“Faz jangan risau. Tak kisah kalau tak ramai. Saya pernah bagi talk di luar negara, cuma seorang yang datang.”
Dia memang boleh telah naluri saya. Kegelisahan saya tak mampu disembunyikan.
Sudah melepasi jam lima, tapi yang ada cuma saya, Nisa dan Akma. Pasukan Kawah Buku tiba paling awal sekitar jam empat. Diikuti saya dan Akma sepuluh minit mencecah lima petang. Kemudian muncul Faisal Tehrani yang menyapa dengan senyuman mesra. Peluh manja menitis di wajahnya, dan beberapa tompokan di bajunya. Dia meletakkan kereta agak jauh dari kawasan tasik. Mungkin untuk bersenam sekaligus fikir saya, berdasarkan tracksuit yang disarungkan.
Langit biru dan cerah petang itu. Geng Kawah Buku (Nisa, Azan dan Is) memilih spot di bawah pepohon rendang, dihamparkan tikar mengkuang untuk khalayak yang bakal tiba serta dua kamera siap terpacak demi tujuan pendokumentasian. Juga sehelai kain pelekat bagi perletakkan buku-buku koleksi Faisal Tehrani yang akan didagangkan.

Ketika kereta saya masuk ke parkir yang betul-betul berhadapan dengan ruang acara, kelihatan Nisa sedang mengelamun menikmati suasana petang yang menawan. Di tangannya ada sekeping buku nota. Tubuh disandarkan, kakinya bersilang. Dari jauh saya perhatikan wajah Nisa tersenyum dalam renungan yang jauh. Angin sepoi menghayun dan menerbangkan daun-daun hijau dari ranting, juga daunan kering menari di celahan rumput. Kelihatan tasik yang terbentang luas menjadi latar permandangan. Indah dan mempersonakan.
Kelelahan memandu dari Denai Alam ke Bangi mencecah satu jam setengah dengan trafik Sabtu yang macam haram–terhapus dengan melihat kedamaian itu. Seperti lukisan layaknya. Inilah kali pertama sejak Kultus Kata berfungsi, akhirnya kami dapat melaksanakan aktiviti di tepian tasik yang sebelum ini setibanya di lokasi, hujan menyembah bumi. Sedangkan taman-taman awam menjadi lokasi pilihan yang diputuskan sejak awal. Namun harus beralah dengan faktor cuaca yang tidak menentu. Syukur, akhirnya edisi ke tujuh Tuhan izinkan.
“Eh mana boleh. Saya kena risau. Faisal Tehrani kot.”
Nisa dan Akma ketawa dalam segan. Faisal Tehrani senyum sambil geleng kepala dan kemudian menjawab: Saya tak kisah, Faz.
Begitulah adatnya menjadi tauke panggung. Sentiasa ada kebimbangan. Apa lagi yang diundang bukan calang-calang. Berdebar dan malu rasanya bila yang ada cuma kami bertiga selaku penganjur dan tetamu jemputan. Rasa nak junamkan muka dalam tasik saat itu.
Sekitar 20 minit selepas hanya kami di situ, terpacullah seorang demi seorang. Ah! Lega rasanya Tuhan saja yang tahu.
Setiap kali Kultus Kata berlangsung, selalu ada wajah-wajah baru yang menjenguk. Sebagai sebuah kelab buku yang meraikan siapa sahaja tanpa syarat, saya gembira melihat perkembangan ini.
Nisa yang mewakili Kawah Buku menjadi moderator khusus untuk buku pilihan yang dibincangkan iaitu Babi, Kongkang, Panda dan Hal-Hal Yang DiPungut Kembali. Buku terbaharu Faisal Tehrani terbitan Kawah Buku untuk tahun ini yang menggabungkan cerpen dan esei (espen) dari tulisan-tulisannya di portal yang telah tersiar sekitar lima tahun ke belakang.
Sementara saya menjadi perantara bagi pihak Kultus Kata dan juga penghubung khalayak yang hadir.
Sesekali angin kencang berhembus membawa bau yang tidak menyenangkan dari arah tasik. Sewaktu saya dan Akma berkunjung untuk meninjau kawasan (seminggu sebelum acara), Azan (pengurus Kawah Buku) sudah memaklumkan yang taman tasik itu tidaklah secantik dan sebersih mana. Tambah Azan, ada banyak konflik politik yang sengaja dirumitkan sehingga taman tasik itu menjadi mangsa. Saya merapati tebing tasik dan melihat banyak sekali bangau bermain dan bersenda gurau sesama mereka. Bila ditelah lebih dekat, airnya tidak sejernih seperti yang dibayangi. Ada sisa seolah minyak yang terapung di permukaan. Sayang sekali. Nikmat keindahan alam yang telah dirobek oleh tangan-tangan durjana.
Hidung saya memang super sensitif. Bau-bauan busuk dari tasik telah diselamatkan oleh pewangi yang dipakai oleh pengarang yang selalu diwartakan penuh kontroversi ini. Wangi betul seorang Faisal Tehrani. Teringin saya tahu pewangi apa yang dicalit ke tubuhnya.
Sesungguhnya petang itu sangat permai. Semakin petang, semakin ramai. Perbualan dan perkongsiaan menjadi kian rancak. Abdullah Husaini, penyunting dan penterjemah Buku IBDE sampaikan berbaring mengikuti perbualan. Santai amat. Ternyata alam memeluk dengan ramah sekali.

