SEPERTI yang diketahui umum, kami ini sangat terkenal orangnya. Dan kerana terkenal itu, kami merasakan bahawa sedikit masa lagi tentu ada pengacara-pengacara podcast yang terkenal akan memanggil kami sebagai tetamu.
Kami juga sudah bersedia untuk membuatkan semua yang menonton podcast tersebut ternganga kekaguman demi melihat sendiri kepetahan kami dalam hal bual bicara. Dan kami amat yakin bahawa segmen yang menjadikan kami sebagai tetamu istimewa itu akan memenangi banyak anugerah serta menarik ramai penaja.
Kami juga amat yakin bahawa kami akan menjadi orang pertama yang dibayar teramat mahal bila menjadi tetamu mana-mana podcast.

Berbekalkan keyakinan tersebut dan sebagai persediaan, kami pun bersetuju untuk menjadi salah seorang panel untuk acara bicara seni di program Cheka+ISM di Jerantut Pahang baru-baru ini.
Ideanya ialah, bual bicara tersebut akan kami jadikan sebagai pemanas sementara menunggu dijemput sebagai tetamu paling dihargai nanti oleh mana-mana podcast antaranya podcast kendalian bekas menteri yang kalah pilihan raya dan kini menjadi penyampai radio. Kami rasa kami layak berada di podcast tersebut kerana kami juga popular terutama dikalangan gadis-gadis dan kami mempunyai pengetahuan yang jauh lebih banyak tentang seni berbanding dua podcaster tersebut.
Jika bukan podcast itu, tentu kami bersedia untuk menjadi tetamu ZRA Strim. Kami sudah bersedia membeli beberapa jeans kepala kain dan boots Iron Ranger untuk muncul sama bergaya dengan Zainal Rashid Ahmad. Itu lah yang ada dalam kepala kami sebelum peristiwa kami berjaya membuktikan kelemahan diri sendiri.
Bicara seni itu membuktikan kami ini agak dungu orangnya. Ianya juga menjadi bukti bahawa kami sepatutnya menerima nasihat Mok untuk berhenti sekolah semasa darjah enam lama dulu.
“Berenti laa..mu bodo..,” kata Mok dengan penuh kasih sayang merayu supaya kami berhenti membazir harta benda keluarga untuk membiayai persekolahan kami waktu itu.
Kamu bayangkan, termasuk kami ada tiga orang kesemuanya yang duduk di atas pentas. Kedua-dua mereka adalah pensyarah. Seorang dari Universiti Malaya sementara yang satu lagi pula dari Universiti Sains Malaysia dan kedua-duanya adalah pensyarah yang bergelar. Ada Dr. di pangkal nama mereka masing-masing sementara kami pula mendapat pangkat 1C dan 4X semasa mengambil Peperiksaan Penilaian Darjah Lima.
X adalah isyarat tidak menghadiri peperiksaan kepada yang tidak tahu dan kami sengaja tidak hadir ke peperiksaan tersebut kerana sedar akan keupayaan diri. Kami ikut Lokman Lazim, Dimunoh Kepuk, Stopa, Sopi Rano dan Hasbullah Latiff pergi ke dalam semak menghisap rokok sementara rakan-rakan sekolah yang lain menjawab kertas peperiksaan.

