SAYA tidak tahu siapakah yang perlu dicari dalam filem Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal, Datin Sofia Jane (yang membawakan watak Zaiton) atau “Ramlee”? Atau mungkin juga Zakaria (Tony Eusoff) yang “hilang” dalam keraguan dan rasa bersalah. Mencari Ramlee adalah filem tentang pencarian, tentang kegelisahan dan personaliti yang terbelah, tentang kehidupan yang dilapisi oleh kekaburan, misteri dan tandatanya.
Watak Zaiton bukan watak biasa. Watak ini kompleks, unik, bundar dan mendedahkan dirinya pada pelbagai tafsiran. Lebih penting lagi sifat pelbagai dimensi watak ini amat mencabar untuk dibawakan. Apatah lagi di tengah khalayak penonton yang sudah terbiasa dengan watak-watak sterotaip tentang wanita.
Saya sentiasa mengagumi Sofia Jane apabila beliau membawakan watak-watak yang “terganggu” (disturbed), keliru, separuh nanar, terseksa atau terluka.
Saya teringat pada watak-watak lakonannya – Zaleha, Mem dan Mawar – sebelum ini. Sejak mencipta nama sebagai Zaleha 32 tahun lalu dengan filem arahan U-Wei HajiSaari, Perempuan, Isteri Dan… beliau memberikan dimensi yang tersendiri tentang perwatakan wanita – bukan sebarang wanita – wanita yang sebenarnya boleh dibaca dalam konteks wacana feminisme. Juga wanita yang boleh dilihat sebagai simbol “pemberontakan” (rebellious characters).

Beliau berusia 20 tahun sewaktu muncul sebagai Zaleha dalam Perempuan, Isteri Dan….pada tahun 1993. Watak itu memeranjatkan. Baik tindakan mahupun gerakannya Zaleha menuai kontroversi. Itu bukan watak konvensional – bukan biasa-biasa sahaja. Beliau pernah berlakon dalam beberapa buah filem sebelum itu tetapi Perempuan, Isteri Dan ….”berbeza” sama sekali. Filem itu menggegarkan dan Sofia Jane mencipta nama sebagai pelakon muda yang perlu diperhatikan. Saya melihat lahirnya seorang pelakon luar biasa dalam filem itu, malah filem itu mendefinisikan Sofia Jane dan dijadikan ukuran watak-watak terbaik yang dibawakan selepas itu.
Dua puluh tiga tahun kemudian U-Wei mengajak Sofia Jane memainkan watak Mem dalam Hanyut. Hanyut merupakan adaptasi dari novel besar karya Joseph Conrad, Almayer’s Folly, yang juga salah sebuah novel Barat yang paling saya kagumi. Conrad yang berasal dari Poland banyak menulis tentang alam Nusantara. Selain Almayer’s Folly novel lain beliau yang berlatar belakangkan Nusatara adalah Lord Jim, An Outcast of the Islands, Victory dan The Rescue.
Novel Almayer’s Folly pertama kali terbit pada tahun 1895. Gaspard Almayer adalah seorang pedagang Belanda yang hidup dalam angan-angan untuk menjadi kaya. Di sisinya adalah seorang wanita Melayu, watak yang dijelmakan oleh U-Wei sebagai Mem versi Sofia Jane.
Mem dalam Hanyut sekali lagi merupakan watak wanita yang kuat. Mungkin bagi banyak orang, watak ini nanar, becok dan kelihatan dimangsai tetapi Mem adalah watak independen. Dia juga harus hidup dalam angan-angan Mat Jenin suaminya. Maka itu watak ini membina benteng protes yang tersendiri. Di tangan Sofia Jane,Mem menjadi watak unik dan segar.
Saya pernah menonton filem Almayer’s Folly arahan Chantal Akerman pada tahun 2011. Filem itu bagaimanapun memberikan perhatian lebih besar pada watak anak mereka, Nina (lakonan Aurora Marion). Anak kacukan Belanda-Melayu itu tentunya berdepan krisis identiti selain cemuhan rasis apabila bersekolah di Singapura. Tentulah tidak adil untuk membandingkan Sofea Jane dengan Sakhna Oum yang membawakan watak Zahira sebagai isteri Almayer dalam filem yang sepenuhnya dibuat di Kemboja itu. Namun yang jelas, Sofia Jane memberikan intensiti yang tidak kalah dengan Sakhna Oum. Malah dalam memperlihatkan kedegilan, amarah dan dendam tiada siapa yang boleh dibandingkan dengan Mem dalam filem U-Wei HajiSaari.
