PADA 1 April 2025 ini, genaplah 47 tahun usia majalah humor Gila-Gila, “Majalah Humor Nasional,” satu-satunya majalah kartun tanah air yang masih bertahan dan berada dalam pasaran sehingga ke hari ini. Kebanyakan majalah lain saingannya seperti Gelihati dan Mat Jenin, ataupun yang terbit kemudian seperti Batu Api, Gelagat, Ujang, Apo, Gempak, G3, dan lainnya sudah lama hilang daripada pasaran fizikal. Kalau ada pun, sekali-sekala terbit dalam bentuk keluaran khas bersempena perayaan tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri ataupun kedatangan tahun baharu.
Di samping itu, ada antaranya yang terbit dalam bentuk antologi karya kartunis-kartunis tertentu dan ada juga yang terbit secara dalam talian seperti Gempak Starz. Terdapat juga kartunis-kartunis yang pernah berkarya di majalah-majalah ini yang mengambil inisiatif sendiri untuk menghasilkan komik atau novel grafik terbit kendiri, dan tidak kurang juga yang bergabung untuk menerbitkan edisi terhad seperti majalah Sempoi, Tabuh dan terkini GTO.
Fenomena ini mencerminkan bahawa era kegemilangan majalah kartun tanah air semakin berakhir. Pada waktu kemuncaknya pada sekitar tahun-tahun 1980-an sehingga 1990-an, majalah-majalah kartun menjadi pilihan pembaca untuk mencari hiburan dan malahan mengatasi pengeluaran majalah-majalah popular lain yang bertemakan dunia muzik dan hiburan serta wanita.

Majalah-majalah humor berasaskan komik dan kartun di negara ini memiliki konsep dan pendekatan masing-masing selaras dengan objektif-objektif penerbitan dan model rujukan mereka dalam memenuhi kehendak pembaca sasaran. Meskipun pada asalnya berasaskan pendekatan majalah humor tersohor MAD, Gila-Gila kemudiannya membina imej sendiri dengan berfokuskan kepada tema Malaysiana, khususnya dalam menggarap hal-hal atau subjek-subjek berkaitan kehidupan seharian dan sosiobudaya masyarakat Malaysia.
Pendekatan ini yang memungkinkan Gila-Gila bertahan sehingga ke hari ini, di samping semangat kuat pengasasnya kartunis Jaafar Taib yang mahu melihat majalah itu terus kekal berada di pasaran serta sokongan kuat para peminat, pembaca, kolektor dan kartunis serta penulis yang setia kepada idealisme yang dibawa. Di samping itu, setelah hampir setengah abad terbit, majalah ini mempunyai koleksi bahan, sama ada dalam bentuk kartun mahupun penulisan yang banyak, justeru itu boleh diulangcetak atau diterbitkan semula tanpa melibatkan implikasi kewangan yang banyak.
Rentetan daripada itu, kerap kita melihat edisi terkini Gila-Gila menyiarkan semula karya-karya klasik dalam koleksinya, contohnya oleh Jaafar Taib, Rejabhad, Zainal Buang Hussein, Nud’s, Kerengge, Don, Rasyid Asmawi, Fatah, Ujang, Cabai, Zunar, Lee Inas, dan lainnya. Dalam terbitan mutakhir, Gila-Gila juga menggabungkan beberapa isu atau bulan dalam satu keluaran. Misalnya, majalah untuk nombor ke-869 menggabungkan bulan November dan Disember 2024 dengan Januari 2025 dalam satu penerbitan.
Penyiaran semula karya-karya lama atau yang klasik ini masih tetap diterima kerana kerelevanan tema, subjek dan jenaka yang dibawanya, di samping membangkitkan nostalgia dan kenangan para pembaca setia serta memberi peluang kepada pembaca generasi baharu mengenali karya-karya klasik yang pernah mewarnai dunia kartun dan komik tanah air.

