“Cintailah ilmu walaupun ilmu itu tidak mendatangkan ganjaran dari segi kewangan” – Profesor Khairudin Aljunied, dipetik dari siri Suluhan Akal: Nyahkemanusiaan Akademik Neoliberalisme Universiti, boleh ditonton melalui saluran Youtube.
Menulis tentang krisis budaya membaca sudah terlalu lusuh untuk diperkatakan. Bahkan ramai yang sudah jemu dengan tajuk sedemikian. Orang ramai tetap berduyun-duyun mengunjungi pesta buku, kecil atau bertaraf kebangsaan. Mereka masih membeli dan membaca buku, sama ada untuk lulus peperiksaan, menambah pengetahuan atau sekadar dijadikan koleksi. Tetapi memilih buku yang bagus, berkesan dan mencabar akal dan pemikiran, lebih menggetarkan perhatian. Pembaca yang berpengalaman dan mahukan peningkatan dalam aras pemikiran, amat selektif ketika membaca buku. Cita rasa kian tinggi dan kompleks. Jumlah pembacaan semakin diminimalkan dan seiring dengan kematangan, buku-buku yang dipilih untuk ditekuni selalunya dikarang oleh tokoh-tokoh hebat (terpercaya) dalam bidang masing-masing.
Syed Ahmad Fathi, baharu berusia 34 tahun, seorang pengarang aktif, telah menghasilkan lima buah buku. Buku terbaharu beliau, Homo Historikus. Bukan sembarangan buku. Malahan buku beliau pernah terpilih dalam senarai 50 buah buku terbaik oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada tahun 2021. Hal itu membuktikan kualiti bahan penulisannya. Selain prolifik menerbitkan tulisan, beliau (mengidolakan Noam Chomsky) adalah sekali gus pemikir dari generasi muda yang menarik perhatian saya kerana memiliki sudut pandang istimewa dan berani mempersoalkan beberapa tulisan dengan hujah-hujah rasional, rujukan silang pelbagai sumber bacaan dan matang. Kematangan di sini merujuk kepada adab, suatu nilai kedewasaan cerminan ketinggian budi pekerti, yang sudah semakin pupus dalam kalangan (kononnya) berpendidikan tinggi.
Dalam salah satu buku tulisan beliau bertajuk Dua Sayap Ilmu, Esei Perihal Membaca, Menulis dan Buku, terbitan The Biblio Press Enterprise, 2023, saya amat bersetuju dengan kenyataan pada suatu perenggan, “Kita berhenti membaca apabila kita keluar dari sekolah dan universiti kerana anggapan kita buku adalah bahan akademik sahaja. Tapi sebenarnya ilmu dan pengalaman itu lebih luas dan besar daripada apa yang mampu dimuatkan di dalam buku teks. Kita bukan “terpelajar” hanya kerana kita pernah menduduki zaman persekolahan dan universiti, tetapi pengalaman pembelajaran formal itu merupakan asas untuk kita benar-benar “belajar”. Pembelajaran sebenar adalah sepanjang hayat.” Halaman 6.
Membaca menjadi amat mustahak apabila seseorang ingin memajukan perisian dalam kandungan penulisan. Itulah yang sering dinasihatkan cendekiawan. Tiada pilihan lebih ampuh, berkesan dan mujarab selain daripada kecintaan pada buku dan merenung setiap persoalan yang dikemukakan oleh para pengarang. Pembacaan yang luas seharusnya merangsang seseorang semakin kritis dan beradab. Dengan pengetahuan dan kearifan yang dimiliki, seseorang akan lebih terbuka, rasional dan menyedari betapa kerdilnya mereka sebagai seorang insan di muka bumi ciptaan Tuhan. Ilmu yang berguna selalunya mendorong seseorang untuk lebih patuh kepada keesaan Tuhan. Malahan bermanfaat kepada orang lain. Bukannya menjerumuskan seseorang berasa diri lebih hebat, bijak dan sombong lalu tersesat.
Kejumudan mula menguasai keperibadian seseorang apabila menutupkan diri kepada aliran pengetahuan-pengetahuan baharu yang (berpotensi) mengubah sudut pandang dan cara berfikir. Sungguh ketara, tidak semuanya yang diketahui hanya dengan membelek sebuah buku dan berlagak serba arif di khalayak umum. Dan membaca banyak buku juga bukan lesen untuk berkata dalam beberapa bidang yang hanya difahami pada peringkat asasnya sahaja. Semakin seseorang banyak membaca, semakin dia menyedari keterbatasan dirinya (insaniah) dalam mengetahui banyak perkara di dunia. Itulah makna ilmu, menyedari had yang ada pada dirinya. Secara tidak langsung, seseorang tidak akan tergelincir dalam tulisan dan lisan apabila memperkatakan sesuatu bidang yang tidak dikuasai.
