TERUS terang, saya agak skeptikal terhadap Mencari Ramlee ketika pertama kali mendengar judulnya. Filem yang cuba mendekati sosok sekompleks P. Ramlee, tokoh yang sudah terlalu banyak disentuh, ditiru, malah disalah tafsir sering kali terperangkap dalam glorifikasi atau nostalgik ringan. Tambahan pula, dalam iklim filem semasa yang kerap bermain selamat, saya tidak menjangka keberanian sebenar akan lahir daripada sebuah filem yang membawa nama seberat itu. Namun apabila diumumkan bahawa Mencari Ramlee terpilih dalam kategori Harbour International Film Festival Rotterdam (IFFR) 2025, persepsi saya sedikit sebanyak berubah. Pertama kali saya mendengar tentang projek ini adalah daripada pengarahnya sendiri, Megat Sharizal, beberapa minggu sebelum penggambaran bermula. Daripada butiran yang dikongsi, saya sudah dapat mengagak bahawa ini bukan filem debut yang mudah. Tapi saya juga tahu, untuk menilai dengan jujur, saya perlu menanggalkan semua keakraban dan kepercayaan awal itu. Maka saya elakkan daripada bertanya lanjut. Saya memilih untuk menontonnya dengan fikiran kosong dan ekspetasi tinggi supaya penilaian saya lahir bukan daripada keakraban, tetapi daripada apa yang benar-benar muncul di layar.
Mencari Ramlee, seperti yang sering ditegaskan Megat, bukan filem biopik tentang seniman agung P. Ramlee. Ia lebih bertujuan menyelongkar obsesi kita terhadap nama itu sendiri. Filem ini tentang Zakaria (lakonan Tony Eusoff), seorang impersonator P. Ramlee, yang lebih daripada sekadar peminat fanatik. Dia menjadikan peniruan itu sebagai jalan hidup, sumber pendapatan, dan identiti. Dia hidup sebagai bayang seorang legenda yang meninggal dunia ketika sedang dilupakan bukan di puncak, tetapi ketika dalam kejatuhan. Namun filem ini tidak menghukum Zakaria. Sebaliknya, ia mengheret kita masuk ke dalam retak jiwa seorang lelaki yang menggadaikan dirinya untuk menjadi ‘ikon’, dan dalam proses itu melupakan identitinya sendiri. Filem ini perlahan-lahan membina momen kesedaran melalui satu babak penting iaitu babak mimpi selepas Zakaria dipukul dan ditinggalkan di tepi jalan. Dalam ‘buangan’ itu, dia bertemu Ramlee atau lebih tepat, Teuku Zakaria. Satu pertemuan senyap tetapi padat dengan perenungan. Ia bukan mimpi penyelamat tetapi adalah pertemuan untuk menyedarkan bahawa menjadi Ramlee bukan tentang luarannya, tetapi tentang keberanian untuk mencipta bahasa sendiri. Ia adalah roh penciptaan yang terhasil daripada pengamatan, penyerapan, dan keberanian mengolah kembali dunia.
Persoalan ini adalah inti yang mengikat keseluruhan naskhah. Dan penataan seninya menjadi medan pengukuh kepada wacana tersebut. Mencari Ramlee tidak bermain-main dengan estetika retro sebagai hiasan. Ia bukan filem yang sekadar mahu kelihatan ‘70-an’. Setiap tekstur, cahaya, bingkai dan pergerakan kamera terasa seperti dibina dengan kesungguhan seorang peminat sinema, bukan hanya penggila nostalgia. Ada muzikaliti visual yang nyata, dari ruang tamu Zaiton yang ditampal poster klasik seperti Sunset Boulevard, Don’t Bother to Knock, dan Some Like It Hot, hinggalah ke pentas teater tempat dunia mimpi dan realiti bersilang. Penataan seninya tidak begitu dilihat murah, sebaliknya penuh ketelitian. Ini bukan filem yang dibuat untuk nampak seperti zaman 70-an, tetapi filem yang memahami bahawa setiap elemen seni visual adalah sebahagian daripada makna.

Muzik latarnya dari sentuhan Pitahati, kedengaran hidup dan segar dengan lapisan ritma dan nuansa bunyi yang mencerminkan ketegangan emosi, inspirasi P. Ramlee, dan perjalanan jiwa watak-watak di dalamnya. Tetapi ada detik tertentu ia terasa terlalu ke depan atau mungkin saya sendiri sudah terbiasa dengan dunia bunyi yang senyap dan tertapis dalam filem mutakhir ini. Tapi keseluruhannya, reka bunyi filem ini tidak hanya berfungsi sebagai latar, tetapi sebagai lapisan naratif, ia menyanyi, ia merintih, ia memberi isyarat. Itu nampak masuk sekali dengan filem ini.