Di samping tema kemalaysiaan dan kemelayuan yang dibawanya, kekuatan dan keunikan Gila-Gila terletak pada pendekatan pengkaryaan yang berasaskan satira dan parodi, bukan semata-mata jenaka. Hal ini selaras dengan semangat asal majalah itu yang meletakkan pembaca sasaran terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, peringkat umur dan profesion, di samping inspirasi yang ditimbanya daripada majalah humor MAD yang menjadi model atau rujukan pentingnya.
Justeru itu, kita dapati dalam Gila-Gila ada karya-karya yang menggarap tema kanak-kanak, remaja, pelajar sekolah, mahasiswa, pekebun, peneroka Felda, guru, tentera dan malahan orang politik atau pemimpin. Ada ruangan kartun yang dicipta khas untuk tentera (Senyum Skot), remaja lelaki (Pak We Korner), perempuan (Mak We Korner), mahasiswa (Senyum Kampus) dan malahan masyarakat Felda (Senyum Felda).
Siri kartun mahupun tulisan-tulisan satira dan jenakanya menyasarkan kepelbagaian golongan pembaca, justeru itu menjadikan Gila-Gila itu bukan sahaja “Majalah Humor Nasional,” tetapi “majalah humor untuk semua”. Pendekatan satira dan parodi itu mungkin lebih disenangi oleh golongan pembaca matang dan dewasa di samping menampilkan unsur-unsur intelektualisme dalam menangani sesuatu subjek atau topik yang agak sensitif.
Menurut Kamus Dewan, kata satira merujuk kepada “karya prosa atau puisi yang mempersendakan atau menyindir orang.” Sindiran juga dihubungkan dengan sarkasme yang bermaksud “kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang” (prpm.dbp.gov.my). Kedua-duanya saling berkaitan.
Kamus Kesusasteraan menghuraikan maksud satira dengan lebih meluas, iaitu “bentuk sastera yang menggabungkan unsur jenaka dengan unsur kritikal. Bentuk sastera ini memaparkan kebodohan, kelemahan atau kepincangan seseorang individu, golongan dan institusi masyarakat, negara, serta seluruh umat manusia. Satira berbeza dengan komedi biasa dari segi fungsinya” (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021: 327).
Dalam konteks majalah Gila-Gila, satira disampaikan secara verbal dan visual, menerusi kata-kata iaitu tulisan dengan lukisan, ataupun gabungan kedua-duanya. Melalui tulisan, satira disampaikan menerusi kolum editorial “Geromal” dan “Falsampah GG” ataupun ruangan pojok seperti “Minah Leter Ngomel Sikit” dan soal jawab “Profesor Serba Tahu” serta dialog dan kapsyen dalam karya kartun, ataupun secara visual sepenuhnya dalam kartun tanpa dialog dan karikatur. Gabungan teks dengan visual dalam karya kartun amat unik menjadikannya sebagai suatu bentuk seni hibrid dan kesusasteraan visual.

Tambah Kamus Kesusasteraan, “tujuan satira bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi juga untuk memperbaiki dan memperbetul keadaan dengan menggunakan senjata cemuhan, kecaman, dan penghakiman moral. Satira boleh dibahagikan kepada dua jenis mengikut gaya atau objek kritikannnya. Satira yang mengkritik secara lembut, bergurau dan berhasrat untuk mendidik dikenali sebagai satira horas. Satira yang menyerang dengan kasar, kejam penuh kemarahan, dan kecaman dikenali sebagai satira juvenalian” (Ibid). Kedua-dua bentuk pendekatan satira ini dapat dilihat dalam majalah Gila-Gila.
Parodi pula merujuk kepada karya seni atau sastera yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir (prpm.dbp.gov.my). Sebagaimana dihuraikan Kamus Kesusasteraan, hal ini ada kaitan dengan istilah “paratekstualiti,” iaitu pencedokan bahan daripada karya asal yang kemudiannya digunakan dalam teks baharu bertujuan menghasilkan parodi. Parodi ialah karya sastera yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021: 264-265).
Dalam majalah Gila-Gila, pendekatan parodi dapat dihayati dalam karya-karya kartun yang diolah terutamanya berdasarkan filem-filem Melayu oleh seniman tersohor seprti P. Ramlee dan A.R. Badul. Karya-karya sedemikian terutamanya dapat dihayati pada keluaran awal Gila-Gila pada akhir tahun 1970-an dan 1980-an, ketika gaya dan pendekatan majalah tersebut banyak didasarkan kepada majalah MAD yang turut menampilkan parodi filem.
Antara filem-filem P. Ramlee yang pernah diparodikan oleh Gila-Gila ialah “Madu Tiga” yang menjadi “Madu Empat” oleh kartunis Zainal Buang Hussein, “Madu Tiga” oleh Lee Inas, “Enam Jahanam” (Nam Jahanam oleh Don) dan “Antara Dua Darjat” oleh Juragan. Zainal juga membuat parodi filem A.R.Badul yang menukarnya daripada judul “Tuan Badul” kepada “Tuan Baddol.”

