SAYA mencari Zakaria Ali dalam Personae: Early Poems. Koleksi puisi dan catatan ini penghasilan usia muda lalu terlalu awal untuk mengenalnya. Saya mencari Zakaria Ali dalam A Flawed Pilgrim/Pencari Yang Cela? Saya melihat satu lapisan lain Zakaria Ali, si pencari yang religus. Saya mencari Zakaria Ali dalam Empangan. Saya tidak sepenuhnya berjaya. Saya mencari Zakaria Ali dalam The Road Heading South/Jalan Arah Ke Selatan. Saya hanya melihat glimpses dirinya. Saya mencari Zakaria Ali dalam buku terbarunya, Is That What You Mean/Itukah Maksudmu?
Secara jujur saya belum “sepenuhnya” menemui beliau.
Lalu saya cuba melihat “sisi lain” Zakaria Ali. Saya menjengah lukisan tersohornya “Portrait of the Artist As A Dirty Old Man.” Ada sesuatu yang istimewa dalam lukisan cat minyak atas kanvas yang terabadi pada tahun 2004 itu. Saya semacam melihat Zakaria Ali yang lain, yang bersahaja, yang nakal, yang bercanda, siap dengan wit dan humour, dengan sinisme, dan tentunya dengan gaya main-main.
Itu lukisan yang serius yang punya banyak lapisan maknanya. Ini hasil main-main yang serius. Ada mesej yang jelas, ada motif yang pasti, ada kritikan yang tajam. Mana tidaknya, pelukisnya lebih rela menterjemah “dirty” sebagai “gian” bukan “gatal” atau “miang” atau “semakin tua makin menjadi.”

“Gian” punya banyak lapisan maknanya di luar daripada Kamus Dewan yang hanya memberikan dua makna, satu “cepat habis”, dan dua, “sangat ketagih.”
Saya suka judul catan ini kerana judul itu segera mengingatkan saya pada novel kedua James Joyce, A Portrait of the Artist as A Young Man. Sudah tentulah tidak mungkin ada bayang-bayang Stephen Dedalus si pemberontak agama dan bangsa dalam catan ini.
Namun demikian lukisan itu memberikan dimensi intelektual yang mencabar bagi penelaah seni dan lukisan untuk memahami apakah makna si orang tua gian yang terjelma sebagai artis itu. Dan mungkin juga soalan siapakah si orang tua gian itu sebenarya? Saya percaya debat identiti orang ini akan terus menjadi wacana hangat dalam tradisi keilmuan seni.
Saya sudah lama mengenal Zakaria Ali – sebagai novelis, pelukis, penyair, penulis cerpen, pengkritik, pengkaji, penelaah, pengajar, penterjemah, pengkritik, ilmuan, sarjana, dan banyak lagi. Saya mulanya terdedah pada novel Empangan yang memenangi Hadiah dalam Sayembara Menulis Novel Yayasan Sabah-Gapena tahun 1991. Saya tertarik pada novel itu dan Villa Maya kemudiannya (1997).
Seperti juga Empangan, ada watak “J” dalam novel ini. Maka saya bertanya apakah J alter-ego si penulisnya. Mengapakah ada “J” dalam Villa Maya? Mengapa pula Tareeq yang menjadi narrator, mengapa dia harus menjadi “son of Mydeen” yang memiliki kedai mamak The Lonesome Mamak? Mengapa terpilih nama-nama seperti Felix Eboue, Henriette, Syarifah Fawziah, Albino Balar, For Tun Tay dan Datuk Syed Nira Hitam?
Apakah ada kesinambungan di antara calon doktorat bernama “J” dalam Empangan yang pulang ke kampung setelah 10 tahun berkelana dalam budaya asing dengan “J” dalam Villa Maya? Apakah “J” dalam Empangan bagaikan pulangnya Si Tenggang atau sebagai perubah masyarakat? Dan “J” dalam Villa Maya adalah watak “kayangan” yang hidup dalam lengkungan asing masyarakatnya oleh sebab dia anak diplomat? Apa yang kita tahu “J” dalam kedua-dua novel adalah “orang asing” dalam masyarakatnya.
