MENJADI impian semua penyanyi untuk mengadakan konsert solo. Selain untuk meraikan populariti ianya juga adalah medan untuk si penyanyi membuktikan ketokohannya. Begitu juga dengan pelukis. Mengadakan pameran solo adalah sesuatu yang besar bagi seorang pelukis. Dengan mengadakan pameran tunggal itu, pelukis dapat memperkenalkan idea terbarunya kepada khalayak seni.
Dalam persembahan puisi,ini jarang berlaku.
Lama dulu, sekitar tahun 1982, Pyanhabib pernah mengadakan persembahan selama dua malam berturut di Panggung Drama. Persembahan yang diberi nama Pyanhabib: Puisi & Cerita berjaya menarik seribu penonton.
Selepas itu pada tahun 1990-an, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah mengadakan acara baca puisi solo ini, namun ianya tidak lama.
Masuk tahun 2000-an ini, adalah persembahan Jual Ubat oleh arwah Khalid Salleh arau Wak Khalid dan juga Mono-Lopong oleh Sani Sudin. Namun kedua-dua persembahan tersebut lebih dekat dengan kerja teater dari apa yang boleh disebut sebagai ‘konsert solo puisi’. Jual Ubat juga pernah dipersembahkan pada tahun 80-an dan Wak Khalid bawa Jual Ubat hingga ke Indonesia.
Pentas puisi biasanya jadi medan persembahan bersama beberapa orang pemuisi. Jarang atau hampir tidak pernah berlaku di negara kita dimana pemuisi mengadakan persembahan secara sendiri.
Kita mempunyai sekian ramai pemuisi yang hebat terutamanya dari kumpulan pemuisi generasi baru. Nama-nama seperti Omorq Iwan, Jack Malik, Petak Daud dan juga Aliff Awam sudah membuktikan kehebatan dan ketokohan mereka dalam mempersembahkan puisi-puisi mereka dengan amat bergaya.
Omorq misalnya sentiasa akan datang dengan idea-idea segar dalam persembahannya dan Jack pula dengan santai dapat menguasai penonton sepertimana penyair idolanya AGI.
-AGI (Abdul Ghafar Ibrahim) juga adalah seniman yang membuktikan bahawa hanya dengan ‘bertak-tun’ sahaja pun persembahan puisi itu bisa menarik pendengar untuk jadi lebih tekun-
Mereka tidak lagi hanya berdiri memegang kertas syair sambil membaca malah mereka giat berusaha untuk meninggalkan gaya lama dalam menyampaikan puisi itu. Dan mereka juga selesa untuk berteater sambil berpuisi.
Tokoh-tokoh pemuisi muda ini sepatutnya diberi peluang untuk mengadakan sebuah konsert solo puisi. Mungkin setelah itu majlis baca puisi tidak lagi dilihat sebagai satu acara sepele. Malah mana tahu nanti kita terpaksa membayar tiket untuk melihat aksi pemuisi.
Pemuisi cilik Rusmadi Kamal yang berbakat besar ketika ditemui bersetuju dengan cadangan mengenakan bayaran tiket untuk acara-acara puisi bagi mengangkat acara sedemikian kepada satu tahap yang lain. Dia juga berpendapat yang sudah sampai masanya kita semua meraikan penulis jika tidak lebih maka sama dengan bagaimana kita meraikan penyanyi dan pelakon misalnya.
“Penulis pun ada yang handsome,” tambahnya lagi.
Seorang pemuisi yang harus mengadakan konsert adalah Ali Adenan.
Si Kurus yang sangat mirip seorang penagih dadah ini mempunyai potensi untuk menyemarakkan dunia penyampaian puisi. Dia pernah beraksi bersama penyanyi folk terkenal dari Indonesia iaitu Jason Ranti dan juga berkoloberasi dengan penari kontemporari Hua Yi untuk satu persembahan di festival seni kreatif yang berprestij iaitu Urbanscapes.
Namun untuk persembahan di Urbanscapes tersebut, walau pun adalah baik, Ali yang ketika itu masih teragak-agak dengan diri sendiri telah membacakan sebuah sajak yang ditulis oleh Sang Burung Merak, Rendra.
Persembahan bersama Hua Yi itu boleh dilayari di laman You Tube dengan carian Ali Adenan x Hua Yi at urbanscapes.
Ini tidak dapat dielakkan kerana kita masih memandang yang sastera dari seberang itu lebih baik dari apa yang kita ada. Kenyataan itu mungkin benar namun adalah lebih baik jika Ali berhenti sebentar dari memberikan tumpuan kepada sastera sebelah sana dan mula melihat ke dalam diri dan sastera tempatan.
Dikir barat misalnya mempunyai segalanya. Dari melankolia kepada jenaka yang amat sensual. Dari airmata kepada cerita gelak ketawa . Bait-bait kata yang digunakan dalam dikir barat adalah sangat kaya perbendaharaannya dan seperti yang kita semua ketahui, ahli dikir adalah sejenis manusia yang hidup matinya adalah untuk ‘ddikir’.
Melalui pengamatan yang lebih teliti tentang budaya sendiri ,Ali mungkin akan lebih yakin untuk menyampaikan hasil tulisannya sendiri dalam persembahan-persembahannya yang akan datang.
Ali ada semua yang diperlukan untuk menjadi seorang bintang dalam dunia penulisan dan juga persembahannya . Dengan sedikit blues dan rock and roll dia mungkin akan dapat pergi lebih jauh dari apa yang dinikmatinya sekarang.
Ali boleh ditemui melepak tanpa tujuan di kedai kopi Ah Lee Dan Rakan Rakan di Jalan Wong Ah Jang Kuantan setiap hari.
