JIKALAU hendak mengenal Mansor Puteh kenali Osman bin Mohamat dalam filem Seman arahan beliau. Dalam filem itu Osman adalah rebel with a cause – seorang pemberontak yang punya alasan. Dialognya sahaja sudah menunjukkan siapa Osman sebenarnya:
“Aku berdiri, berhadapan denganmu, tak gentar, tak ingin menapak ke belakang. Aku mara menentang. Sekarang juga buka langkah. Kita menguji. Aku dengan soldadu kekasihku dan kau dengan hasrat syaitanmu.”
Entah kepada siapa dialog ini disasarkan.

Itulah sebenarnya Mansor yang kompleks, keras, ganas, pemberontak, penggugah. Beliau bersuara tanpa kompromi. Tanpa bertapis. Dengan izin, without fear and favour.
Sejak pembikinan lagi kita diberitahu oleh beliau bahawa Seman adalah sebuah mahakarya. Sekiranya orang tidak menerima hakikat itu, itu masalah orang lain. Tapi bagi Mansor, Seman adalah karya filem terbaik di negara ini. Sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir saya percaya beliau masih meyakini hal itu.
Saya tahu komitmennya tentang Seman. Seman menjadi obsesi baginya. Seman adalah yang terbaik atau mungkin juga yang terburuk bagi sesetengah orang. Tetapi Seman itu Mansor dan Mansor itulah Seman.
Apabila filem Seman siap dibuat pada tahun 1986, beliau meminta izin untuk meggunakan rumah lama saya di Petaling Garden, Petaling Jaya untuk menayangkannya kepada kawan-kawan terdekat.
“Lima jam,” katanya. “Lebih kurang lima jam.”
Saya mengumpulkan kawan-kawan untuk menyaksikannya. Saya tahu banyak juga yang pada awalnya keberatan untuk menonton filem sepanjang itu. Saya meyakinkan mereka ada filem yang jauh lebih panjang daripada itu. Saya sebutkan mungkin kita menjadi sebahagian daripada sejarah – mana tidaknya menonton filem yang masa tayangannya paling panjang dalam sejarah sinema Malaysia.
Saya juga meyakinkan kawan-kawan terdapat sebuah filem sebelum itu yang panjangnya 48 jam. Filem itu berjudul The Longest Most Meaningful Movie in the World yang terbit pada tahun 1968. Ada pula filem sepanjang 27 jam berjudul The Burning of the Red Lotus Temple.
Jadi apalah lima jam bagi sebuah klasik!
Maka berkumpullah kira-kira 10 orang peminat fanatik filem di rumah saya. Silapnya mungkin kerana isteri saya memasakkan lauk asam pedas hari itu. Maka apabila filem itu ditayangkan menggunakan DVD, banyak yang sudah kekenyangan lalu terasa mengantuk.
Dipendekkan cerita, saya menjanjikan Mansor, akan mengadakan satu sesi tayangan untuk menghabiskan tayangan yang terhenti setakat sejam setengah hari itu.

Secara mudah saya berani mengatakan bahawa Seman adalah sebuah klasik yang paling sedikit ditonton orang. Saya tidak pasti filem lakonan Nordin Kardi (yang kemudiannya menjadi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia) dan Hisham Ahmad Tajuddin (Allahyarham) itu pernah ditayangkan di panggung.
Filem itu kompleks, sekompleks pengarahnya, sekompleks watak-wataknya. Saya mengaku bahawa mungkin saya salah seorang manusia di bumi ini yang menghabiskan menontonnya kemudian. Mansor memberikan saya satu salinan DVD dan saya mengambil masa beberapa bulan dengan cara perlahan-lahan menontonnya. Saya tidak tahu versi mana yang saya tonton, Mansor berkata filem itu punya banyak versi – director’s cut, original, condensed dan entah apa lagi.
Saya menganggap filem itu lebih daripada sekadar sebuah filem. Filem itu adalah penyataan (expression) diri yang kuat. Ada kecenderungan Mansor untuk membuktikan siapa sebenarnya dia, lulusan bidang perfileman dari salah sebuah sekolah filem terbaik di Amerika Syarikat (AS).