Tulang belakang naskhah ini bukan sahaja Zakaria, tetapi juga Yasmin (lakonan Mimi Lana), satu watak yang mewakili suara kelompok yang jujur dan tegas. Dalam satu babak latihan teater dalam naskah Tuah dan Jebat, Yasmin dilihat hilang sabar dengan sikap pelakon yang sambil lewa dan tidak profesional. Dia percaya bahawa seni harus lahir daripada prinsip, serius dan berwawasan. Dalam dirinya terkandung idealisme generasi yang ingin bebas dari bayang mitos dan nostalgia. Yasmin ialah tiang moral filem ini. Sementara di hujung yang bertentangan, berdiri Yusuf (dimainkan sendiri oleh Megat) yang namanya sahaja mungkin secara kebetulan sudah mengingatkan kita pada figura, legasi, dan kuasa dalam dunia sinema tempatan. Yusuf dalam filem ini adalah seorang kapitalis, pembodek, lintah darat dan digambarkan juga mafia dalam industri seni kreatif. Dia antagonis sejati naskhah ini, bukan hanya kerana sifatnya yang cruelty, tetapi kerana dia mewakili sistem yang mempercayai seni sebagai komoditi. Dalam satu adegan awal, dia menyembelih seekor ayam jantan iaitu satu imej simbolik yang terus melekat sebagai sacrificial trope yang mengisyaratkan bagaimana Zakaria (dan mungkin juga Ramlee) bakal menerima nasib yang sama. Sama ada dikorbankan demi kekuasaan, demi mitos, demi sistem.

Satu sisi kecil tetapi menarik dalam filem ini ialah kehadiran dua watak kanan kepada Yusuf iaitu Salleh (lakonan Han Zalini) dan Joned (Abi Madyan). Kedua-duanya digambarkan sebagai tangan kanan dan kiri kepada kuasa yang korup; mereka adalah alat sistem, tetapi juga individu yang seperti terperangkap dalam kontradiksi peribadi. Tindakan mereka ganas, dingin, mekanikal tetapi ada detik-detik kecil (cara Salleh merenung, cara Joned membisu) yang memberi isyarat bahawa mereka bukan sepenuhnya rela. Nama mereka Salleh dan Joned kalau digabungkan, tidak boleh tidak mengingatkan kepada Salleh Ben Joned, penyair, penulis, dan pemikir yang dikenang sebagai rebel, provokatif, dan selalu dalam tarik tali antara kebebasan dan struktur. Mungkin ini disengajakan atau sebagai tribut halus kepada roh pemberontakan yang terpenjara, atau mungkin sebagai isyarat kepada bagaimana seni dan kuasa sering kali bersekongkol dalam senyap. Apa yang lebih mencurigakan ialah bagaimana kedua-dua watak ini tidak diberikan sebarang penebusan atau pengakhiran yang jelas. Mereka tidak mati, tidak dihukum, tidak insaf atau dalam erti kata lain, tidak diberikan poetic justice, malah mereka hampir-hampir ghaib dari naratif utama di penghujung filem. Mungkin ini disengajakan untuk menunjukkan bahawa sistem kekuasaan dan ‘penjaga’nya tidak pernah benar-benar mati, atau dalam bahasa dramaturgi, mereka dibiarkan tergantung (unresolved archetypes) dalam struktur cerita satu lubang hitam yang menelan tetapi tidak ditelan. Dalam konteks ini, Salleh dan Joned menjadi lebih daripada sekadar sidekicks, mereka adalah cerminan sistem yang tak putus, yang mungkin sedang menunggu peluang untuk naik semula dengan wajah baharu.
Namun yang paling menggugah saya ialah watak Zaiton yang dimainkan oleh Sofia Jane. Dalam dirinya terpantul sejarah. Ruang tamunya yang dikelilingi poster filem klasik tidak hanya menunjukkan citarasa global tetapi ia juga adalah rakaman jiwa. Zaiton bukan hanya peminat seni tetapi juga adalah pencinta yang faham. Dia tahu tentang Marilyn Monroe, tentang Norma Desmond, tentang Rashomon. Malah, dari cara dia berdandan dan melontar pandangan, kita dapat rasa pengaruh Monroe meresap ke dalam dirinya. Dia juga tahu bagaimana Ramlee mengambil dari dunia Hollywood, dari Akira Kurosawa dan menjadikannya milik kita. Dengan pengetahuannya yang luas itu, dia tahu kenapa Ramlee hebat kerana dia meminjam dari dunia, dan memulangkannya dalam bahasa sendiri. Bagaimanapun, perbincangan sinema dengan pengulangan nama-nama tokoh dan filem yang sama bersama Yasmin terasa agak didaktik, kerana hakikat tentang kepekaan dan kedalaman pengetahuan mereka sudah pun jelas sejak awal.

