Di era dunia seni kontemporari masa kini makin dikuasai oleh imej digital dan kecerdasan buatan, kearifan seni cetak semakin dianggap sebagai sebuah medium masa lalu, proses kerja tangan yang berakar pada torehan dan dakwat tersebut tampaknya kelihatan semakin meredam.
Namun tanggapan itu segera dipersoalkan dalam Imprints of Civilizations: China–ASEAN Printmaking Exhibition 2026, sebuah pameran dan platform pertukaran budaya yang berlangsung di Beijing pada 18 Jun hingga 8 Julai yang lalu.

Menghimpunkan lebih 180 karya daripada lebih 100 seniman dari China dan sepuluh negara ASEAN, program yang diterajui oleh Academy of Arts & Design, Tsinghua University bersama rangkaian institusi termasuk Today Art Museum, Central Academy of Fine Arts (CAFA), China Guanlan Original Printmaking Industry Base, Beijing Artists Association dan Pulau Ketam Art Association, Malaysia ini bukan sekadar memperlihatkan perkembangan mutakhir seni cetak Asia.
Ia mengusulkan satu persoalan yang lebih mendasar: apakah fungsi seni cetak dalam dunia yang semakin bergantung kepada reproduksi digital tanpa sempadan?
Jawapannya ternyata bukan nostalgia.
Sebaliknya, seni cetak muncul sebagai medan rundingan antara tradisi dan inovasi, antara materialiti dan teknologi, serta antara sejarah tempatan dengan imaginasi serantau.
Tema The Imprint of Civilizations tidak sekadar merujuk kepada kesan fizikal cetakan di atas permukaan kertas, tetapi kepada bagaimana tamadun meninggalkan jejak melalui budaya visual yang sentiasa berubah.

Dalam konteks hubungan China–ASEAN, pameran ini juga memperlihatkan bagaimana seni menjadi sebahagian daripada bahasa diplomasi yang semakin penting di rantau Asia.
Ketika hubungan antara negara lazimnya dibingkaikan melalui perdagangan, pelaburan atau strategi geopolitik, seni menawarkan ruang yang lebih perlahan, tetapi jauh lebih mendalam, untuk membina persefahaman.
Di sinilah nilai sebenar program ini. Ia bukan sekadar menghimpunkan karya dari rantau yang sama, tetapi mempertemukan sistem pemikiran, sejarah pendidikan seni dan pendekatan estetik yang berkembang dalam konteks politik serta budaya yang berbeza.
Apa yang dikongsi bukanlah keseragaman visual, tetapi keinginan bersama untuk memahami bagaimana medium tradisional boleh terus berfungsi dalam masyarakat kontemporari.
Ironinya, semakin pesat teknologi berkembang, semakin ketara pula kepentingan proses manual dalam seni cetak. Hampir semua negara yang terlibat memperlihatkan kecenderungan yang sama, menggabungkan teknik tradisional dengan fotografi, media silang, instalasi, simulasi digital malah kecerdasan buatan.

Namun teknologi tidak mengambil alih medium; ia sekadar memperluaskan tatabahasa visualnya. Bagi Malaysia, penyertaan dalam program ini membuka ruang untuk meletakkan sejarah seni cetak tempatan dalam wacana yang lebih luas.
Melalui syarahan Printmaking in Malaysia: Tradition, Innovation and Contemporary Practice dalam China–ASEAN Printmaking Symposium, perkembangan seni cetak negara diperkenalkan bukan sebagai naratif pinggiran Asia, tetapi sebagai pengalaman yang memiliki trajektori tersendiri.
Daripada sejarah pendidikan seni kepada kemunculan studio bebas, kolektif dan ruang alternatif, seni cetak Malaysia berkembang melalui ekosistem yang banyak dibentuk oleh inisiatif seniman sendiri.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan expanded printmaking turut memperlihatkan bagaimana medium tersebut semakin melangkaui fungsi asalnya.
Cetakan tidak lagi berakhir sebagai imej di atas kertas; ia hadir sebagai instalasi, objek, projek komuniti dan amalan rentas disiplin yang mengaburkan sempadan antara seni cetak dengan bentuk seni visual yang lain.