Siapakah yang boleh memastikan bahawa orang-orang berilmu tidak terlepas daripada kesilapan? Tidak berpendidikan tinggi juga belum tentu seseorang itu jahil dan tidak mengerti tentang situasi di dunia. Adakah orang kampung tidak sebijak lepasan universiti dalam hal ehwal kehidupan dan kemanusiaan? Bahkan kerosakan ilmu bermula apabila orang jahil diangkat sebagai cendekiawan. Tentang perkara itu, Syed Ahmad Fathi menyatakan menerusi sebuah lagi buku bertajuk Intelektual Yang Membosankan, terbitan Kenyalang Press (Sebuah Imprin The Biblio Press), Cetakan 2024, kata-kata ini sangat tulus, matang dan mendalam: “ilmu bukanlah kata sinonim bagi universiti, dan ilmu tidak memerlukan universiti, ia boleh tumbuh dengan sendiri dan merdeka. Kita lihat dalam sejarah peradaban manusia, ilmu itu telah berkembang sekian lama, universiti adalah institusi yang datang kemudian.” Halaman 61.
Pengalaman kehidupan di luar institusi pengajian sudah tentu lebih mengejutkan berbanding di dalamnya. Terikat dengan pandangan sendiri dan terpaku pada hanya sesebuah buku daripada seorang penulis, hanya memenjarakan akal dan keupayaan pemikiran. Syed Ahmad Fathi memberikan respons yang bernas berhubung sikap dan mentaliti yang menyempitkan diri itu dalam halaman 19 dari buku Intelek Yang Membosankan: “Jika kita tidak membuka ruang mendengar dalam diri kita, sejak awal kita sudah membina benteng, kita tidak akan belajar. Sebaliknya kita mendengar apa yang kita mahu dengar sahaja, membaca apa yang sesuai dengan selera kita dan kita tidak akan pernah mencabar pemikiran kita. Proses pembelajaran adalah proses kita mengubah fikir, jika seseorang tidak berani mengubah fikir, atau fikirannya sama sahaja daripada muda hingga ke tua, maka dia sebenarnya tidak pernah belajar apa-apa.”
Membaca bukan suatu gaya atau sejenis aliran popular. Ia suatu kewajiban yang amat mendesak pada ketika ini jika tidak mahu tertipu dan ketinggalan. Memuat naik gambar-gambar buku di media sosial juga bukan semestinya pemilik akaun itu seorang yang tinggi hikmah dan kefahamannya dalam urusan keduniaan. Mungkin seseorang itu terlihat pintar, ahli akademik, warak dan berpenampilan terpuji di mata umum. Sedangkan hakikatnya ternyata bertentangan. Lihat sahaja realiti di dunia luar. Memang ramai yang berilmu, namun belum tentu bijaksana. Dengan membaca buku-buku yang bermanfaat dan disampaikan dengan amanah, sekurang-kurangnya pembaca memiliki perisai intelektual untuk menangkis daripada dibodohkan oleh pihak tertentu. Rupa-rupanya apa yang terzahir, tidak sejalan dengan yang terlindung.
Maka, benar apa yang ditulis oleh pengarang menerusi buku Dua Sayap Ilmu, “Lebih banyak membaca bukan membuatkan kita lebih banyak tahu, tapi kita tahu bahawa ada banyak benda sebenarnya yang kita tidak tahu. Itulah pemecah kebodohan. Orang-orang bodoh adalah orang yang berhenti berfikir kerana baginya dia telah mengetahui segala-galanya. Itulah falsafah membaca, memecahkan kebodohan dan meneroka keilmuan.” Halaman 9. Tidak ada faedahnya sesebuah buku atau tulisan jika tidak menawarkan suatu gagasan, persoalan, isu yang mengajak seseorang untuk berfikir. Respons kritikal dan analisis balas daripada pembaca itulah yang memberikan nilai kepada sesebuah buku dan tulisan untuk kekal relevan.
Pada ketika ini, sesebuah buku yang baru diterbitkan telah dipromosikan dan sekali gus dibuat ulasan serba ringkas melalui saluran TikTok atau Youtube. Namun, amalan mengulas secara konvensional dan menulis buku masih diteruskan. Shaharom TM Sulaiman telah menghasilkan buku Membaca Karya-Karya Besar, terbitan IM Books Dot Everything, cetakan 2023. Manakala pada tahun 2013, Shaharom TM Sulaiman menerbitkan buku bertajuk Dunia Pemikiran Intelektual, terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia. Kedua-dua buku, antara lain tujuannya mendorong pembaca untuk mengembara ke dalam pemikiran para pengarang pilihan yang memiliki kehebatan dalam kerja penulisan mereka. Melihat daripada pemilihan buku dan pengarang yang dipaparkan dalam buku tersebut, menunjukkan betapa canggih dan halusnya cita rasa pengarang. Dan aspek itulah yang ingin dikongsi kepada pembaca. Deretan tajuk buku dibincangkan memberikan manfaat kepada pembaca kerana setiap apa yang disajikan adalah pilihan terbaik daripada barisan pengarang terpenting.

