APAKAH yang boleh dilakukan di Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian 4,135 meter di atas paras laut? Menikmati persekitarannya luar biasa? Menghayati keindahan alam yang indah?Mengagumi Gunung Annapurna yang berdiri megah menampakkan puncak yang diselubungi salji? Atau sekadar melihat puncak Tharpu Chuli dan Singu Chuli di kejauhan yang walaupun tidak setinggi Annapurna (8,091 meter) namun menjadi sebahagian dari banjaran pergunungan yang megah di Wilayah Gandaki, Nepal itu?
Di sebelah Selatan kelihatan puncak Machhapuchhre yang menyerupai ekor ikan. Gunung ini bukanlah salah sebuah daripada 14 gunung yang melebihi 8,000 meter di dunia tetapi Machhapuchhre adalah gunung yang danggap paling kudus atau sakral di Nepal. Inilah satu-satunya gunung yang tidak dibenarkan didaki.
Saya dan teman-teman mengambil masa enam hari untuk sampai ke ABC. Kami melalui trek yang luar biasa sukarnya, menaiki dan menuruni anak tangga buatan manusia selain laluan hutan dan denai yang mencabar. Perjalanan itu bermula dari Ghandruk melalui trek becak yang penuh pacat, batu licin, bukit curam dan lurah dalam.

Dari satu tempat penginapan ke satu tempat penginapan (lodge) yang lain masa perjalanannya ada yang tiga jam, ada pula yang tujuh jam, sebahagian besarnya mendaki. Ada harinya hujan sehari suntuk. Ada masanya kami bermula dengan kedinginan pagi tetapi dibaham panas matahari sejam kemudian.
Sepanjang perjalanan ada kalanya kita berdepan dengan 5,700 mata tangga buatan manusia, ada kalanya 1,900 mata tangga. Dalam perjalanan pulang kami menuruni lebih 12,000 mata tangga (44 kali lebih banyak dari mata tangga di Batu Caves) dari Chhomrong ke Jhindu Danda.
Kami bermalam di Ghandruk, Chhomrong, Sinuwa, Dovan, Duerali dan Machhapuchhre. Kami harus melalui proses acclimatization yang betul. Ada bahaya Acute Mountain Sickness (AMS) akibat ketinggian dan kekurangan oksigen. Ada kemungkinan serangan ke atas paru-paru (pulmonary edema) atau otak (cerebral edema). Ini musibah ketinggian yang boleh membunuh.
Dari Machhapuchhre Camp ke ABC sebenarnya mengambil masa yang singkat (dua jam bagi orang tempatan) tetapi oksigen yang mula menipis menyebabkan pernafasan sukar dan keletihan semakin terasa.

Kami sampai di ABC pada jam 11.15 pagi waktu Nepal (waktu Malaysia 1.15 tengah hari) pada hari Selasa 23 September 2025. Usia saya 71 tahun, 10 bulan, 14 hari. Mungkin saya salah seorang pendaki paling tua yang menjejak kaki ke ABC musim ini. Kesemua, kecuali seorang anggota pasukan kami sampai ke ABC. Hussin Ahmad, seorang eksekutif Continental Tyres berusia kurang 10 tahun dari saya. Kami berdua warga emas dalam pasukan itu. Tiga orang dalam team kami berusia 20-an, empat orang lain 40-an dan tiga orang 50-an.
Di ABC, yang tertera adalah gunung, salji dan keindahan alam. Juga oksigen yang menipis. Ada kalanya kepala berdenyut atau jantung menjadi laju (palpitations) dan pernafasan menjadi sukar. Tetapi perlahan-lahan badan mulai menyesuaikan diri.
Yang terlihat hanya keajaiban alam ciptaan Allah. Di ABC masa berjalan perlahan. Pada hari itu cuaca terang benderang bagaikan membenarkan kami menikmati keindahan pergunungan yang luar biasa. Sejauh mata memandang, yang kelihatan hanya gunung dan lembah. Kami telah melalui keajaiban itu selama enam hari dengan segala kepayaan. Kepenatannya Allah sahaja yang mengetahui. Namun sepanjang perjalanan, di sebalik keletihan, hanya kekaguman akan kebesaranNya.