Zaiton bukan hanya kakak Yusuf yang sakit dan membebankan, tetapi juga arkib perasaan dan ingatan, satu peringatan bahawa seni yang agung tidak datang dari semangat sempit, dan materialistik semata, tetapi dari ilmu, fikiran terbuka dari pertembungan lintas budaya yang diterjemah dengan jiwa lokal. Untuk mengukuhkan lagi peranannya sebagai figura arkib dan mitos, filem ini menampilkan adegan surealis, seekor burung merak di halaman rumah kampung Melayu yang kemudiannya berubah menjadi Zaiton. Imejnya kuat, dan hampir mistikal. Ia bukan hanya pelik, tetapi mengganggu dan simbolik seolah-olah menyatakan bahawa Zaiton ialah satu metafora yang lebih besar daripada yang kita sangka.
Namun satu bahagian yang sedikit mengganggu ialah pengenalan motif batik. Hanya pada suku akhir naratif kita diberitahu bahawa Zakaria, dalam penyamarannya sebagai Ramlee, memiliki kemahiran mencanting batik. Pendedahan ini terasa agak tergesa dan tidak cukup ditanam sejak awal, seolah-olah cuba memperkenalkan sisi lain Zakaria, bahawa dia juga seorang pencipta, bukan sekadar peniru. Adegan di mana dia menghadiahkan sehelai kain batik kepada Zaiton, yang kemudian digayakan dengan anggun pada malam mereka ke kelab, memang visualnya memikat. Namun secara dramatik, ia kurang berakar dan hadir lebih sebagai gestur simbolik yang lewat. Jika unsur ini diperkenalkan lebih awal atau dikembangkan dengan lebih konsisten, ia boleh memperkukuh tema penciptaan yakni bahawa seni bukan sekadar tiruan luaran (seperti lakonan Zakaria sebagai Ramlee), tetapi sesuatu yang dicipta dengan proses dan jiwa. Dalam filem seperti Call Me By Your Name (2017) misalnya, di mana detik-detik kecil seperti bermain piano atau mencatat nota menjadi isyarat kepada dunia dalaman yang kompleks. Dalam konteks ini, motif batik dalam Mencari Ramlee juga mampu menjelma sebagai lapisan yang meresap lebih dalam, jika diberi ruang. Sebagai satu elemen visual, ia berhasil. Tetapi secara naratif, ia sedikit ada lopongan.
Filem ini ditutup dengan babak di atas pentas yang bukan hanya sebagai latar, tetapi sebagai medan pertarungan terakhir. Zakaria dibunuh Yusuf. Yusuf dibunuh Zaiton. Dan kita tidak tahu, adakah ini benar atau pementasan teater? Satu perungkaian ambiguiti yang agak menyesakkan. Shot terakhir memperlihatkan Yasmin, tenang, memandang ke arah Zakaria dan Zaiton yang lengkap berpakaian tradisional Melayu dalam hitam putih. Diam. Tapi memandang dengan senyuman. Shot itu bagaikan foto lama yang hidup semula, potret yang mengandung makna tentang harapan. Kita tak diberi resolusi. Kita hanya diberi ruang untuk bertanya: siapa yang sebenarnya mati? Siapa yang masih hidup dalam bayang seni ini?
Mencari Ramlee ialah naskhah yang berani dan tidak play safe dalam situasi sekarang. Ia tidak sempurna, tapi ia saya anggap filem penting. Ia membawa kita menyoal kembali cinta kita terhadap lagenda dan bagaimana cinta itu juga boleh membunuh. Tapi saya tak terfikir sehingga kita perlu ‘mengebumikan’ lagenda itu. Filem ini ialah tragedi, ialah mimpi, ialah pementasan, ialah renungan. Ia mengingatkan kita bahawa sinema bukan hanya untuk menghidupkan kembali yang lama, tetapi untuk menggali apa yang belum selesai. Dan Ramlee bukan untuk ditiru dan diobseskan. Tapi untuk difahami, diperdebatkan dan diberi makna baharu. Kerana dalam kita mencari Ramlee, mungkin yang sebenarnya hilang ialah diri kita sendiri.
