“How’s Jogja?”
Tanya teman kolektor bila mengetauhi saya baru pulang dari ArtJog minggu lepas. Seperti yang diduga, sapaan yang kasual itu ternyata tidak terhenti di situ saja. Walau tidak bersungguh untuk menjawab saya terus merasakan bahawa itu soalan yang legit dan penuh kemuskilan.
Dan nampaknya beliau bersungguh dan tekun menunggu untuk menyambar setiap pantulan kata-kata dari halkum saya. Lalu mengalih minat saya untuk lebih berhati-hati memberi komentar. Meski demikian, soalan yang jujur itu perlu dijawab dengan kejujuran.
Saya ke Jogja – ArtJog sejak 2016 bagi merai kegemilangannya sekaligus mencuri peluang bertemu teman-teman pelukis yang saya sudah kenal lama, malah ada yang sebelum mereka menempa nama besar di pentas seni rupa Indonesia. Lawatan-lawatan saya sentiasa diselit kenangan indah dan tentunya menyemai semangat baru tiap kali pulang ke tanah air.
Akhirnya pada tahun 2018 saya dipilih sebagai lima puluh empat pelukis tempatan dan antarabangsa yang menyertai ArtJog secara rasmi oleh badan penganjur yang selama ini dikepalai oleh Heri Pemad yang juga saorang pelukis. Saya lantas menyambar peluang mengenali ArtJog lebih dekat dari kerangka konsepsualnya, sistem urus tadbir, pengantarabangsaan hingga ke kuratorial dan pencetusan tema berkalanya. Tatkala itu saya juga tidak melepaskan peluang berkenalan dengan kurator-kurator muda yang penuh bertenaga, petah dan dedikasi seperti Ignatia Nilu dan Bambang Toko Witjaksono.

Sebenarnya jawapan untuk teman saya jauh lebih kritikal kerana ia melibatkan kerangka ekologi seni yang sebenarnya jauh berbeza terutama dari segi sejarah, budaya, politik, institusi dan etos masyarakat seninya.
Sebagai kota seni, Jogja tumbuh berakar tunjang budaya yang sangat dalam bukan disebabkan kehadiran institusi seperti Institut Seni Indonesia (ISI) saja tetapi juga kerana sejarah sosio budaya keseniannya begitu rumit, organik dan berakar umbi dari komuniti. Sebab itu Jogja tidak pernah berhenti dari menjadi kota seni: dari zaman revolusi kemerdekaan, Zaman Suharto, hingga pasca-Reformasi, seniman-senimannya terus menjadi suara raayat. Semangat seni adalah semangat raayatnya.
Berlainan dengan Kuala Lumpur yang mengalami sejarah perkembangan seninya melalui acuan urbanisasi institusi seperti universiti, muzium dan Balai Seni yang tentunya terjerut dek politik budaya dan agenda birokrasi yang ketat kalau bukan remeh. Ruang-ruang indie dan ekperimentasi yang menjadi nadi perjuangan seni generasi sering kali berada di pinggir kalau tidak di abaikan. Tidak ada semangat solidariti komuniti yang boleh dilihat sebagai pemankin ekologi dan penganjak paradigma seni rupa kita.
Dari dulu saya dapat merasakan bertapa bara kolektif dan komuniti menjadi pembakar semangat seni rupa di Jogja. Banyak seniman tinggal bersama, berkongsi sanggar dan ruang atau setidak-tidaknya menyokong antara satu kolektif dan yang lain dengan penuh semangat solidariti. Perbezaan generasi seniman diraikan disetiap acara kesenian resmi atau indie. ArtJog sendiri lahir dari persekitaraan sebegini – indie dan eksperimentasi, sebelum menjadi institusi penting negara. Teman-teman pelukis Jogja yang saya kenal kebanyakkannya berasal dari satu atau lebih komuniti/kolektif yang menjadi kebanggaan mereka. Ternyata seniman Jogja kebanyakannya bernaung dibawah payung dinamik kolektif dan komuniti – seperti Taring Padi, Jendela, Kultura Collectiva, Mes 56, Ceblang Ceblung dan Ruang Rupa (RuRu). Mereka adalah nadi seni rupa Jogha yang berdenyut secara organik dan pragmatik.

“But we do have our own collectives such as the early Matahati (now dyfunct), Air Panas, Pelukis ARA, Batu Belah, U12, Pangrok Sulap and many more”.
Celah teman saya cuba menyemarakkan perbincangan.
“What about our alternative spaces around Kuala Lumpur like HOM, A+, UR-MU, The Back Room and Rumah Lukis?”.
