DALAM perkembangan seni persembahan kontemporari Malaysia yang kian bersifat eksperimental dan terbuka, TaTaTa arahan Lai Wen Xin juga memperlihatkan satu bentuk persembahan yang menghindari struktur konvensional namun tetap menghadirkan nuansa dramatik. Dipentaskan di Dewan Serbaguna Seri Kembangan dari 13 hingga 15 Jun lalu, karya ini menggabungkan seni interdisiplin iaitu tari dan teater dari pengalaman sebenar yang dikutip dari pengamatan komuniti tempatan, pengalaman sehari-hari dan dituangkan ke dalam bentuk persembahan oleh Lai Wen Xin yang juga bertindak sebagai koreografer dalam persembahan ini.
Persembahan ini bukan sahaja menggunakan ruang tidak konvensional malah dengan kehadiran warga emas yang telah menjadi inspirasi karya ini (penduduk setempat), TaTaTa tampil sebagai sebuah persembahan pentas yang memaparkan tema penuaan, ingatan dan interaksi antara generasi, bukan melalui naratif bercerita yang tersusun, tetapi melalui pengalaman tubuh, tindakan seharian, dan kesunyian yang penuh makna. Pada malam persembahan, rata-rata penonton yang hadir juga merupakan warga emas. Ada yang hadir dengan kerusi roda, bertongkat serta ditemani ahli keluarga. Pengalaman persembahan ini seperti telah bermula sebelum memasuki ruang pentas lagi. Dari luar, kita seakan sudah dapat menghidu tema utama persembahan ini, iaitu penceritaan tentang usia, memori, dan komuniti. Ia mewujudkan kesinambungan antara subjek persembahan dan khalayaknya, menjadikan pengalaman menonton bukan sekadar melihat, tetapi juga menghadirkan diri secara empati dalam dunia yang diciptakan di atas pentas. Terngiang-ngiang kata-kata seorang guru iaitu Almarhum Ken Zuraidah, “seorang seniman harus terjun kepada masyarakat, memahami dan mengangkat tema sehari-hari adalah lebih penting dari mengangkat masalah yang belum tentu pasti.’’

Estetika Visual: Menyentuh Melalui Deria
Tujuan utama estetika visual dalam konteks seni persembahan ialah untuk mengungkapkan makna yang dapat dirasai melalui deria, iaitu makna yang tidak semestinya disampaikan secara langsung melalui kata-kata, tetapi dijelmakan melalui penglihatan, pendengaran, bau dan gerak tubuh. Dalam hal ini, TaTaTa pada penulis berjaya mencapai matlamat tersebut melalui pendekatan persembahan yang lembut, tertata dan sarat dengan kepekaan emosi.
Pergerakan tubuh pelakon/penari, khususnya Anne James dan Audrey Chua, disusun dengan kesederhanaan koreografi yang berseni. Tiada gejolak emosi yang berlebihan, sebaliknya setiap pergerakan seperti berjalan, menyentuh perabot lama, memetik daun atau hanya berdiam diri telah membawa beban simbolik dan emosi yang mendalam. Tubuh menjadi medium utama untuk menyampaikan pengalaman, kenangan dan makna selakigus menjadikan pergerakan fizikal mereka berdua sebagai medium komunikasi dalam persembahan ini.
Estetika visual turut diperkukuh dalam rekaan set dalam persembahan ini. Perabot lama, barang permainan kanak-kanak, dan pencahayaan suram bukan sekadar elemen hiasan, tetapi membina suasana yang kontemplatif. Penonton secara tidak langsung diajak untuk meninggalkan gangguan dunia luar dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang berlaku di hadapan mereka. Ianya satu pengalaman persembahan yang bersifat intim gabungan visual grafik yang menarik hasil sentuhan Wee Jia Foong.
Bunyi-bunyian kecil yang terhasil seperti degup jantung yang di buat secara lansung melalui tepukan dada yang mempunyai mikrofon secara berulang-ulang mempunyai tempo dan ritma yang berkesan, desiran angin yang dirancang secara teliti telah membentuk landskap bunyi yang organik dan bermakna. Penggunaan muzik dan bunyi bukan semata-mata sebagai latar, tetapi berfungsi untuk menggerakkan emosi dan mengarahkan tempo persembahan. Gabungan unsur gerak, ruang dan bunyi telah mencipta satu pengalaman persembahan yang menyentuh bukan sahaja secara visual, malah secara deria dan emosi, menjadikannya suatu bentuk pengalaman seni yang menarik.
Dalam persembahan ini, penulis melihat ada pergerakan yang kontra pada props yang digunakan. Pergerakan yang dilakukan oleh Audrey Chua ketika mengalihkan props ke suatu ruang lain kelihatan bersahaja. Komposisi yang di catur oleh Wen Xin adalah ‘sekadar’ mengalihkan props dari satu ruang ke ruang yang lain. Mungkin pada Wen Xin pergerakan mengalihkan props ini membawa maksud generasi kini tidak menghargai apa yang disebut sebagai sentimental value. Ianya bertentangan dengan komposisi yang dibuat untuk Anne James dimana beliau saling terikat dan terkait dengan props yang ada di dalam rumah beliau. Kedua-dua pergerakan ini kontra dari penciptaan naratif dan gerak, tetapi ianya masih menyentuh deria penonton.

