tiada pengajaran moral yang disampaikan daripada perubahan dalaman watak, sebaliknya kesedaran diharapkan muncul melalui apresiasi penonton. Sekiranya naskah tragedi klasik bertanyakan, ‘Apakah yang sedang menimpa manusia?’ Brecht pula menyoal, ‘Mengapa sistem ini terus menghasilkan tragedi?’. Maka, peralihan fokus daripada individu kepada struktur sosial inilah, yang membuatkan karya Brecht relevan serta ampuh, dalam cerapan analisis politik dan budaya kontemporari.
Sekilas Renungan
Biarpun drama ini sudah dikarang melampaui lapan dekad lepas, Mother Courage and Her Children tetap menuaikan pesan-pesan yang ‘menyengat’. Kita masih lagi menganggap perang sebagai industri, konflik bersenjata yang didorong oleh kepentingan ekonomi dan geopolitik. Brecht justeru mengingatkan bahawa, selagi perang menciptakan keuntungkan yang maha luar biasa, selagi itulah derita kemanusiaan tak akan pernah diambil peduli. Mother Courage and Her Children menjadi naskah dramatik yang menggabungkan estetika, persoalan moral serta ideologi secara radikal. Melalui kritik terhadap perang, kapitalisme, dan ilusi moral yang cuba disederhana, Brecht memanfaatkan panggung teater sebagai medium untuk menuai kesedaran politik. Tragedi dalam drama ini bukan hanya dipaksikan kepada kematian watak semata-mata, namun lebih daripada itu, ia merupakan reaksi betapa gagalnya masyarakat untuk memutuskan kitaran sistem yang melahirkan tragedi tersebut. Brecht tidak menawarkan bujukan harapan yang sentimental, tetapi mengemukakan provokasi intelektual, agar penonton tidak sekadar merasa, tetapi merenung, bukan cuma bersimpati, tetapi berbagi!
Rujukan:
– Benjamin, W. (1968). Understanding Brecht. London: Verso.
– Brecht, B. (1964). Brecht on Theatre: The Development of an Aesthetic (Terjemahan oleh J. Willett). New York: Hill and Wang.
– Brecht, B. (1994). Mother Courage and Her Children (Terjemahan oleh J. Willett). London: Methuen Drama.
– Eagleton, T. (2006). Ideology: An Introduction. London: Verso.
– Esslin, M. (1974). Brecht: A Choice of Evils. London: Eyre Methuen.
– Williams, R. (1977). Marxism and Literature. Oxford: Oxford University Press.