Tambahnya lagi bagi menyokong hujah beliau.
Tentu sekali saya tidak menolak peranan dan penglibatan ruang-ruang altenatif terutama di sekitar Lembah Kelang, namun kalau dibandingkan, hubungan antara mereka lebih kompetitif dan terpisah tanpa keseragaman solidariti. Jarang atau hampir tidak wujud semangat kerjasama diantara kelompok-kelompok ini. Masing-masing terpisah dalam gelut isolasi tersendiri. Perpisahan yang sungguh ekonomi pada hemat saya. Kolektif-kolektif pula kebanyakan tidak panjang usianya disebabkan juga oleh sindrom ekonomi – pasaran, ‘patronage’ dan daya tahan seniman.
Kalau dilihat sekitar Kuala Lumpur memang bersusun jadual pembukaan pameran di galeri galeri persendirian seperti dari G13, Cult, Galeri Puteh, Taksu, Sareng, Sasha Gallery hingga ke Harta yang kerap saya menerima undangannya. Ini tidak termasuk acara-acara tahunan berskala mega seperti Artober, Art Expo, KL Art Fair dan Art Hotel yang menjanjikan kemeriahan bulan bintang kepada pelukis, galeri, kolektor dan pengemar seni rupa di Kuala Lumpur.
Sememangnya semua acara keramaian seni rupa kita sekali imbas kelihatan meriah. Namun kalau diteliti dengan rapi kemeriahannya hanya di malam gala pembukaan saja, meraikan dif-dif kehormat termasuk selebriti, ‘influencers’, pemimpin politik dan kerabat-kerabat diraja yang lazimnya bukan peminat, pemikir budaya atau kolektor tegar. Acara sambutan termasuk pertunjukkan pentas, peragaan fesyen, muzik dan persembahan kebudayaan. Karya-karya yang dipamerkan lebih mengikut citarasa pasaran semasa, selamat dan pastinya tidak kontraversial.
Berbanding dengan ArtJog yang berjaya mengabungkan seni avant-garde dan pasaran semasa. Karya-karya yang provokasi terus terjual kepada kolektor-kolektor Indonesia yang berpengaruh yang tidak terlalu takut untuk menyokong seni yang ‘liar’ atau di luar batas ‘normal’. Malah ada diantara kolektor-kolektor ini begitu berbangga memiliki karya-karya sedemikian. Kebanyakkan golongan kolektor tegar Indonesia tentunya dari berbagai pelusuk industri, menyokong, membeli dan menghargai karya-karya tanpa sekatan ekonomi, atau pun pengaruh pasaran.
Tanpa sebarang prasangka, kita perlu akui bahawa sememangnya kolektor kita jauh lebih konservatif kalau dibandingkan dengan kolektor Indonesia. Banyak petua dan pantang larang yang menghambat minat kolektor kita dari membeli karya seni yang berani. Mereka lebih berhati-hati terutamanya dengan karya-karya yang sensitif dari segi agama, politik dan seksualiti yang sering menjadi taboo masyarakat. Karya pelukis-pelukis bukan arus perdana, eksperimentasi, kontroversial atau di luar radar pasaran sering tidak mendapat perhatian mereka. Ini merupakan diantara penyebab mengapa seniman kita terperangkap dalam dilema antara kebebasan ekspresi dan kehendak pasaran. Walau gejala ini tidak semestinya janggal kerana tidak semua seniman itu resah membrontak, mencabar atau merai ekspresi diri, namun konflik sebegini boleh menjadi pola bandingan yang releven tentang persoalan mengapa senario seni rupa di Jogja tidak bosan dan lebih sengit berbanding di Kuala Lumpur.
Lagi pun dasar polisi budaya kita yang lebih cenderong kepada pendekatan paternalistik yang dibelenggu oleh sensitiviti politik, etnik dan ugama boleh dilihat juga sebagai faktor pendorong kepada persoalan pokok. Saya berpandangan bahawa model ini mencipta iklim otocensorship yang bakal melumpuhkan wacana seni yang lebih terbuka. Ia memberi kesan dan impak berlainan dengan amalan polisi budaya di Indonesia yang ironisnya, sabuah negara Islam yang terbesar penganutnya di dunia. Jika dikaji, model polisi di Indonesia mempunyai pemisah yang lebih longgar antara seni dan sensitiviti birokrasi budaya. Lihat saja di Art Jog sebelum ini, seniman-seniman seperti Heri Dono, FX Harsono, Moelyono, Aramahani, Agung Kurniawan dan kolektif Taring Padi – boleh saja mengkritik negara tanpa dibisukan atau dirampas karya-karya mereka. Sedangkan adengan seperti ini tentunya berisiko tinggi di Kuala Lumpur dan menjadi kebimbangan dikalangan seniman arus perdana terutama yang bergantung kepada dana, bantuan dan naungan autoriti. Ini boleh dilihat sebagai sebahagian dari punca kenapa kerancakan acara seni rupa Jogja lebih lantang dan hidup berbanding KL.

