SAYA teringat pesanan E. B. Feldman dalam bukunya Practical Art Criticism (New Jersey: Prentice Hall, 1994: 21), “Sewaktu membuat kritikan, pengkritik perlu memastikan yang dia tidak mengantuk, sedang marah, lapar, demam, tergesa-gesa untuk ke tempat lain, atau sedang menunggu panggilan penting. Jelasnya, pengkritik haruslah bersedia untuk ruang masa estetik.”
Pesanan Feldman itu sebenarnya mengakhiri beberapa saranannya yang wajar diikuti, atau setidak-tidaknya dipertimbangkan sewaktu membuat penulisan kritikan seni. Dia juga menyenaraikan sejumlah etika positif serta perkara-perkara yang harus dipatuhi oleh seseorang pengkritik seni. Meskipun banyak yang boleh diterima pakai, ada juga saranannya yang sudah tidak begitu relevan dengan suasana perkembangan seni hari ini.
Asas kritikan seni ialah apresiasi seni, kerana hendak mengkritik atau membuat penilaian pun hendaklah dimulakan dengan proses apresiasi, iaitu memahami karya seni itu terlebih dahulu. Oleh kerana itu, Feldman menggariskan empat strategi atau proses kritikan seni yang wajar diikuti, iaitu deskripsi, analisis, interpretasi dan akhirnya membuat penilaian atau pertimbangan.
Namun, ada sarjana seni lain, seperti Terry Barrett yang berpendapat bahawa penulisan deskriptif yang teliti dan terperinci pun sudah merupakan suatu bentuk kritikan seni yang baik kerana memberi kefahaman kepada penghayat tentang sesebuah karya. Dalam konteks ini, kritikan itu bukan bermaksud menghentam atau menjatuhkan, sebaliknya meneliti dengan kritis lagi terperinci, selaras dengan pengertian pemikiran kritis atau critical thinking, iaitu analisis yang terperinci (Terry Barrett, Criticizing Art: Understanding the Contemporary 3rd Edition. McGraw Hill, 2011).
Justeru itu, benarlah kata-kata dan pesanan Feldman itu, kalau mahu membuat kritikan seni, seseorang itu tidak boleh tergesa-gesa dan perlu berada dalam keadaan tenang dan bersedia menghadapi atau melalui ruang masa estetik (aesthetic occasion), tidak berada dalam keadaan marah, malahan tidak lapar. Ini semua agar si pengkritik itu bersifat objektif.
Untuk mengapresiasi atau menghayati seni pun kita perlu berada dalam keadaan sedemikian. Lantaran itu, lazimnya apabila berkunjung ke muzium atau ke galeri seni, kita kena pastikan diri tidak lapar, barulah boleh menghayati dan menikmati karya seni dengan berkesan. Sebab itulah, muzium atau galeri seni yang besar selalunya memiliki kemudahan kafe atau restoran yang baik lagi selesa untuk para pengunjung.
Bagi sebuah muzium yang besar dengan sebegitu banyak koleksi, adalah mustahil untuk melihat keseluruhan karya dengan terperinci dalam sehari. Kalau melihat sambil lalu mungkin boleh.
Kunjungan saya ke Muzium Seni Moden Centre Pompidou di Paris baru-baru ini membuat saya teruja untuk melihat koleksi karya seni moden yang banyak diperagakan. Antara tarikan utama adalah karya-karya oleh Henri Matisse, Constantin Brancussi, Vasily Kandinsky, Marc Chagall, Marcel Duchamp, Piet Mondrian, Ernst Ludwig Kirchner, Raymond Duchamp Villon, Fernand Leger, Otto Dix dan Pablo Picasso.

Karya-karya utama perkembangan seni moden dari sekitar tahun 1900 hingga 1960 ditempatkan di aras lima, disusun dan diperagakan secara kronologi dari satu ruang galeri ke ruang-ruang yang lain, meliputi karya-karya daripada aliran-aliran Fauvisme, Ekspresionisme Jerman, Kubisme, Futurisme, Abstraksi, Dada, Constructivisme, Bauhaus, Abstraksi Geometrik, Seni Kinetik dan Seni Pop.
Keterujaan melihat karya-karya seni ini didorong oleh banyak faktor, antaranya peluang yang jarang-jarang diperolehi untuk mengunjungi muzium-muzium besar dan tersohor itu sendiri, di samping berpeluang menghayati secara dekat, langsung lagi terperinci karya-karya asli yang penting lagi bersejarah oleh pelukis-pelukis tersohor dunia.
Sewaktu menghadiri kuliah atau membaca buku-buku Sejarah Seni ketika zaman belajar di universiti dahulu, kita hanya berpeluang menatap gambar atau imejan karya-karya penting ini dari buku atau sisipan yang ditayangkan oleh pensyarah sewaktu menyampaikan kuliahnya.
Pengalaman menatap karya sebenar jauh berbeza daripada melihatnya di buku atau di layar dalam bilik kuliah, terutamanya dari segi skala, sifat dan rupa bentuk karya itu sendiri. Perkara-perkara atau ciri-ciri karya yang sebelum ini terlepas pandang pun boleh ditemui sewaktu menatapnya dari dekat.
Sewaktu memuat naik imejan beberapa karya penting daripada koleksi Centre Pompidou di laman Instagram dan Facebook, banyak rakan yang teruja memberikan pandangan. Antara persepsi yang menarik datang daripada pelukis terkenal tanah air, Rafiee Ghani yang menulis, “Dan aura sangat lain bila melihat secara berdepan. Dulu-dulu (pra-itm), kenapa pelajar seni halus harus membawa easel dan meniru karya-karya besar dalam muzium. Tradisi itu tiada dalam sekolah seni kita” (Rafiee Ghani Picturebook, 4 Julai 2024).
Pandangan Rafiee Ghani itu amat menarik dan benar, pengalaman menghayati karya sebenar amat mengujakan dan memberi getaran rasa yang luar biasa. Malahan, belajar melukis di muzium seni dengan meniru karya-karya penting dalam koleksi juga memberi pengalaman pembelajaran dan pengajaran yang bermakna. Pendekatan ini pernah dialami Rafiee Ghani, dan malahan penulis sendiri sewaktu menuntut di Ohio University di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1980-an.
Oleh kerana waktu yang saya ada untuk melawat Centre Pompidou amat terbatas, untuk tidak tergesa-gesa sebagaimana kata Feldman, maka saya terpaksa memilih untuk melihat secara dekat lagi terperinci hanya beberapa karya penting dalam koleksinya. Antara yang menarik perhatian saya ialah karya Henri Matisse “Interieur, bocal de poisons rouges” (cat minyak atas kanvas, 1914), Marcel Duchamp “Fontaine” (objek sedia cipta, 1917), Raymond Duchamp Villon “Le cheval majeur” (gangsa, 1914), Ernst Ludwig Kirchner “Femme au miroir” (cat minyak atas kanvas, 1913), Piet Mondrian “Composition en rouge, bleu et blanc II” (cat minyak atas kanvas, 1937), dan Otto Dix “Bildnis der journalisten Sylvia von Harden” (cat minyak dan tempera atas kayu, 1926).