Pada halaman pendahuluan buku Membaca Karya-karya Besar, pengarang menulis: “Karya-karya besar sudah pasti merupakan karya-karya yang berpengaruh, sekurang-kurangnya membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka, tentang lingkungannya dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya besar adalah karya-karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi, karya besar mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun bangsa yang dipancarkan melalui karya besar itu.” Perbagai disiplin dan naratif penulisan yang dimuatkan dalam buku tersebut dan ia merangkumi rasa kecintaan pengarang dengan amalan pembacaannya yang tidak terbatas tentang ilmu dan pengetahuan. Dari bidang sejarah, alam pemikiran, kesusasteraan dunia, pendidikan dan sains masa depan.
Menulis tentang buku-buku yang dibaca dan mengulas serta menganalisis isi kandungannya merupakan suatu kaedah untuk meninggikan budaya membaca. Bak kata ustaz, tadabbur Al-Quran itu lebih mustahak selain membacanya dengan nada yang merdu semata-mata. Demikian secara tersiratnya, seseorang bukan sekadar membaca, menelan tulisan dan melupakannya pada keesokan hari. Mahu tidak mahu, pilihan buku yang dipilih sudah tentu dijamin bakal mendobrak kejahilan dalam diri seseorang dan menyalakan sumbu rasa ingin tahu dan belajar daripada pelbagai sumber pengetahuan. Ia suatu refleksi kepada diri sendiri. Disebabkan itulah, buku-buku yang mencerminkan ketajaman analisis dan kehebatan naratifnya sentiasa melekat dan mengganggu sanubari di pihak pembaca.
Membaca buku dan membuat koleksi buku memang berbeza. Walaupun ingin sentiasa berdampingan dengan buku, berada dalam lingkaran buku dan ghairah pada setiap buku yang bakal diterbitkan, namun buku hanya tinggal buku yang tersusun di rak atau terkatup dalam kotak. Seolah-olah tiada hubungan batin antara pembaca dengan isi buku itu. Hal itu sangat kontradik dengan tujuan asal penerbitan bahan bacaan. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Noam Chomsky (Syed Ahmat Fathi memetik kata-kata tokoh intelektual awam paling berpengaruh itu dalam buku Dua Sayap Ilmu), “tiada manfaat membaca buku, kemudian melupakannya pada 10 minit kemudian. Membaca buku ialah latihan intelektual, iaitu merangsang pemikiran, persoalan dan imaginasi.” Halaman 7.
Membaca karya-karya yang membangkitkan daya berfikir memang terhad kepada pembaca terpilih. Masa sangat terbatas dan buku-buku sentiasa diterbitkan. Buku bukan lagi sekadar bahan bacaan (sumber ilmu pengetahuan), tetapi sudah pun menjadi industri yang menguntungkan. Agama, sastera, sejarah, politik dunia, sains dan pelbagai lagi bidang, sama pentingnya jika isi kandungan itu membawa manfaat kepada manusia. Bukannya tidak wujud buku-buku kononnya berbicara tentang agama, tetapi ia ditulis dengan niat yang negatif dan hanya menambahkan kekeliruan kepada pembaca umum. Pembaca yang bijak menentukan jenis dan isi bacaannya. Mereka tidak mudah tertipu oleh tajuk-tajuk mencurigakan kerana tidak mahu fikiran dan akidah tercemar melalui penyampaian maklumat yang menyimpang.
Membaca merupakan jambatan ilmu, kata bijak pandai. Ia bukan magis tetapi hakikat. Orang-orang terpelajar bukan selamanya berasal dari gedung menara tinggi. Tidak semestinya seseorang yang bukan datang dari didikan agama secara sistematik tidak berkelayakan (misalnya juruterbang pesawat, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah) bercakap tentang subjek berbeza daripada skop pekerjaannya. Keupayaan beliau membahagikan masa dan tugas, tetapi masih mampu (bahkan turut menghasilkan buku) membaca bahan bacaan berkaitan dengan agama, sungguh menakjubkan. Inilah rahmat jika seseorang rajin membaca dan sentiasa ingin belajar (mencari kebenaran yang sahih) dan membuka fikirannya dengan pelbagai sumber rujukan yang lain.
Membaca buku-buku yang mampu meledakkan pemikiran lebih baik daripada sekadar membaca agar terlihat pintar dan terdidik di mata umum. Namun pilihan menjurus kepada buku-buku tertentu sebegitu selalunya didorong oleh rasa ingin tahu yang mendalam dalam sesuatu isu teras perbincangan. Mencari ilmu dan kebenaran tujuan utama dalam aktiviti pembacaan. Ia tidak menjadikan seseorang itu lebih hebat daripada orang lain, tetapi diharapkan menjadi lebih manusiawi dan tidak selamanya terperangkap dalam penjara kejahilan (keangkuhan). Sebagaimana pesan Soesilo Toer, “bijak itu tidak ditentukan di bangku sekolah. Revolusi berfikir yang melahirkan kecerdasan dan kebijakan itu tidak memerlukan ijazah.”
– ROSLAN JOMEL merupakan pengarang kelahiran Kuching< Sarawak dan kini berkarya di Kuala Lumpur.

