‘Biasanya self-taught artists yang suka majalah-majalah macam ni,’ kata seorang sahabat artis kepada kami. Waktu itu kami sedang giat mengerjakan majalah Kolompo Art.
Kolompo Art jika kamu semua masih ingat adalah sebuah majalah seni yang setelah melalui proses yang lelah serta pelbagai dugaan yang membelaskan, berjaya diterbitkan. Setelah kami berempat yakni Raduan Norudin, Amir aka TukKura dan Syuq Tone serta kami sendiri menumpahkan segala kasih sayang yang ada kepada majalah tersebut, ianya berjaya bertahan selama satu keluaran sebelum diberhentikan.
Sahabat kami yang belajar di sekolah seni itu kemudian menyarankan supaya kami memberi tumpuan khusus kepada golongan self-taught ini dalam memasarkan majalah tersebut.
Ada kebenarannya kenyataan dia itu.
Artis yang tidak ke sekolah seni perlu mencari bahan-bahan bacaan dan sebagainya bagi menambah ilmu dalam pengkaryaan. Kerana itu mereka perlu lebih banyak membaca dan bertanya.
Harapannya, nanti bila telah memiliki segala macam pengetahuan, mereka akan menghasilkan karya-karya yang lebih baik.
Mereka yang ke sekolah seni pula sudah tujuh atau lapan tahun bergelumang dengan buku. Malah ada di kalangan mereka itu sudah menghafal segala macam teori seni di dalam buku-buku tersebut. Lalu setelah tamat belajar, tumpuan mereka mestilah dalam menghasilkan karya.
Sementelah pula dengan segala macam pameran dan tempahan karya, mana mungkin seniman-seniman yang sudah belajar di sekolah seni itu mempunyai masa untuk kembali mentelaah.
Yang lebih menarik lagi, biasanya mereka yang giat menerbitkan buku juga datang dari kumpulan self-taught ini. Mereka seperti Abey Zul, Hisham Salmin dan yang terbaru Abdul Latiff Maulan begitu bersemangat menerbit buku bagi merakam karya-karya yang telah mereka hasilkan.
Dan yang lebih mengujakan, mereka ini menggunakan belanja sendiri untuk penerbitan tersebut.
Sebagai selingan, Balai Seni Negara melalui Tabung BantuanSeni ada menyediakan geran untuk sebarang bentuk penerbitan. Mereka yang berminat boleh memohon dana berkenaan dengan menghantar kertas cadangan kepada pihak Balai Seni Negara.
Namun tidak pula kami mahu menafikan bahawa ada seniman yang ke sekolah seni yang menghasilkan buku.
Jalaini Abu Hassan misalnya telah menerbitkan beberapa buah buku. Kami andaikan ini adalah akibat dari pergaulan bebas.
Jai adalah dari kumpulan seniman yang sudi untuk bergaul dengan sesiapa sahaja. Diajak melihat cakrawala di Langkawi dia pergi, dijemput ke Sungai Lembing bagi meraikan pelukis self-taught dia datang juga.
Dia ikhlas atau ada agenda tersembunyi kita mana tahu, namun dia rajin meraikan siapa saja.
Dan untuk acara di Sungai Lembing, Kuantan beberapa tahun lalu, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada dia. Kehadirannya membuatkan ramai rakan pelukis, kecuali kami merasa teruja.
Kerana rajin bergaul bebas dengan seniman autodidak inilah agaknya dia telah berupaya merendahkan dirinya untuk menerbitkan buku dan berkongsi sedikit ilmu.
Dokumentasi adalah penting dan hal ini seharusnya diambil serius oleh semua. Penerbitan dalam apa bentuk sekali pun mesti diraikan.
Seorang lagi penggiat seni yang bersekolah dan dalam masa yang sama rajin turun padang merakam aktiviti seni yang diadakan diseluruh negara ialah Rosli Zakaria.
Selain seorang pengarca yang disegani, Rosli juga bergerak bersama program bual bicara yang diberi nama sebagai Borak Arca.
Borak Arca yang dimulakan pada tahun 2020 dan sehinggahari ini ianya merupakan satu-satunya program bual bicara mengenai seni tempatan yang kedepan.
Siri ini telah bersiaran sebanyak 154 kali dan mengumpulkan ribuan penonton setiap kali ianya disiarkan.
Mereka yang berminat untuk menonton rancangan ini boleh bergabung dilaman Facebook Rosli dialamat berikut: https://www.facebook.com/roslizakaria.pengarca
Menurut Rosli, Borak Arca yang secara khususnya memberi tumpuan kepada seni arca itu tidak menghadkan siarannya untuk membicarakan cabang seni yang itu saja. Ianya memberi ruang kepada semua cabang seni yang lain tanpa ada sebarang prejudis.
Pemerkasaan semua cabang seni adalah tanggungjawab semua dan dia menganggap sumbangan kecilnya melalui program tersebut setidak-tidaknya memberi satu ruang yang baru kepada sesiapa yang mahu ambil tahu.
Borak Arca juga menjadi medan pembelajaran tidak formal tentang seni khususnya seni arca dan seni secara menyeluruh. Selain Facebook, Rosli juga giat berkongsi tip-tip kesenian di laman Tik Tok.
Cuma kami menyarankan supaya kita semua sama-sama berdoa yang Rosli tidak tergamak untuk menari di laman itu demi untuk meraih pengikut. Kami rasa dia akan kelihatan agak tidak senonoh jika berbuat demikian.
Rosli juga berharap ada pihak-pihak yang mahu bersama dengan dia untuk memajukan lagi program tersebut. Selain sudi dijemput untuk bersiaran di mana sekalipun, Rosli juga bersedia menerima sebarang penajaan bagi meningkatkan lagi mutu rancangan tersebut.
Kita semua tahu kebanyakan seniman adalah hantu mikrofon. Jika dibenarkan mereka akan bercakap sampai pagi. Oleh itu kami menyarankan Rosli menghadkan 3 atau 4 minit untuk tetamunya menjawab soalan dan masa yang ideal untuk sebuah rancangan bual bicara adalah satu jam.
Kecuali kamu adalah Zainal Rashid Ahmad, selepas satu jam, apa rancangan bual bicara pun adalah membosankan.
Setelah berbincang, Kolompo Art akan kembali diterbitkan. nantikan pengumumannya sedikit masa lagi.
