“Karya saya bersifat kontemplatif.” Itulah antara kata-kata Amron Omar yang tersemat dalam minda saya sewaktu menghadiri sesi Forum Seni “Amron Omar: di Dalam dan Luar Pertarungan” yang berlangsung di Galeri Shah Alam, pada hari Ahad, 9 November 2025, dari jam 2 hingga 5 petang.
Forum itu dianjurkan bersempena dengan program Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan yang berlangsung di Galeri Shah Alam daripada 3 hingga 16 November 2025 dan pada masa sama turut memperagakan karya-karya Amron Omar dalam “Pameran Rupa: Karya-karya Amron Omar di Luar Gelanggang Pertarungan dalam Koleksi Pakha Sulaiman.” Forum yang dimudahcara oleh pelukis Samsuddin Lappo itu menampilkan Amron Omar bersama-sama tiga ahli panel lain, iaitu ahli politik dan penggiat teater Hasmi Hashim, ilmuan seni Hasnul Jamal Saidon dan kolektor seni tegar Pakhruddin Sulaiman.

Di samping ketokohan dalam bidang masing-masing, antara fakta menarik mengenai ketiga-tiga ahli panel yang ditampilkan ialah mereka semua merupakan bekas “pelajar” Amron Omar, sama ada secara formal mahupun tidak formal. Hasmi Hashim dan Hasnul Jamal Saidon merupakan bekas pelajar Amron ketika mereka menuntut di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka (KSSR atau AD: Art & Design), Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1980-an, yang sekarang dikenali sebagai Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pakhruddin Sulaiman pula menyifatkan dirinya sebagai “pelajar” tidak formal kepada Amron Omar, kerana sejak mula mengumpul karya-karya pelukis itu pada tahun 1990-an, dia banyak menghabiskan masanya di kedai mamak “menuntut” ilmu seni menerusi perbincangan dan bual santai bersama Amron.
Pengalaman ketiga-tiga ahli panel ini yang pernah menjadi “pelajar” Amron Omar mewarnai sesi forum yang hidup petang itu dengan fakta-fakta kenangan dan nostalgia, sejarah dan erti pembelajaran serta menuntut ilmu. Lebih daripada itu, audiens dapat memahami Amron Omar dengan lebih dekat dalam masa tiga jam menerusi perkongsian pengalaman dan anekdot tiga orang bekas “pelajarnya.”
Seperkara yang juga menarik dalam acara petang itu ialah jumlah kehadiran yang besar, bukan sahaja di kalangan pelukis dan peminat seni tanah air, tetapi terdiri daripada alumni atau bekas pelajar-pelajar AD, ITM, daripada pelbagai kemasukan sejak dekad 1970-an, justeru menjadikan petang itu seperti “AD mini reunion.” Di samping mengenali dan memahami Amron Omar, mereka juga mengenali dan menemui semula rakan-rakan yang pernah sama-sama mengikuti pengajian seni lukis di sekolah seni keramat itu.

