Bunyinya macam satu titik panjang. Tiiiiiiiiiiiittttttttttttttt. Walaupun macam titik, macam satu garis kurus panjang yang kita tak nampak pangkal dan hujungnya, ia penuh dalam kepala. Dari kiri ke kanan, penuh dan otak saya dah tak boleh berfikir benda lain. Hanya ada bunyi itu dan imej bergerak sekujur jasad dibalut kain putih, dipeluk dan dibawa ke dalam tanah, perlahan-lahan diturunkan masuk ke lahad.
Sebelum bunyi itu sampai, saya sempat jenguk wajah Abang Irwan. Kain di kepalanya diselak sekejap sebelum ditanam. Pucat dan tenang.
Dan tiba-tiba, saya dah duduk. Lebih 10 meter dari kubur Abang Irwan. Kak Faz berjalan-jalan di depan saya dengan hidung merah jambu. Tersedu-sedu. Saya ajak dia duduk dan kami berbual sekejap tentang gemulah. Kemudian dia buka topik pelancaran zine kami minggu depan. Nak mengalih keluar rasa sedih sekejap, saya percaya.
Tombol mesin dipusing ke kiri dan kita terus lanjut ke masa lalu, di Sekolah Seni Kuala Lumpur, kami menunggu Grab. Abang Irwan tersenyum-senyum sebab ada budak sekolah tegur saya sebab saya pakai baju program di Balai Seni Negara Langkawi. Itu anak Encik Zaslan rupanya.
Dalam Grab, saya bertanya tentang deck cadangan penubuhan portal muzik yang saya beri padanya dan dia tanya, kalau nak kerja tetap, saya perlu gaji berapa banyak. Saya jawab dan dia diam. Saya percaya, selepas setahun, dia masih berusaha mahu ambil saya bekerja di Senimalaya. Halangannya ialah bajet untuk bayar gaji saya. Mungkin dalam kepalanya nombor-nombor bergentayangan, cuba mencari ruang fiskal dalam portal kecilnya untuk memberikan saya jawatan tetap.
Kerusi penumpang Grab itu jadi tempat terakhir kami duduk berdua. Saya berjumpanya sekali lagi selepas itu, di SIBF, tapi itu beramai-ramai dan kami tak sempat nak berbual berdua.
Khamis lalu, 11 Disember, Abang Irwan menarik nafasnya yang terakhir. Dia meninggal dunia tiba-tiba, buat kami yang mengenalnya terpempan terkejut.

Di tengah ada Bang Dollah
Hampir dua tahun tempoh perkenalan kami. Bermula di KLAB 2024, saya baru lancar buku dan dia pun masih agak baru melancarkan Senimalaya. Bulan Jun, dia ajak saya tulis satu artikel tentang album baharu Iwan Fals. Selepas itu, macam kebanyakan kolumnis dan penyumbang lain di Senimalaya, dia tak putus-putus mengajak saya menulis lagi.
“Ye lah dah tak nak menulis untuk Senimalaya. Maklum la kami bayar rendah. Siapalah Senimalaya…” begitu ayat merajuknya selepas hampir dua bulan artikel Iwan Fals diterbitkan dan saya tak hantar-hantar artikel lain. Saya bagi alasan kerja hakiki, walaupun sebenarnya saya takut diambil tindakan sebab menulis untuk media lain. Kontrak saya dulu ada halangan itu.
Tiga bulan kemudian, baru artikel kedua saya diterbitkan, itupun sebab tugasan program Kataseni. Program itu macam langkah lanjut yang saya ambil untuk lebih dekat dengan Senimalaya. Tujuan saya memang nak belajar menulis ulasan seni rupa, lebih-lebih lagi dari Abdullah Jones.
Saya hubungi Abang Irwan dan siap tanya, berapa saya kena bayar? Dia kata percuma (dan rupa-rupanya, saya yang dibayar sebab ikut serta). Ketika program, entah puji entah membahan, dia dan Lan Naga gelak-gelak sebab saya tanya bayaran.
“Dollah Jones ada mengutuk tu,” kata dia sambil hantar pautan ke artikel Abdullah Jones. Bang Dollah macam selalu ada di tengah-tengah kami, jadi alasan untuk bertegur. Sebab dia selalu petik-petik saya dalam artikel, dan Abang Irwan akan jadi batu api untuk mengingatkan. “Salah satu cara minta artikel,” kata Abang Irwan.
