Di mana halatuju indie kita?
Persoalan ini menjadi nota saya petang itu di Kuala Lumpur Film School (KLFS). Waktu itu sesi Bicara Filem sedang berlangsung. Saya beritahu Wan Azli Wan Jusoh, saya fikir dari kesedaran persoalan halatuju yang ditanya Dr. U-Wei HajiSaari, seperti di permulaan ayat ini sangatlah sesuatu dan “essential”. Pada saya, ia sebuah persoalan yang bergema, meskipun dilatari kesulitan.
Sebelumnya, kami telah menonton Pagari Bulan (2023, terajutama Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin), sebagai filem sulung tayangan apresiasi dalam siri Filem Nasional kali ini. KLFS, secara konsisten telah memupuk kehadiran program ini menerusi siri Perspektif Pembikin Filem dan Filem Dokumentari, lebih dari 5 tahun yang lepas. Saya fikir, terhadap membicarakan persoalan sinemanya, program Bicara Filem bukan hanya sebuah diskusi ilmu yang bertujuan untuk memupuk penonton. Sebaliknya penumpuan juga kepada memupuk antusias.
Maka apresiasi Pagari Bulan sangat dinantikan. Ia berkaitan sebuah filem dengan naskhah berlatarkan Perang Dunia Kedua di Kelantan sewaktu zaman pendudukan Jepun, di antara tahun 1941 – 1945 di Tanah Melayu. U-Wei memberi contoh filem berkenaan tema “comfort women” sebagai perbandingan seperti Story of A Prostitute (1965) dan beberapa judul lagi. U-Wei menyatakan Bicara Filem ini bersifat ilmiah. Sesi yang berlarutan sehingga lewat petang yang dikendalikan beliau bersama terajutama dan tamu undangan pasca tayangannya, sebuah diskusi yang diangkat berlandaskan sikap dan kematangan budaya fikir.
Secara semiosik; kisahnya antara lain berkenaan Bulan, adiknya Kasih dan Sui Li yang diculik Tentera Jepun, termasuk sekumpulan wanita yang dirampas dari keluarga untuk menjadi wanita penghibur tentera semasa zaman penjajahan Jepun. Perjalanan Bulan, dilatari dengan pertalian yang kuat dengan ayahnya, Ismail. Mereka terpisah ketika saat ia diculik dan Ismail ditangkap dalam usahanya membebaskan Bulan. Ismail dihantar sebagai buruh paksa membina landasan keretapi maut, ketika dalam masa yang sama terpaksa menempuhi penyiksaan dalam perjuangannya memerdekakan tanah air.
Saya fikir, menarik melihat persoalan ini dalam kerangka besar. Seperti yang dinyatakan, sebagai “cinephilia” yang melihat persoalan nasional ini secara global. Persoalan ini bangkit ketika diskusi berkenaan pasaran hangat diperkatakan. Apa yang kita buat ketika Pagari Bulan terbabit isu pembatalan tayangan di beberapa pawagam ketika ia ditayangkan sedikit masa lalu? Barangkali persoalannya yang kurang jelas sebelum ini (kerana kurangnya maklumat yang tepat) menjadikan ia tidak dipandang berat. Namun perkongsian terajutama dalam sesi ini terhadap isu penyingkiran filemnya di pawagam menjadi topik panas dan dalam memperkatakannya hendaklah bernadakan kewarasan. Saya fikir, pandangan Raja Mukhriz mengenai kegagalan memanfaatkan internet dalam memasarkan apa jua produk kebudayaan kita termasuk filem, tepat; di mana saya juga sependapat.
Faktanya internet telah menghubungkan satu sama lain tentang kesedaran produk kebudayaan masing-masing. Kesan dari praktis pasaran ini menjejaskan populasi penonton di Amerika Syarikat yang kelihatan menguncup dan “isolated” sejak era Perang Dingin sehingga 11 September 2001 akibat berlakunya krisis terhadap kebertanggungjawaban media. Yang relatifnya memberi kesan terhadap “trend” kebangkitan sebuah ideologi filem yang terbit dari kalangan yang independen, dari wawasan dan pemikiran terajutama, la politique des auteurs. Figur yang memaknakan keindependen itu terhadap kesungguhan kerja seninya. Justeru di Malaysia kurangnya perhatian kepada cinephilia, ketimbang penonton; kesenjangan berlaku kerana tiadanya kesedaran.