Struktur Tidak Konvensional dan Rekaan Persembahan melalui Ruang dan Cahaya
Dari segi naratif, TaTaTa memilih untuk tidak berpaut pada struktur plot yang konvensional. Sebaliknya, persembahan ini bergerak dalam lapisan-lapisan peristiwa dan memori yang lebih bersifat serpihan, terputus-putus, kabur, dan ada yang tidak saling terhubung. Ianya bukan masalah utama kerana dalam pendekatan ini, namun pada pandangan penulis wujud adegan-adegan tertentu yang dirasakan longgar dari segi fungsinya dalam membina sesebuah makna. Sebagai contoh, adegan memanjat pokok. Ianya tidak memberikan penjelasan yang jelas sama ada secara simbolik mahupun penceritaan melalui visual. Ia seperti satu tindakan yang sekadar memanjangkan masa persembahan, tanpa membawa penonton kepada pengembangan tema atau emosi yang lebih mendalam. Kekaburan ini mungkin disengajakan sebagai ruang interpretasi bebas, namun pada hemat penulis, ia boleh memutuskan hubungan antara penonton dan inti persembahan. Hal ini terjadi apabila naratif utama yang ingin disampaikan tidak lagi terasa sebagai utuh atau konsisten. Adegan memanjat pokok ini sebenarnya mempunyai potensi simbolik yang besar sekiranya diolah dengan lebih mendalam. Dalam budaya dan masyarakat kita, pokok sering dikaitkan dengan akar (asal-usul), dahan (pertumbuhan/dewasa), dan berbuah atau berpucuk (warisan/generasi). Tubuh (dalam konteks ini, Audrey Chua) yang memanjat pokok boleh menjadi metafora tentang usaha manusia menjejaki masa silam atau menyentuh kembali kenangan yang telah lama pergi.
Sekiranya adegan itu disokong oleh elemen bunyi untuk memperkuatkan mood (contohnya rakaman suara ketika zaman kecil bermain di pokok itu), ia boleh menjadi bahan sokongan untuk penonton berfikir dan memahaminya. Adegan ini berkait secara tematik seperti ingatan zaman kanak-kanak Audrey Chua. Pergerakan atau apa sahaja yang dilakukan akan menjadikan aksi fizikal itu sebagai sebahagian daripada jalinan emosi dan naratif yang lebih berhubung dengan aksi awal Anne James bermain daun kering pada awal adegan sebelum beliau bertukar menjadi tua semula. Harus di pertimbangkan, dalam persembahan yang berstruktur longgar dan tidak linear seperti ini, setiap tindakan tubuh membawa makna atau harus membawa makna. Justeru, kejelasan dramaturgi menjadi penting agar persembahan tidak hanya menjadi barisan imej yang indah secara visual, tetapi juga berakar secara emosi dan konseptual.

Dalam persembahan ini, penonton tidak diarahkan untuk memahami cerita, sebaliknya diajak untuk mengalami dan merenung melalui kehadiran, pergerakan, dan kesunyian yang dicipta dalam ruang persembahan. Pendekatan yang digunakan dalam membangunkan artmosfera visual ini telah memperkukuh apa yang di sebut oleh Robert Wilson (tokoh teater visual dan kontemporari dunia) iaitu sebuah persembahan adalah tentang rekaan ruang dan cahaya. Dalam konteks ini, cahaya bukan sekadar alat penerangan, tetapi berfungsi membentuk ruang itu sendiri sekaligus menjadikannya dapat dilihat, dirasai, dan dialami.
Penggunaan lampu moving head pada penulis tidak sesuai digunakan ketika adegan di mana Audrey Chua menari secara solo dan dalam keadaan tertekan dan bercelaru. Lampu moving head di sorot ke atas dan ke bawah dengan menggunakan warna putih. Mungkin ianya lebih dramatik sekiranya pereka cahaya menggunakan lampu yang lebih suram dengan kesan chase agar ruang yang dicipta tidak terasing sekaligus memperkukuhkan lagi geografi yang diangkat. Adegan ini membawa makna di mana generasi muda seakan merasakan beban atau tidak mahu pulang ke rumah orang tua mereka. Pergolakan jiwa melalui gerak ini seakan terasing dengan rekaan pencahayaan sebegitu.