Hasnul Jamal Saidon menceritakan bahawa dia merupakan antara pelajar kumpulan pertama yang dibimbing Amron Omar ketika beliau mula diundang untuk mengajar mata pelajaran Lukisan di Jabatan Seni Halus oleh Ketua Jabatan pada masa itu, pendidik seni dan pelukis terkenal Fauzan Omar. Dengan memberi premis dan konteks dirinya sebagai pelajar Amron kira-kira 39 tahun lalu, seorang sahabat dan ahli akademik, Hasnul menjelaskan betapa pentingnya wacana mengenai Amron Omar petang itu dilihat dalam konteks yang tertentu. Sambil membandingkannya dengan peranan sebuah muzium, kerja mengumpul benda atau objek sebagai bahan ketara dan menyebarkan ilmu yang dilihat sebagai suatu nilai yang tidak ketara itu memerlukan kefahaman terhadap konteks.
Bagi Hasnul Jamal Saidon, Amron Omar “melukis melalui hati,” malahan kegiatan melukis secara umumnya juga harus dan perlu melalui hati, justeru dia menghubungkannya dengan pelbagai kata berkaitan “hati” seperti “memerhati, perhatian, perhatikan, perhati dan kenal.” Menghayati karya-karya Amron Omar memerlukan suatu proses pemerhatian yang teliti: ini tentu sahaja berhubungan dengan apa yang Amron sebutkan bahawa karyanya itu bersifat kontemplatif.
Selaras dengan itu, Hasnul teringat pengalaman menarik lagi luar biasa ketika memerhati dan melihat karya catan Amron yang dipamer di Galeri AD sewaktu dia menuntut di situ, bahawa “lukisan Amron itu berhantu:” semakin dipandang dan ditenung, semakin ia kelihatan hidup dan keluar dari permukaan kanvasnya.
Proses kontemplasi itu membuatkan karya Amron kelihatan seperti hidup. Hasnul juga masih ingat, Choong Kam Kow menjadikan karya Amron sebagai contoh kepadanya ketika mengajar lukisan dan catan figura. Selain daripada Amron Omar, Jabatan Seni Halus ketika itu dibarisi oleh tenaga pengajar yang hebat seperti Ismail Zain, Tang Tuck Kan, Fauzan Omar dan Choong Kam Kow. Tambah Hasnul, “karya guru kita akan melekat dalam hati kita.”

Hasmi Hashim pula meluahkan rasa rendah hatinya kerana diberi peluang untuk bercakap mengenai Amron Omar dalam sesi forum petang itu. Menurutnya, dia menunggu 30 tahun untuk dapat bercakap mengenai gurunya itu dan amat menghargai kesudian Amron hadir untuk bercakap kepada khalayak pada sesi itu.
Seperti Hasnul, Hasmi juga mengimbau kenangan menjadi pelajar Amron Omar kira-kira 30 tahun lalu ketika menuntut di AD, ITM. Pertemuan dan berguru dengan Amron disifatkannya sebagai titik masa yang penting atau “defining moment” yang memberi tafsiran baharu dalam hidupnya. Dia masih ingat, setiap kali habis kuliah dengan Amron, dia akan menghantar gurunya itu pulang ke Hulu Kelang dan kemudiannya diikuti dengan sesi minum dan berborak seni sehingga jam tiga ataupun lima pagi.
Menurut Hasmi Hashim, sepanjang berguru dengan Amron, pelukis itu meninggalkan tiga “beban” ke atas dirinya: pertama, “beban estetik,” “beban makna” dan “beban spiritualiti” atau kerohanian. Ini adalah antara perkara atau persoalan yang paling berbekas kepada dirinya sepanjang perkenalan dengan Amron.
Menghuraikan perkara itu secara ringkas, Hasmi memberi contoh betapa dalam karya pelukis itu kesan atmosfera adalah antara ciri yang dominan di samping kepakaran Amron membentuk struktur dan satah. Dalam konteks makna dan kerohanian, karya Amron seperti “Pertarungan” yang menampilkan dunia persilatan sebagai subjek, sebenarnya menunjukkan kekukuhan bangsa.

