JAFF (Jogja-NETPAC Asian Film Festival) bukan sekadar sebuah festival filem. Ia adalah ruang lintasan waktu, medan pertemuan idea, dan, kadang-kadang boleh jadi ruang introspeksi diri. Kemeriahan festival ini saban tahun bagaikan satu pesta keramaian sehinggakan orang-orang di Jogja menggelarnya sebagai ‘Hari Lebaran Orang Filem’. Sejak pertama kali hadir pada tahun 2015 (kalau mengikut memori di IG saya), JAFF menjadi seperti teman lama yang menunggu untuk berbual, membuka lembaran cerita dari pelbagai penjuru Asia. Hanya pandemik COVID-19 mampu memutuskan hubungan kami sementara, tetapi tahun ini, saya kembali ke Yogyakarta khususnya di Empire XXI dengan semangat yang tak pernah berpaling tadah.
Sebanyak 13 filem berjaya saya tonton dalam edisi JAFF ke-19 ini. Black Dog (Guan Hu) menjadi pilihan teratas saya, diikuti dengan filem-filem seperti All We Imagine as Light (Payal Kapadia), My Favorite Cake (Maryam Moghadam, Bentash Sanaeeha), The Seed of The Sacred Fig (Mohammad Rasoulof), dan Girls Will Be Girls (Shuchi Talati). Kesemuanya berada dalam seksyen Panorama iaitu kategori yang memberi ruang kepada filem-filem yang telah mencipta nama di festival antarabangsa seperti Cannes, Berlin, dan Sundance di tahun 2024. Namun, ada sedikit kehampaan kerana tidak dapat menonton Samsara, karya terbaru Garin Nugroho, seorang maestro filem Indonesia yang saya kagumi kerana kehebatannya mencipta filem yang melampaui sempadan budaya dan falsafah.

Melalui JAFF juga, saya diberikan kesempatan menonton filem-filem Indonesia rare (sukar untuk dicari orang Malaysia) seperti Something in the Way (2013) arahan Teddy Soeriaatmadja dan lakonan pelakon hebat Indonesia Reza Rahadian pada JAFF 2015 (seingat saya). Filem ini bertanding dalam kategori utama di Berlin International Film Festival 2013 dan Tokyo International Film Festival 2016. Biarpun ketika itu saya lebih awal telah terbiasa (kebanyakannya melalui DVD) dengan filem-filem Indonesia awal 2000an antaranya seperti Pasir Berbisik (2001), Biola tak Berdawai (2003), AADC (2002), Ungu Violet (2005), Gie (2005), Janji Joni (2005), Tentang Dia (2005), 9 Naga (2006), Heart (2006), dan Berbagi Suami (2006), tapi pengalaman menonton Something in The Way sesuatu yang sangat luar biasa dan diluar jangkaan. Filem ini juga difahamkan tidak ditayangkan secara umum di Indonesia. Pada JAFF tahun ini pula saya berkesempatan menonton Crocodile Tears (Tumpal Tampubolon) dan Yohanna (Razka Robby Ertanto). Dua filem yang tetap utuh dengan teras budaya dan identiti keIndonesiaannya.
Refleksi Kita Tentang Apa yang Ditawarkan oleh JAFF?
JAFF adalah perayaan sinema yang luar biasa. Tetapi lebih daripada itu, ia adalah tapak pemberontakan budaya yang secara halus menolak hegemoni sinema Barat. Kita sering terperangkap dalam apa yang saya panggil “Hollywoodisme” – sebuah obsesi untuk menjadikan Hollywood sebagai tanda aras kejayaan dalam dunia filem seperti misi kita “Road to Oscar”. Tetapi di JAFF, naratif lain disuarakan dengan lantang.
Mengambil contoh All We Imagine as Light karya Payal Kapadia. Filem ini menyentuh tema kehilangan dan ketahanan wanita dalam konteks budaya dan sistem hidup metropolis Mumbai yang menindas, tetapi naratifnya tidak pernah menjadi dogmatik atau simplistik. Kapadia menggunakan gaya visual impresionis yang kabur tetapi disengajakan, mengaburkan garis antara realiti dan mimpi (ambiguiti), seolah-olah bertanya kepada penonton: “Bagaimana kita mendefinisikan kebenaran dalam masyarakat yang terus berusaha menyembunyikannya?” Ia sebuah karya yang memaksa penonton untuk menjadi aktif, memerah, merenung dan bertanya yang pastinya sesuatu yang jarang kita temui dalam sinema komersial.

