‘‘Honest criticsm and sensible appreciation are directed not upon the poet but upon the poetry’’ – T.S Elliot.
Awas, individu yang duduk bersebelahan dengan anda, kemungkinan telah dan bakal mengupas serta mengkaji kerja penulisan, tanpa peduli siapa pun pengarangnya. Sasterawan tersohor, karyawan muda atau penyair pujaan masyarakat. Wajahnya normal, nerda, berkaca mata tebal dan terlihat eksentrik, kesepian di sebalik penampilan kemas. Namun terselip sebilah pisau bedah dalam akal dan imaginasinya. Sebagaimana karakter Dennis Rader, tiada siapa menjangka, bahawa individu itulah yang menggemparkan ranah kesusasteraan dengan analisis tajam, berduri, objektif dan berlawanan dengan naratif umum. Ramai yang sudah menjadi mangsa jerutan kritikannya lalu hidup dibeban trauma.
Bayangkan kesusasteraan tanpa kritikan. Pengarang tanpa pengkritik. Karya kreatif tanpa analisis. Adakah kesusasteraan terus berevolusi sehingga kini dibanjiri karya bercampur aduk? Sementelah itu, konon, pengkritik dianggap individu/kerjaya setelah gagal sebagai pengarang. Sinis. Seolah-olah kerja mereka hanya mencari kesalahan. Itu tidak tepat, ini belum layak diangkat sebagai pemenang hadiah. Kehadiran pengkritik mengganggu kebahagiaan manis golongan sasterawan. Tentu sahaja stigma demikian terpatah oleh kenyataan sebaliknya. Pengkarya dan pengkritik sama mustahaknya dalam pembangunan ranah kesusasteraan. Tidak peduli dibenci atau nantinya dipulaukan golongan sasterawan.
Anehnya, sastera kita tetap sahaja berjalan sehingga kini. Karya-karya tidak lagi bersifat seragam. Berwacana atau klise, bukan isu. Namun, sastera masih lagi dipaksa untuk berada dalam bentuk tipikal khususnya. Haruslah sedap nada/bahasanya – entahlah, bagaimana hendak mengukur tahap keindahan dalam seni. Merdu dan berirama? Menyampaikan mesej-mesej yang muluk, bernada rebel ala Chairil Anwar dan provakitf? Tidak mengulang karya yang sudah popular dan menjadi anutan semasa? Individu yang menghasilkan karya seni seperti Maurizio Cattelan sudah tentu dianggap pengangkut sampah ke ruang kesusasteraan baku.
Malahan kritikan juga tampaknya tidaklah terlalu diperlukan. Fenomena sementara. Meletup sekejap, kemudian menghilang di laut lepas, sebelum muncul kembali di ruangan. Pengarang berpengalaman dan baharu, sepertinya alergik dengan kritikan yang tidak menyanjung kerja penulisan mereka. Setiap tulisan yang seakan mengusik nilai prestij, akan dibalas dengan perspektif pengkarya. Salah-menyalah dan tuduh-menuduh pun meletus. Secara tidak langsung, jangan sesekali mempertikaikan kerja penulisan mereka. Jangan sesekali mencabar kecerdasan dan kemampuan intelektual mereka. Noktah.
Disebabkan perubahan zaman dan mentaliti, kehadiran pengkritik tertolak ke barisan belakang secara automatik, hingga terabaikan. Individu yang kekal bertahan, terpaksa menulis dari luar pagar. Hanya yang berjiwa tegar sahaja sanggup hidup tanpa sorotan lampu kemasyhuran. Betapa sulitnya untuk menulis sesebuah kritikan jujur (objektif dan ilmiah), dengan pelbagai silang buku rujukan, memahami apa yang ditelaahkan dan berhadapan pula dengan sentimen kebencian daripada pengkarya yang disentuh. Estim diri seseorang pengarang terlalu suci untuk dicemarkan oleh kritikan kerana di dalam karya terletak reputasi dan kedudukan sosial mereka.
Namun seseorang pengkritik itu disayangi dan diterima dalam lingkungan sasterawan jika nada tulisannya kurang menyakitkan. Mengungkapkan yang positif ke puncak gunung dan menutup mata pada kedangkalan karya dianalisis. Pekerjaan itu bukan sahaja suatu pendustaan, malah menjerumuskan ilmu dan kredibiltinya sendiri demi sesuap honorarium. Mereka didudukkan di sofa empuk dan tidak dilabel toksik, pencetus masalah dan Nasir Jani. Bayangkan perkembangan kesusasteraan kalau para pengkritik juga rela dirasuah untuk meneruskan kerja analisis mereka. Tidak jadi apa-apa. Bukan isu kritikal (national attention) kepada fabrik pembangunan negara. Istilah seni hanyalah merujuk kepada artis dan selebriti.