Stratafikasi masyarakat Jogja juga tidak harus dipandang remeh dalam membuat analisa perbandingan. Setelah hampir lapan tahun meninggalkan Jogja, lawatan saya kali ini terasa berbeza. Saya semakin terasa bahawa Jogja bukan saja kota seni tapi kota perlawanan budaya yang mengangkat falsafah kehidupan sederhana, merai solidaritas kelas pekerja (working class) yang dibilas oleh gema spiritualiti Jawa yang terbuka. Banyak seniman yang tinggal di sini bukan kerana kemewahan, tetapi mereka mencari makna, bukan hanya kejayaan pasaran. Saya sungguh terkesan dengan ketenangan dalam kesederhanaan teman-teman Jogja setiap kali saya di kota purba itu. Ketenangan yang sering tercicir dalam jadual harian saya mengejar kekalutan hidup di Kuala Lumpur yang kusut dibelit oleh ekonomi kapitalis bandar dan kehendak gaya hidup metropolitan yang ranggi. Sedikit demi sedikit saya mulai sedar seni rupa di Kuala Lumpur lebih cenderung kepada produk daripada peristiwa budaya. Konflik komuniti persaingan lebih dari solidaritas yang menjadikan acara seni rupa Kuala Lumpur agak suam, tawar dan sementara. Tetapi konflik ini bukanlah satu keretakan menunggu pecahnya dulang acuan seni rupa kita melainkan sempadan kesombongan untuk bersepakat itu semakin tebal dikalangan peserta, penganjur, badan institusi dan pihak berkepentingan (stakeholder).
Dalam membandingkan bagaimana dua kota besar meraikankan acara seni di ruang awam, saya tidak terlalu memilih bila merujuk Artober kerana ia merupakan satu-satunya temasya seni rupa tahunan yang terbesar di Kuala Lumpur yang masih beroperasi hingga kini. Walau sebelum ini memang terdapat beberapa usha dari institusi koperat menganjurkan acara seni seperti KL Art Expo dan Citrawarna KL namun bersifat sementara kerana kesamaran arah tuju dan daya tahan.
Acara seni kontemporari tidak harus dilihat sekadar platform pameran, tetapi turut membiaskan orentasi ideologi, pendekatan institusional serta nilai-nilai budaya yang tergendong dalam uncang humanistiknya.Dalam kontek Asia Tenggara Art umpamanya, ArtJog (Jogjakarta) dan Artober (Kuala Lumpur) menjadi contoh perbincangan yang releven mewakili dua pendekatan yang berbeza terutama dalam memposisikan seni dalam ruang awam. ArtJog tumbuh mengakar kearah komuniti dan wacana, manakala Artober lebih kepada logik pasaran, imej koperat dan gaya hidup (life style). Diskusi saya pasal ArtJog bersama teman-teman seniman di Jogja tidak terputus dari melebarkan pentas perbincangan kearah peranan akar umbi (grassroot) yang digerakkan oleh seniman, kurator, dan intelek budaya di Yogyakarta. Ini terbentuk sebagai respon terhadap keterbatasan institusi seni formal, dan secara sedar meletakkan platformnya sebagai ruang alternatif bagi naratif dan praktik seni yang bersifat kritikal, eksperimental dan kontektual. Dalam hal ini ArtJog sebenarnya mewujudkan arus ‘cultural resistence’ di mana seni diangkat sebagai tapak pemikiran, pergelutan dan penafian terhadap struktur dominan – menjadikan institusi sebagai hasil daripada seni bukan sebaliknya. Berbeza dengan pendekatan Artober yang melihat seni sebagai produk strategi institusi koporat (CIMB Foundation) yang menyalurkan institusi seni melalui agensi perhubungan awam (PR). Model ini bersifat ‘top–down’dan lazimnya terikat dengan objektif pokok iaitu penjenamaan (branding) dan ‘return of visibility’ dalam ekosistem korperat.
Justeru walaupun ia beroperasi dalam kerangka ekonomi kreatif, fokus utamanya lebih cenderung kepada pengukuhan imej korperat berbanding pembangunan wacana budaya. Seni di sini bukan menjadi pusat, tetapi komponen dalam ekosistem gaya hidup bandar (urban lifestyle) yang bersifat sementara dan konsumtif.
