MEMBACA apa saja yang ditulis oleh penulis wanita adalah melemaskan. Kamu akan dipaksa melayani sakit senggugut, depresi dan mungkin juga sakit bipolar serta segala macam penyakit yang mereka analisa sendiri melalui internet. Penulis wanita sangat suka berkongsi derita yang entah sungguh atau sekadar mahu meraih perhatian.
Itu perempuan yang ada pasangannya. Yang pernah berkahwin pula akan sibuk jadi feminis.
Ianya sangat membebankan fikiran kita dan kita yang manja ini pun merasa tertekan. Ianya menjadikan kita seorang yang berfikir dan kita tidak mahu begitu. Hidup adalah hiburan dan senda gurau. Nikmatinya dan ianya akan membuatkan kamu lebih mudah untuk menjalani yang lebih sempurna.
Jika boleh memberi nasihat, kami akan sarankan kepada mereka untuk ke hospital. Setelah disahkan benar-benar sakit dan dibekalkan dengan ubat-ubatan, setelah usai sembahyang Isya, baca al-Quran. Setelah itu makan sedikit. Yang eloknya jika tidak mahu segera gemuk seperti kami, makan buah-buahan.
Ianya juga adalah saranan semua pakar pemakanan.
Selesai semua itu, makan ubat dan tidur. Waktu yang paling sesuai untuk tidur ialah jam 9:30 atau selewat-lewatnya jam 10:00. Ianya juga disarankan oleh pakar-pakar kesihatan.
Ianya adalah satu saranan yang teramat baik.
Jangan tulis sajak atau puisi selepas jam tersebut kerana kamu akan teruk dilayan perasaan jika kamu masih berdegil. Dan degil kamu itu akan merosakkan sistem alam dan juga sistem sastera seluruhnya.
Nanti setelah selesai sembahyang subuh, waktu akal kamu masih teramat siuman, menulislah semahu mu dan kau akan dapati dunia ini tidak berputar hanya kerana kamu ada di dalamnya.
Bukan, bukan kami menulis mengenai penulis buku Berjudi Kata oleh Morne Hashim. Ianya adalah saranan umum kepada semua penulis wanita.
Kepada penulis wanita sayugia juga kami cadangkan supaya kamu meneliti karya-karya Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail dan juga Zurinah Hassan untuk mengetahui mengapa mereka mendapat penghormatan tersebut.
Mereka juga adalah insan yang tersakiti. Namun beza kamu dan mereka adalah apa yang menyakitkan mereka.
Mengenai buku Berjudi Kata.
Pertama-tama buku ini kalah bertaruh apabila memilih kulit yang sedemikian rupa. Betul jika kamu mengatakan bahawa ‘buku tidak dilihat pada kulitnya’ namun untuk memikat, perempuan pasti melakukan apa saja dalam hal menghias diri. Kulit buku ini tidak dihias dengan baik.
Ianya tergesa-gesa dan agak mengecewakan. Kerja yang baik adalah hasil usaha ramai orang. Bersendirian akan membuatkan kita dibuai keagungan diri. Jika kamu benar-benar mahu berjaya, berkongsilah apa yang kamu usahakan.
Kita ada ramai pereka kulit buku yang baik maka cari dan bekerjasama dengan mereka. Lalu kamu akan dapati ianya adalah khabar gembira untuk penggemar buku.
Ilustrasi yang dibekalkan untuk buku ini juga masih dengan gaya gambar yang mengiringi buku-buku sajak dan puisi sejak beberapa lama dulu. Kita akan dibawa kepada kenangan membaca sajak dan puisi pada zaman awal penerbitan mana-mana majalah terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).
Berjudi kata adalah catatan peribadi. Ianya sepertimana kamu diberi peluang atau mungkin juga mencuri-curi baca diari peribadi seseorang.
Kamu dibawa masuk ke dalam hati seseorang yang selama ini kamu lihat dari jauh. Lalu dari situ kamu akan suka atau tidak, mengenal sosok yang satu ini.
Ianya adalah sebuah buku mengenai perjalanan lelah seorang wanita. Seperti apa pun yang dicuri, kamu juga akan merasa bersalah kerana masuk ke lubuk jiwa seorang wanita yang sedang dirundung resah itu.
Untungnya, sebagai seorang yang beriman segala keresahannya diadukan kepada Tuhan seperti kata dia:
Tuhanku Tuhanku
kasihani hatiku
amat jauh tercerai
(Seratus Tahun ms:4)
Dan di mukasurat yang lain dia berkata:
Di sini
dikelilingi bunga dan rumput yang hampir mati
aku berserah
untuk hidup
sebagaimana mahu-Mu
(Aku Ingin Dipeluk. Ms20)
Mungkin kerana ianya tidak begitu meresahkan maka kami mengemari sajak Membeli Bahagia. Ada sedikit manusiawi dalam patah kata sajak berkenaan. Perhatikan bait-bait permulaannya ini:
Pagi ini aku ke pasar
Membeli Bahagia- sebungkus nasi lemak satu ringgit
sambal sotong kering
sesisir pisang emas
seikat ulam sabung nyawa.
Kamu boleh baca sajak ini sepenuhnya pada muka surat 29.
Selain dari itu seperti yang kami katakan tadi, buku ini adalah catatan peribadi yang dikongsi. Jika kamu suka melihat sisi romantis siapa saja maka kamu akan menyukai buku ini. Ianya akan membuai perasaan kamu dan lumatlah deritamu setelah selesai membaca bait-bait puisi yang dikarang dek kerana mencari keabadian serta keluhuran cinta ini.
Ianya mengingatkan bahawa bukan hanya kamu saja yang sering dikecewa cinta . Ianya juga satu penyataan bahawa selepas setiap tiga orang atau kurang, pasti kamu akan dapati bahawa ada insan yang pernah mengalaminya. Ianya juga akan mengingatkan kamu bahawa Galeri Puteh sebenarnya berada di tingkat 3 dan bukannya tingkat 4 seperti yang kamu tulis itu.

Dalam emosi perempuan mampu menghilang dahaga pecandu puisi. Jiwa halus diserap kepada puisi tulus jauh dari kepura-puraan.😁