HUBUNGAN antara Malaysia dan China bukan sahaja berakar umbi dalam sejarah perdagangan dan diplomasi tetapi juga diperkuatkan melalui pertukaran budaya yang kaya dan berterusan.
Sebagai negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya serta memperkukuh hubungan budaya dan sejarah antara kedua-dua negara.
Usaha untuk mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan China kini semakin giat dijalankan, selaras dengan matlamat mempererat hubungan bilateral yang holistik.
Antara usaha yang sedang dijalankan adalah penganjuran Pameran “Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran Yang Abadi” yang berlangsung di Balai Seni Negara sejak 23 November lalu.
Pameran yang dibawakan Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia sempena meraikan ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China akan berakhir 23 Disember ini.

Lebih 100 ukiran jed dipamerkan yang setiap satunya merupakan warisan berharga, dipilih melalui tapisan teliti melalui rumah lelong ternama seperti Christie’s, Sotheby’s, dan Bonhams.
Selain itu, pameran ini turut mempamerkan koleksi terkenal seperti Robert Hatfield Ellsworth dan Roger Keverne
Majlis perasmian pameran disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Kurator, Datuk Wong Shung Yen, dan Penasihat Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia, Dr. Low Cheong Sin.
“Pameran ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk menelusuri sejarah seni jed purba.
“Bermula dari zaman prasejarah hingga dinasti Ming dan Qing, setiap artifak jed bukan sahaja mempamerkan kehalusan seni, tetapi juga nilai budaya dan estetika yang berterusan selama beribu tahun,”kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.
Pameran ini merayakan keakraban hubungan Malaysia-China dengan menggabungkan warisan budaya, memupuk penghormatan mendalam terhadap seni tradisional, serta menggambarkan keindahan dan keharmonian dalam pertukaran budaya yang telah terjalin.
“Pameran ini menawarkan pengalaman seni yang unik serta menampilkan artifak yang jarang ditemui dan memukau.
“Dari sudut teknik ukiran hingga simbolisme budaya, setiap artifak jed adalah bukti kepintaran dan kehalusan seni yang luar biasa.
“Pengunjung juga dapat menyaksikan kesinambungan gaya seni jed yang dipengaruhi oleh pemikiran budaya dari pelbagai era sejarah,”ujarnya lagi.
“Balai Seni Negara mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia kerana telah membina sebuah galeri seni baharu di sini, menjadikannya galeri yang ke-8 serta memberi lambang kepada sejarah 50 tahun hubungan diplomatik ini.
Orang ramai dijemput hadir ke pameran ini dan melihat sendiri 100 ukiran jed bermutu tinggi ini setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

