DALAM sejarah pemikiran falsafah abad ke-20, Ludwig Wittgenstein (1889–1951) sering dilihat sebagai tokoh ganjil yang merobek batas antara keheningan dan bahasa, antara objek dan makna. Namun, melabel beliau sebagai seorang pemikir positivisme semata-mata adalah satu kekeliruan kategori. Meskipun karya awalnya, Tractatus Logico-Philosophicus, pernah menjadi tunggak penting bagi kelompok logik-positivis Vienna Circle, pemikirannya dalam Philosophical Investigations menunjukkan peralihan yang radikal — daripada mencari makna dalam struktur formal bahasa kepada penafsiran makna melalui penggunaan bahasa dalam konteks kehidupan seharian, atau apa yang beliau istilahkan sebagai permainan bahasa (language-games).
Di sinilah keterbukaan tafsiran terhadap seni menjadi jelas. Bagi Wittgenstein, makna tidak menetap secara intrinsik dalam objek, termasuk karya seni. tidak terkurung dalam sangkar teori mimetik, ekspresif atau formalistik. Sebaliknya, makna seni tersirat dalam cara ia dihadam, digunakan, dan difahami melalui permainan bahasa dan konteks sosiobudaya yang menyelubunginya. Oleh itu, estetika, dalam pemahaman Wittgenstein, bukanlah disiplin menilai keindahan, tetapi alam pengalaman dan makna yang tidak pernah mutlak—keterbukaan radikal yang menolak absolutisme.
Seni, dalam kerangka pemikiran ini, bukan lagi sekadar produk inspirasi individu yang mencari makna metafizik atau pencerahan rohani semata-mata. Sebaliknya, ia menjadi aktiviti linguistik dan budaya yang dikongsi dalam persekitaran sosial tertentu. Makna tidak muncul hasil pembacaan teori positivis atau psikologi mendalam, tetapi muncul melalui struktur retorik dan naratif yang dibentuk oleh masyarakat yang bertindak balas terhadap karya.
Jika kita meneliti seni melalui lensa ini dalam kerangka budaya Nusantara, kita dapati bahawa seni tidak wujud sebagai objek asing yang dipersembahkan untuk penggunaan pasif. Sebaliknya, ia kelihatan sebagai ritual komunikasi, kenderaan untuk menghubungkan pengalaman peribadi dengan naratif kolektif. Setiap guratan, setiap bentuk, menjadi simbol yang berfungsi dalam kerangka makna yang dibentuk oleh peristiwa sejarah, bahasa dan budaya rakyat. Dalam konteks ini, makna seni bukan lagi ‘milik’ pengkarya atau ‘ditentukan’ oleh institusi estetik, tetapi muncul daripada pertembungan antara karya, penonton dan kerangka budaya yang menyelubunginya.
Leonard Andaya, dalam Leaves of the Same Tree, memberikan analogi penting yang menyokong pandangan ini – bahawa identiti budaya dan sejarah masyarakat Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang statik, tetapi sentiasa bergerak dalam rangkaian pertukaran, perlanggaran dan penyesuaian. Beliau menunjukkan bagaimana makna kolektif dalam komuniti serantau tidak terbentuk mengikut garis nasionalisme atau bangsa, tetapi melalui koleksi budaya yang saling berkaitan, menyalurkan makna dari satu wilayah ke wilayah lain dalam jaringan sosial dan ekonomi yang luas. Dalam semangat yang sama, makna seni boleh difahami sebagai hasil penyerapan dan aliran nilai, mitos, etos dan simbol yang tidak tunggal, tetapi pelbagai dan sentiasa dalam perjanjian yang dirundingkan.
Maka seni bukanlah entiti beku yang menanti tafsiran tetap. Ia adalah ruang terbuka—ruang liminal di mana individu dan komuniti, tradisi dan inovasi, bahasa dan diam, saling bersilang. Nilainya tidak ditentukan oleh bentuk semata-mata, tetapi oleh peranan sosial dan kuasa retorik yang menghidupkan kembali ingatan kolektif (collective memory ). Dalam dunia yang semakin didorong oleh kepantasan maklumat dan penyeragaman estetik, membaca Wittgenstein dalam kerangka seni dan budaya kita memberi peluang untuk menghidupkan semula wacana seni sebagai amalan sosial yang mempunyai kuasa transformatif.
Estetika, dalam bacaan ini, bukan lagi cabang falsafah tentang keindahan, tetapi medan etika dan retorik tentang bagaimana manusia berhubungan dengan dunia, melalui persekitaran dan sejarah. Dalam ruang inilah seni menjadi saksi dan agen yang menghidupkan semula makna yang terkubur, membina jambatan antara pengalaman individu dan ingatan bersama.
Akhirnya, membaca seni seperti ini adalah membaca kehidupan itu sendiri: sebagai permainan bahasa yang sentiasa berubah, sebagai jaringan makna yang dibentuk oleh masyarakat yang menuturkannya, dan sebagai cerminan jiwa budaya yang tidak pernah habus mencari dirinya. Maka, seni adalah serombong—bukan hanya menyalurkan asap dari tungku kreativiti, tetapi juga menghembuskan nafas sejarah, identiti dan pengharapan ke ufuk budaya kita bersama.