Saya teruja dengan penggunaan puisi yang sangat popular dalam tradisi oral orang Melayu yang digunakannya pada awal filem:
Suruh makan dia makan. Suruh mengaji dia tak tahu.
Sekali lagi saya tidak pasti apa motif memasukkan ungkapan yang berbaur sindiran itu. Saya pasti ada kaitannya dengan protes terhadap keadaan perfileman semasa ketika itu. Seman adalah filem yang digunakan oleh Mansor untuk membuat statement.
Mansor amat kritikal terhadap industri filem tempatan, terhadap pemainnya, tokoh-tokohnya dan lebih-lebih lagi badan yang diamanahkan untuk memajukan filem (dibaca: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau Finas). Sikap keras dan tanpa komprominya kita tahu, kita baca, kita dengar dan kita lihat.
Saya percaya imej yang digunakan oleh Mansor dalam filemnya adalah disengajakan. Beliau memulakannya dengan penulisan sebuah jurnal dan kemudian menunjukkan tempat tinggal watak utamanya Osman. Watak Osman adalah “seorang anak muda sebatang kara, yang terpelanting di atas sebuah muka bumi bertuah.”
Seyogia diingat Seman mengekalkan ejaan rumi lama mungkin dengan tujuan menempelak tradisi kebahasaan bangsanya sendiri.
Seperti watak dalam filemnya, Mansor adalah seorang pencari, seorang gelandangan ilmu, seorang petualang seni. Lebih penting lagi Osman adalah nasionalis tulen yang ayahnya sendiri menjadi mangsa penipuan. Di tanah bertuah, anak bangsa menjadi kecil oleh kekecilan diri dan menjadi mangsa pembelitan kaum lainnya.
Seperti Osman, Mansor amat kritikal terhadap orang lain yang cuba merampas pemilikan kaumnya. Juga orang yang bersekongkol mengkhianati bangsanya sendiri.
Osman dalam Seman mendakwa bahawa dia “seorang pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara, yang punya agama, keluarga dan kebudayaan.”
Bagaikan menyahut seruan Kerajaan, Osman berkelana ke Jepun (memandang ke Timur) tetapi itu juga tidak memuaskan hatinya. Jepun negara maju yang rakyatnya bobrok oleh kemakmuran, kemewahan dan kejayaan. Dan di Hiroshima imej binaan berbaki akibat pengeboman AS pada tahun 1945 diselarikan dengan bangunan yang menjadi lambang dan legasi penjahanan Belanda di Melaka – Stadthuys.
Saya mungkin naif tentang filem walaupun saya menggilai filem. Saya menonton filem panjang dan pendek, filem seni dan komersil, filem yang riuh rendah dan yang senyap juga filem yang hebat dan karut dari seantero dunia.
Tetapi Seman mengelirukan saya. Ini bukan bermakna saya tidak menghargai filem itu. Cuma saya keliru. Bukankah kekeliruan itu juga reaksi seni yang tulen? Jangan salahkan saya. Teras filem itu juga tentang kekeliruan. Bukan sebarang kekeliruan. Kekeliruan cerdik yang mencabar.
Apakah Seman filem anti-hero? Apakah Seman filem alternatif? Apakah Seman sebuah lukisan visual dengan jaringan dan rantaian imejan yang sengaja mencabar minda? Apakah Seman wacana pascamoden yang pertama dalam sinema Melayu?
Biarlah Seman menjadi legasi Mansor yang abadi. Mungkin akan ada usaha untuk betul-betul menelaah filem ini. Atau mungkin juga akan ada pelajar dan sarjana filem yang akan menempatkan filem ini dalam kerangka perfileman tempatan.
Sepanjang ingatan saya terdapat beberapa buah tulisan relatif serius filem ini. Salah satunya dihasilkan oleh Hassan A. Mutalib dalam jurnal Academia. Judulnya “Naratif dan Narration Dalam Filem Seman arahan Mansor Puteh”. Walaupun Hassan juga menyentuh filem Joni Bikin Filem arahan Dr Anuar Nor Arai (Allahyarham) dan drama Tuk Perak (Datuk Syed Alwi) tetapi fokus perhatian Hassan adalah tentang Seman.