Kassim Ahmad, Yahya Ismail dan Ismail Hussein menegaskan bahawa kritikan yang benar-benar serius hanya bermula pada tahun-tahun 50-an. Kritikan yang jujur, saintifik dan mendalam. Mana Sikana bersetuju tentang kenyataan itu. Benar, kita memiliki ramai sarjana yang memperkenalkan beberapa teori kesusasteraan. Buku-buku teori sastera dan takrifannya diterbitkan. Bukan calang-calang teori sastera yang diimport dan diaplikasikan untuk menyelongkar isi dan makna sesebuah naskhah. Mengapa aliran realisme magis tercipta dan untuk apa? Bagaimana aliran arus kesedaran dipraktikkan sejak Dorothy Richardson hingga James Joyce lalu merebak ke halaman naskhah karyawan tempatan? Adakah sekadar dekorasi dan gaya? Berbagai aliran school of thought dalam menangani karya sastera dan ia tidak dilakukan secara runcit atau sekadar mengekspresikan protes.
Malangnya, kritikan memang tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ia mendatangkan permusuhan dan menjatuhkan prestij seseorang pengarang. Pergeseran antara peribadi akan berlaku. Kebebasan intelektual belum diterima dalam kesusasteraan kerana segelintir pengarang takut kelemahan mereka didedahkan. Maka pendapat yang berbeza dan ilmiah, tentu melukakan emosi para seniman, penyair dan sasterawan tersohor. Lagi pula, majlis sastera terus berlangsung saban tahun. Anugerah dan hadiah sentiasa disampaikan. Barisan juri dilantik untuk mencari pemenang. Demikianlah sepanjang masa. Tidak peduli baik dan lemahnya kerja penulisan, sastera belum lagi mati.
Kritikan sastera bukan sahaja alat untuk menilai karya tetapi juga alat untuk mengenal dan memahami penulis, zaman dan juga kesusasteraan nasional secara menyeluruh (Rahman Shaari, dipetik dari esei Konsep Kritikan Sastera Melayu). Baik pengarang mahupun pengkritik, masing-masing bekerja pada dua laluan bertentangan walaupun berseberangan. Kasihan pengkritik, kehadiran mereka dalam ranah kesusasteraan selalu disalah sangka. Watak crook dilabelkan ke atas mereka. Pendekatan berterus-terang dan tanpa kompromi dianggap meruntuhkan citra para pengarang yang dianalisis. Hujah-hujah yang membuka mata hati pembaca dan meluaskan apresiasi ternyata menyakitkan. Sebaliknya dibalas dengan respon berbalut emosi. Lalu yang sering mendapat sorotan kemashyuran sudah pasti kepada golongan penulis karya kreatif. Mereka dirai dan diberikan gelaran serta hadiah.
Jadi, untuk apa sarjana sastera menerbitkan buku-buku teori sastera? Tanpa teori sastera, karya kreatif tetap dihasilkan. Cantik, indah, unik dan berkualiti – bukan lagi ditentukan oleh penilaian dan analisis objektif yang mendalam. Kerja mereka di perbatasan akademik dan terikat pada logik tatabahasa. Sementara karyawan menghasilkan karya dari pergelutan kreativiti, taakulan metafizik dan obsesi. Suatu subjek yang ternyata abtraks, berbeza dengan kajian ilmiah seorang pengkritik. Lesen kreatif menjadi imuniti kepada pengarang dalam urusan pengkaryaan. Perspektif yang terjelma pada halaman karya, ejaan dan pemilihan penjodoh bilangan sudah tentu bertentangan dari pengamatan normatif seorang pengkritik.
Esei-esei kritikan sastera yang datang dari tangan ahli akademik dan sasterawan juga seharusnya dilembutkan nada dan kritikannya. Perasaan sasterawan wajar dijaga, kerana bukan semua pengkritik mampu mengarang karya kreatif. Bidang kritikan tidak sehebat dan sedahsyat seperti fiksyen. Dan selayaknya seseorang kritikawan itu diletak separas rendah dari kedudukan pengarang. Biarpun tidak diangkat ke posisi yang selayaknya, pengkritik tetap cekal menulis dan membicarakan karya-karya untuk pembaca. Bahkan tulisan-tulisan mereka dihargai dan diberikan hadiah di peringkat kebangsaan sebagai ganjaran kesungguhan menangani longgokan naskhah dan isu-isu kesusasteraan.