Lazimnya siri ini akan didahului dengan kata-kata pengenalan seperti “Gila-Gila Film Productions. […] Dengan menggeletar kepala lutut kami persembahkan ke depan mata ramai filem kelas, saspen dan mengagumkan…” dengan watak-watak dan jalan cerita yang diubahsuai namun turut menampilkan karikatur sama ada pengarah atau pelakon asal (Gila-Gila, No.17, 1 Mei 1979).
Meskipun parodi selalunya mempersendakan, mempermain-mainkan atau memperlecehkan karya asal, dalam konteks Gila-Gila pendekatan ini lebih tertumpu semata-mata kepada mewujudkan jenaka atau kelucuan. Kelebihan parodi karya-karya terkenal ini adalah kerana ia sudah begitu biasa ditonton dan dikenali oleh khalayak, justeru itu, memparodikannya akan membuatkan khalayak membuat perbandingan dengan karya asal dan berpotensi lebih mudah untuk menimbulkan tawa. Jelasnya, parodi mudah difahami kerana khalayak telah biasa dengan karya yang asal. Namun begitu, karya-karya parodi terbaharu seperti ini sudah tidak ada lagi dalam keluaran Gila-Gila terkini.
Tidak semua kartun atau tulisan dalam Gila-Gila bersifat satira atau parodi, kebanyakannya berbentuk jenaka dalam menampilkan tema dan subjek kehidupan harian, sosiobudaya dan cereka. Karya berbentuk satira kebanyakannya dilihat dalam kartun-kartun berunsur sosiobudaya dan politik yang berbentuk kritik terhadap kerajaan, sektor awam dan swasta serta masyarakat umum.
Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam ilustrasi kulit majalah itu serta kolum tengah majalah yang dinamakan “Batu Api: Majalah Satira Nasional” dan kemudiannya “Panaurama: Majalah Satira Nasional,” mainan kata atau “pun” bagi “Panorama,” program majalah hal ehwal semasa di TV RTM pada tahun 1980-an. Karya-karya dalam kolum ini lebih condong kepada bentuk kartun editorial atau kartun politik.

Ilustrasi kulit luar Gila-Gila menjadi salah satu aspek terpenting atau daya penarik khalayak pembaca. Semasa era kemuncaknya, ilustrasi-ilustrasi yang menggarap pelbagai hal atau isu semasa meletakkan majalah itu dalam konteks masa dan zamannya. Disulami jenaka, kerap juga ilustrasi-ilustrasi itu bersifat satira, sarkastik, kritik politik dan sosiobudaya terutamanya menerusi sentuhan kreatif Jaafar Taib dan Zainal Buang Hussein, misalnya perihal bantuan mangsa banjir yang dikaitkan dengan parti politik dan erti “kemerdekaan” yang ditafsirkan dari sudut berbeza dan jenaka. Pendekatan sedemikian sudah semakin berkurangan kini, hanya muncul sekali-sekala seperti garapan isu minyak masak paket oleh Feq pada keluaran Ogos 2022.