Di ABC, cuaca boleh bertukar bila-bila masa. Kabus boleh menutup pemandangan dalam sekelip mata. Cuaca bertukar sejuk walaupun matahari masih tegak di atas kepala. Baju paling tebal dipakai. Cermin mata hitam mengelakkan panahan matahari pada salji gunung. Setibanya di sana selama beberapa jam pertama masing-masing membawa diri, mungkin mensyukuri kejayaan sampai di situ.
Saya tentunya lebih bersyukur, menjejak kaki pada usia setua ini. Pendakian ke ABC tidak mengenal usia. Seperti saya mereka yang berumur lima puluh tahun lebih muda juga sama-sama berasa penatnya. Seperti saya mereka tercabar hebat dan seperti saya mereka juga harus memastikan kekuatan fizikal, stamina, dugaan piskologi dan cabaran alam. Selain Syahrulnizam yang sudah dianggap “veteran” dalam pendakian walaupun usianya baru 21 tahun, terdapar Anas Shazali dan Anas Syimer yang masing-masing berusia 23 dan 20 tahun, adik beradik dan anak kepada Hussin.
Anggota team yang lain sebahagiannya pernah bersama-sama saya di Langtang Valley tahun lepas (Md Noor, Addanan, Aisyah, Zamira) dan tiga tambahan lain adalah Haida Azreena Hannie dan suaminya Mohamad Raziz serta Firdaus, malim gunung dari Gunung Ledang.

Di ABC, tidak ada yang kuat dan lemah, tidak lagi ada yang tua dan yang muda, hanya pendaki dan trekkers yang bersemangat dan punya tekad yang kuat, serta stamina dan kesihatan yang baik. Pertimbangannya adalah sama ada berjaya atau gagal.
Di ABC, sebagai mantan wartawan, juga penulis, terlalu banyak yang bermain dalam fikiran saya. Hanya sebuah buku (selain al-Quran kecil) yang saya bawa. Buku yang saya harap akan menemani saya sepanjang perjalanan. Buku yang akan saya baca apabila ada kesempatan. Namun kesempatan itu hampir-hampir tidak ada. Sesampainya di mana-mana tempat penginapan, badan terlalu letih untuk membaca. Apabila ada masa untuk membaca, elektrik di tutup jam 9,00 malam. Jikalau adapun mentol untuk membaca kuasanya terlalu kecil. Dan lebih buruk lagi binatang kecil berterbangan menyelubungi mentol yang letaknya di atas kepala. Kami di tengah hutan di Annapurna Sanctuary, bukan di hotel di Pokhara atau Katmandu.
Selepas makan tengah hari (selera makan saya hilang sejak di Dovan pada ketinggian 2,520 meter lagi) pada 23 September itu saya mengeluarkan buku yang saya bawa, Hamlet karya Shakespeare. Drama ini ditulis oleh Shakespeare lebih 400 tahun yang lalu. Bagi saya Hamlet adalah salah sebuah drama terbaik karangan Shakespeare. Ini adalah tragedi yang paling dramatik. Konteks drama ini masih relevan hingga ke hari ini.
Siapakah yang dapat mengabaikan naratifnya – Hamlet, Putera Denmark berhadapan dengan bapa saudaranya Claudius yang membunuh ayahnya dan mengahwini Gertrude, ibunya? Drama ini adalah tentang kekuasaan, intrig politik, dendam, kekecewaan dan kegilaan. Isu politik dan kekuasaan dalam Hamlet masih relevan hari ini. Manusia seperti Claudius masih menguasai pentas politik. Hamlet sendiri terbenam oleh rasa marah dan dendam tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Keadaan itu menjerumuskan beliau pada lapisan kegilaan dan kesannya pada kekasihnya sendiri Ophelia.