Budi Darma, menerusi buku Harmonium, menulis suatu kenyataan provokatif, ‘‘kritikus yang tidak menggoncang apa-apa hanyalah tukang kerajinan tangan.’’ Memang begitulah sepatutnya. Menikmati tulisan kritikan sastera yang sebenar mendatangkan kepuasan intelektual dan mencabar tahap pemikiran. Kajian yang serius, mendalam dan dikemukakan dengan berseni, sangat bernilai untuk proses kematangan seseorang pengarang. Manakala penulisan yang sekadar memuji dan disampaikan dengan pendekatan selamat, kurang memberi keterujaan dan dilupakan sahaja, kerana terasa polos dan kurang menukik pemikiran.
Tidak semua mampu melakukan kerja kritikan. Ia gabungan kreativiti dan analisis yang memfokuskan kepada karya dan tujuan terakhirnya untuk kesusasteraan itu sendiri. Bukan untuk mengampu dan menjatuhkan mana-mana pengarang. Pengarang fiksyen menulis naskhah bukan sahaja untuk pembaca tetapi lebih jauh daripada ialah demi kelangsungan kesusasteraan. Demikian juga pengkritik menganalisis karya kerana itulah medium untuk menemui apa yang tidak ternampak pada pandangan kasar pembaca biasa. Ia bukan melihat pada lapisan permukaannya yang indah dan meliuk-liuk, tetapi pada inti wacana di sebalik pembinaan naskhah.
Tiada syarat khusus menjadi pengarang dan kritikawan. Ahli akademik atau pengarang kebanyakan. Apa yang mustahak ialah hujah dan sudut pandangan dari pengkritik. Sama ada disetujui atau tidak, ruang perbincangan dan renungan mula terbentuk dalam pemikiran. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. ‘‘Untuk menjaga sastera, penulis dan juga masyarakat kita seseorang kritikawan itu haruslah benar-benar faham apa yang akan dikritiknya.’’ – SN Muhammad Haji Salleh, dipetik dari esei Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia dalam buku Cermin Diri, Esei-esei Kesusasteraan, Penerbit Fajar Bakti, 1986. Dari buku itulah, yang ditemui kembali di pasar Antik di Amcorp Mall, idea untuk mengarang esei ini tercetus. Tidak disangka, tema dan persoalan yang digagaskan oleh pengarang buku, penerima gelaran Sasterawan Negara tahun 1991, masih relevan sehingga kini, terutamanya tentang arah kritikan kontemporari – hidup segan mati tidak mahu.
Terlalu banyak aspek yang diselami dan diperdebatkan oleh pengarang buku itu tentang haluan kritikan sastera tempatan. Keaslian dan kreativiti sesebuah kritikan adalah asas kredibiliti kritikawan. Aspek itulah yang payah ditemui sekarang. Sudah bersediakan masyarakat pengarang dengan kritikan yang menyorot dari dimensi berbeza ke atas sesebuah karya? Bagaimana untuk mengkritik dengan saksama, tanpa diiringi segenggam emosi? Tulisan bagaimana selayaknya dianggap sebuah kritikan yang mendatangkan manfaatkan kepada ranah kesusasteraan? Dan tulisan bagaimana sekadar mengipas naskhah dan tuan empunya tulisan? Dari sudut manakah tulisan kritikawan itu benar-benar menepati syarat dan disiplinnya berbanding ulasan karya sastera yang bersifat umum lagi dangkal analisisnya?
Sebagaimana peringatan sampingan menyentuh makna dan tujuan kehadiran seseorang dalam bidang penulisan, SN Muhammad Haji Salleh mengingatkan, hanya yang berbakat dan berkebolehan sahaja selayaknya berada dalam dua bidang itu. Sastera, dibimbangi, akan terus menjadi tempat berkumpulnya orang-orang gagal dalam bidang lain dan membesarkan karyawan kecil dengan pujian-pujian palsu. Menjadi tugas setiap pengarang untuk mengilap cermin sastera kita agar kekal bersih berkilauan dan menjadi wadah kesenian merakam akal bijaksana para sasterawan. Pengarang boleh diasah bakatnya, melalui pengalaman, bengkel penulisan, mendengar diskusi pengarang hebat dalam dan luar negara. Kritikawan jujur dan berani (tidaklah sekejam perbuatan Dennis Rader) juga perlu disokong, didengar hujah-hujahnya yang konstruktif agar wujud perasaan saling hormat-menghormati dan arif garisan masing-masing tanpa perlu mencemuh peribadi.
– ROSLAN JOMEL merupakan pengarang kelahiran Kuching< Sarawak dan kini berkarya di Kuala Lumpur.