Saya mencari-cari kelibat Bang Dollah selama dua hari menunggu jasad Abang Irwan kembali ke tanah tapi tak ada. Dia outstation. Tapi elok juga, sebab kalau dia ada, mungkin imej penulis ranggi saya di mata Bang Dollah akan ikut sama gugur ke tanah. Dia boleh jadi punca saya menangis di depan khalayak.
Membaca eulogi dia pun saya dah tewas. Bila dia tukar kata ganti daripada “kami” kepada “saya” dalam perenggan akhir, saya tunduk pandang lantai.
Baik dan handal
Kalau awak ada terbaca berpuluh-puluh ucapan selamat tinggal orang kepada Abang Irwan dalam seminggu ini dan tertanya, betul ke dia baik macam tu sekali? Jawapannya, betul. Dia memang baik. Kadang-kadang baiknya tak masuk akal.
Macam kes saya, budak muda yang dia baru kenal tak sampai dua tahun, dah berlambak benda baik dia buat untuk saya. Ruang menulis dibuka seluas-luasnya supaya saya ada duit bayar sewa bilik setiap bulan. Dia buka peluang untuk saya dikenali lebih ramai orang seni. Dia jual nama saya ke sana sini.
“Pergilah, ada duit,” katanya bila ada peluang job berbayar untuk saya. Cincai kira, saya mampu teruskan hidup tanpa kerja tetap selama lebih setahun ini, sebahagian besarnya sebab dia. Belum kira peluang-peluang yang dia buka untuk saya buat duit dari sumber lain.
Itu baru saya yang merasa buah jasanya selama kurang dua tahun. Bayangkan kawan-kawan lain yang dah kenal dia puluhan tahun.
Sebab itu, bila tahu dia meninggal dunia, saya termenung panjang. Pendek betul usia perkenalan saya dengan dia. Belum puas lagi nak melepak dengan dia di KL Ekspress.
Waktu ambil keputusan untuk berhenti kerja, dia antara orang awal yang saya beritahu. Tak lama lepas tu, dia minta resume. Kemudian, semua program yang kawan-kawan dia buat, dia suruh saya pergi buat liputan. Waktu itu, banyak program dibuat untuk mengenang gemulah Pyanhabib.
Sejak dari itu, saya makin kerap hantar artikel ke Senimalaya dan orang di sekeliling saya ramai memuji. Kata mereka, penulisan saya bertambah baik di Senimalaya.
Antara sebabnya, Abang Irwan tak letak apa-apa batas dalam penulisan saya. Tulislah apa saja, dengan apa gaya sekalipun. Dia hanya akan tegur kesalahan fakta dan formaliti (penggunaan kata ganti, contohnya). Yang lain, saya dilepas bebas.
Dan kedua, dia bawa saya berjumpa ramai orang dan bantu saya kutip banyak pengetahuan baharu. Dia buka jaringannya untuk saya. Itu yang bantu saya timba lebih banyak ilmu dan ia terserlah dalam penulisan saya.
Saya ada mengadu pada kawan, ketika bekerja, saya tak ada mentor khusus. Institusi media zaman ini dah tak begitu mengajar seperti dulu. Tapi di Senimalaya, saya ada mentor yang mengajar dengan cara yang paling halus.
Abang Irwan tak pernah ajar saya teknik menulis tapi dia ajar saya jadi manusia. Bergaul dan rebut peluang; itu hal paling besar saya belajar sepanjang tempoh pementoran tak rasmi kami.
Dan bila dia menulis tentang U-Wei HajiSaari, saya tersenyum bangga. Sebab saya ada editor yang handal menulis. Cubalah baca artikelnya yang ada gambar U-Wei nyala rokok itu. Dari tajuk, gambar, kandungan, semuanya handal.
Mentor saya handal.
Terima kasih untuk segalanya, bang. Fasa hidup ini, yang banyak harinya diisi dengan pertemuan dan Whatsapp dari abang, akan saya ingat lama.
Al-Fatihah untuk Irwan Muhammad Zain.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