Mungkin persekitaran di ABC memberikan saya alasan untuk membaca semula Hamlet, kali ini dengan lebih cermat. Dalam kekosongan yang dibayangi oleh hanya gunung dan keindahan alam, Hamlet menguasai saya. Mengasak bawah sedar saya. Juga menginsafkan saya.
Tidak ada tempat yang agaknya lebih cocok membaca dan menelaah cerita tentang keriuhan politik, pengkhianatan, cinta, dendam dan keributan manusia melainkan di tempat yang sesepi ABC. Dan menghayati serta menginsafi ungkapan yang paling menakutkan bagi menggambarkan keadaan politik mana-mana negara: “Something is rotten in the state of Denmark.”
Awan beralih setiap masa, menjelang jam 4.00 petang, ABC ditelan kabus dan kedinginan. Saya membawa Hamlet ke ruang makan yang sedikit panas. Dan membaca lagi.
Mengapa Hamlet?
Saya ada hubungan yang istimewa dengan Hamlet. Sewaktu saya masuk ke sekolah Inggeris (Peserian Primary English School) pada tahun 1960, saya hanya tahu empat perkataan Bahasa Inggeris (Yes, No dan Thank You). Ayah dan ibu saya buta huruf. Tidak ada anak kampung saya bersekolah Inggeris masa itu.

Guru kelas kami yang pertama seorang Inggeris yang didatangkan dari Yorkshire, England. Orangnya sengeri namanya – Mr Gann (kami memanggilnya Mr Gun). Beliau seorang guru Bahasa Inggeris yang amat tegas. Beliau mengancam akan mengenakan denda 5 sen bagi setiap perkataan yang dituturkan dalam bahasa lain selain Bahasa Inggeris. Saya tidak pernah membawa duit ke sekolah. Saya lebih rela membisu dari berkata-kata.
Saya belajar Bahasa Inggeris dengan cara yang sukar. Pada masa itu tidak ada perpustakaan. Sekolah itu di Kampung Sarang Buaya, sebenarnya merupakan sekolah agama yang kami tumpang pada sebelah pagi, sehinggalah sebuah sekolah rendah Inggeris didirikan di Pekan Semerah, dua kilometer dari situ.
Tidak ada siapa yang boleh mengajar saya bahasa itu. Saya hanya menemui kepingan kertas bungkus ikan di sebelah kedai gunting ayah saya (Beliau menoreh getah waktu pagi dan menggunting rambut sebelah petang). Saya harus mengumpulkan kertas yang dibuang untuk mempelajari bahasa itu.
Mr Gann ada satu kelebihan. Cara beliau mengajar Bahasa Inggeris tidak seperti sekarang. Beliau mengutamakan nursery rhyme, coral speaking, drama dan sesi bercerita. Beliau juga mengajar lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris. Beliau juga banyak membaca. Beliau sering bercerita tentang novel-novel yang beliau baca dan drama-drama karya seorang penulis Inggeris bernama William Shakespeare.
Dari awal lagi kami sudah mendengar nama Shakespeare keluar dari mulutnya. Sewaktu darjah tiga saya memberanikan diri untuk meminjam salah sebuah buku drama Shakespeare. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya pada ketika itu. Saya pelajar yang paling lemah dalam kelas. Pencapaian akademik saya membolehkan saya dipersenda dengan ungkapan “Johan always finishes last.” Penguasaan Bahasa Inggeris saya amat terbatas. Namun beliau memberikan saya naskhah drama Hamlet.

Saya membawanya pulang. Dari dialog pertama drama itu (Bernardo: “Who’s there?” hingga dialog terakhir oleh watak Fortinbras, saya hanya faham beberapa perkataan asas. Selebihnya amat asing bagi saya. Lebih 90 peratus perkataan dan ungkapan dalam buku drama setebal 193 halaman itu tidak saya fahami. Pada masa itu tidak ada mesin xerox. Saya menyalin keseluruhan drama itu berhari-hari lamanya. Saya memulanglan buku itu dua minggu kemudian.
Saya membaca drama yang saya salin itu berkali-kali dan menandakan mana-mana perkataan yang saya tidak fahami. Pada masa itu saya tidak ada kamus. Mr Gann tidak berkata apapun apabila saya mengembalikan bukunya. Begitulah ritualnya pada bulan-bulan dan tahun-tahun berikutnya. Beliau kemudiannya meminjamkan saya Macbeth, As You Like it, The Merchant of Venice. Romeo and Juliet Julius Ceaser, Othello, A Midsummer Night’s Dream, seingat saya 14 buah drama termasuk Hamlet.
Shakespeare khabarnya menulis 37 buah drama yang menurut buku The Complete Works of Shakespeare menggunakan 27,870 perkataan yang berbeza dan secara keseluruhan menggunakan perbendaharaan kata sebanyak 936,443 perkataan
Setiap kali saya akan menyalinkan dengan tekun dalam buku latihan. Saya akan membacanya, menggariskan kata-kata yang saya tidak faham.
Sayogia diingat kesemua naskhah drama yang diberikan pada saya adalah dalam bentuk asli bukan abridged atau versi yang dipermudahkan. Saya mulai meminati Shakespeare.