Di sini, saya teringat bagaimana naratif kita, kadang-kadang terasa sempit dan sering terdedah dengan tanggapan-tanggapan agenda itu dan ini, seperti dipenjara oleh kerangka lokal basi tanpa keberanian untuk mencabar norma. Sehinggakan khalayak kita bagaikan tiada kekuatan berfikir untuk mengimbangi dan menilai secara kritis filem-filem yang diputarkan. Girls Will Be Girls karya Shuchi Talati, misalnya, sebuah filem coming of age yang menggunakan humor gelap untuk membuka perbincangan tentang patriarki dan konservatif dalam masyarakat India. Sinema seperti ini tidak hanya menghiburkan tetapi memprovokasi, menimbulkan perbincangan yang penting dan mendalam.
Pengalaman Peribadi: Filem dan Perbualan di JAFF
Salah satu perkara yang saya suka tentang JAFF adalah sesi perbincangan selepas tayangan filem. Ia bukan hanya tentang apa yang ditonton, tetapi bagaimana filem itu dibicarakan. Pada petang terakhir, selepas menonton Black Dog, saya berkesempatan berbual panjang bersama kenalan lama saya, Bayu Prihantoro (sutradara dan sinematografer dari Jogja) dan para ‘pentaksub sinema’ dari Wayang Budiman. Perbualan melayang dari pelbagai sudut filem hingga isu-isu kontemporari, dan bagaimana filem boleh menjadi jambatan di antara keduanya. Begitu juga dengan kesempatan bertemu dengan karyawan-karyawan lain dari merata Asia.
Malam itu mengingatkan saya bahawa JAFF adalah lebih daripada sekadar festival; ia adalah ruang yang membolehkan kita bertanya soalan-soalan besar. Apa yang kita sebagai orang Asia ingin suarakan kepada dunia? Bagaimana sinema boleh menjadi cermin yang lebih jujur untuk BUDAYA kita sendiri?
Apa yang Kita Perlukan di Malaysia?
Saya kerap terfikir mengapa kita di Malaysia kurang memanfaatkan festival seperti JAFF untuk membawa sinema kita ke tahap yang lebih tinggi? Kita sering terperangkap dalam pasaran domestik yang kecil, dengan tema dan pendekatan yang kadang-kadang terasa usang dan tiada wajah sendiri (saya tahu yang Finas juga ada booth di JAFF). JAFF mengajarkan bahawa sinema adalah alat kritikan sosial dan budaya, ruang di mana kita boleh bercakap tentang hal-hal yang tidak disebutkan, atau lebih tepat, yang tidak mahu disebutkan.
Sebagai karyawan, ahli akademik, atau bahkan peminat filem, JAFF menawarkan sesuatu yang tak ternilai iaitu perspektif. Perspektif tentang bagaimana naratif boleh dibentuk semula, bagaimana teknik penceritaan boleh diperbaharui, dan bagaimana kita boleh berdialog dengan dunia tanpa meninggalkan akar kita.

Festival filem seperti JAFF adalah pengalaman, proses pembelajaran, dan bagi saya, sebuah refleksi tentang apa yang kita mahu capai sebagai manusia melalui sinema. Menolak Hollywoodisme tidak bermaksud menolak semua pengaruh luar (malah banyak juga pengaruh luar teradun di JAFF), tetapi mencari cara untuk berbicara dengan suara kita sendiri.
Asia adalah sebuah idea yang terus berkembang, dan ia wujud di dalam kepala kita. Sinema kita juga harus menjadi sebahagian daripada idea itu – sesuatu yang terus berkembang, mendengar, dan bercakap dengan keberanian. Maka, dengan modal yang tidak sebesar berbanding untuk ke Busan atau Singapura, ayuh jangan segan jadikan JAFF inspirasi untuk mencipta sinema kita sendiri yang tidak hanya bercita-cita besar, tetapi juga bercakap dengan dunia melalui cara yang unik dan autentik.

