Teks oleh: Fadli Mokhtar
Seni cetak sentiasa bermula daripada suatu tindakan meninggalkan kesan. Permukaan diguris, dipotong, ditekan atau dibina sebelum dakwat dipindahkan daripada matriks kepada kertas.
Namun, kesan yang ditinggalkan tidak terbatas pada imej yang dapat dilihat.
Di sebalik setiap cetakan terdapat himpunan pengalaman, pengetahuan teknikal, kegagalan, pengulangan dan hubungan manusia yang membentuk sesebuah karya.
Pengertian inilah yang terasa kuat sepanjang berlangsungnya PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian di Balai Seni Negara Langkawi pada 2 hingga 8 Ogos 2026.

Dianjurkan melalui kerjasama Balai Seni Negara Langkawi dan Chetak17, program ini menghimpunkan aktiviti Printmaking In-Situ–Lakar Terus, bengkel cetakan viscosity dan kolagraf serta pameran karya seni cetak anggota kolektif tersebut.
Pada pandangan pertama, PrintLab mungkin kelihatan seperti sebuah program pameran dan bengkel seni cetak.
Namun, apabila ditelusuri sejarah Chetak17 serta proses kerja yang diperlihatkan sepanjang program, PrintLab membawa persoalan yang lebih besar: bagaimanakah sebuah kolektif seniman dapat mengekalkan kelangsungan suatu disiplin seni yang memerlukan kemudahan, kemahiran dan komitmen jangka panjang?
Studio sebagai infrastruktur budaya
Chetak17 tidak muncul secara tiba-tiba. Akar perjalanannya dapat dikesan kepada Cetak Kolektif yang diasaskan oleh Faizal Suhif dan Allahyarham Samsudin Wahab pada 2007.
Cetak Kolektif berusaha mengumpulkan bakat baharu serta menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk penghasilan seni cetak, khususnya cetakan intaglio.

Gerakan ini diperkembangkan melalui pameran Test Print pada 2014 dan TP II pada 2015 sebelum Bayu Utomo Radjikin, Samsudin Wahab dan Faizal Suhif menubuhkan Chetak12 pada 2017.
Nama Chetak12 merujuk kepada premis studio mereka di 12A, Jalan Cempaka 16, Taman Cempaka, Ampang. Selepas berpindah ke 17A, Jalan Wangsa Murni 4, Wangsa Melawati pada 2021, kolektif ini dikenali sebagai Chetak17.
Perubahan nama tersebut bukan sekadar pertukaran alamat. Perpindahan itu memperlihatkan perkembangan sebuah ruang yang pada mulanya dibina untuk memenuhi keperluan produksi kepada sebuah studio-galeri yang mempunyai fungsi lebih luas.
Dalam konteks ini, Chetak17 wajar dilihat sebagai suatu bentuk infrastruktur budaya berskala kecil. Studio tersebut bukan hanya menyediakan mesin cetak dan ruang bekerja. Ia menjadi tempat berlangsungnya pemindahan pengetahuan, pertemuan antara generasi, pembentukan disiplin kerja dan penilaian bersama terhadap mutu karya.
Pameran, bengkel, program residensi, sesi perkongsian dan kegiatan seperti kelas induk menjadikan studio itu sebahagian daripada ekosistem seni cetak Malaysia.
Hal ini penting kerana seni cetak tidak dapat bertahan melalui kreativiti individu semata-mata. Berbanding beberapa medium lain, penghasilannya bergantung pada pengetahuan proses, kemudahan studio dan ketelitian teknikal.

Penyediaan matriks, kawalan dakwat, tekanan mesin, penghasilan test print dan artist proof, serta penentuan edisi memerlukan latihan berulang. Pengetahuan tersebut sukar berkembang jika seniman bekerja secara terasing.
Chetak17 mengubah keterbatasan itu menjadi kekuatan kolektif. Ruang, mesin dan kemahiran dikongsi, manakala mutu cetakan dibina melalui proses saling menilai. Dalam keadaan ini, kolektif tidak menghapuskan identiti individu.
Sebaliknya, kebersamaan menyediakan struktur yang membolehkan bahasa visual setiap seniman berkembang dengan lebih meyakinkan.
Daripada Test Print kepada Edition
Perjalanan Chetak17 dapat dibaca melalui penggunaan dua istilah yang sangat dekat dengan proses seni cetak: test print dan edition. Test print ialah cetakan percubaan yang membolehkan seniman menilai keadaan matriks, dakwat, tona dan tekanan sebelum hasil akhir dipersetujui.
Selepas imej mencapai keadaan yang dikehendaki, barulah cetakan edisi dihasilkan.
Istilah tersebut turut menjadi metafora kepada perkembangan kolektif ini. Cetak Kolektif memperkenalkan pameran Test Print pada 2014, manakala Chetak12 dan Chetak17 kemudiannya mengembangkan siri pameran Edition.
Peralihan itu seolah-olah menggambarkan perjalanan daripada fasa percubaan kepada suatu amalan yang semakin konsisten.
Pameran Edition pertama pada 2018 menampilkan Bayu Utomo Radjikin, Samsudin Wahab dan Faizal Suhif.