Tanpa cahaya, ruang kehilangan bentuk dan dimensi, dan tanpa ruang, konsep waktu dalam persembahan juga tidak dapat diwujudkan. Jika kita melihat poster persembahan, jelas memaparkan bentuk jam. Falsafah di balik jam dan waktu itu sendiri seperti menunggu, di tunggu, berjalan dan sebagainya di tuangkan secara baik dalam persembahan ini. Terdapat adegan yang berkesan menurut penulis hasil rekaan cahaya oleh Jackey Chan iaitu ketika adegan penutup di mana Anne James berjalan menuju ruang paling hujung pentas dengan bentuk pencahayaan dan rekaan pentas perspektif telah memaksa mata penonton menuju ke satu arah. Cahaya lampu jalan yang samar-samar dan memperlihatkan sekujur tubuh tua yang penuh dengan kesunyian. Ia meninggalkan persoalan adakah ini memori atau takaran masa hadapan buat penonton yang menyaksikan?

Pada hemat penulis TaTaTa berjaya mempersembahkan bukan sekadar cerita, tetapi suatu sistem ruang-waktu yang digerakkan oleh cahaya dan tubuh bagi mencipta pengalaman persembahan yang bersifat transendental. Persembahan ini telah mengigatkan penulis pada seorang koreografer dan penari dari Indonesia iaitu Melati Suryodarmo.

Melati sering menggunakan tubuhnya sebagai medium penyimpanan memori, trauma dan sejarah peribadi, dan tubuh itu menjadi ruang dan medium untuk berfikir tentang masyarakat dan identiti. Dalam TaTaTa, tubuh Anne James menjadi apa yang disebut sebagai ‘dokumen tubuh’ di mana mencatatkan sejarah peribadi dan sosial iaitu lambang penuaan yang tidak dipaksakan, tetapi diterima dengan keikhlasan dan ketenangan. Gerak tubuhnya, walaupun perlahan, membawa beban pengalaman dan sejarah yang tidak dapat ditulis dengan kata-kata. Ia mencerminkan bahawa tubuh manusia mampu menyimpan dan menyampaikan naratif dengan cara yang lebih jujur berbanding dialog yang ditulis. Mungkin inilah cerminan realiti dari tinjauan dan kajian yang dijalankan oleh Wen Xin. Hal inilah mengingatkan saya tentang seniman tari dari Surakarta, Indonesia itu.
Selain itu, pendekatan terhadap ruang juga memperlihatkan persamaan falsafah antara kedua-dua pengkarya. Melati terkenal dengan penggunaan ruang yang bersifat immersive dan bertenaga di mana setiap inci lantai, dinding dan bunyi adalah sebahagian daripada naratif. Begitu juga dalam TaTaTa. Dewan Seri Kembangan tidak berfungsi sebagai pentas konvensional, tetapi sebagai ruang yang disulam memori. Setiap objek di pentas, dari perabot lama hingga lampu jalan yang malap, menyumbang kepada suasana yang menghidupkan kenangan lama Kampung Baru Seri Kembangan yang kian urban dan pesat membangun. Ruang itu bukan hiasan, tetapi sebahagian daripada pengalaman emosi yang ditawarkan kepada penonton.
Secara keseluruhan, TaTaTa adalah sebuah persembahan yang berjaya menghidupkan dunia yang dicipta oleh Lai Wen Xin bukan dunia fantasi, tetapi dunia yang nyata dan akrab dengan penonton. Ia tidak memerlukan pentas besar atau teknologi canggih, kerana kekuatannya terletak pada gerak tubuh yang jujur, ruang yang bernafas, dan bunyi yang berbisik perlahan ke telinga kita. Persembahan ini mengingatkan kita bahawa ianya bukan sekadar tontonan, tetapi satu ruang pertemuan antara tubuh, masa, dan ingatan. Sebuah pengalaman yang tidak hanya ditonton, tetapi dialami atau akan di alami suatu saat nanti. Tahniah buat seluruh ahli produksi yang terlibat.
– NAQUE ARIFFIN merupakan penggiat, pengkritik dan pendidik dalam bidang seni persembahan.