Saya mengambil peluang bertanya soalan yang tiada kena mengena dengan buku yang kami bincangkan. Saya terlalu ingin tahu, apakah tidak ada ketakutan dalam dirinya setiap kali dia menulis sesuatu yang bersifat kontroversi–sedangkan dia merupakan ahli akademik, seorang suami dan bapa. Tidak pernahkan dia takut dan bimbang jika tulisannya akan membuat dia hilang pekerjaan atau paling buruk boleh ditangkap dan dipenjarakan.
“Saya tak takut apa-apa. Saya cuma takut kalau apa yang saya tulis itu salah. Itu saja.”
Ringkas dan padat jawapannya. Menarik sekali pengarang yang prolifik dan versatile ini. Di Indonesia ada Pramoedya Ananta Toer, di Malaysia kita patut bersyukur memiliki Faisal Tehrani yang radikal dan berani melaungkan isu keadilan sosial serta menentang kezaliman yang bobrok.
Saya teringat momen lucu sebelum acara bermula, terdapat sekumpulan abang polis yang berlegar di kawasan parkir. Faisal Tehrani sibuk menjenguk dan berandal tujuan mereka. Saya yang menyamar relaks cuba mengusik sambil melambaikan tangan dan menegur dengan suara manja.
“Abang polis, marilah sini. Kita sembang buku.”
Yang lain ketawa dalam debaran. Tak lama selepas itu motorsikal mereka menderum meninggalkan.
Nisa dan pasukan Kawah Buku yang sentiasa berhati-hati telah menghantar surat permohonan menggunakan Taman Tasik Cempaka, Bangi ke Majlis Perbandaran Kajang beberapa minggu sebelum acara berlangsung. Bimbang nanti ada yang datang dan mengacau acara–hanya sebab nama Faisal Tehrani (FT). Lebih baik bersedia dengan sebarang kemungkinan kata mereka. Lucu bila difikirkan, sedangkan taman awam sepatutnya menjadi hak masyarakat untuk mendapatkan manfaat dari kewujudannya.
Begitulah dasyatnya sastera dan pena. Merdeka bagaimana yang dilaungkan sesebuah negara, bila kebebasan berfikir dan bersuara masih dirantai penguasa?
Jika ada anugerah buku yang paling banyak diharamkan oleh kerajaan Malaysia, mungkin FT adalah orangnya. Namun dia tak pernah berganjak dari prinsip dan pendiriannya untuk terus menggunakan platfom persuratan demi melawan tirani. Susah untuk tidak mencintai karya FT. Kalau ditanya kepada saya siapa pengarang yang patut dibaca anak muda atau bakal penulis, FT selalu jadi keutamaan. Sentiasa bereksperimen, tekun meneroka hal-hal baru, konsisten berkarya serta dekat dengan lingkungan.
Secebis kata bapak Pram: menulis adalah sebuah keberanian.
Ini kali pertama saya duduk dalam satu acara bersama FT. Masa begitu cemburu. Ada banyak lagi yang ingin saya tanyakan. Khalayak yang hadir juga tak puas. Dia sentiasa ada kisah menarik untuk dikongsikan. Jelas sekali, beliau banyak merantau, mencari ilmu dan pengalaman. Kami semua terpegun dan seronok mendengarnya. Apa lagi dengan caranya yang santun, rendah diri dan humoris.
Semoga Tuhan melindungi dan mencurahkan lebih banyak ilham kepadanya–agar tulisannya dapat terus kita baca dan nikmati. Serta menjadi rujukan berguna untuk legasi seterusnya nanti.
Kultus Kata bertuah dapat berkerjasama dengan Kawah Buku. Segalanya yang dirancang berjalan lancar, malah melepasi jangkaan. Terima kasih Nisa, Azan dan Is. Semoga ada ruang dan peluang berkolaborasi lagi.
Edisi seterusnya kami bawakan seorang pengarang yang juga karyanya pernah diharamkan. Saya memang minat dengan pengarang yang kuat melawan. Bosan dan menyampah dengan yang kaki bodek dan menulis dalam zona selamat.
M.Navin seorang penulis, penyunting majalah yang signifikan dalam lapangan kesusasteraan Tamil. Perbincangan berkisar Sigandi, novel tulisannya yang telah diterjermahkan dalam bahasa Melayu oleh Buku Fixi. Ini buku Tamil (terjemahan) pertama yang saya baca, lantas terus jatuh cinta. Berharap satu hari yang indah, dapat membawa penulisnya duduk bersama dalam agenda Kultus Kata. Maka pada 24 Ogos ini, kita impian itu bakal tercipta.

Buku ini merupakan novel pertama dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam sejarah persuratan Malaysia. Maka penting untuk kita sama-sama bincangkan dari pelbagai perspektif. Diskusi akan dikendalikan oleh Fasyali Fazly, Dekan Fakulti Teater di Aswara, penulis dan pengarah teater. Yang juga memuji buku ini dan berharap ia dapat dibicarakan. Syukur, M.Navin menyatakan persetujuannya dengan pantas sekali. Saya begitu tak sabar menantikan harinya.
Ayuh! Ramai-ramai datang ke Bijou Café, Ara Damansara untuk mendengar, merasa dan menghayati pengalaman M.Navin dalam pertualangannya sebagai penulis Tamil yang prolifik di Malaysia. Juga bagaimana penciptaan dunia Sigandi dan inspirasi disebaliknya.
Walaupun Kultus Kata masih belum ada portable mic, dan masih perlu meminjam sana sini, namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus bergerak sebagai sebuah kelab buku yang progresif. Insya-Allah, mudah-mudahan.
Terima kasih yang terus menyokong Kultus Kata. Boleh ikuti perkembangan Kultus Kata di laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram. Cukup satu tahun nanti kita bikin party.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

