DALANG bukanlah hanya berfungsi sebagai ketua – ‘boss’ – yang mengaturkan sesebuah persembahan seni; bermula dari pencetusan pemikiran, penulisan skrip, pengarahan pementasan dan iringan musik. Beliau adalah penyempurna setiap persembahan ataupun kegiatan seni budaya.
Malah dan mungkin lebih dari itu, Dalang juga bersifat sebagai nujum seni, yang berusaha memastikan segala aspek pengerakkan, sebelum dan sesudah persembahan dan pementasan, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ternyata tugas dan tanggungjawab sosok Dalang berat sekali. Jampi serapah beliau meningkatkan taraf melebihi sang kurator !
Walaupun begitu, beliau mungkin boleh bernafas lega dengan kehadiran ilmu peralatan sains algoritma yang semakin mendadak mendidih menguasai segala jenis aspek sosial, budaya dan politik masyarakat. Sang Dalang sudah berpunya jampi serapah ‘bits and bytes’ !
Teknologi, mengikut ramalan ahli fikir, akan dapat menyelamatkan kesenian dan kebudayaan. Betul-kah prognosis sebegini, ataupun cuma angan-angan mimpi disiang hari? Fikir-fikirkan lah.
Negara kita memang berhempas-pulas bergelut mencari penyelesaian ataupun solusi kepada persoalan merekayasakan Kebudayaan Nasional, lanjutan dari titik peristiwa tragis 13 Mei 1969. Kongres 1971 berhasil dengan Dasar dan Perencanaan. Lima puluh tahun kemudian, pada tahun 2021, Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dilancarkan. Maka Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) ditubuhkan untuk pengendalian polisi dan perencanaan.
Para intelek, pemikir dan pengiat seni budaya memang seperti setuju dan akur bahawa penubuhan ‘majlis’ tepat sekali untuk mengurus dan mengendali pelaksanaan.
Memang bukan senang dan rumit sekali menguruskan negara-bangsa yang berbilang kaum, agama, pelbagai kepercayaan dan pembawaan kehidupan.
Tetapi, selepas 50 tahun, apakah rakyat jelata diserata pelusuk negara sudah merasa nikmat resapan inti-hati seni budaya melalui inisiatif pengurusan dan pengerakkan yang diterajui oleh pihak atasan pemerintah?
Sebaliknya, lojik rasional ialah membiarkan keadaan tidak terlalu terurus, supaya rakyat warganegara mengerakkan senibudaya tanpa kongkongan sistem administrasi dan perundangan pemerintahan.
Mungkin lebih baik kegiatan seni budaya, yang sering diperkatakan sebagai salah satu tunjang jatidiri kenegaraan; bergerak, berkembang berlipat-ganda, beroleh kepaduan dan tidak gentar mencapai sebarang puncak, dengan dibuai arus dan gelombang kendiri, tanpa arahan dan tekanan ‘dari atas’.
Sebenarnya, pada hemat saya, ‘tangan dan penanganan pihak berkuasa’ dalam merangka, merekayasa, mencatur, mengurus, memangkin, menyelia segala pelaksanaan kegiatan senibudaya tidak diperlukan lagi.
Formula perincian yang berpaksikan ‘centralisation of policy planning and execution ‘ sudah tewas, dikalahkan oleh ilmu peralatan sains algoritma.
‘Artificial Intelligence’ atau Kecerdasan Buatan (AI) sedang rancak bergegas menduduki kerusi dibarisan hadapan proses pemikiran. Ilmu sains dan teknologi ini mencadangkan pembelajaran dan pemikiran mesin – ‘machine learning and thinking‘- sebagai inisiatif buat meringankan beban manusia dari kerumitan kehidupan harian. Manusia akan punya lebih masa kelapangan melayan, melepak dan bersantai. Katanya – lah.
Walaupun begitu, kejayaan tindak tanduk ilmu Algoritma menangani segala dan semua aspek sosial, politik and budaya manusia akan pasti menimbulkan beberapa isu serta masalah falsafah kehidupan. Lebih-lebih lagi dimedan seni dan kebudayaan, satu cabang estetik kemanusiaan yang secara intrinsik ‘inginkan kebebasan berfikir, berimaginasi, mereka-cipta, menulis dan berbicara’. Para pengiat seni budaya ingin bebas lah. Konon-nya.
Kita tidak harus berperang lidah, bertekak meninggikan suara kerana risau bagaimana algoritma kecerdasan buatan dapat dan berjaya membentuk dan merupakan ‘pengarcaan budaya’ untuk tatapan, tontonan dalam melayani kehidupan seharian.
Mungkin lebih penting dan afdal kita memikirkan tentang apakah implikasi akibat Algoritma itu, yang secara iteratif, mengumpul, merungkai, membungkus, merangka semula, mengurus dan meyesuaikan intipati, sehingga merupakan bentuk baharu, disifatkan sebagai Kebudayaan.
Manipulasi algoritma sebegini akan pasti mengakibatkan pendataran kebudayaan – ‘flattening of culture’, fenomena dimana perbedaan spesifik, perincian unik diantara intisari dan aspek senibudaya tidak lagi menonjol serta ketara. ‘Algoritma sebagai Budaya, Algorithm as Culture’, memang susah ditelan. Tetapi mungkin sudah menjadi satu kenyataan tanpa keraguan.
Lanjutan dari manipulasi tersebut, ‘keutuhan kepengarangan – autonomy of authorship’ Sang Dalang akan semakin terhapus dibadai arus gelombang kecerdasan algoritma.
Segala kebijaksanaan Sang Dalang akan diperhalusi, dikaji, ditelanjangi, dirobah, dirupabentukkan baharu dan dilepas bebas ke medan konsumsi awam oleh Sang Algoritma. Lama kelamaan rakyat jelata akan menerima tanggapan bahawa apa yang kelihatan didataran sosial adalah ‘kebudayaan negara-bangsa’ – the National Culture. Khalas. Period.
Apakah ini ‘Penyatuan, Persamaan dan Perataan Sosial’ yang kita semua inginkan sebagai ‘Aspirasi dan Idaman Kenegaraan’ ?
Inilah pada hemat saya masalah asas DAKEN dan MAKEN dalam menangani tugas sebagai DALANG MemBUDAYAKAN negara.
Kejayaaan DAKEN akan MENDATARKAN SENIBUDAYA NEGARA. AWAS !
Dengan begitu, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seniman dan pengkarya yang berpameran disini. Barangkali inilah diantara detik ketika terakhir anda dapat berfungsi sebagai Dalang yang unik, bebas dan independen tanpa dirasuk algoritma pendataran serta kongkongan formula imaginasi dan manifestasi pengkaryaan.