Pada 19 Oktober 2002, Dr Anuar Arai membentangkan kertas kerja berjudul “Mansor Puteh: Seman Sebuah Filem Peribadi” di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dr Anuar melihat Seman daripada kacamata pascamoden di mana filem itu “berada dalam ingatan putus, fragmented… waktu tidak dituntut dengan waktu kalendar. Waktu dituntut dengan emosi dan intelek.”
Dr Anuar pernah mengisytiharkan bahawa Seman adalah filem yang“15 years ahead of its time.” Mungkin Dr Anuar lebih memahami Seman daripada banyak orang. Filemnya sendiri Joni Bikin Filem tidak kurang kompleksnya, tidak kurang mengelirukan.
Sewaktu Dr Anuar meninggal dunia pada 20 Januari 2010, saya menulis sebuah rencana dalam kolum saya di akhbar New Straits Times ketika itu. Rencana itu berjudul “Anuar – the Man and the One Movie No One Has Seen” tersiar pada 30 Januari. Saya sekuliah dengan Dr Anuar. Walaupun beliau mantan guru (mahasistua) dan 10 tahun lebih tua daripada saya tetapi persahabatan kami amat akrab. Kami sama-sama aktif di pentas teater di Universiti Malaya pada tahun-tahun 1974-1977.
Beliau kemudiannya membuat PhD di University of Southern California (USC) di AS dalam bidang teater dan perfileman. Seperti juga Seman, Joni Bikin Filem panjangnya lebih lima jam. Seperti juga Seman, filem ini autobiografikal sifatnya. Seperti juga Osman dalam Seman, watak Joni adalah watak individualistik. Dan seperti juga Seman, Joni Bikin Filem paling sedikit ditonton. Dan seperti juga Mansor Puteh, Dr Anuar adalah orang yang bercakap tanpa tapisan, menyuarakan padangan lantang dan tegas, lalu dalam banyak hal, tidak disenangi.
Saya mengenali Mansor sejak di Universiti Malaya lagi. Seingat saya beliau dan sekumpulan pelajar dari Institut Teknologi Mara (ITM) datang ke UM untuk menemui saya. Mereka sedang menyiapkan tugasan mengenai teater. Salah seorang daripada mereka adalah Zainon Isa yang menemuramah saya. Pada dasarnya mereka ingin tahu tentang proses kreatif drama saya “Kotaku Oh Kotaku”. Drama itu dipentaskan sewaktu Malam Berbunga Sajak II persembahan Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) anjuran Badan Kebudayaan UM.
Saya begitu ingat pada seorang pelajar ITM yang bersama-sama dalam rombongan itu. Beliau bagaikan menjadi jurufoto rasmi kumpulan itu. Saya hanya diperkenalkan sebagai “Mansor.” Saya tidak tahu apa yang berlaku pada foto yang diambil pada hari itu. Mungkin juga tersiar dalam salah sebuah penerbitan pelajar di ITM.
Pada satu hari kira-kira 38 tahun kemudian melalui WhatsApp saya menerima beberapa keping foto dari Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam (Allahyarham). Saya terkejut mendapat foto itu. Saya tidak pernah tahu wujudnya foto itu. Dalam salah sebuah foto itu saya yang berambut gondrong difoto secara close-up. Dalam foto yang lain saya dan Zainon Isa sedang berjalan. Ada dua foto lain tentang pertemuan saya dengan pelajar dari ITM pada tahun 1975 itu.
Pada mulanya saya sendiri tidak percaya itu foto saya!

Demikianlah Mansor sejak di ITM lagi menjadi jurufoto tidak rasmi, merakamkan pelbagai kegiatan dan manusia. Sewaktu saya bekerja di DBP, Mansor selalu datang ke majlis-majlis DBP. Pada tahun 80-an bersama beberapa orang kawan, saya menggerakkan siri “Dialog Cerdik.” Kami mengadakan siri perbahasan tentang seni, budaya dan sastera. Ada ketikanya Mansor akan menjadi salah seorang pembicara. Tetapi selalunya beliau di situ untuk merakamkan majlis perbicangan itu.