Saya juga terusik dengan lakonan Sofia Jane dalam Orang Itu yang bagi saya merupakan satu studi yang serius ke atas wanita yang terpinggir, mencari diri dan melawan badai kemiskinan untuk survive di tengah kota yang tidak mengenal belas kasihan.

Saya menyukai Mawar yang dibawakan dengan penuh kawalan (restrained) tetapi gerak dan ekspresinya memancarkan derita, kesakitan dan kekecewaan. Bagi saya Mawar adalah perwatakan yang paling kurang dihargai (under-rated) dalam sejarah sinema negara ini. Saya lebih senang disebabkan Orang Itu bukan sahaja mengetengahkan kenyataan kehidupan gelandangan di kota tetapi juga realiti masyarakat pelbagai kaum yang penuh prasangka dan bias. Aspek prasangka dan bias kaum ini juga menjadi intipati Hanyut.
Bagi saya, Sofia Jane yang memperlihatkan kematangan dalam Hanyut menjejak puncak kreativinya dalam Orang Itu. Kehadiran sinematiknya menjadikan filem kecil dan terabai itu sebuah klasik yang tersendiri. Sayang sekali Hanyut dan Orang Itu tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya. Kedua-dua filem itu bertunggakkan kekuatan Sofia Jane sebagai pelakon kelas dunia.
Sekali lagi Sofia Jane memberikan kita sebuah watak yang kompleks dalam Mencari Ramlee. Seperti juga Zaleha, Mem dan Mawar, Zaiton bukan dipetik dari stok watak sedia ada. Watak ini juga menjadi nuanced disebabkan oleh pembawaan Sofia Jane.
Kita sebenarnya mencari Zaiton yang mencari Ramlee. Zaiton yang bukan sebarangan wanita. Zaiton yang punya personaliti yang sukar ditanggapi dan di luar jangka. Maka itu watak ini penuh surprises.
Zaiton boleh berubah daripada orang yang dimangsai menjadi pemangsa. Beliau adalah personaliti yang pelbagai dan boleh ditafsir dengan pelbagai cara.
Mengapakah wanita yang mulanya nampak timid, tunduk dan akur pada adiknya, Yusof (lakonan Megat Sharizal) berubah kemudiannya? Apakah sebenarnya beliau wanita yang memendam rasa yang tidak tertanggung lalu menjadikannya separuh nanar? Apakah dengan membina khayalan tentang “Ramlee” yang dipujanya menjadi jambatan hayatnya?
Atau apakah sebenarnya Zaiton secara cerdik menyerat semua orang ke dalam dunianya – dunia dendam, kecewa, fantasi dan kabur?
Dalam Hanyut, Mem terserat pada khayalan suaminya dan kecelaruan anaknya. Dalam Orang Itu, Mawar memendam rasa dan menampilkan kadar toleransi dan kesabaran luar biasa. Dalam Mencari Ramlee, Zaiton adalah kedua-duanya – bom jangka yang meledak apabila dirinya yang sebenar terdedah.

Apakah imej watak yang terganggu, teraniaya dan dimangsai itu sebenarnya tidak lebih “lakonan” seorang Zaiton? Lalu dia berjaya menyeret setiap orang yang dekat dengan diriya pada dunia khalayal yang diciptakan untuk dirinya sendiri? Pada akhirnya Zaiton menjadi Katherina dalam drama terkenal Shakespeare The Taming of the Shrew. Watak isteri Petruchio yang sukar “dijinakkan”. Dalam konteks Mencari Ramlee, Zaiton lebih berbahaya daripada Katherina.
Saya juga melihat persamaan psikologi watak Zaiton dengan seorang yang danggap gila yang disorokkan di atas loteng (attic) dalam novel Charlotte Bronte berjudul Jane Eyre. Isteri watak Rochester yang bernama Bertha Mason disimpan bagi menjauhkannya dari orang banyak. Watak ini selamanya dilihat sebagai watak yang dimangsai oleh suaminya demi memastikan nama baik dan kebangsawanannya terpelihara. Bertha memalukannya dalam konteks kelas dan darjat.