Selain Stopa, semua nama yang kami sebut itu dari Sekolah Sultan Abdullah iaitu antara sekolah yang tertua di bandar Kuantan. Stopa Sekolah Galing jika tidak silap.
Dua orang panel selain kami ialah Dr. Shahrul A. Shaari yang pernah kacak semasa mudanya dan juga Dr. Zul Afiq yang sentiasa keliru tentang kekuatan dan gaya Mercedes Benz dan BMW.
Pengacara majlis ialah saudara Syuq Tone yang rambutnya sudah banyak yang putih namun tetap mahu direbondingkan.
Diatas pentas, seawal soalan pertama lagi, semasa mahu menjawabnya, seluruh kepala kami menjadi kebas. Darah dalam tubuh kami seolah-olah berhenti mengalir dan tidak semena-mena, sebaik saja kami mahu melontarkan suara menjawab soalan, ketiak kami menjadi basah dan roh kami telah menerawang entah ke mana walhal kami telah hafal terma-terma seperti kognitif, afektif dan juga psikomotor serta berpuluhlah perkataan lain yang lebih bombastik sebagai senjata untuk membuatkan pendengar terlopong.
Kami lupa apa yang kami katakan tetapi yang pastinya tentu ia sesuatu yang bodoh.
Begitulah keadaan kami selama lebih kurang 20 minit sesi tersebut. Lain ditanya, lain pula yang kami jawab. Bahkan kami tidak sempat untuk mempromosi alamat media sosial kami seperti yang dilakukan oleh kedua panel dan juga juruacara majlis berkenaan dan benarlah kata Sinaganaga tidak lama dulu. Katanya, “Kalau lebih dua minit lagi (dia kena baca sajak), mesti pengsan punya”.
Memang kami sudah hampir pitam dan mujurlah para penonton yang hampir kesemuanya adalah murid-murid sekolah menengah itu harus pulang segera kerana terikat dengan jadual yang telah ditetapkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.
Kami bersyukur dan berikrar untuk tidak lagi mahu menjadi tumpuan apa-apa lampu sorot. Rela kami duduk di dalam gelap dari memalukan diri sendiri. Ini agaknya yang dikatakan sebagai sudah mencapai makam mengenal diri.
Bercakap fasal Sukairi Shahri, dia adalah orang yang bertanggungjawab dalam acara Cheka+ISM. Dia gemar memprojek dirinya sebagai seorang CEO namun kami lebih suka mengelar dia sebagai Penunggang Artis.
Ceritanya begini, dalam program kem seni Cheka+ISM, pengelola telah menyediakan beberapa buah reruai percuma untuk penggiat kraf, buku dan juga jualan kopi dan sebagainya.
Kerana kurang membaca, atau kalau kami ingin berkata benar, dia langsung tidak membaca maka dia tidak ada sebarang hubungan dengan apa pun hal berkaitan buku. Kerana itu dia meminta kami mencadangkan beberapa penerbit.
Lalu kami memberikan dua nama iaitu Penerbitan Kaukab yang berhemah itu dan juga Budak Fung Keong yang rajin itu. Fareez dari Penerbitan Kaukab tidak dapat mengikuti program tersebut kerana tidak ada masa lapang pada hari bekerja dan Sukairi telah meminta nombor telefon Budak Fung Keong dari kami.
Kami mensyorkan supaya dia mencarinya di internet kerana kami tidak ada nombor yang diminta. Dan dia pun berjaya memperolehinya.
Dia cuba menghubungi nombor berkenaan dan tidak dilayan. Ya lah, ini zaman hati-hati. Jarang orang menyambut panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Bimbang panggilan datang dari scammer sementelah pula si Sukairi ini agak mencurigakan wataknya.
Setelah gagal, dia pun menghantar pesanan kepada Budak Fung Keong. “Ini abdullahjones,” bunyi pesanan itu dan resmilah dia sebagai seorang penunggang artis.
Kami pun panas hati. Kamu perlu faham kerana seperti yang kami katakan awal-awal tadi, kami ini orang terkenal dan kami pasti sedikit masa lagi Budak Fung Keong akan datang kepada kami dan memohon untuk menerbitkan kasut yang membawa nama kami sebaik selesai dia mempromosi kasut M.Nasir.
Malah tidak malu kami katakan yang kami sudah pun menyiapkan segala macam reka bentuk kasut berkenaan. Bahkan kami sudah siap lebih sepuluh rekaan untuk dia pilih.
Pun begitu, nanti bila dia datang memujuk kami untuk berseni demi wang , kami akan buat-buat jual mahal sehinggalah dia bersetuju untuk membayar royalti sehingga 50 peratus keuntungan yang diperolehi. Macam kebanyakan galeri-galeri komersil lakukan. Kita buat kerja sampai enam tujuh bulan kemudian dia buat pameran dua minggu dan untung separuh dia sapu. Tetapi ada betul juga nereka buat begitu sebab sewa galeri tentu lah mahal.
Akibat sifat tidak hati-hati si Sukairi, kami pun nampaknya boleh melupakan hasrat untuk memiliki kasut dengan rekaan sendiri.
Budak Fung Keong tidak menjawab pesanan Sukairi sampai kesudah kerana budak Fung Keong itu seperti ramai kawan-kawan kami tidak akan percaya kami mempunyai telefon genggam. Kawan-kawan kami masih yakin kami tetap dengan prinsip yang sebenarnya menyusahkan diri kami sendiri itu.
Balik kepada tujuan asal kami menulis rencana ini, penganjuran program Cheka+ISM ini agak berjaya.
Cheka+ISM adalah lanjutan dari siri-siri +ISM yang direncana akan dijalankan di seluruh negeri Pahang. Bermula di Ulu Dong, Tasik Chini, Tioman dan juga Sungai Lembing program di Jerantut dilihat sebagai program yang paling berjaya dan tersusun. Mungkin paling berjaya dek kerana kehadiran kami.
Walaupun bara dengan CEO projek tersebut, kami ingin mengucapkan tahniah kepada dia dan kumpulan yang mengendalikan program tersebut. Mereka memang sudah selayaknya berjaya menjalankan program seperti ini kerana sudah mempunyai pengalaman selama lima tahun mengendalikannya.

Mungkin terdapat sedikit kecacatan dimana-mana namun ini adalah lumrah dan semua orang yang terlibat berpuas hati. Penganjurnya kami percaya akan menerima segala kritikan terhadap program tersebut jika ada sebarang kelemahan. Masalah penganjur acara di negara kita ini hanya mahu mendengar yang molek-molek sahaja. Jika ada yang mengkritik maka akan dianggap sedang berusaha untuk menjatuhkan.
Tahniah sekali lagi kepada +ISM Pahang, Kelab Kataris Seni, MOTAC, Balai Seni Negara dan juga Kerajaan Pahang.
Tahniah juga kepada penduduk daerah Ulu Cheka dan sekolah-sekolah yang terlibat.
Sesuatu yang menarik ialah Ulu Cheka ini terkenal sebagai pusat pengumpulan durian kampung. Durian Damak dikatakan sebagai antara jenis durian yang boleh menyaingi durian Musang King.
Menurut penduduk setempat, musim durian di kawasan tersebut sampai kepuncak adalah di dalam bulan-bulan Jun dan Julai setiap tahun.
Dan yang paling menarik sekali ialah apabila kami diberitahu yang daerah ini juga adalah ibu kota musik metal negeri Pahang dan penguhulunya, Penghulu Khairul Akhma Yusof adalah orang kuat yang selalu mengadakan konsert-konsert metal di daerah tersebut. Mungkin kami perlu ke Ulu Cheka sekali lagi untuk mencari sebab mengapa penduduknya dikatakan sering mabuk teruk.
Mabuk durian Damak agaknya.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang masih kecewa kerana tidak dapat membeli kambing perap yang dijual oleh Fattah Amin.