Seingat saya oleh sebab sesi Dialog Cerdik itu bukan acara rasmi DBP maka Unit Jurufoto DBP tidak dihantar untuk merakamkannya. Satu-satunya foto yang masih kedapatan mengenai peristiwa itu dirakamkan oleh Mansor.

Mantan petugas veteran Utusan Melayu juga bertemu di sebuah gerai mamak di Jalan Masjid India. Ini tradisi yang dimulakan oleh Zam sejak tahun 1999. Setiap pagi Ahad mereka akan berkumpul di situ dari jam 7.00 hingga jam 9.00 pagi. Saya sering juga ke sana lebih-lebih lagi setelah saya meninggalkan Media Prima Berhad pada bulan Ogos 2015. Saya juga semakin rapat dengan Zam sehingga ke akhir hayatnya. Selain daripada mantan petugas Utusan Melayu beberapa orang teman-teman wartawan dari syarikat media yang lain juga sering ikut serta.
Mansor juga sering hadir. Lagipun beliau memang sebahagian keluarga Utusan Melayu. Beliau pernah menjadi wartawan Utusan Melayu sebelum ke AS. Dan seperti biasa, beliau tidak banyak bercakap. Hanya kameranya yang bekerja. Tidak seperti orang lain yang merakamkan peristiwa dengan kamera pintar, Mansor akan menggunakan kamera digitalnya. Demikian juga apabila saya mengadakan majlis di rumah, Mansor akan datang dan tanpa diminta merakamkan pertistiwa yang berlaku.
Beliau selalunya akan memberikan saya fail foto yang diambilnya. Foto Mansor bukan seperti foto jurufoto yang lumrah. Beliau melihat dunia dari lensa kamera. Agaknya percubaan Mansor tidak berakhir di filem tetapi juga dalam foto yang diambilnya di rumah terbuka atau di majlis kawan-kawan.
Saya tidak tahu betapa kayanya koleksi foto dalam simpanannya.
Memang Mansor agak luar biasa. Saya selalu ditanyakan tentang Mansor sebagai “kawan”. Jawaban saya selalunya, dia bukan kawan yang senang. Tetapi idiosyncrasies itulah yang membezakan beliau dengan yang lain. Beliau seorang kawan yang tidak semestinya menyetujui apa sahaja yang kita lakukan. Dia boleh jadi lebih kritikal terhadap kawan daripada orang lain.
Selama lebih 49 tahun saya mengenalinya, saya tidak mengaku rapat dengannya. Tetapi kami sudah terlalu mengenal satu sama lain dengan cara kami sendiri. Saya menghormati pandangannya. Dan beliau banyak tidak bersetuju dengan pendirian saya. Pemahaman inilah yang menjadi teras persahabatan kami sekian lama.
Seminggu lalu beliau menyebutkan ingin menemui saya untuk bercakap tentang 100 buah buku yang sedang dikerjakannya. Dalam hantaran WhatsApp bertarikh 4 April yang lalu beliau menunjukkan poster digital bertulis “Mansor bin Puteh Creates an Unusual World Record by Publishing 100 Titles of Books in Melayu and English.” Salah satunya adalah novel berjudul Hussain and the Story of An Island.

Beliau meninggal dunia secara tragis pada pagi Ahad 7 Julai 2024 dalam satu kemalangan jalan raya.
Beliau boleh disukai dan dibenci. Bergantung pada siapa yang kita tanyakan Mansor boleh jadi angkuh, narcissistic, syok sendiri, tak menghormati orang lain, perasan, nanar dan entah apa lagi. Atau beliau seorang genius, hebat dan luar biasa.
Mansor akan sentiasa menjadi misteri malah enigma, seorang penulis dan seniman yang jauh lebih kompleks dari watak yang diciptakannya dalam Seman. Biarlah sejarah seni dan penulisan yang menilai beliau.
Al Fatihah.
• TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah mantan penulis naskhah, pelakon dan pengarah pentas. Beliau telah merakam pengalaman 50 tahun dalam dunia seni dan budaya dalam Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad.

Terima kasih sdr Johan, kerana penyerlahan watak seorang yang tidak mudah, dan dengan falsafahnya sendiri.