Tidak pernah sekalipun Mr Gann bertanya apa yang saya buat dengan buku yang dipinjamkannya itu. Atau bertanya apakah saya faham kandungannya. Mungkin secara diam-diam beliau bangga ada muridnya yang menunjukkan minat pada drama karya penulis terbaik dari negaranya.
Pada tahun ke-enam di Peserian Primary English School, habislah agaknya kontrak beliau. Mr Gann akan kembali ke England. Pihak sekolah bercadang untuk mengadakan majlis perpisahan untuknya. Setiap kelas akan memberikan persembahan khusus untuk beliau. Oleh sebab kami dalam darjah enam maka kami akan mempersembahkan tiga acara – drama pendek, coral speaking dan nyanyian. Saya tidak dimasukkan dalam mana-mana acara. Mungkin kerana kelemahan bahasa saya atau mungkin kerana saya bukan pelajar yang cemerlang masa itu.
Tapi saya berhasrat mahu menyampaikan sesuatu kepada Mr Gann sebagai rasa terima kasih kerana beliau mengajar saya Bahasa Inggeris dan meminjamkan saya buku drama Shakespeare yang terkenal. Saya menemui beliau dan menyatakan hasrat saya. Mungkin disebabkan rasa kasihan dia berjumpa guru kelas saya semasa darjah enam dan memujuknya untuk memberikan saya satu ruang untuk membuat persembahan.
Guru kelas saya mahu tahu apa yang akan saya persembahkan tapi saya berkeras tidak mahu memberitahunya. Saya katakan persembahan saya rahsia dan khusus untuk Mr Gann. Akhirnya saya dibenarkan. “Don’t make a fool of yourself,” dia memberikan amaran.
Pada majlis perpisahan itu, slot saya adalah yang terakhir, selepas semua kelas dan pelajar terpilih mengadakan persembahan. Guru yang menjadi pengacara hanya menyebutkan ada persembahan yang tidak masuk dalam program.
Saya berdiri di hadapan khalayak. Saya memandang tepat pada Mr Gann. Saya katakan padanya, “Sir, this is for you.”
Saya menyampaikan keseluruhan soliloquy yang diucapkan oleh Hamlet dalam drama itu. Soliloquy yang paling tersohor dalam tradisi drama dunia. Soliloquy yang mendefinasikan drama Hamlet. Soliloquy yang diucapkan oleh pelakon-pelakon pentas terhebat di dunia di antaranya John Gielgud, Laurence Olivier, Kenneth Branagh, Richard Burton, Christopher Plummer, Peter O’Toole, Derek Jacobi, Ethan Hawke dan ramai lagi.
Soliloquy yang bermula dengan:
To be, or not to be,…that is the question….
(Saya masukkan sepenuhnya di sini dalam bahasa asal, dengan apologi)
To be, or not to be: that is the question:
Whether ’tis nobler in the mind to suffer
The slings and arrows of outrageous fortune,
Or to take arms against a sea of troubles,
And by opposing end them? To die: to sleep;
No more; and by a sleep to say we end
The heart-ache and the thousand natural shocks
That flesh is heir to, ’tis a consummation
Devoutly to be wish’d. To die, to sleep;
To sleep: perchance to dream: ay, there’s the rub;
For in that sleep of death what dreams may come
When we have shuffled off this mortal coil,
Must give us pause: there’s the respect
That makes calamity of so long life;
For who would bear the whips and scorns of time,
The oppressor’s wrong, the proud man’s contumely,
The pangs of despis’d love, the law’s delay,
The insolence of office and the spurns
That patient merit of the unworthy takes,
When he himself might his quietus make
With a bare bodkin? who would fardels bear,
To grunt and sweat under a weary life,
But that the dread of something after death,
The undiscover’d country from whose bourn
No traveller returns, puzzles the will
And makes us rather bear those ills we have
Than fly to others that we know not of? (90)
Thus conscience does make cowards of us all;
And thus the native hue of resolution
Is sicklied o’er with the pale cast of thought,
And enterprises of great pitch and moment
