Filem dengan segala kekuatan visualnya, sentiasa berhadapan keterbatasan. Tetapi batas itulah yang membuka ruang tafsiran yang lebih mendalam. Sesuatu yang tidak ditunjukkan mengundang banyak perkara untuk difikirkan. Hal itu sama seperti kehidupan di dunia nyata yang ada perkara ditunjukkan dan selebihnya disembunyikan.
Menikmati filem bukan sahaja menonton semua yang ada dalam bingkai (frem), tetapi juga yang berada di luar bingkai. Sebagai sebuah karya seni yang terbina daripada dalam dan luar bingkai, hakikatnya filem hanya serpihan daripada keseluruhan kehidupan yang luas.
Maknanya filem mempunyai sisi yang tidak diwakili secara visual atau ditunjukkan. Banyak perkara yang sengaja dibiar berada di luar, tetapi terhubung oleh pengalaman dan imaginasi khalayak. Visual yang dipaparkan adalah isyarat bahawa yang selebihnya daripada filem itu berada dalam alam fikir penonton.
Filem Kaki Bakar (1995) arahan U-Wei HajiSaari misalnya membawa persoalan asas tentang kekerasan yang menjadi sikap watak Kakang lakonan Khalid Salleh. Bagaimanapun Kaki Bakar tidak menyediakan jawapan yang eksplisit di dalam bingkai. U-Wei sengaja membiarkan perkara itu berlegar di luar bingkai pada alam pemikiran khalayak.

Kaki Bakar meletakkan penonton di tengah-tengah sebuah dunia yang sudah rosak sejak awal. Di luar bingkai kita memahami bahawa kekerasan Kakang adalah hasil produk yang sistemik – kemiskinan struktural, ketidakseimbangan kuasa dan kegagalan institusi sosial melindungi yang lemah.
Jawapan pada persoalan besar dalam Kaki Bakar lahir daripada naratif di luar bingkai tentang institusi sosial yang tidak mendukung keadilan kepada golongan yang tidak ada kedudukan. Kakang dijatuhkan hukuman buang daerah oleh Tok Demang kerana membakar bangsal kambing milik seorang penduduk.

Naratif di luar bingkai mengingatkan kita bahawa setiap kehidupan mempunyai sisi yang tidak nampak pada pandangan mata. Sebuah filem mungkin berpusat pada sesuatu watak, tetapi tidak menjelaskan tentang sejarah, luka dan impiannya secara visual. Di sinilah penonton disedarkan bahawa filem juga seperti kehidupan nyata yang tersaring antara dilihat dan disembunyikan.
Taxi Driver
Lihat sahaja filem Taxi Driver (1976) arahan Martin Scorsese yang membiarkan trauma perang membentuk perwatakan Travis Bickle berada di luar bingkai. Yang ada dalam bingkai adalah kisah seorang pemandu teksi di tengah-tengah kota New York yang dipenjarakan rasa sunyi dan terasing.
Scorsese tidak menunjukkan tentang trauma perang yang menghantui kehidupan Travis Bickle lakonan Robert Di Nero itu. Penonton hanya diberi petunjuk tentang bekas tentera yang mengalami insomnia dan sukar menyesuaikan diri dalam kehidupan semasa. Tidak ada adegan perang, kisah kepulangan atau sesi rawatan. Semua yang tidak dilihat itu adalah naratif tentang Travis Bickle.

Trauma itu tidak divisualkan kerana ia bukan lagi sebuah kenangan tetapi menjadi lensa yang membentuk cara dia melihat dunia. Penonton tidak ditunjukkan perkara yang terjadi kepada Travis, tetapi melihat akibatnya—pandangan hidup yang rosak, emosi yang beku dan hidupnya kosong.
Selebihnya naratif dibiarkan bergerak dam berkembang di luar bingkai bertujuan memberikan ruang kepada penonton membina imaginasi. Hal itu kerana menikmati filem adalah antara dalam dan di luar bingkai. Filem terbina antara yang dilihat dan dirasakan.
Kedua-duanya membangunkan naratif yang melampaui sesuatu yang ada dalam bingkai. Kerap kalinya yang tidak kelihatan itu membawa maksud yang lebih besar berbanding yang ditunjukkan.
Disebabkan hal yang demikian, dalam atau ceteknya sesebuah filem sampai kepada penonton ditentukan oleh tahap kefahaman dan penghayatan. Kalau penonton hanya melihat yang terpapar di layar secara pasif mungkin tidak dapat menggali persoalan yang lebin dalam daripada yang tidak ditunjukkan.
Seni yang refleksif
Menonton filem adalah kegiatan seni yang sangat refleksif. Tidak sekadar menonton tetapi masa yang sama menyusur ke segenap lapis yang terbuka dan juga terlindung.
Pengalaman sinematik yang paling mengujakan bukan sahaja menonton visual dalam bingkai, tetapi menjejaki sesuatu yang sengaja tidak ditunjukkan oleh pengarah.
Bingkai filem empat penjuru itu sentiasa bersifat eksklusif dan pengarah perlu membuat keputusan tepat tentang sesuatu yang boleh dimasukkan atau ditinggalkan di luar. Setiap kali menetapkan sudut kamera, hal itu membawa maksud pengarah dengan sedar menolak kemungkinan sudut yang lain.
Tanggungjawab penonton adalah mengisi ruang kosong di luar bingkai dengan pengalaman, ingatan atau ketakutan yang dialami sendiri. Dalam keheningan atau kegelapan di luar bingkai, secara tidak langsung penonton turut menyempurnakan naratif pada imaginasi, pengalaman hidup atau kenangan peribadi.
Maka ternyata seorang pengarah bukan sahaja bekerja bersama-sama cahaya dan bayang, tetapi juga ruang kosong yang tidak kelihatan tetapi dirasakan. Itulah yang membezakan sesebuah filem sebagai karya seni dan bukan hanya sebuah rakaman.