Demikianlah perkenalan awal saya pada Zakaria Ali, melalui novel Empangan dan tulisan-tulisan beliau di media semasa.
Tapi saya menerima sentuhan Zakaria Ali sendiri apabila beliau menulis tentang karya saya “Pemain” dalam akhbar New Straits Times pada 1 Januari 1997. Zakaria Ali punya kolum dwi-mingguan “Notes on Local Literature” dari tahun 1996 hingga 2002. Judul tulisan dalam kolum di NST itu adalah “The Player Existentialist”.

“Pemain” adalah karya saya yang unik. Unik kerana saya sendiri melabelkannya drama, novelet dan cerpen, all in one, lebih kurang begitu.
Saya sendiri pernah menulis tentang “Pemain” dalam Dewan Sastera Mei 2001. Judulnya “Mengapa Pemain?” Saya tidak ingat proses penulisan “Pemain” sebenarnya. Tapi saya percaya adalah “lanjutan” daripada sebuah cerpen yang pernah saya tulis untuk Dewan Sastera, yang tersiar bulan Februari 1983. Judulnya “Potret Seorang Anu Sebagai Anu”. (Tak jauh beza judulnya dengan catan Zakaria Ali Potret Seorang Artis Sebagai Orang Tuan Gian).
Ayat pertama dalam “Pemain” adalah, “Dulu terbitnya di sana, sekarang terbitnya di sini. Esok entah di mana…” Itulah yang saya ulang-ulang sewaktu saya berlatih untuk drama “Zaman Gerhana” yang diarahkan oleh Othman Hj Zainuddin pada tahun 1983. Saya memainkan watak Patih Karma Wijaya dalam drama itu.
Saya sudah hampir-hampir melupakan “Pemain” pada masa tersiarnya rencana Zakaria Ali. Di antara lahirnya “Pemain” dan tulisan dalam NST itu 14 tahun. Lagipun “Pemain” paling sedikit dibicarakan berbanding dengan drama-drama saya yang lain. Seingat saya tidak ada sesiapa yang pernah membawakan sepenuhnya ke pentas, melainkan pelakon Wan Hanafi Su, itupun hanya sebahagian daripadanya.
Saya sudah melalui perubahan karier yang luar biasa dalam masa 14 tahun itu. Sewaktu “Pemain” ditulis saya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewaktu tulisan Zakaria Ali muncul saya Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu.
Ketua Pengarang NST masa itu, Datuk Kadir Jasin SMS saya mengingatkan saya agar membaca kolum Zakaria Ali keesokan harinya. “Something about your play,” tulisnya. “I don’t really understand what Zakaria wrote, as much as I don’t understand most of your experimental plays.”
Saya di kerusi panas pada masa itu, bergelumang dengan segala hiruk pikuk politik. Sebagai Ketua Pengarang akhbar yang sangat berpengaruh, masa saya habis dengan isu semasa, politik semasa, keriuhan semasa, cekcok semasa. Maka itu tulisan Zakaria Ali tentang “Pemain” bagaikan hembusan angin yang segar dan indah. Saya tidak pedulilah apapun yang dikatakannya, tapi beliau bercakap tentang karya saya yang paling obscure, yang hampir dipinggirkan dan di luar lingkaran arus perdana.
Saya bernafas lega. Zakaria mengingatkan saya semula pada siapa saya. Tentang kesenimanan saya. Tentang kisah saya di pentas Bangsawan, pentas Sandiwara, bersama potehi atau Opera Cina, bersama Kumpulan Kesenian Universiti Malaya atau Kesuma, bersama Anak Alam dan Badan Budaya DBP. Saya anak seni, anak wayang, budak panggung, penarik tirai Bangsawan, pemain teater, pelakon, penukis skrip, pengarah.
Zakaria Ali mengejutkan saya pada tahun 1997 setelah saya alpa oleh gian atau ketagih saya dalam dunia politik yang carca merba. Dunia politik yang sengit, bingit dan hangit. Dan saya lebih bangga tulisan itu tersiar semula dalam Angsana: Essays on Modern Malay Literature yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2003.
