RAMAI orang berbakat dalam melukis. Tetapi tidak ramai yang meneruskan minat melukis atas pelbagai alasan, contohnya tiada pulangan dalam bentuk kewangan atau pendapatan. Ini mungkin kerana ianya tidak dikerjakan secara profesional dan hanya sekadar hobi masa lapang. Sebenarnya siapa sahaja digalakkan melukis. Tidak kira lukisannya cantik atau pun tidak, digantung di galeri atau pun tidak, dibeli atau pun tidak. Dengan melukis, banyak perkara yang kita akan teroka. Apabila anda melukis, anda membuka pintu kepada imaginasi. Persoalan yang akan terus menerus anda hadap semasa melukis ialah “Bagaimana kalau…”
Bagaimana kalau saya tukar posisi buah mangga ini sebelah kiri?
Bagaimana kalau kostumnya saya guna warna kelabu?
Bagaimana kalau saya guna arang atas warna akrilik ini?
Sebaik sahaja anda melukis untuk melayan imaginasi, anda mungkin terkejut dengan apa yang muncul. Banyak imej-imej baru yang terbit yang mungkin anda sendiri tidak jangka. Lebih banyak anda melayan “bagaimana kalau..’” lebih banyak anda berimaginasi. Berimaginasi akan mempertajamkan daya fikir. Berimaginasi akan mengembangkan minda sekaligus membolehkan berfikir secara kreatif dan kritis. Namun begitu, ada juga sesetengah pihak yang merasakan bahawa imaginasi menyebabkan seseorang individu itu lebih cenderung untuk berkhayal dan tidak mencapai sebarang sasaran kehidupan yang telah ditetapkan. Itu bergantung kepada persepsi masing-masing dan sejauh mana insan mengawalnya.
Melukis ialah berlatih menghadapi masalah. Melukis ialah mencari jalan penyelesaian satu demi satu. Daripada komposisi, kepada pilihan warna, kepada membetulkan ‘kesilapan’, hasil karya lukisan akan datang bersama-sama dengan jalan menyelesaikan masalah. Bagaimana bermula untuk mendapatkan sekeping kertas atau kanvas sehinggalah anda rasa ‘melukis karya ini sudah tiba masanya untuk ditamatkan’. Keseronokan melayan imaginasi bukan alasan untuk anda terus menerus melukis kerana suatu masa nanti anda mungkin akan kecewa kerana ‘perjalanan anda terlalu jauh sesat’. Maka pada ketika itu eloklah cari kertas atau kanvas lain untuk satu penerokaan yang lain.
Bagi Rozlina Khairi, pelukis sepenuh masa – persoalan ‘bagaimana kalau’nya telah melahirkan sejumlah karya yang tertumpu kepada ibundanya. Selama Rozlina berkecimpung dalam dunia lukisan sepenuh masa dan memilih genre abstrak untuk berkarya, ibunya tidak pernah memberi respond kerana dia tidak memahami apa yang dilukis oleh anaknya, dan apa maksud lukisan tersebut. Dari situ Rozlina mendapat ilham ‘bagaimana kalau’ dia melukis sesuatu yang boleh mengembirakan ibunya. Lukisan pertama subjek bunga rupanya telah memberi tindak balas yang sangat positif, ibunya kini gembira, faham dan suka akan kerja-kerja seni anaknya. Bunga dan tanaman hiasan adalah kegemaran ibunya. Sudah tentu untuk meneruskan kegembiraan buat ibunya, Rozlina melukis lagi dan lagi subjek bunga kerana ini adalah ‘sesuatu’ yang dapat memuaskan dua pihak iaitu pelukis dan ibunya.
Melalui penerokaan yang dibuat oleh Rozlina telah membuat ibunya tertarik tidak seperti sebelumnya, karya abstrak yang sukar dimengertikan. Kemuncaknya sejumlah karya bertema bungaan “Blooming In Her Heart” dan berkonsepkan kasih sayang telah dipamerkan di Galeri Inner Joy, Petaling Jaya bermula 19 Mei hingga 23 Jun 2024. Karya kasih sayang melalui jelmaan bunga-bungaan ini pada hematnya boleh saja dinikmati oleh sesiapa sahaja. Sebab itu, ia dipamerkan dan boleh dimiliki untuk tujuan koleksi, perdagangan atau hadiah kepada insan tersayang. Pameran solo ketiga Rozlina ini masih berlangsung dan boleh dilawati dengan menghubungi pihak galeri untuk temujanji.
Lukisan membantu anda melihat keindahan dalam dunia. Apabila kita menghargai perkara-perkara kecil di hadapan kita dan berasa bersyukur untuk kegembiraan kecil dalam setiap hari, kita memperoleh pandangan yang lebih optimistik tentang kehidupan secara umum. Boleh jadi bab ‘menemui sesuatu’ yang kita bincangkan di atas ialah lukisan-lukisan Rozlina yang dipamer sekarang ialah – bahawa lukisan tersebut bakal menjadi milik anda. Sila lawat pameran sebelum tempoh tamat.