Tetapi daripada pandangan penelaan feminis, Bertha menjadi lambang baharu. Dalam kajian dua sarjana Sandra Gilbert and Susan Gubar di dalam buku mereka The Madwoman in the Attic: The Woman Writer and the Nineteenth-Century Literary Imagination, Bertha menjadi simbol penentangan wanita ke atas patriaki (pengaruh/kuasa dominasi kelelakian). Selama ini wanita hanya menjadi sub-teks dalam sastera yang didominasi oleh lelaki. Tetapi bagi Gilbert dan Gubar, Bertha menjadi watak sah atau legitimate untuk menggambarkan penanggungan dan sekaligus penentangan terhadap lelaki khususnya dalam novel-novel Inggeris abad ke-19.
Orang seperti Bertha dikenalpasti senagai contoh apa yang disebutkan sebagai literary palimpsest atau double-voiced text. Dalam konteks ini ada sub-teks feminis dalam penceritaan yang konvensional.
Saya lebih cenderung melihat Zaiton dalam konteks itu. Dalam era yang lelaki mendominasi agenda dan narasi seperti yang tergambar dalam era filem Mencari Ramlee, sub-teks pemberontakan itu semakin jelas. Kemuncak filem ini – tindakan Zaiton yang sama sekali di luar jangkaan – membuktikan hal itu.
Orang yang “melindunginya” selama ini (atau lebih tepat memenjarakannya) bukan di loteng seperti Bertha tetapi di tengah kemewahan – dibunuhnya. The madwoman dalam novel Jane Eyre kali ini adalah retribusi Zaiton ke atas mereka yang memenjarakannya dan yang mengambil mudah ke atasnya.
Atas alasan itu, saya menghargai usaha pembikin filem Mencari Ramlee untuk memberikan kelainan dalam sinema Malaysia. Saya memberikan pujian pada semua pelakon yang memberikan yang terbaik untik filem ini. Tony Eusof seperti biasa tidak pernah menghampakan, malah luar biasa dalam filem ini. Zakaria di tangannya amat meyakinkan tanpa gesture berlebihan beliau memberikan sesuatu yang amat Istimewa.

Mimi Lana (sebagai Yasmin), Han Zalini (Salleh) dan Abi Madyan (Joned) membantu memberikan filem ini nuansanya yang tersendiri.
Saya juga pasti bahawa penonton turut terhuja dengan penampilan istimewa (cameo) Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Anas Ridzun, Bront Palarae, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Vanidah Imran. Perlukah saya sebutkan penampilan khas dalam babak kolam mandi oleh penerbitnya, Syahid Johan (anak kedua saya yang juga penerbit filem ini)? Rojak tidak sempurna tanpa kuahnya. Penampilan mereka merupakan rojak luar biasa untuk semua penonton.
Filem ini menggunakan judul “Ramlee” – tokoh perfileman dan muzik lagenda, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Filem ini bukan tentang Allahyarham tetapi tentang pengaruh beliau yang tidak pernah pudar dalam dunia sinema dan muzik negara. Bukan Zaiton sahaja yang obses terhadap Allahyarham tetapi kita semua – yang mewalkili pelbagai generasi. Maka itu, wajarlah dimunculkan juga sebagai penampilan khas cucu Allahyarham dalam filem ini – Najua P.Ramlee.
Syabas pada pengarahnya, Megat Sharizal yang pertama kali mengarahkan filem. Filem ini khabarnya menjadi pilihan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) baru-baru lalu. Bukanlah filem ini sempurna tetapi dalam ketidaksempurnaan itu, Mencari Ramlee memberikan sesuatu yang unik dan istimewa.
Mencari Ramlee adalah filem wajib tonton untuk setiap pendukung dan pencinta filem Malaysia.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah penulis skrip, pelakon dan pengarah teater. Beliau dinobatkan sebagi Pengkritik Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia yang pertama pada tahun 1981. Beliau adalah Ketua Juri Festival Filem Asia-Pasifik tahun 2005 di Kuala Lumpur. Johan juga adalah Tokoh Wartawan Negara.