La politiques des auteurs
Di antara tahun 1951 – 1958, sebuah kaedah kritikan filem yang dikenali La politique des auteurs telah dibangunkan di Perancis. Pengkritik filem (kemudian lebih diraikan sebagai pembikin filem) seperti Eric Rohmer, Jean-Luc Godard, Jacques Rivette dan Francois Truffaut telah menulisnya di laman-laman Cahiers du Cinema bagi membina budaya fikir pada dekad itu. Telah menjadi kesedaran pada hari ini bahawa visi utama dan pemikiran yang mendalam dari kaedah ini dibangunkan adalah untuk menegaskan perkara pokoknya, iaitu; terajutama filem yang besar tidak lain merupakan seniman agung. Auteurs berasal dari “artist”, iaitu cara yang sama kita memandang kebesaran novelis, pemuisi, pelukis dan pencipta lagu.
Pensejarahannya, kaedah ini: La politiques des auteurs telah mengangkat peranan terajutama filem ke satu tahap yang sama dengan para seniman, maka bertujuan melihat pembikinan filem dari sisi estetika; justifikasi terhadap kebudayaan konservatif secara politiknya cuba menjauhkan filem dari realiti sosial dan kesedaran kepada kekuasaan. Ia adalah idea-idea progresif dan “reactionary” ini adalah mengenai “resistence” yang telah bertapak dalam semua sisi cabang-cabang seni serta merta sebaik usai perang.
Pembicaraan mengenai American cinema dalam French criticism yang ditemui dalam era 1950-an ini juga bertitik tolak dari La politiques des auteurs. Secara timbal balik Auteur Theory yang merupakan konsep utama dalam kaedah ini telah menjadi inspirasi di Amerika Syarikat terhadap menaik taraf perfileman di Hollywood pada era 1960-an dengan keabsahan terajutama filem seperti Alfred Hitchcock, Howard Hawks, Douglas Sirk, Nicholas Ray dan Samuel Fuller. Perlahan-lahan kaedah ini telah menjadi bahan eksport yang paling berbobot, yang secara jujurnya telah membuka jalan untuk sesiapa pun mempelajari bagaimana untuk menggemari para terajutama itu (sepertimana yang telah pun disebutkan). Barangkali ketika itu adalah sesuatu yang paradoks bagi orang Amerika untuk mengambil secara serius filem mereka sebagai seni buat pertama kali sejak dekad 1920-an. Namun percanggahan tidak berlaku disebabkan kaedah ini yang secara organiknya telah pun merakyat.
Sayang akhirnya perkembangan ini merosot ke dalam yang sesuatu yang bersifat eksklusif, tidak kelihatan merakyat sebagaimana maksud mendalam kaedah ini pada asalnya. Ia seperti yang diterjemahkan Pauline Kael dalam kritikan filem beliau terhadap karya-karya filem di Hollywood seperti Bonnie and Clyde (1967) dan The Godfather (1972), yang menurutnya cara Arthur Penn dan Francis Ford Coppola menyerap pengaruh Eropah ke dalam filem-filem mereka adalah cara yang sama Amerika Syarikat menaturalisasi orang pendatang. Kekecewaan ini sebagaimana kajian pembelajaran terhadap Francois Truffaut dan Luchino Visconti yang menjadi tidak relevan dan kurang bersinar ketika di Hollywood atas faktor ekslusivitinya. Perfileman di Hollywood kembali kelihatan berpura-pura, seakan-akan satu-satunya pemain perfileman yang terunggul, di sebalik sikap monopoli terhadap kebudayaan yang kekal diamalkan sejak itu.
Pensejarahan ini telah menjadi pengajaran buat merenung apa yang telah berlaku terhadap Pagari Bulan (sebagaimana yang disentuh dalam awal tulisan) sebagai kajian. Terdapat banyak lagi filem-filem lain yang selama ini menerima nasib peminggiran yang sama, khususnya apa yang kita nyatakan sebagai filem indie. Persoalannya masa depan indie di Malaysia telah dibayangi sikap “eksklusif” yang telah pun menjadi budaya, yang sangat paradoks dengan kaedah La Politique des auteurs yang “reactionary” dan merakyat kerana kaedah ini perlahan-lahan dibunuh. Umum kita sedari budaya pawagam di Malaysia dewasa ini meraikan perfileman secara eksklusif, di mana filem dari terbitan studio besar dijadikan “anak emas” berbanding penerbit mandiri yang tersakiti. Ia berikutan matlamat perdagangan pemasaran dan pemameran filem yang berat sebelah, yang beraliran kapitalisme dan kegagalan ini semakin memburuk dari tahun ke tahun kerana penerbit-penerbit mandiri atau yang sering kita sebut independen (dipermudahkan sebagai “indie”) tidak mempunyai pilihan lain, seperti idea Pawagam Nasional, untuk melindungi hak-hak mereka secara adil dan ihsan.
Jawablah wahai presiden, bagaimana isu ini hendak ditangani?