Tidak seperti Hasnul Jamal Saidon mahupun Hasmi Hashim, kolektor seni Pakhruddin Sulaiman menganggap dirinya sebagai “pelajar tidak formal” kepada Amron Omar kerana tidak mengikuti kuliah seni secara formal seperti mereka berdua, tetapi sebaliknya banyak meluangkan masa beborak dan berdiskusi mengenai seni dengan pelukis itu. Hal ini bermula pada sekitaran pertengahan tahun 1990-an, setelah beliau memperolehi karya pelukis itu sebagai koleksinya, yang berjudul “Pertarungan” (pastel minyak atas kertas, 1996).
Sejak itu, Amron Omar menjadi kawan dan antara figura penting yang membuatnya lebih celik kepada seni rupa. Menurut Pakha, seringkali mereka berbual dan berbincang mengenai seni di restoran mamak sambil menikmati teh tarik, dari segelas hingga penuh semeja, kadang-kadang sehingga jam enam pagi. “Berkuliah” dengan Amron mendidiknya mengenai kaedah dan bagaimana menghayati seni. Antara petua atau pesanan yang diingati ialah, kalau hendak membeli karya figura, lihat dan telitilah dahulu pengolahan jarinya.
Pakha menegaskan karya-karya Amron Omar tidak statik atau berulang, sebagaimana dianggap oleh sesetengah orang, sebaliknya menyifatkan karya-karya pelukis itu sentiasa berkembang. Tambahnya, jika diteliti, temanya mungkin sama, tetapi tekniknya berbeza. Meskipun “pertarungan” merupakan tema yang dominan, terdapat sisi lain Amron Omar yang mungkin tidak diketahui ramai. Hal ini menjadi asas atau justifikasi kepada penganjuran “Pameran Rupa: Karya-karya Amron Omar di Luar Gelanggang Pertarungan dalam Koleksi Pakha Sulaiman” yang dikendalikannya di Galeri Shah Alam itu.
Pameran yang memperagakan karya-karya Amron Omar dengan penglibatannya sekitar 50 tahun dalam seni itu menunjukkan kepelbagaian gaya dan bentuk seni yang dihasilkannya, termasuklah karya-karya awal ilustrasi kulit novel, buku dan album lagu, potret dan struktur seni bina. Menyentuh tema persilatan yang menjadi tema utama pelukis itu, menerusi pemerhatiannya, Pakha menyebut bahawa postur awal karya-karya tema itu lebih mirip kepada gerak “tari,” yang kemudiannya secara beransur-ansur beralih kepada “tarung.”

Memberi respons terhadap pameran yang menampilkan karya-karya di luar tema “Pertarungan” itu, Amron Omar menyebut bahawa pameran itu memperagakan karya-karya genre lain, termasuklah mencerminkan minat dan cabaran-cabaran melukis figura wanita, terutamanya dari segi perinci serta kehalusannya. Amron menyifatkan bahawa itu semua merupakan cabaran bagi dirinya dan suatu proses semula jadi bagi seorang pelukis. Baginya “Pertarungan” tiada penghujung, yang berubah hanyalah tenaganya.
Membuka bicaranya dalam sesi forum itu, Amron Omar menyebut, “Saya suka menjadi manusia, bukan “special” atau istimewa. Saya seperti anda juga.” Pernyataan Amron itu mencerminkan sikap rendah diri dan hati budi yang membuat khalayak rasa selesa dan senang mendengar bicara naratifnya.
Menurut Amron, lukisan adalah suatu proses memahami dengan lebih mendalam mengenai sesuatu dan memerlukan penjiwaan atau kontemplasi. Untuk melahirkan seni, seseorang itu perlu ada minda dan stamina serta memahami hukum alam. Melukis itu melibatkan pelbagai proses daripada pemerhatian dan persepsi, dengan ilmu menjadi asasnya, dan lukisan itu bukanlah suatu tekanan. Justeru itu, bekarya dengan “deadline” seakan-akan mematikan.

Hal ini berhubungan dengan tindakan Amron menyepi daripada dunia seni sekitar 1997 hingga awal tahun 2000 dan keluar dari dunia galeri komersil. Sekitar sepuluh tahun dia “bertapa” di kedai kopi sehari-hari memerhatikan gerak dan tingkah laku manusia. “orang pergi kerja dan balik kerja,” sehingga ada orang yang menyangka dia seorang anggota polis “SB:” “Special Branch.” Kesemua ini mencerminkan perihal kepentingan pemerhatian dan persepsi, penelitian terhadap sesuatu dan apa yang sedang berlaku di sekitar kita.
“Karya saya bersifat kontemplatif. Tanyalah pada diri sendiri apa yang anda nampak?” Pernyataan Amron Omar itu menyimpulkan sikap keterbukaannya terhadap potensi seni dan kepelbagaian tafsirannya, serta keperluan menjiwai dan memikirkan secara mendalam dalam sesuatu proses penghayatan seni. Hal ini merumuskan forum petang itu yang telah memungkinkan audiens memahami Amron Omar dalam masa tiga jam menerusi pengalaman tiga orang “bekas pelajarnya” dan dari dirinya sendiri.

🤩