Saya kembali teringat mengenai tokoh drama Rusia, Anton Chekhov apabila menonton monolog Nyanyian Angsa di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada November lalu. Nyanyian Angsa adalah terjemahan Swan Song (1887), sebuah daripada lima naskhah drama karya Chekhov.
Monolog itu diarahkan oleh Dede Comex dipentaskan oleh kumpulan Comex Studio dari Bandung, Indonesia. Pementasan Nyanyian Angsa adalah salah satu daripada program Teater ASEAN yang diadakan di tiga negara – Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Nyanyian Angsa mengenai Svietlovidov (lakonan Bambang Suyatno) aktor tua yang sudah ditinggalkan zaman gemilangnya. Suatu malam dia terbangun dari tertidur di belakang pentas yang sunyi selepas pesembahan berakhir – lampu dipadamkan dan semua penonton sudah pulang.
Svietlovidov berlegar-legar dalam gelap yang hanya bertemankan cahaya dari sebatang lilin. Dalam kelelahan dan setengah mabuk Svietlovidov kembali mengingati dan menyedari dirinya yang sudah tua. Zaman gemilang sebagai aktor pujaan sudah berakhir.
Ternyata wain yang diteguk dan lebihannya dalam botol yang dipegang tidak mampu mengusir gumpalan-gumpalan kecewa yang mulai bersarang dalam dirinya – tentang usia, kesunyian dan rasa terbuang. Latar di belakang pentas yang serba hitam itu menambah suram pada perasaan Svietlovidov.
Muzik pelahan beransur-ansur mengisi ruang dan Svietlovidov terus menoleh masa lalu yang penuh gemilang dengan rasa sedikit cemburu. Tetapi kemudian nada suaranya seperti terluka pada hakikat sebuah kehidupan yang tidak pernah kekal. Kegemilangan yang beransur-ansur hilang.
Gema suara Svietlovidov tidak didengar sesiapa kecuali Nikita (lakonan Harya Prabu), pembantu pentas yang amat setia. Kecewa Svietlovidov makin tidak terbendung dan dia bagai terhukum oleh lumrah hidup yang fana. Semua yang bermula menemui titik akhirnya.
Dalam sunyi dia melihat ke dalam diri. Ungkapannya penuh jujur. Pentas yang dulunya mencipta kegemilangan menjadi cermin yang membiaskan hidupnya yang kosong. Svietlovidov menghantar masa gemilangnya pergi dengan keluhan yang berat – antara dengar dan tidak.
Monolog-monolog dari naskhah King Lear dan Othello karya Shakespeare yang pernah diucapnya kini membawa makna baharu yang begitu peribadi dan amat menyakitkan. Demikianlah konflik jiwa seorang aktor tua yang mulai disisih dunia seninya pada akhir abad ke 19.
Nyanyian Angsa bukan sebuah melodrama tetapi epskresi yang bergelora dari dalam diri. Ekspresi daripada rasa yang amat sakit itu tidak memujuk khalayak untuk ikut sedih. Naskhah ini berkisar tentang hidup yang fana –tidak ada yang kekal. Svietlovidov memujuk diri untuk memahami kefanaan itu tetapi tidak mampu.
Sekalipun sederhana plotnya, Nyanyian Angsa membawa renungan yang mendalam tentang kehidupan, seni dan kefanaan manusia. Melalui watak Svietlovidov, Chekhov menyampaikan konsep kefanaan yang menjadi inti falsafah dalam banyak naskhahnya.
Svietlovidov berbicara dengan diri sendiri dan juga Nikita tentang masa lalu, kejayaan, cinta yang hilang dan pengorbanannya demi seni. Dia tidak hanya menonjolkan kesedihan dan penyesalan, tetapi juga ada keindahan yang lahir daripada pengalaman sepanjang hidup.
Malam itu Svietlovidov seperti angsa dalam mitos Yunani kuno yang hanya bernyanyi sekali sahaja sepanjang hayatnya dan nyanyian itu menandakan detik kematiannya.
Daripada naskhah ini, Chekhov menekankan tentang kefanaan – semua kejayaan, pujian, dan kemasyhuran hanya bersifat sementara. Malah menyusuri jurang realiti yang terbina antara seni dan kehidupan, persona khalayak dan penderitaan peribadi.
Tidak semua aktor mampu melakonkan watak yang dicipta Chekhov dengan baik, kecuali memahami kaedah lakonan Konstantin Stanislavski. Kedua-dua pelakon itu memahami melahirkan pertentangan dalaman. Hasilnya lakonan kedua-duanya terkawal dan berpada-pada, tidak berlebihan.