Perubahan ini sejajar dengan perkembangan antarabangsa. Persoalan tentang AI, automasi dan keaslian karya bukan lagi isu eksklusif Barat atau Asia Timur. Ia menjadi perbualan global yang turut melibatkan pengamal seni di Malaysia.
Namun apa yang membezakan seni cetak daripada medium digital ialah hubungan fizikalnya dengan material. Setiap tekanan blok, setiap lapisan dakwat dan setiap variasi permukaan meninggalkan bukti bahawa karya itu lahir daripada proses yang tidak boleh diulang secara mutlak.
Di zaman ‘prompt’ menghasilkan imej hanya dengan arahan dan tanpa sentuhan, medium nyata mula menjadi bentuk pengetahuan yang semakin langka dan bernilai.
Di luar ruang pameran, lawatan ke institusi seperti National Art Museum of China, Guardian Art Center, Academy of Arts & Design, Tsinghua University dan Central Academy of Fine Arts memperlihatkan bahawa kekuatan seni China bukan semata-mata bergantung kepada jumlah pameran atau pelaburan infrastruktur. Yang lebih penting ialah hubungan erat antara universiti, muzium, arkib, pusat penyelidikan dan penerbitan.

Ekosistem sedemikian menghasilkan kesinambungan pengetahuan. Penyelidikan melahirkan penerbitan; penerbitan membentuk sejarah; sejarah pula menjadi asas kepada pembinaan dasar budaya dan pendidikan.
Seni tidak berkembang secara terpisah, tetapi disokong oleh jaringan institusi yang memahami bahawa dokumentasi merupakan sebahagian daripada penghasilan budaya itu sendiri.
Bagi Malaysia, pemerhatian ini wajar menjadi renungan. Ekosistem seni tempatan semakin aktif melahirkan pameran, festival dan ruang alternatif, namun usaha mendokumentasi perkembangan seni cetak masih belum berkembang seiring dengan penghasilan karya.
Tanpa penulisan, pengarkiban dan penyelidikan yang konsisten, banyak perkembangan penting berisiko hilang daripada naratif sejarah seni negara.

Mungkin inilah sumbangan paling bermakna daripada Imprints of Civilizations. Program ini menunjukkan bahawa masa depan seni tidak hanya ditentukan oleh inovasi teknologi, tetapi juga oleh keupayaan sesebuah masyarakat membina memori budaya melalui institusi, penyelidikan dan dialog.
Berdasarkan situasi ini, seni cetak tidak lagi boleh dilihat sebagai medium tradisional yang mempertahankan masa silam. Sebaliknya, ia menjadi alat untuk merundingkan masa depan, medium yang masih mampu menghubungkan sejarah dengan teknologi, identiti tempatan dengan jaringan antarabangsa, serta pengalaman individu dengan imaginasi kolektif rantau Asia.
Apabila dunia semakin dipenuhi imej yang boleh dijana dalam beberapa saat, seni cetak mengingatkan bahawa makna masih memerlukan masa untuk dibentuk. Dan barangkali, dalam keperlahanan itulah terletaknya daya tahan sebenar sebuah peradaban.

Sumber teks dan foto: Fadli Mokhtar
Fadli Mokhtar merupakan artis seni visual dan juga pensyarah yang aktif dalam bidang seni cetak kontemporari. Beliau bergiat dalam pameran, penulisan dan projek kolaborasi di peringkat nasional dan antarabangsa, dengan tumpuan kepada amalan seni cetakan konvensional dan alternatif. Beliau juga merupakan ahli kumpulan seni cetak alternatif GO-BLOCK dan studio Chetak 17.