With this regard their currents turn awry,
And lose the name of action.– Soft you now!
The fair Ophelia! Nymph, in thy orisons
Be all my sins remember’d.
Soliloquy ini saya hafal berbulan-bulan lamanya. Saya menulis baris-barisnya di dinding, di tempat tidur dan dalam buku latihan. Saya menghafalnya di mana-mana dan apabila ada kesempatan. Saya melakonkannya di rumah dan di jalan, sewaktu mandi, bertemu kawan-kawan malah mungkin dalam igauan saya.
Saya mahu menyampaikan mesej pada Mr Gann bahawa saya mungkin pelajar yang lemah, tapi saya bersedia belajar. Saya mungkin tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik ketika itu, tapi saya mahu mempelajarinya secara serius. Saya mahu menunjukkan bahawa tidak sia-sia beliau meminjamkan buku-buku drama karya Shakespeare pada saya selama ini.
Saya melakonkannya bagaikan saya dirasuk sesuatu, dengan penuh conviction, dengan yakin dan dengan dramatik. Saya sedar bahawa banyak perkataan yang saya ucapkan tidak saya fahami, malah saya tidak mungkin memahami seluruh konteks soliloquy itu dalam Hamlet. Tapi saya melakukan yang terbaik. Saya tidak pernah sekalipun mendengar atau melihat soliloquy itu dibacakan atau dipersembahkan. Maka saya tidak tahu apakah cara saya betul atau salah.
Dewan sekolah (bilik darjah yang dikosongkan sebenarnya) sunyi ketika itu. Sepi sesepi mati. Hanya suara dan aksi saya yang kedengaran dan kelihatan. Saya melihat mata Mr Gann berair. Saya tahu dia menyukainya. Apabila beliau berucap pada hujung majlis, beliau berkata, beliau terharu dan puas, selama enam tahun di sekolah itu, beliau berbangga salah seorang pelajar yang paling lemah bahasanya berupaya menyampaikan baris-baris ungkapan yang mencabar pelakon professional terbaik di dunia sekalipun.
Katanya, dia akan mengingat persembahan saya sebagai salah satu highlight dan kejayaannya mengajar Bahasa Inggeris di Malaya.
Berkat kaedah pengajaran Mr Gann (dan guru-guru bahasa yang lain juga) saya dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Malah saya banyak menulis dalam Bahasa Inggeris, termasuk menjadi kolumnis akhbar New Straits Times selama 13 tahun dan The Star selama lebih lapan tahun.
Saya juga perlu menyebutkan di sini bahawa saya beruntung guru Bahasa Melayu saya sewaktu di sekolah menengah adalah Cikgu Mokhtar Talib atau dikenal sebagai Pak Matlob. Beliau betul-betul seorang munsyi bahasa. Saya yakin beliau orang pertama yang menubuhkan persatuan penulis yang di mana-mana sekolah di Malaysia. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu saya lantik beliau sebagai Penasihat Jawi syarikat itu.

Saya terhutang budi pada Hamlet. Hamlet memperkenalkan saya pada sastera Inggeris pada usia yang sangat muda. Saya mungkin tidak dapat memahami keseluruhan teksnya tetapi saya bersungguh-sungguh cuba memahaminya tanpa bantuan sebarang kamus. Hamlet menyebabkan saya menyukai drama. Dan menghargai seni dan budaya.
Di ABC, Hamlet mengingatkan saya tentang semua itu – zaman sekolah rendah saya, pengenalan tentang Shakespeare oleh Mr Gann, buku-buku yang dipinjamkannya pada saya dan cara saya belajar Bahasa Inggeris. Hamlet juga mengingatkan saya tentang politik negara yang penuh intrig, dengan pemain politik yang hanya memikirkan kepentingan dan kelompok, yang menjadikan politik arena jijik dan memualkan.
Di tengah kedinginan dan keindahan alam di ABC, saya menelaah karya yang amat besar maknanya buat kehidupan seni dan sastera saya.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau telah merakamkan pengalamannya dalam dunia seni dan kebudayaan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Balang Rimbun Sdn Bhd.