Kalau dilihat kepentingan dan pendekatan kuratorial, ArtJog lebih konsisten dan thematik di mana setiap edisi dibina di atas kerangka konsep yang bersifat reflektif, kontekstual dan releven dengan wacana seni semasa – seperti Enlightenment (2018),‘Expending Awareness’ (2019),Resilience’(2021),Lamaran,(2023) dan Amalan (2025). Kurasi bukan sekadar menjadi kaedah menyusun atur karya atau kemeriahan menyambut VIP tetapi berperanan sebagai medan artikulasi intelektual dan artistik. Pemilihan pelukis tentunya dibuat diatas kekuatan naratif, kemampuan konseptual serta keberanian formal dalam menangani isu-isu kritikal, termasuk politik, ugama, identiti dan kebudayaan.
Berbeza dengan itu, Artober memperlihatkan kecenderungan kepada kurasi yang longgar atau langsung tidak berstruktur. Banyak program di dalamnya diorganisasikan olen vendor, galeri swasta, atau agensi acara (event agency) tanpa sebarang kerangka kuratorial yang menyatukan keseluruhan konsep dan arahtuju acara. Pemilihan pelukis pula walau dibelenggu kekangan galeri, lebih ke arah nilai kebolehpasaran, populariti dan kesesuaian kehendak audien arus perdana. Justeru mengujudkan kekaburan antara seni rupa, kraf seni tradisi,rekaan(design)dan elemen gaya hidup tanpa garis sempadan kritikal yang jelas.
Seperti perbincangan awal saya, salah satu kekuatan ArtJog yang terketara ialah pembentukan solidariti komuniti seninya yang aktif, interaktif, dan kritikal. Ini tentunya menarik audiens yang kepelbagai – daripada pelajar seni, penyelidik, budayawan, kurator, pelancong budaya, hinggalah kepada kolektor alternatif. Ruang-ruang seperti forum awam, program residensi dan wacana ilmiah kesenian menjadi sebahagian dari infrastruktur intelektual yang mengiring acara pameran. Dalam hal ini ArtJog tidak hanya menampilkan karya, tetapi turut menyediakan ruang produksi dialog dan artikulasi budaya yang hidup dan lestari.

Sebaliknya, Artober menampilkan budaya tontonan yang sensasi yang agak elitis dan bersifat konsumtif. Sasaran audiennya terdiri daripada kelas menengah (middle class), tokoh koporat, seleberiti dan ‘influencers’. Aktiviti seperti ‘grand launcing’ atau ‘VVIP Preview’ dengan pertunjukan fesyen, dan permaidani merah lebih menonjol daripada ruang diskusi dan kesemarakkan seni rupa. Audiens tampil sebagai pengguna acara (event-goers) bukan kolektor tegar atau agen budaya (culturan agent). Ini menjadikan Artober sebagai peristiwa sosial (social event) berbanding sebagai tapak kelestarian seni dan budaya.
“Largely, how do you see the sentimen of the art market particularly in the context of creative economy between the two occasions (Art Jog and Artober)?”
Sambung teman saya dengan penuh minat.
Walau kedua-dua acara ini beroperasi dalam gelanggang ekonomi seni, namun pendekatan terhadap tabiat pasaran sungguh berbeza. Art Jog berjaya pada hemat saya membina pasaran yang menghormati integriti artistik. Kolektor yang hadir merupakan pelabur budaya jangka panjang yang mengikuti perkembangan seniman dan wacana seni kontemporari. Malah, tidak sedikit seniman muda mendapat perhatian melalui platfom ini, lantas membuka ruang kerjaya professional yang lebih mampan.
Artober pula cenderung kepada penghasilan keterlihatan (visibility) tanpa urus niaga yang signifikan. Tidak kurang galeri mempersoalkan keberkesanan pulangan pelaburan (Return of Investment) kerana aktiviti di sini lebih berfokaskan kepada ‘exposure’ dan kandungan media sosial. Akibatnya, karya seni berisiko menjadi sekadar latar visual – bukan subjek refleksi atau pelaburan jangka panjang.
