PADA tahun 1974, Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) telah memperkenalkan lagu satu lagu rasmi untuk ITM yang bertajuk Bumiputera Bertindak. Lagu ini kemudian diharamkan oleh pihak berkuasa.
Antara kata-kata liriknya berbunyi:
“Sayup terdengar azan
Memanggil umat tegak berdiri
Ayuh langkah kanan kaki “
Lagu ini diperkenalkan oleh KSITM dalam acara sempena hari peringatan Perjanjian Pangkor ke-100 yang diadakan di kampus ITM di Shah Alam. Acara itu dianjurkan oleh KSITM pimpinan Ibrahim Ali. Dalam acara itu, Anwar Ibrahim diundang untuk menyampaikan ceramahnya. Ketika itu Anwar adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Lagu ini dinyanyikan oleh para siswa ITM ketika berdemonstrasi dan dan mengadakan perarakan besar di Lebuhraya Persekutuan menuju ke Bangunan Parlimen pada April 1974.
Mereka bagaimanapun dihadang oleh pihak polis di Batu Tiga. Ekoran itu para pelajar mengambil alih kampus di Shah Alam dan Petaling Jaya selama enam hari dan enam malam.
Tuntutan para pelajar adalah supaya kerajaan menaikkan taraf ITM untuk menjadi universiti dan mengiktiraf sijil dan diploma institut itu supaya mereka boleh bekerja dengan kerajaan.
Setelah kerajaan dapat mengambil balik pentadbiran kampus-kampus itu, kerajaan mengharamkan lagu itu. Pada masa itu Perdana Menteri adalah Tun Razak Hussein. Menteri Pelajaran ialah Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie.
Kerajaan tidak memenuhi tuntutan para siswa itu. ITM hanya menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1999 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Pencipta lagu dan lirik lagu Bumiputera Bertindak rupanya ialah Datuk Wira Anuar Tahir. Baru-baru ini, beliau menyanyikan sebahagian daripada lagu ini pada saya ketika dalam satu pertemuan.
Anuar adalah bekas Timbalan Menteri Kerja Raya dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir. Beliau juga adalah bekas Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) dan merupakan Pemangku Setiausaha Agung KSITM ketika mencipta lagu itu. Beliau adalah siswa Diploma Kajian Perniagaan (DBS) yang tempat kajiannya terletak di kampus Jalan Othman, Petaling Jaya.
KSITM ialah persatuan bagi siswa-siswa ITM sebelum institusi itu menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kini ia menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UITM. KSITM ditubuhkan pada tahun 1973 setelah menukar nama Kesatuan Pelajar ITM (KPITM) yang ditubuhkan pada tahun 1967. Sebelum itu ia bernama Majlis Pelajar Maktab RIDA yang ditubuhkan pada tahun 1956. Maktab RIDA pula bermula sebagai Dewan Latehan RIDA.
RIDA atau LPKP adalah Rural Industrial Development Authority atau Lembaga Pembanguban Kampung dan Perusahaan yang ditubuhkan pada tahun 1950. Pada tahun 1966, RIDA menjadi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Kini lagu rasmi UiTM adalah bertajuk “UiTM di Hatiku” ciptaan Allahyarham Othman Mohamad yang merupakan seorang seniman yang lahir dari sistem pendidikan universiti itu juga.
Semasa demonstrasi April 1974 itu, KSITM diketuai oleh Ibrahim Ali. Beliau adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Mahathir dan kini adalah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Anuar Tahir membesar dalam keluarga ahli muzik. Bapanya adalah seorang ahli muzik yang mempunyai bakat semula jadi. Bapanya, Tahir yang berasal dari Perlis adalah seorang anggota polis yang berkhidmat di Pulau Pinang.
Selain menjadi anggota polis, Tahir bermain muzik di acara-acara majlis rasmi dan kenduri kahwin. Beliau bermain dengan pelbagai alat muzik termasuk piano dan saksafon.
Pada masa itu Georgetown mempunyai ahli-ahli muzik terkenal iaitu Alfonso Soliano, Jimmy Boyle dan Ooi Eow Jin. Tahir bersama mereka adalah komuniti ahli muzik Pulau Pinang.
Ketika Soliano menjadi pemimpin Orkestra Radio Malaya, beliau telah menyediakan skor Negaraku bersama Pengarah Muzik Pancaragam Polis Diraja, D.S.P Croff, Pengarah Muzik Pancaragam Askar Melayu Diraja, Kapten Lenthall dan Ketua Pengarah Radio Malaya, A.T Reed.
Maka tidak hairanlah ahli-ahli muzik ini sering mengunjungi rumah Tahir untuk melakukan aktiviti-aktiviti muzik seperti bermain muzik, mencipta muzik dan membincangkan hal muzik.
Termasuk yang mengunjungi beliau ialah P. Ramlee dan Saloma. Seniman dan Seniwati Negara itu mengunjungi Tahir ketika pembikinan filem Ibu Mertuaku supaya dituliskan not muzik lagu bagi filem itu.
Peristiwa ini terakam dalam memoir Anuar Tahir yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Tahir meninggal dunia pada tahun 1966 ketika Anuar berada di tingkatan dua.
