SAYA baru selesai tonton High Fidelity (2000), kemudian terus membaca manuskrip Menten Selekes yang diberi secara bermurah hati oleh penerbit indie legenda, bekas ahli politik dan pelakon watak ketua gangster dalam filem kultus Kontradiksi, Mutalib Uthman.
Menten Selekes ialah buku terbaharu duta indie Ipoh, Mohd Jayzuan terbitan Dubook Press selepas Malam Dingin Jahanam terbitan Rabak-Lit tahun lepas. Kali ini bukan lagi cerita kecewa merana yang dikarang tetapi keping-keping memorinya tentang muzik, seni, kawan dan makanan.
Pernah saya tulis dalam pascakata cetakan baharu Jalang Indie Rock bahawa Mohd Jayzuan ialah sebuah pustaka. Dari tubuhnya yang semakin kurus itu boleh terpancar pelbagai maklumat dan riwayat tentang pelbagai hal yang, kalau awak suka benda-benda alternatif dan kontrabudaya, seronok dibaca.
Sejak berkenalan pada 2020, itulah yang saya dapat dari dia. Setiap pertemuan akan ada cerita-cerita yang mengujakan.
Pernah sekali, entah waktu bila, kami di Bodysurf Kitchen dan saya seronok melihat gelagat Meor Shahiran yang malu-malu alah apabila diberitahu tentang hebatnya legasi dia, Muck dan Bodysurf. Ketika itu juga kami – dan entah siapa lagi yang ada bersama ketika itu – menyimpulkan bahawa ada sebab Tuhan letak Jayzuan di Bodysurf. Tugasnya untuk meriwayat cerita-cerita Bodysurf kerana Meor atau Ducktoi terlalu humble tak masuk akal untuk bercerita kehebatan sendiri.
Dan itulah yang anda akan dapat dari Menten Selekes.
Kejujuran, kementahan dan seni petik nama
Bukan hanya kisah Muck, Bodysurf dan Ipoh. Cerita dalam Menten Selekes merentang sampai Kuantan, Kuala Terengganu, Sarawak, Jakarta, Bandung, Manchester malah Paris.
Buku itu ialah koleksi catatan-catatan Mohd Jayzuan yang sebahagian besarnya telah dipampang di Facebook. Ia rawak dan mentah – kebanyakannya ditulis dalam sekali duduk, tanpa suntingan berat.
Ia semacam menzahirkan minat Mohd Jayzuan terhadap muzik lofi dan punk, cuma kali ini penzahirannya dalam bentuk tulisan. Bukan tentang bahasa indah atau peraturan menulis lain yang diambil berat para editor, sebaliknya kejujuran dan kementahan yang lebih menusuk rasa para pembaca.

Ia tidak selengkap Jalang Indie Rock sebagai naskhah yang memperkenalkan diri Mohd Jayzuan tetapi cukup sebagai panduan untuk kita faham, bagaimana budak Simpang Pulai itu boleh membentuk dirinya seperti hari ini.
Buku itu sarat dengan rujukan-rujukan, name-drop tanpa henti dari muka satu sampai habis. Namun bukan dalam bentuk syarahan. Ini bukan degar sombong abang scene. Ia perkongsian yang jujur dan santai.
Lebih buat saya kembang punggung, nama-nama yang dipetik bukan hanya orang lama dan rakan seangkatannya, malah kami budak-budak baharu yang masih bertatih. Ada nama saya, Zim Ahmadi, Zhafirin Zulkifli dan S. Razali.
Mengadipentingkan ingatan
Fungsi Mohd Jayzuan sebagai periwayat sudah menghampiri tahap heronya sendiri, seperti Joe Kidd. Kalau dulu, orang mahu tahu muasal punk Malaysia akan cari Joe tetapi untuk indie rock 90-an ke atas, kita ada Jay.
Namun, Joe mungkin lebih dikenali dengan kritikan dan ulasannya. Jay lain, dia jarang mengkritik. Kepakarannya pada menghias ingatan menjadi adipenting. Kalau dia bercerita tentang Ipoh, Ipoh jadi sangat penting. Kalau dia petik nama Cikgu Hafidz Khottal/Tahvole, kita mula pandang Hafidz sebagai seorang wali yang perlu ditemu lutut ke lutut menuntut ilmu muzik alternatif.
Ada beberapa bahagian yang saya berhenti membaca sekejap untuk memutar sesuatu di Youtube, contohnya apabila Mohd Jayzuan memetik kisah dia merakam lagu bola bersama arwah Bob Ku2 dan Noh Salleh. Saya dengar lagu itu bersama kekaguman dari penulisannya.
Malah, ketika dia memetik John Cooper Clarke, saya buka video penyajak punk kelakar itu dan terus jari rancak menari menulis sebuah puisi yang agak panjang. Begitulah hebatnya Mohd Jayzuan mengangkat orang dalam penulisan, sebagaimana dia mengangkat sosok-sosok wanita dalam lagunya.

Menten Selekes tampil sederhana dan ringan tetapi saya boleh bayangkan ia sebagai buku yang saya akan bawa ke mana-mana. Maklumat-maklumat yang dikongsi penting untuk saya menjejak pengetahuan seni alternatif yang tak sempat diambil tahu sebelum ini.
Lebih menarik, ada tiga karangan tentang makanan dalam buku itu. Saya tafsirkannya sebagai hint untuk beritahu orang, Mohd Jayzuan juga boleh menulis tentang makanan. Adakah itu buku seterusnya dari dia?
Sebelum kojol
Mohd Jayzuan akan selamanya menjadi sosok pertama yang diberi ruang dua muka, dua minggu berturut-turut di Rondivu dulu. Dengan Mohd Jayzuan juga, mungkin, menjadi satu-satunya temu bual yang saya jalankan selepas Subuh.
Ketika bertemu baru-baru ini, dua kali dia ingatkan hal itu kepada saya. Katanya, kalau dia kojol nanti, itu benda yang saya akan tulis tentang dia. Saya sambut dengan gelak tawar.
Sengaja saya tulis di sini supaya saya tak perlu tulis lagi apabila sampai masa dia kojol nanti. Sebab saya masih mahu umurnya panjang, agar dia boleh bercerita dan bercerita lagi, dan saya sempat bina memori baharu dengannya yang akan mengisi belasungkawa untuk dia nanti, kalau dia yang pergi dulu.
Membaca Menten Selekes buat saya kembali ke era universiti, ketika pertama kali membaca 28 Hari: Jurnal Rock N Roll dan Anarki Di Kuala Lumpur, kemudian pertama kali membelek Jalang Indie Rock.
Saya kembali jadi pemuda yang memandang tinggi ‘keselekesan’ Mohd Jayzuan, bersama himpunan pengalaman eksentriknya menjadi petualang seni. Saya seperti memutuskan sementara ikatan kami sebagai kawan, menjadi pengkagum dari jauh, seperti saya sebelum 2020.
Anda yang mahukan perasaan sama sila rebut laju-laju buku itu, belek dan baca sepuasnya. Simpan, bawa ke mana-mana serta koreklah segala nama yang dipetik. Bikin senarai putar lagu-lagu yang dicatat. Tenggelam dalam kerawakan muzik dan seni alternatif yang diriwayat Mohd Jayzuan.