Ada beberapa faktor yang mendorong pengunjung untuk melihat lebih dekat karya-karya tertentu, misalnya kerana kepentingan karya tersebut dalam perkembangan seni moden secara keseluruhan, seperti inovasi dari segi idea, pendekatan dan pengolahan karya.
Karya Marcel Duchamp “Fontaine” (1917) menarik perhatian saya kerana merintis aliran Dada dengan mengangkat objek sedia cipta sebagai karya seni, justeru menekankan konsep idea sebagai seni. Pendekatan itu mencetuskan idea seni konseptual. Dalam konteks ini, penghayatan terhadap karya ini bukanlah dari sudut bentuk, tetapi dari segi idea dan faktor-faktor kontekstualnya, seperti suasana seni dan keadaan sosiopolitik yang mencetuskannya.
Karya Henri Matisse, “Interieur, bocal de poisons rouges” (1914) mengingatkan saya kepada karya-karya catan Rafiee Ghani yang pernah saya tulis dalam beberapa penulisan buku dan katalog pameran solonya seperti The Painted Garden (Rusli Hashim Fine Art, 1996) dan The Tale of Rafiee Ghani’s Moroccan Journey (ITBM/Visioncy, 2017). Karya-karya Matisse dan kunjungannya ke Morocco banyak memberi inspirasi kepada Rafiee. Menatap karya Matisse, memungkinkan saya memahami dengan lebih jelas mengapa Rafiee Ghani menimba inspirasi daripadanya, menjejaki langkahnya mengembara dan tinggal di Morocco, mencari dan menangkap warna dan cahaya yang terang lagi luar biasa kesannya.

Catan Ernst Ludwig Kirchner “Femme au miroir” (1913), karya Otto Dix “Bildnis der journalisten Sylvia von Harden” (1926) dan Raymond Duchamp Villon “Le cheval majeur” (1914) sering kita temui dalam buku-buku Sejarah Seni Dunia dan Sejarah Seni Moden. Melihat karya-karya ini secara fizikal, memberi rasa kepuasan yang luar biasa, berbanding menatap foto-fotonya dalam buku atau Internet. Karya-karya ini sering kali menjadi contoh penting dalam membincangkan perkembangan aliran seni moden, khususnya berkaitan Ekspresionisme di Jerman dan Constructivisme.
Saya percaya, setiap orang mempunyai alasan-alasan tersendiri untuk memilih apa yang hendak dilihat semasa mengunjungi muzium atau galeri seni. Ada yang bersifat peribadi kerana meminati karya seseorang pelukis, ada yang memikirkan kepentingan sesebuah karya dan pelukisnya, ada yang membuat penyelidikan dan penulisan, dan tidak kurang juga sekadar untuk mententeramkan jiwa.
Semuanya bergantung pada tujuan dan objektif masing-masing. Jelasnya, kita lihat apa yang hendak kita lihat, orang tidak boleh memaksa. Namun begitu, melihat dengan diiringi pengetahuan dan maklumat mengenai apa yang hendak dilihat itu pastinya banyak membantu dan akan mencetuskan apresiasi yang lebih bermakna.

Kunjungan setengah hari ke Centre Pompidou memungkinkan saya melawat beberapa ruang galeri utama yang memperagakan koleksi seni moden, pameran berkala Seni Komik (1964-2024) dan pameran komik alternatif Perancis, “Lagon: Le chemin de terre.”
Kunjungan singkat itu tidak memungkinkan saya melawat ke seluruh galeri, namun masih tetap berpuas hati, lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu yang muzium itu akan ditutup selama lima tahun mulai tahun hadapan bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan. Kalau panjang umur dan murah rezeki, bolehlah berkunjung ke sini lagi pada tahun 2029 nanti!
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