Kandungan pemberat acara kesenian bukan saja bersifat sensasi luaran tetapi kecelikan budaya inteleksualisme. Aspek yang paling mencolok ialah tahap, kandungan dan mutu wacana yang mengiringi kedua-dua acara ini. Kelihatan ArtJog memberi perhatian yang serius kepada dimensi intelektual – dengan penyediaan katalog kuratorial, teks-teks kritikal, dokumentasi serta review wacana/acara. Setiap edisi menjadi bahan artikulasi idea, persoalan budaya dan refleksi sejarah yang saling berlapis. Seni di sini hadir bukan semata untuk dilihat, tetapi untuk dibaca, dipersoal, didebat dan difahami secara mendasar. Sedangkan Artober kurang menyediakan ruang wacana dan perbincangan awam yang formal dan kritikal. Mungkin kekurangan sumber atau dilihat bukan keperluan acara. Ketiadaan penulisan kritikal yang mendalam atau penerbitan katalog yang konsisten menunjukkan bertapa tujuan utama Artober ialah melihat seni sebagai salah satu daripada banyak elemen persembahan gaya hidup – sejajar dengan muzik, fesyen dan makanan – tanpa hierarki intelektual yang membezakan antara kandungan artistik dengan pesta gaya hidup bersensasi visual semata-mata.
Perbezaan antara dua pendekatan acara seni di ruang umum ini amat bergantung kepada tujuan pokok penganjur dan badan pihak berkepentingan. Art Jog dan Artober mencerminkan dua paradigma berbeza dalam melihat seni rupa samasa sebagai wacana budaya yang menghidupkan komuniti, atau sebagai produk yang memeriahkan pasaran seni. ArtJog ternyata mengekalkan kredibilitinya dengan berakar umbi dari dalam melalui denyut nadi seniman, penulis, kurator, pemikir dan aktivis budaya yang hidup dengan seni. Struktur ekologi seninya dibina dari bawah (bottom-up), berpaksikan nilai dan keperluan komuniti seni itu sendiri. Manakala Artober menjadi manifestasi pendekatan budaya yang digerakkan dari atas (top-down), sering berisiko terputus dari realiti dunia seni yang organik dan dinamik. Ia menjadi festival visual yang gemilang penuh warna warni tanpa visi budaya yang jelas dan bersifat sementara. Apabila seni hanya dilihat sebagai alat ungkapan untuk gaya hidup, maka hilanglah potensinya sebagai alat pemikiran, renungan dan perubahan budaya.

Mungkin persoalan yang dimuskili teman saya sebenarnya tidak memadai dengan saya membandingkan acara seni kita kerana skala gelanggang ekologi seni rupa di Indonesia terlalu luas berbanding dengan Malaysia. Walau Kuala Lumpur sememangnya bukan lawan Jogja tapi tidak semestinya rugi dari mempelajari petua-petua dan pengalaman tetangga yang sememangnya pun serumpun. Seperti kata teman seniman saya di Jogja, Kuala Lumpur sungguh lumayan dan mempunyai potensi yang besar dalam acara seni rupa di arena Asia Tenggara.
Sememangnya rata-rata kelompok seniman Kuala Lumpur tumbuh begitu sporadik, bergenerasi institusi (graduan sekolah seni) dan didorong sikap ‘market-driven’ namun budaya solidaritinya masih jauh kebelakang. Komuniti kolektif seniman generasi muda seolah-olah terkapai-kapai sendirian mencari dahan kebergantungan. Infra seni dan dana yang diwar-warkan oleh pengurusan tinggi budaya terus dibelit birokrasi dan formaliti. Sidang dialog seni terus terasing buat seniman-seniman yang kian terputus dari budaya ilmu setelah keluar dari institusi dimana mereka dilatih.
Kemungkinan tidak adil untuk saya mengunkit kepincangan-kepincangan ini tanpa terlebih dahulu mengambil maklum akan keberkesanan sistem tadbir dan birokrasi budaya negara. Namun adakalanya kita harus berkeras mencabar normalisasi sedia ada. Seperti kata Almarhum Pak Mail (Ismail Zain), seorang pelukis, pentadbir dan pemikir budaya ;
“Setiap negara perlukan diktator. Seperti Indonesia perlukan Chairil Anwar, Mas Goen, Pramoedya dan Affandi”.
Isunya bukan autoriti yang mengurus budaya tetapi pemahaman makna budaya itu sendiri yang perlu dibincangkan secara kritikal. Tanpa wacana ini, seni sebagai tiang seri budaya akan rapuh dan reput. Saya berharapkan pandangan dan analisa ringkas ini dibaca dengan penuh keterbukaan hati. Semoga kita terus bersapa antara satu sama lain, berdakap dalam tegur menegur dan berhulur salam solidariti seni demi kesuburan musim seni rupa kita.
Insya Allah.
– DR. JALAINI ABU HASSAN merupakan pelukis, penulis dan pendidik seni
— Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Senimalaya.