Apabila bapanya meninggal dunia, Anuar berpindah kembali ke Perlis dan menyambung persekolahannya di sana. Setelah tamat SPM, beliau memasuki ITM dan aktif dalam gerakan pelajar khususnya dalam Kumpulan Dakwah Islam (KDI) dan KSITM.
Dalam acara yang mana lagu Bumiputera Bertindak diperkenalkan, Anwar Ibrahim bertanya siapakah yang menciptanya, beliau diberitahu, Anuar Tahir.
Maka Anwar mengajak Anuar datang ke pejabat ABIM ketika itu di Kampung Baru Kuala Lumpur sebab beliau mahu Anuar mencipta lagu rasmi ABIM.
Bagaimanapun apabila beliau datang berjumpa dengannya, Anwar tidak pula meminta beliau mencipta lagu ABIM. Sebaliknya beliau diminta bekerja dengan ABIM. Maka detik ini mengubah hidup Anuar. Beliau menjadi Setiausaha Pengelola ABIM dan seterusnya menjadi aktivis ABIM sehingga tahun 1990-an apabila beliau menyahut ajakan Anwar Ibrahim menyertai UMNO.
Kini lagu rasmi ABIM bernama Perjuangan Menegakkan Kebenaran yang dicipta oleh Abdul Hamid Baharuddin dengan liriknya ditulis oleh Mohd Azmi Abdul Hamid.
Pada 4 Disember 1974, berlaku demonstrasi besar-besaran pelajar di Kuala Lumpur yang disertai oleh pelajar-pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ITM.
Pada masa itu kampus UKM terletak di Lembah Pantai bersebelahan UM. Kini ia merupakan kampus Institut Bahasa. Di situ jugalah pemimpin ABIM sering bermesyuarat. Pada masa itu tapak UKM di Bangi sedang dibersihkan.
Kesemua mereka digerakkan oleh persatuan dan kesatuan mahasiswa dan siswa iaitu PMUM, PMUKM, PMUPM, PMUTM dan KSITM. PMUM diketuai oleh pemimpin Kelab Sosialis, Hishamudin Rais dan PMUKM dipimpin oleh pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam UKM (PMIUKM), Halim Arshat.
Turut serta memimpin demonstrasi itu ialah pemimpin belia, Anwar Ibrahim.
Saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga hanya dapat menyaksikan demonstrasi itu di Padang Kelab Selangor, kini Dataran Merdeka. Para penunjuk perasaan itu kemudian berarak ke Masjid Negara.
Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditugaskan untuk memecahkan demonstrasi itu menembak gas pemedih mata dan menyerbu Masjid Negara dan menangkap para demonstran itu. Mereka beramai -ramai dimasukkan ke dalam trak FRU untuk dibawa ke Polis Depot, Jalan Gurney (sekarang Jalan Sultan Yahya Petra) dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Turut kena tahan dalam tangkapan itu adalah Anwar, Ibrahim Ali dan ramai lagi. Hishamudin Rais terlepas dan lari keluar negara, iaitu ke United Kingdom melalui Thailand.
Anuar Tahir yang pada mulanya bersembunyi di kampus UKM dapat lolos daripada ditangkap polis. Beliau kemudian bersembunyi di sebuah dusun di luar Kuala Lumpur.
Apabila keadaan reda, beliau pergi ke Ipoh, Perak untuk membuka sekolah persendirian bernama Institut Sofar. Ketika itu banyak aktivis ABIM membuka sekolah persendirian bermula dengan Yayasan Anda Akademik di Kuala Lumpur. Anwar Ibrahim adalah Pengetua Yayasan Anda. Sekolah aktivis ABIM yang lain ialah Institut Masriah di Bukit Mertajam dan Institut Berakan di Kuala Terengganu.
Beberapa tahun kemudian Anuar bekerja sepenuh masa sebagai setiausaha pengelola ABIM. Pada tahun 1990-an, beliau menyertai UMNO tetapi keluar parti itu pada tahun 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan.
Anuar kemudian menjadi antara aktivis yang menguruskan penubuhan Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999. Beliau turut bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Keadilan tetapi kalah.
Pada tahun 2003, beliau bersama bekas aktivis ABIM dalam Keadilan telah keluar parti. Beliau menyertai PAS dan bertanding pilihan raya umum pada tahun 2004 tetapi kalah.
Anuar terus bertanding dalam pilihan raya umum tahun 2008 dan 2013 tetapi kalah juga. Anwar mengajak Anuar menyertai semula PKR tetapi beliau enggan. Pada tahun 2015, beliau keluar PAS dan sekali lagi diberi tanggungjawab untuk bersama menubuhkan parti baharu, kali ini ialah parti AMANAH.
Dalam pilihan raya tahun 2018, beliau menang kawasan Parlimen Temerloh sebagai calon Pakatan Harapan. Beliau menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya. Tetapi beliau tidak bertanding pada tahun 2022 dan bersara daripada politik atas sebab kesihatan.
Lagu Bumiputera Bertindak menjadi jasa beliau kepada pergerakan untuk kebenaran dan keadilan di kalangan anak-anak muda tahun 1970-an yang telah mencorak politik tanah air.