Ketika berjalan keluar pentas akhir pementasan, Svietlovidov menyanyi, sama seperti angsa dalam mitos Yunani kuno sebagai mengekalkan makna keindahan sekalipun menuju kematian.
Aspek produksi dan pentasnya menarik – set yang ringkas tetapi sangat berperanan dalam mendukung keseluruhan monolog. Nyanyian Angsa kaya dengan perlambangan. Maknanya berlapis-lapis. Set belakang pentas adalah melihat kehidupan sebenar seorang aktor yang mungkin tidak dapat dilihat di depan pentas.


Chekhov dan realisme abad ke 20
Chekhov muncul sebagai tokoh penting yang mengubah daripada ledakan dramatik akibat konflik luaran pada pergolakan dalaman. Malah mengubah pertentangan yang penuh tragedi pada ironi yang berlaku kehidupan harian. Dia mencipta watak dengan kompleksiti tersendiri – kesunyian dan keinginan yang tidak tercapai.
Watak ciptaan Chekhov mendukung kehalusan psikologi, merasai dan menanggung getar pertentangan dari dalam diri. Masa yang sama dia memperkenalkan landskap dramaturgi baharu di mana konflik tidak lagi meledak dengan perebutan dan pertarungan kata-kata.
Sebaliknya bersembunyi di sebalik sunyi, dialog bertindih dan remeh yang membawa makna mendalam. Apa yang tidak diucapkan watak seringkali menjadi lebih penting daripada yang mereka lafazkan. Gaya dramatiknya pula mengalir perlahan, tenang, tetapi sarat ketegangan psikologi.
Chekov mendirikan estetika baharu yang menjadi asas kepada teater realisme yang psikologikal dan dengan dukungan kaedah lakonan Stanislavski seperti yang dimuatkan dalam buku An Actors Prepares (1936). Buku versi terjemahan Indonesia diusahakan oleh pengarah filem Asrul Sani berjudul Persiapan Seorang Aktor.
Gabungan Chekhov dan Stanislavski
Penghujung abad ke-19, sebahagian besar gaya lakonan pentas di Eropah masih berbentuk bombastik, retorikal dan penuh gaya melodrama. Dialog dilafazkan dengan lantang dan berlebihan. Stanislavski menolak pendekatan itu kerana percaya bahawa teater harus mencerminkan kehidupan sebenar yang tidak berlebih-lebih.
Pertemuan Chekhov dengan Stanislavski di Moscow Art Theatre mengubah bentuk teater Rusia termasuk gaya tradisi lakonannya. Kaedah lakonan berasaskan psikologi oleh Stanislavski menjadi asas lakonan teater di seluruh dunia. Sebahagian besarnya bertolak daripada kaedah Stanislavski membaca dan menghidupkan naskhah Chekhov.
Karya Chekhov menghubung antara realisme abad ke-19 dan modenisme abad ke-20 yang melahirkan tokoh seperti Tennessee Williams, Samuel Beckett, Harold Pinter dan banyak lagi. Tokoh-tokoh kontemporari kembali kepada Chekhov untuk mencari makna di sebalik kesunyian pentas.
Stanislavski pula memerlukan medan untuk menguji dan mematangkan kaedah lakonannya. Di situlah peranan Chekhov dalam mendukung kaedah lakonan atau ‘method acting’ yang diasaskan Stanislavski.
Naskhah Chekhov menolak konflik dramatik tradisional dan menampilkan kehidupan biasa yang tenang tetapi penuh pergolakan dalaman. Wataknya bercakap tentang perkara biasa, tetapi menyembunyikan kesedihan, berdiam dan berperang dengan impian yang hancur.
Naskhah seperti itu memerlukan pelakon yang merasa, bukan berpura-pura. Kehalusan psikologi Chekhov memaksa Stanislavski merombak teknik lakonan dan mencari pendekatan baharu yang lebih realistik.
Chekhov menuntut pelakon memahami motivasi yang tersembunyi, keheningan dan emosi yang berlapis. Hal itu seiring dengan kaedah lakonan Stanislavski yang berasaskan proses dalaman. Pelakon-pelakon Moscow Art Theatre yang dilatih oleh Stanislavski mampu mendedahkan kesunyian yang tragis dan humor yang melankolik daripada naskhah Chekhov.
Ternyata tanpa Chekhov, Stanislavski mungkin tidak menemui naskhah yang menuntut realisme psikologi sedalam yang dimahukan. Tanpa Stanislavski, naskhah-naskhah Chekhov pula terus dianggap ‘tidak dramatik’ seperti yang berlaku pada pementasan awal The Seagull sebelum dipentaskan oleh Moscow Art Theatre.
