Minat saya pada buku datang lambat. Masih ada ingatan samar-samar yang saya suka baca buku sirah untuk kanak-kanak di perpustakaan ketika sekolah rendah, kemudian suka buku Konserto Terakhir, The Phantom of the Opera dan The Pearl ketika sekolah menengah.
Tapi minat saya membaca (yang betul-betul membaca) datang apabila saya bertemu koleksi novel Ramlee Awang Murshid milik abang saya. Lebih spesifik, novel Bagaikan Puteri, pembuka siri Laksamana Sunan. Masih saya ingat, ada kawan tegur dan gelak sebab nampak saya baca novel itu di hentian bas.
Tamat sekolah, saya mula berminat dengan bacaan bukan fiksyen apabila terjumpa buku Perwatakan dalam Sejarah Melayu (kulitnya ada gambar keris Taming Sari) di rumah pusaka nenek saudara. Di Tingkatan Enam, cikgu Bahasa Melayu saya, Cikgu Roswani menghadiahkan buku Sejarah Melayu terjemahan W. G. Shellabear, kemudian saya baca dua buku pertama yang dibeli guna duit sendiri, Blogging to Unblock dan Doktor Umum yang ditulis Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Fasa bekerja sebelum masuk universiti, pada 2013, saya terus membaca buku-buku yang ada di rumah kakak, lazimnya ketika perjalanan pergi dan balik kerja di dalam elarti. Ketika itu juga, saya pertama kali datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Masih ingat, kebanyakan buku yang saya beli ada unsur ilmu fitan.
Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) minat membaca saya memuncak, didorong kegilaan kami anak muda pada penerbitan indie. Serentak itu juga, aktiviti Facebook saya banyak berlegar dalam komuniti perbukuan.
Buku sukar dipisah dengan aktiviti keilmuan, sebab itu saya terjebak menonton pelbagai video aktiviti berwacana, khususnya Lepak Maqasid. Takjub dan kagum saya bersambung-sambung melihat senyum miring Rosli Ibrahim, riak marah Benz Ali dan ketenangan Ocha Vozvyshennyy bertanya soalan, macam mana kalau waktu sembahyang, dalam kepalanya berfikir tentang tuhan Hindu?
Ilmu-ilmu berat, konfrontasi hujah dan penerokaan falsafah mempesona saya yang naif di Tanjung Malim. Tapi saya hanya mengikuti perkembangannya dari jauh sebab jarang sangat saya turun Kuala Lumpur.
KuBu dan Ku
Di UPSI ada digerakkan program Buku Jalanan tapi saya tak ikut. Sebab tak ada kenderaan, saya susah nak ke lokasi pertemuan yang biasa dibuat di Tasik Proton City.
Pengalaman paling dekat dengan segala kepesonaan yang saya tonton di Facebook dan Youtube adalah apabila Rosli Ibrahim jadi panel satu program di Kolej Za’ba, salah satu kolej kediaman di UPSI. Saya turun dengan bersemangat dan berazam mahu berbual dengan dia.
Saya dapat berbual dengan dia. Ada beberapa hal yang saya tak ingat sangat dah. Tapi pertemuan itu berbekas sebab saya dapat perkenalkan diri pada Abang Rosli dan dia pun terus ingat nama saya selepas itu. Sampailah sekarang, dia menjadi semacam guru untuk saya, dalam hal buku dan spiritual.
(Ketika menyunting artikel ini, saya dapat berita isteri Abang Rosli meninggal dunia. Semoga roh Rosnah Binti Taha dikurnia rahmat Tuhan dan keluarga Abang Rosli tabah menghadap dugaan)
Apabila diterima bekerja di Utusan Melayu pada 2017, saya berazam mahu tebus ketidakmampuan hadir lepak-lepak bijak semasa belajar. Itu juga antara tempoh Kuliah Buku (KuBu) yang digerakkan Benz Ali dan kawan-kawan sangat aktif.

Banyak acara KuBu yang saya hadiri dan saya mula kenal manusia-manusia yang bermacam ragam. Selain Benz dan Abang Rosli, saya mula kenal Dr. Nurhuda, Lucy Montk, Hafal Abu, Kia Syakira, Aaron Dinesh dan ramai lagi.
KuBu juga ada jasa pada kerjaya kewartawanan saya. Selain buat saya berfikir setiap minggu, memperkenalkan saya kepada pengetahuan-pengetahuan penting, melalui KuBu juga saya dapat kumpul sumber yang agak berbeza daripada rakan wartawan lain di pejabat.
Kalau tak silap, melalui KuBu saya kenal Nurfitri Amir Muhammad, aktivis pertanian yang banyak bercakap tentang keterjaminan dan kedaulatan makanan. Melalui Nurfitri, saya hadir satu program bengkel tentang isu pertanian dan pesawah di Pulau Pinang, lalu mula menulis banyak tentang hal itu.
Sebelum muzik, saya pernah cuba jadikan isu pertanian sebagai forte penulisan. Rencana pertama yang saya tulis di Utusan, tanpa disuruh mana-mana editor, adalah tentang kedaulatan makanan.
Kiri dan kanan
Utusan Melayu selepas Said Zahari kalah memang condong ke kanan pemikirannya. Tapi saya sering turun KuBu yang kebanyakan penggeraknya bermazhab kiri.
Hal ini pernah menimbulkan krisis dalam diri. Sebab masih muda agaknya, macam ada desakan dalaman untuk saya pilih haluan pemikiran. Nak ke kiri atau kanan? Sebenarnya, tak perlu pun.
KuBu waktu itu memberi keseimbangan kepada saya, memandangkan di pejabat pengaruhnya memang sangat kanan. Ada saja cubaan saya menyuntik idea yang agak kiri dalam penulisan di Utusan, terutamanya dalam isu ekonomi, tapi kesannya tak besar.