Pada keluaran-keluaran tertentu, ilustrasi kulit menampilkan watak-watak popular siri kartunnya seperti “Atuk” oleh Ujang, “A. Mamud” oleh Fatah, “Dan Din Don” oleh Don, “Tiga Dara Pingitan” oleh Cabai dan “Jaki Jipang” oleh Asan.
Namun begitu, tidak kesemua ilustrasi kulit bersifat satira dan jenaka, misalnya pada keluaran No. 633, 15 Januari 2005 yang dinamakan “Edisi Belasungkawa,” menggantikan moto “Majalah Humor Nasional” seperti kebiasaannya, majalah itu menyatakan simpati kepada mangsa tsunami yang melanda dunia, terutamanya di Aceh dengan kapsyen “Jikapun tidak mampu memberi apa-apa, sekurang-kurangnya berhentilah ketawa buat seketika, bertafakurlah untuk mereka…” Pengolahan ilustrasi kulit ala catan Romanticisme itu seperti terinspirasi daripada karya pelukis Perancis Eugene Delacroix “Liberty Leading the People” (1830) dari sudut komposisi segi tiga dan suasana suramnya.

Satira mengenai hal ehwal semasa yang menyentuh masyarakat umum dan isu-isu global juga kerap ditampilkan dalam kolum “Batu Api” dan “Panaurama” di bahagian tengah majalah. Misalnya perihal isu kenaikan gaji dan kesukaran membeli rumah kos rendah oleh Jaafar Taib. Budaya kerja yang kurang efektif di kalangan penjawat awam seperti suka bertangguh dan melengah-lengahkan tugas juga sering kali disindir dan dikritik Zunar dalam “Ofis Korner.” Menerusi kolum “Gebang-Gebang,” Zunar mengupas isu-isu politik semasa secara sinis dan sarkastik, menjadi pemula dan pencetus karya-karyanya yang lebih kritis di kemudian hari.
Di samping tulisan atau kapsyen dalam kartun, satira juga disampaikan secara visual sepenuhnya, misalnya dalam karya-karya Jaafar Taib, Reggie Lee dan Aza. Jaafar Taib dan Aza khususnya, menerima inspirasi daripada kartunis Sergio Aragones yang terkenal dengan kartun-kartun bisu penuh jenaka dalam majalah MAD. Malahan, kolum seperti “A Mad Look at ……” turut diadaptasi ke dalam Gila-Gila menerusi kolum “Gila-Gila looks at …..,” justeru menjadi salah satu lagi ciri penting MAD yang dicontohi Gila-Gila sehingga memungkinkan majalah itu dapat menambat hati pembaca.
Adaptasi MAD ke dalam Gila-Gila oleh kartunis peritis majalah itu membuktikan bahawa transnasionalisme dan proses glokalisasi telah berlaku dalam dunia seni kartun dan komik tanah air sejak sekian lama. Populariti Gila-Gila pada dekad 1980-an sehingga 1990-an dan bertahan sekian lama mencerminkan model glokalisasi, iaitu pendekatan mengadaptasi ciri-ciri global ke dalam budaya lokal yang berjaya, serta aspek transnasionalisme, atau penularan budaya rentas budaya, geografi dan benua yang amat nyata.

Karya-karya berbentuk satira dan parodi seperti ini sudah semakin berkurangan bukan sahaja dalam majalah Gila-Gila, malahan dalam dunia komik dan kartun tanah air secara umumnya. Populariti media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok secara beransur-ansur telah mengambil alih peranan dan pengucapan satira dan parodi dalam bentuk yang lebih responsif, pantas, memikat dan efektif yang dihasilkan oleh khalayak massa.
Mengimbau kembali satira dan parodi dalam Gila-Gila memungkinkan kita merenung kembali pada masa dan ketika media tradisional dan konvensional mengisi jiwa kita, dan mungkin untuk merancang strategi bagi menghasilkan karya-karya baharu yang bermakna buat masyarakat pembaca: karya-karya yang unik dalam konteks semasa, didukungi oleh idea dan naratif yang bernas serta gaya dan lakaran yang mantap serta berkesan lagi inovatif.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