Tulisan Zakaria Ali itu adalah wake-up call bagi saya. Maka itu apabila saya tersingkir pada bulan Julai 1998 – setahun tujuh bulan selepas rencana ini muncul – maka saya sudah bersedia untuk pulang ke gagang, walaupun proses rehabilitasi atau proses peng-kosher-ran saya itu panjang dan menyakitkan. Maklumlah stigma yang menghantui sesiapa sahaja yang diasosiasikan dengan Anwar Ibrahim pada masa itu.
Maka itu saya terhutang budi pada Zakaria Ali. Tulisannya dalam NST itu memberikan semula nyawa pada saya dalam bidang seni.
Jadi jangan hairan jikalau saya menjadi peminat tegar Zakaria Ali. Bukan kerana dia menulis tentang “Pemain” tetapi kerana beliau memang sebenarnya guru, penggalak, influencer kalau saya boleh gunakan istilah itu, perangsang, motivator, pada banyak orang, termasuk ribuan pelajarnya.
Maka itu saya cuba sebanyak mungkin “membaca” beliau dalam enam buah novelnya, lima buah koleksi cerpennya, dua buah travelog, dua buah koleksi puisi, tiga buah biografi dan 20 buah buku tentang sejarah, pemikiran dan wacana seni. Mungkin angka saya tidak tepat, tetapi begitulah produktif, kreatif dan dinamiknya Zakaria Ali. Saya mungkin belum membaca kesemuanya tapi sebanyak yang saya telah dan mampu baca, saya kagum dan amat menghargainya. Ini bukan sebarangan penulis, seperti juga beliau bukan sebarangan ilmuan dan sarjana, juga bukan sebarangan pelukis.
Siapakah yang tidak menjadi lebih cerdik dengan membaca kajian klasiknya Islamic Art in Southeast Asia 830 AD-1570 AD? Saya menguliti Seni dan Seniman: Esei-Esei Seni Halus.
Saya membaca kebanyakan cerpen dalam koleksi The Road Heading South/Jalan Arah Ke Selatan dan The White Elephant/Gajah Putih. Saya membaca beberapa buah terjemahannya, dari 14 kesemuanya.
Mungkin tempat tinggalnya sekarang di Diamond Creek dekat Tanjung Malim memberikan kesejahteraan, serenity, lengkungan alam dan eko-sistem yang menjadikan beliau sedemikian kreatif dan produktif. Rumahnya bagaikan sebuah studio yang hidup, sebuah perpustakaan mini, gapura seni, rumah seniman, rumah ilmuan sebenar. Mungkin kebeningan Diamond Creek melahirkan yang terbaik dan lebih baik bagi Zakaria Ali.

Saya bukan sarjana dan ilmuan, saya seniman, penulis dan wartawan. Maka capaian saya tentang pemikiran Zakaria Ali mungkin peripheral, luaran, mungkin di permukaan, tetapi cukup untuk mengenal beberapa lapisan, meminjam pendekatan Henrick Ibsen dalam drama-dramanya, menarik lapisan kulit bawang untuk mengenal manusia unik ini.
Saya juga bukan pelukis apa lagi penelaah dan sejarawan senilukis. Saya sekadar seorang peminat dan pengagum yang cuba memahami karya senilukisnya. Seperti saya cuba memahami lukisannya “Potret Seorang Artis sebagai Orang Tua Gian” atau “Halim Berehat” yang dihasilkannya pada tahun 2023.
Sebagai orang yang bukan dari tradisi seni lukis saya sentiasa cuba memahami estetika dalam konteks seni. Saya sedar bahawa beliau telah menghasilkan kajian tentang seni Islam di Asia Tenggara. Namun saya ingin tahu apakah pengertian beliau tentang estetika dalam seni Melayu atau Malay aesthetics. Dalam sebuah tulisan pada tahun 2006 beliau menyebutkan tentang lima formulasi yang mencorakkan estetika Melayu. Ini ada kaitannya dengan minda, ideologi dan psyche Melayu. Beliau menyebutkan lima formulasi itu sebagai, dengan izin, finesses, usefulness, the assimilation and unification of form and content, contrast dan symbolism. Saya anggap inilah teras sebenar yang dapat menjawab persoalan seni dan estetka Melayu yang amat jarang diberikan perhatian.
