“Di setor ada lagi 30,000 (buku),” jawab Pak Engku bila ditanya oleh budak perempuan yang datang ketika kami sedang berbual. Budak perempuan itu menemubual Pak Engku sebagai modal untuk dia menghasilkan sedikit tulisan pasal Pak Engku dan buku.
Kami mengenali Raja Ahmad Aminullah sebagai orang pertama yang menjemput kami untuk berpameran di RA Gallery sekitar awal tahun 2000-an. Kami lupa tarikh sebenar. Ini adalah pameran pertama kami di Kuala Lumpur. Sebelum itu kami banyak berpameran di sekitar bandar Kuantan yang hiba itu. Dan dia juga orang pertama yang berani menjemput kami untuk membaca puisi di hadapan khalayak.
Perbuatan semberono kami yang sudi menerima jemputan membaca puisi di hadapan orang ramai itu adalah memalukan. Kami kata memalukan tetapi sebenarnya ianya adalah satu perbuatan mungkar. Dan mereka yang hadir di acara tersebut pada pendapat kami, berdosa kerana mentertawakan ‘kegetaran’ yang kami alami semasa mendeklamasi puisi kami yang berjudul ‘Balada Mamat Dan Minah’ itu.
Akibat dari gila glamor, kami mengaibkan diri sendiri pada waktu tersebut. Cuma yang menjadi kenangan yang tidak terlupakan, persembahan kami itu diiringi petikan gitar oleh arwah Meor Pesta Jiwa, seorang sahabat yang sentiasa kami rindui.
Setelah peristiwa hitam tersebut, dibayar mahal sekali pun kami tidak lagi akan pernah membacakan puisi di hadapan orang ramai. Bak kata pepatah, sekali digigit,dua kali malu.
Kami juga berterima kasih kepada seorang penyair yang memperkenalkan kami kepada Pak Engku. Kami tidak boleh menyebut nama penyair tersebut kerana kami takut dia marah.
Baru-baru ini Pak Engku telah menjual sebahagian dari koleksi buku-buku dalam simpanannya dan menurut dia lagi, buku-buku tersebut dihimpun sejak dia berusia sekitar sembilan tahun.
Buku-buku tersebut dijual dengan harga yang agak murah dan tentu saja ianya menjadi rebutan sebilangan besar peminat buku langka. Mereka datang dari seluruh negara bagi mendapatkan barangan berharga tersebut.
Bila ditanya apakah dia tidak merasa sedih dengan ‘perpisahan’ tersebut, Pak Engku menjawab bahawa sudah sampai masanya buku-buku tersebut memberi kegembiraan kepada orang lain pula. Bahkan dia berasa amat senang hati apabila melihat mereka yang datang kelihatan tersenyum lebar bila dapat memiliki buku-buku yang agak sukar ditemui itu.
Kepada peminat buku-buku langka, ini mungkin peluang kepada mereka untuk memiliki buku-buku yang biasanya dijual pada harga tidak masuk akal dengan harga yang teramat murah.
Koleksi Pak Engku ini yang dijual di kedai buku Biblio dan juga Pelita Dhihin dengan harga RM15 hingga RM25.
Menurut pendapat kami, ini adalah harga yang patut jika kita memilih untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang datang bersama buku-buku tersebut namun jika kamu memikirkan keuntungan maka harga tersebut adalah agak zalim.
Bayangkan bagaimana buku-buku edisi pertama dan kadangkala datang dengan tandatangan penulisnya dijual semurah itu. Dalam bahasa geng bundle, ini adalah ‘jekpot!’.
Untuk sesi ini, Pak Engku hanya membawa lebih kurang 3,000 buah buku untuk dijual dan dia juga sedang merancang untuk menjual semua koleksinya itu secara berperingkat dalam masa terdekat.
Peminat buku sila ambil perhatian dan jangan cuba untuk melepaskan peluang ini.
Kami terbayang si Posmen Ipoh dan Mat Koboi Besut, dua orang peminat buku langka yang tersesat haluan itu meleleh air liur bila melihat akan koleksi buku-buku Pak Engku tersebut. Hairan juga apabila kelibat mereka tidak kelihatan pada sesi pertama jualan buku-buku tersebut.
Sibuk ke rumah terbuka dan kemudian gout gamaknya.
Selain buku, Pak Engku juga adalah seorang kolektor seni catan tempatan dan ada ura-ura yang mengatakan dia juga merancang untuk menjual karya-karya yang ada dalam simpanannya.
Untuk peminat buku dan catan, kami cadangkan kamu semua untuk bersedia kerana bukan selalu ada pengumpul yang sudi menjual koleksinya dengan harga yang tidak masuk akal, murah seperti yang dilakukan oleh Pak Engku ini.
Nantikan pengumuman dari Pak Engku.
Bukan semua orang tulus bila mengatakan ingin memberi bahagia namun Pak Engku bersungguh mahu berkongsi dan tidak akan ada siapa pun akan marah bila kerja baik ini mengambil sedikit upah.