KuBu sangat terbuka, sebenarnya. Penggeraknya mungkin berideologi kiri tapi mereka tak halang perbincangan tentang ideologi lain.
Saya sendiri menjadi lebih kagum pada gerakan kanan disebabkan KuBu apabila dalam satu acara ulang tahun, mereka menjemput Aidil Khalid dalam satu sesi forum. Sepatutnya ada enam panel tapi Wan Ahmad Fayhsal tak jadi hadir. Maka tinggallah Aidil berseorang yang membawa jalur fikir yang jelas kanan, berbanding lain yang jelas kiri atau lebih sentris. Ketenangan Aidil berhadapan pandangan berlawanan pada malam itu buat saya kagum.
Menyeimbang pandai dan bodoh
Kawan saya ada cakap, manusia perlu momen berasa pandai dan juga momen berasa bodoh. Saya setuju penuh.
Sepanjang hidup, saya banyak rasa pandai. Mungkin sebab otak saya berfungsi dengan agak berbeza berbanding manusia-manusia sekeliling. Saya tamatkan sekolah rendah sebagai pelajar paling cemerlang. Di sekolah menengah juga saya sering dirujuk sebagai budak pandai. Saya fikir sebab saya pandai Bahasa Inggeris, subjek yang tak ramai pelajar sekolah kampung pandai.

Bila masuk UPSI, saya dah bersedia yang saya tak akan jadi budak pandai. Saya yakin, ramai lagi pelajar yang lebih pandai. Tapi tak juga. Sebab saya suka baca buku dan ikuti perkembangan semasa, orang masih anggap saya budak pandai.
Saya dah sedar kewujudan manusia-manusia yang lebih pandai di luar. Para penulis buku yang saya baca, muka-muka yang lazim hadir Lepak Maqasid. Yang menjadi persoalan ketika itu, bersediakan saya untuk berasa bodoh?
Di KuBu, saya bertemu nikmat menjadi bodoh. Apabila kita rasa bodoh, ada kesedaran untuk belajar. Orang yang rasa pandai sepanjang masa tak banyak belajar. Lebih seronok lagi sebab dalam komuniti KuBu, soalan lebih penting berbanding jawapan.
Dalam setiap perjumpaan, bermacam ragam soalan akan keluar. Dan jarang juga kami balik dengan jawapan. Soalannya menumbuhkan soalan. Soalan demi soalan buat saya sedar keluasan ilmu. Dalam kepala saya berlangsung permainan Minesweeper yang tak pernah habis. Setiap kotak yang dibuka dengan jawapan akan membuka persoalan lain.
Saya seronok jadi bodoh di KuBu dan tanpa sedar selepas itu, walaupun tanpa KuBu, saya selalu cari peluang untuk jadi bodoh. Kalau ada peluang melepak sampai awal pagi dengan sesiapa yang saya tahu pandai, saya akan lepak. Ada nikmat yang sukar dihurai dalam kegiatan duduk diam dengar orang bersembang. Kita tak perlu menyibuk, mencelah bagi pendapat. Diam dan serap saja apa yang dibual.
Memoir pendek
Saya dijemput menulis satu esei untuk buku KuBu Sebuah Memoir oleh Benz Ali tapi saya tak dapat siapkannya dalam tempoh yang diberi. Jadi, artikel ini saya tulis sebagai ganti. Harap Benz terima.
Walaupun gagal jadi penyumbang, saya tersenyum sendiri bila nama saya ada dipetik dalam buku tersebut. Satu oleh Benz, satu lagi oleh Zin Mahmud.
Dari segi niat, artikel ini ialah ulasan untuk buku KuBu Sebuah Memoir tetapi bentuknya tidak. Saya hanya bercerita tentang diri sendiri dan ingatan-ingatan tentang buku serta KuBu. Sebab saya mahu menulis dengan gaya memoir, seperti yang banyak ditulis dalam buku itu.

Buku KuBu Sebuah Memoir diterbitkan tahun lepas oleh REPUBLIKBUKU. Ia mengumpul catatan-catatan para penggerak KuBu tentang gerakan itu yang mencapai umur 10 tahun pada 2024.
Dalamnya anda boleh jumpa catatan Benz Ali, Zin Mahmud, Rosli Ibrahim, Raja Ahmad Aminullah, Dr. Nurhuda (yang menghadiahkan buku ini kepada saya) dan penggerak-penggerak lain.
Membacanya seperti membawa saya kembali ke 2017 dan 2018, ketika hampir setiap minggu saya mengikuti diskusi jalanan. Di Burger King, FS Corner. Hal gaji, sastera, politik, pertanian, pelarian, media, pemikiran, agama – semua pernah disumbat masuk dalam kepala ketika bersama KuBu.
Ia akan selamanya menjadi episod penting dalam perkembangan hidup saya. Bertemu manusia, bertemu idea, bertemu kawan.
Terima kasih KuBu!
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