Saya beruntung oleh sebab saya dapat mengikuti perkembangan kreativitinya secara online, malah real time, sampai ke hari ini, Saban hari Zakaria Ali akan menghantar melalui WhatsApp kegiatannya di Diamond Creek. Dia melukis, dia membaca, dia berehat, dia minum bersama isteri tersayang, atau berjalan bersama Jimmy atau termenung, bermalas-malas atau sekadar melihat banjaran Titiwangsa di kejauhan.
Saya juga amat menyanjung tinggi bagaimana Zakaria Ali menghargai pendampingnya, isteri yang disayanginya, Puan Rozainah binti Baharudin. Sudah tentulah beliau sangat istimewa maka dirakamkan dalam sekian banyak buku beliau, dedikasinya pada “For my wife …Rozainah binti Baharudin.” Secara jujur saya belum pernah menemui mana-mana penulis yang mendedikasikan bukunya pada isteri sedemikian banyak.
Kasih sayang ini agaknya mencorakkan Zakaria Ali. Malah turut mengesan, mempengaruhi dan mewarnai siapa Zakaria Ali sebenarnya. Puan Rozainah bukan sahaja sebagai isteri, tetapi penggerak, katalis, pengubat, pendorong seorang Zakaria Ali. Saya amat meyakini hal itu.
Pencarian saya belum berkesudahan. Lalu saya mencarinya dalam Personae, buku kecil yang merupakan rakaman puisi, catatan dan surat-surat beliau dari 1968 hingga 1971. Personae adalah catatan zaman pelajarnya. “Coretan undergraduate” menurutnya, yang menarik, yang sedikit sebanyak menelanjangi beliau pada era awal penulisannya. Bagi saya koleksi 117 sajak dan catatan ini paling telling –menjelaskan, mendedahkan sosok seniman bernama Zakaria Ali. Tulis beliau “Bahasa Inggeris yang diloghatkan oleh orang Texas, dinyanyikan oleh Dylan, ditukang oleh Rexroth, diprosa oleh Miller meluangkan ruang untuk saya berpuisi.”
Bagi saya Personae adalah work in progress yang membentuk seorang Zakaria Ali, yang mencorakkan citra dan nuansa kesenimanannya untuk masa-masa akan datang. Tanpa Personae yang dituisnya 50 tahun lalu kita tidak akan menemui Zakaria Ali hari ini.
Hari ini kita dihidangkan dengan sebuah lagi koleksi esei Zakaria Ali, Is That What You Mean?: Art and Literary Essays /Itukah Maksudmu?: Esei Seni Dan Sastera. Seperti juga Angsana: Essays on Modern Malay Literature, koleksi ini memuatkan esei tentang seni dan kesusasteraan. Kesemuanya 42 buah dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Saya senang sekali membaca Pendahuluan yang dibuat oleh Dr Azhar Ibrahim Alwee dari Jabatan Pengajian Melayu, National Univerity of Singapore, “Art for Eloquence, Zakaria for Elegance.”
Saya amat bersetuju dengan Dr Azhar bahawa “Zakaria Ali is a man of tulis/lukis” Tidak banyak yang terbentuk dalam tradisi ini – penulis/pelukis – Latiff Mohiddin, Sasterawan Negara Siri Zainon Ismail, A. Ghafar Ibrahim (AGI), Redza Piyadasa (Allahyarham), sekadar beberapa nama. Juga beberapa orang dari Kumpulan Anak Alam selain Latiff.
Izinkan saya membacakan satu petikan dari tulisan Dr Azhar yang saya rasa patut dikongsikan di sini:
“Zakaria Ali’s writings in this collection are more curatorial than sociological, although historical consideration is part of his delineation. In brevity, he charts a glimpse of biography and history of Malaysian art and artists. He writes not from a departure point of amission, but from the horizon of vision. There is hardly any toe of melancholia, bitter dissent nor celebratory ecstasy. His writings serenade his ideas, for many of which of his reflections are accomplished in the calm and idyllic Diamond Creek, where his home and studio stand.”
Apakah Zakaria Ali sudah berubah?
