Judul: Dalam Gelora Zaman: Ucapan dan Perutusan Presiden PENA 2010-2024
Penulis: Mohamad Saleeh Rahamad
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Muka surat: 160
ISBN: 978-967-5485-86-2
Harga : RM30.00
Dalam dunia kesusasteraan dan intelektual Malaysia, nama Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bukanlah asing. Sebagai Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) semenjak tahun 2010, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan martabat bahasa dan sastera Melayu.
Buku Dalam Gelora Zaman: Ucapan dan Perutusan Presiden PENA 2010-2024 ini merupakan sebuah penerbitan berharga yang merakamkan pemikiran dan visi beliau sepanjang kepimpinannya dalam PENA, menjadikannya satu bacaan penting bagi sesiapa yang ingin memahami gelombang pemikiran sasterawan dan intelektual Malaysia abad ini.
Buku ini bukan sekadar kompilasi ucapan, malah merupakan sebuah peta pemikiran yang mencerminkan ketegasan dan keprihatinan Dr. Saleeh terhadap dunia sastera dan budaya kebangsaan. Dalam ucapannya, beliau sering menekankan bahawa, “PENA berpendirian teguh untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, malahan PENA mahu supaya pendidikan di negara ini meneruskan agenda pemartabatan bahasa Melayu” (hlm. 30).
Kenyataan ini menggambarkan betapa beliau melihat bahasa Melayu sebagai instrumen penting dalam membentuk peradaban serta daya fikir masyarakat.
Salah satu tema utama dalam buku ini ialah peranan penulis sebagai pemikir bangsa. Dalam ucapannya sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, beliau menyatakan bahawa, “… kesusasteraan merupakan suatu bidang yang berpotensi untuk dimakmurkan dan diberi nafas sebagai pelakur utama pembinaan negara bangsa mengikut acuan negara ini” (hlm. 123).
Dr. Saleeh menolak anggapan bahawa sasterawan hanya sekadar pencatat zaman. Sebaliknya, beliau menggesa agar sasterawan berfungsi sebagai agen perubahan yang mampu mengkritik dan mencetuskan wacana baharu dalam masyarakat.
Selain itu, buku ini turut memperlihatkan bagaimana Dr. Saleeh mengkritik perubahan dasar bahasa dan pendidikan yang menurutnya telah menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dalam salah satu ucapannya, beliau menegaskan bahawa, “… pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris pun tidak sukar untuk menyambung pelajaran di luar negara setelah melalui proses pembelajaran bahasa yang sistematik, bukannya dengan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.” (hlm. 14).
Ucapan ini menunjukkan betapa besarnya keprihatinan beliau terhadap kedudukan bahasa Melayu yang sering terpinggir dalam arus globalisasi dan kepentingan ekonomi yang tidak mempertimbangkan aspek budaya.
Dalam konteks sastera kebangsaan, Dr. Saleeh juga menekankan berkenaan cabaran-cabaran yang dihadapi penulis dan penerbit tempatan. Beliau mengkritik bagaimana dasar dan polisi yang tidak menyokong penerbitan tempatan telah menyebabkan karya-karya sastera Melayu kurang mendapat perhatian. “Berikanlah peluang yang sama kepada penerbitan buku ilmiah dalam bidang bahasa, sastera, budaya, ekonomi, politik, pendidikan, dan sebagainya agar bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai tonggak pembinaan ilmu.” (hlm. 15).
Malah beliau banyak mengajak penulis untuk lebih proaktif dalam menerbitkan dan memasarkan karya sendiri, sejajar dengan perubahan teknologi yang memungkinkan penerbitan secara mandiri (hlm. 86).
Selain isu bahasa dan penerbitan, buku ini juga merakamkan peranan PENA dalam memperjuangkan kebajikan penulis dan memperkukuhkan jaringan intelektual di Malaysia. Dr. Saleeh dalam satu ucapannya menekankan bahawa, “… pergantungan sesama penulis merupakan kaedah yang sangat bermanfaat … bukan saling berdengki antara satu sama lain….” (hlm. 86). Buku ini menjelaskan bagaimana PENA bukan sekadar sebuah persatuan penulis biasa, tetapi sebuah institusi yang memperjuangkan kepentingan sastera secara konsisten.
Namun, keunikan buku ini juga terletak pada gaya bahasa yang digunakan oleh Dr. Saleeh. Beliau bukan sahaja berpidato sebagai seorang akademik, malah merupakan seorang penulis yang puitis. Beberapa ucapannya diperkaya dengan penggunaan pantun dan puisi sebagai alat penghujahan. Misalnya, dalam satu ucapannya beliau memetik sajak Usman Awang yang berbunyi:
Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata
Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
Berarak ke Parlimen, aku di muka. (hlm. 57).
Begitu juga pantun tidak pernah lekang dalam setiap ucapan yang disampaikan oleh Dr. Saleeh, antaranya:
Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa. (hlm. 64).
Pemilihan sajak dan pantun dalam setiap ucapan Dr. Saleeh bukan sekadar penghias ucapan. Ia digunakan sebagai alat bagi mengukuhkan hujahnya bahawa sastera memiliki fungsi mendalam dalam mencari kebenaran dan menyampaikan kebijaksanaan kepada masyarakat.
Pokoknya, mengapa kita perlu membaca buku ini? Jawapannya jelas — ia bukan sekadar koleksi ucapan, tetapi merupakan sebuah refleksi terhadap perjuangan seorang pemimpin sastera dalam menegakkan bahasa, budaya, dan pemikiran kritis dalam masyarakat.
Buku ini memberikan perspektif mendalam tentang cabaran dunia sastera, peranan intelektual dalam membentuk pemikiran bangsa, serta harapan terhadap masa depan kesusasteraan di Malaysia.
Secara keseluruhannya, Dalam Gelora Zaman bukan sahaja merakamkan sejarah perjuangan Dr. Saleeh Rahamad dalam dunia persuratan. Ia menjadi sumber inspirasi kepada penulis, akademik, dan pencinta sastera.
Ia mengajak pembaca untuk berfikir lebih jauh tentang peranan sastera dalam masyarakat, dan bagaimana setiap karya yang dihasilkan mempunyai impak yang lebih besar daripada sekadar bacaan santai. Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Saleeh, “Dengan mewujudkan persefahaman dan persahabatan yang erat nescaya suara kita akan lebih digeruni” (hlm. 33). Membaca salah buku daripada 123 judul yang diterbitkan melalui Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI ini, kita tidak hanya memahami pemikiran seorang tokoh, tetapi juga dihidupkan kembali dengan semangat perjuangan sastera yang terus relevan sepanjang zaman.