Filem bukanlah visual bergerak yang terkurung dalam bingkai empat penjuru, tetapi sebuah dunia yang melimpah keluar dari batas bingkainya.
Itulah sebuah dunia yang kita fahami, rasai dan hidup dalamnya secara emosi. Apa yang dipaparkan hanya permukaan, tetapi yang di luar bingkai adalah degup jantungnya.
Hakikat bahawa tidak semuanya ada dalam bingkai adalah bukti yang mencabar ilusi bahawa filem boleh merakam realiti. Ternyata filem tidak berupaya merakamkan realiti apabila terpaksa memberikan ruang yang tidak dirakamkan membina naratifnya sendiri. Malah sifat sebuah filem adalah separa. Dalam kata lain realiti sentiasa lebih besar daripada naratif yang ditawarkan.
Maka janganlah berpura-pura membawa dunia ke dalam filem, Filem terlalu kecil untuk dibandingkan persoalan kehidupan yang terlalu besar. Sebab itulah filem yang jujur tidak berpura-pura menjadi lengkap. Malah mengakui akan keterbatasan apabila membawa penonton ‘melihat’ sesuatu yang melampaui layar atau bingkai.
Begitu juga dalam filem-filem yang membicarakan keganasan, kemiskinan, atau ketidakadilan sosial. Ada pengarah yang memilih tidak memaparkan secara langsung, sebaliknya hanya menunjukkan reaksi watak, ruang yang kosong selepas kejadian, atau keterasingan yang menyusul selepas itu.
Dalam konteks emosi sesuatu yang tidak terucap ada kalanya lebih bermakna daripada pertururan yang panjang berjela-jela. Pandangan yang terhenti, jeda yang canggung, atau shot yang dipotong sebelum perasaan diluahkan bertujuan membina lapisan makna yang halus.
Pengalaman penonton
Emosi adalah sesuatu yang tidak dipaksa ke hadapan, tetapi dibiarkan berlegar pada ruang antara bingkai dan penonton. Di sinilah filem beralih daripada sekadar naratif menjadi pengalaman yang dialami penonton. Menonton filem dengan kesedaran terhadap sesuatu yang tidak ada dalam bingkai adalah sikap yang kritis dan jujur.
Filem bukan sebuah dokumentasi realiti, tetapi tafsiran daripada realiti. Sesuatu yang tidak dirakam tetap boleh dirasakan tentang sejarah, dunia yang terdapat di luar sudut pandang kamera dan kenangan yang tidak divisualkan turut membentuk makna dalam cerita.
Dalam Bicycle Thieves (1948) arahan Vittoria De Sica di dalam bingkai hanya kisah Antonio Ricci yang kehilangan basikal yang menjadi punca rezekinya. Tetapi naratif di luar bingkai mengenai struktur sosial pascaperang di Itali di mana pengangguran, kemiskinan birokrasi mencengkam rakyat.

De Sica tidak berkuliah tentang keadaan ekonomi dan pergulatan sosial, tetapi membiarkan hal itu berada di luar bingkai. Dia hanya memberikan kesan daripada yang di luar bingkai itu bahawa berjuta lagi‘ Antorio Rici’ bergelut mencari pekerjaan dan menunggu nasib yang tidak pernah berpihak kepada mereka.
Penonton tidak melihat perang dan kesusahan rakyat secara eksplisit dalam filem yang menjadi ikon gerakan neorealisme Itali itu. Imej-imej yang terpapar dalam bingkai hanya wajah kota yang kusam seolah-olah kamera hanya merakam satu serpihan kecil daripada kota yang tragis itu.
Saving Private Ryan (1998) arahan Steven Spielberg mempersembahkan sebuah gambaran perang yang paling realistik dalam sejarah. Ironinya Spielberg dengan sengaja tidak menunjukkan wajah tentera Nazi yang menjadi musuh secara jelas. Imej visual tentera Nazi hanya muncul melalui kesan bunyi tembakan dari jauh, siluet yang kabur dan tanpa identiti.

Naratif di luar bingkai mengingatkan kita bahawa ruang yang tidak dirakam itulah tersembunyinya sejarah, struktur kuasa, trauma kolektif dan masa depan yang belum terjawab. Bingkai tidak lebih sebagai sempadan visual tetapi kehidupan sebenar sentiasa melimpah keluar daripadanya.
Maka kekuatan sesebuah filem kerap kali juga terletak pada keberanian pengarah untuk tidak menjelaskan segala-galanya dan membiarkan sebahagian makna terus hidup dalam ingatan penonton selepas layar bertukar gelap.
Itulah hakikat sebuah karya seni yang tidak pernah selesai hanya dalam durasi tayangan. Tetapi abadinya sebuah filem apabila terus hidup dalam fikiran dan nurani selepas kredit akhir berlalu.
• KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Tulisan tulisan lain beliau boleh dibaca di Kayang Post: https://kuseman.com/