Teringat saya dialog ini dalam Empangan:
“Kau tak banyak berubah”, kata Daun Nadim. J berpaling, memandang muka Daun Nadim, berkata, “Kau pun samo, sedikit bonar yang berubah.” Kemudian dia tambah, “Kito berubah cumo tak perasan yo.” “Maksud kau roman muko. Hati tu sapa nan tau.”

Mungkin benar kata watak dalam Empangan itu. Mungkin Zakaria telah berubah dari zaman remanja di mana terhasilnya Personae hingga karya terbarunya. Tapi perubahan itu pada kebaikan, kehalusan, kematangan. Dalam koleksi terbaru ini yang kita lihat adalah puncak baharu dari kemampuan fikirnya. Dan saya percaya akan lebih banyak karyanya selepas ini, lebih baik, lebih ranum, lebih klasik.
Saya tidak berhasrat untuk menyentuh terlalu banyak tentang koleksi ii, biarlah para hadirin dan pembaca menilainya sendiri. Saya cuma ingin menraik perhatian pada skop atau liputan penulisanya dalam koleksi ini. Lihat sahaja apa yang dirakamnya dalam bahagian sastera, antaranya tentang Kassim Ahmad si filosof, tentag James Joyce dan tentang 100 tahun novel Ulysses. Kita akan diperkayakan dengan pemahaman mengenai masa depan seni, tentang Raza Azhar, Pulo Pilo, Shaimy, Yusoff Saad dan banyak lagi dalam bab seni.
Sekali lagi, saya menayanyakan diri saya, apakah saya menemui Zakaria Ali kesudahannya?
Jawaban saya begini. Pada tahun 1923, dramatis yang banyak mempengaruhi pembabitan saya dalam dalam dunia teater, Samuel Beckett menulis ungkapan ini, “the danger is in the neatness of identifications” Backett adalah penulis drama “Waiting for Godot” yang dikatakan memulakan tradisi teater absurd.
Maka banyaklah debat mentafsir kenyataan ini. Ada yang mengatakan beliau mengaitkannya dengan Finnegans Wake, atau mungkin juga merujuk pada intensiti perbicaraan mencari makna modenisme ketika itu. Tetapi ada yang berpandangan ayat itu ditujukan pada kesan beliau yang ketika itu berusia 23 tahun menemui novelis James Joyce. Mungkin kompleksiti James Joyce membetik penilaian beliau bahawa tidak mudah untuk untuk “menelusuri” penulis besar. Tidak mungkin sosok itu diidentifikasi dengan mudah, dan ada bahaya membuat identifikasi sebarangan.
Maka teringat saya pada Zakaria Ali yang berkelana di Amerika Syarikat (AS), ketika itu anak muda yang “menchaghi dighi nan sejati.” Saya tidak tahu apakah Zakaria Ali berjaya mencari kesejatian dirinya. Benarlah peringatan Aisyah Rais dalam Pengantar buku Personae, “it takes a lot to know a man” memetik dari seorang penulis Irish terkenal.

Mungkin pencarian itu belum berakhir. Dan Zakaria Ali akan terus berkarya, tanpa henti dan tanpa jemu. Biarlah Zakaria Ali memberikan makna pada kanvas kehidupan seni, budaya dan ilmunya, menurut acuannya sendiri. Saya mengenalnya sebagai sahabat dan saya mengagumi karya-karyanya. Ini tokoh besar dalam tradisi seni, budaya dan ilmu.
– Petikan Ucapan Tan Sri Johan Jaaffar sewaktu merasmikan buku Is That What You Mean?: Arts And Literary Essays/Itukah Maksudmu?:Esei Seni dan Sastera dalam Seminar Pemikiran Zakaria Ali: Projeksi Kritik Sosial anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) & Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM di Auditorium Rashdan Baba, UPM pada 18 Disember 2024.
— TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad terbitan bersama DBP dan Balang Rimbun Sdn Bhd yang melakarkan kisah pembabitannya dalam dunia seni selama lebih 50 tahun.


prof zakaria Ali adalah guru sepanjang hayat. saya belajar dgn beliau dan kagum dgn ulasan beliau yang sgt memotivasikan sehingga saya turut menjadi pelukis sehingga sekarang..
insta saya :ramli. samsuri. artist