Edisi kedua pada 2019 memperluas jaringan dengan melibatkan tokoh seni cetak tempatan seperti Long Thien Shih, Juhari Said dan A. Rahman Mohamed serta seniman antarabangsa dari Manila dan Bandung. Edition: Love Song pada 2021 pula mempertemukan Chetak12 dengan Grafis Minggiran dari Indonesia.
Siri tersebut terus berkembang dengan penyertaan Haslin Ismail, Fadhli Ariffin, Azam Aris, Fadli Mokhtar, Iwadh Mahadi dan Luqman Yusry. Kehadiran mereka menjadikan Chetak17 sebuah ruang yang mempertemukan seniman daripada latar pengalaman dan kecenderungan visual yang berbeza.
Bayu Utomo Radjikin, misalnya, menggunakan kekuatan struktur figura manusia dan haiwan untuk membina imej yang sarat dengan intensiti psikologi.
Faizal Suhif pula membawa pengalaman hidup, sejarah keluarga dan hubungannya dengan alam ke dalam bentuk yang lebih reflektif dan mujarad.
Penggunaan objek dijumpai seperti mata pisau dan bilah pemotong rumput sebagai matriks memperlihatkan bahawa eksperimen bahan tidak pernah dipisahkan daripada gagasan karya.
Haslin Ismail membawa sifat intuitif dan kecenderungan shape shifting daripada amalan lukisannya ke dalam cetakan.
Fadhli Ariffin menghubungkan potret sahabat, memori dan ritma gelombang melalui pendekatan yang sengaja mengekalkan kesan belum selesai.
Azam Aris menggunakan pengulangan figura, satira dan komedi gelap untuk membicarakan tekanan sosial, sementara Fadli Mokhtar mengembangkan kolagraf serta cetakan mono sebagai cara menyusun serpihan memori dan identiti budaya.

Generasi lebih baharu seperti Iwadh Mahadi dan Luqman Yusry menunjukkan bahawa kesinambungan kolektif tidak bermaksud mengulangi bahasa generasi terdahulu.
Iwadh mengangkat pengalaman peribadi, potret diri dan hubungan kekeluargaan melalui gabungan Teknik etching dan aquatint.
Luqman pula membawa pengalaman berkebun di Jelebu, imejan burung cabak, kelawar dan jantung pisang serta rujukan kepada sastera dan kepercayaan Melayu ke dalam karya cetaknya.
Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa Chetak17 tidak membentuk keseragaman gaya. Kesatuan kolektif ini terletak pada kesetiaan terhadap proses, perkongsian kemahiran dan kepercayaan bahawa seni cetak masih mempunyai ruang penting dalam perkembangan seni kontemporari Malaysia.
Langkawi sebagai tapak pengalaman
Pemilihan Langkawi sebagai lokasi PrintLab memberikan konteks yang berbeza daripada ruang operasi Chetak17 di Kuala Lumpur.
Sebagai pulau yang terbentuk melalui sejarah geologi, laluan budaya, kegiatan maritim, pelancongan dan kehidupan komuniti setempat, Langkawi menyediakan lapisan pengalaman yang tidak dapat diperoleh melalui pemerhatian di dalam studio.
Melalui aktiviti Printmaking In-Situ-Lakar Terus, pemerhatian terhadap persekitaran menjadi titik permulaan penghasilan karya.
Seniman terlebih dahulu berhadapan dengan tempat: melihat bentuk, merekod suasana dan mengenal pasti unsur yang menyentuh pengalaman masing-masing. Pemerhatian tersebut kemudiannya melalui proses pemilihan sebelum dipindahkan kepada matriks cetakan.

Dalam proses ini, Langkawi tidak sewajarnya dianggap sebagai latar pemandangan yang pasif atau sekadar himpunan ikon pelancongan.
Sesebuah tempat menjadi bermakna apabila seniman mengalami, mentafsir dan membina hubungan dengannya. Garisan yang dilakar di lokasi bukan salinan langsung terhadap apa yang berada di hadapan mata.
Ia ialah hasil pertemuan antara keadaan fizikal tempat dengan memori serta kecenderungan visual seseorang seniman.
Terdapat perbezaan penting antara melakar pemandangan dengan membina pengalaman terhadap tempat. Lakaran boleh menjadi rekod segera, tetapi proses menghasilkan matriks dan cetakan menuntut seniman kembali menilai apa yang telah dilihat.
Sesetengah unsur perlu dikekalkan, sementara yang lain disingkirkan. Imej mungkin diterbalikkan apabila dipindahkan daripada matriks kepada kertas. Tekanan, dakwat dan sifat permukaan turut meninggalkan kesan yang tidak sepenuhnya dapat dikawal.
Oleh itu, aktiviti Lakar Terus menempatkan pengalaman Langkawi di antara pemerhatian dan transformasi. Apa yang dilihat tidak dipindahkan secara literal, tetapi dibina semula melalui sifat khusus seni cetak.

Bengkel sebagai pemindahan pengetahuan
Bengkel cetakan viscosity dan kolagraf yang berlangsung selama dua hari dalam PrintLab memperlihatkan bahawa pengetahuan seni cetak tidak hanya disampaikan melalui penerangan.
Di bawah bimbingan Abdul Mansoor Ibrahim, tokoh seni cetak tanah air yang berpengalaman luas, peserta mempelajari proses tersebut melalui perbuatan, pengulangan dan pengalaman menangani bahan secara langsung.
Kehadiran beliau turut membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan antara generasi dalam memastikan kemahiran dan amalan seni cetak terus diperturunkan.
Cetakan viscosity menggunakan perbezaan kelikatan dakwat bagi membolehkan beberapa warna berinteraksi atau menolak antara satu sama lain pada permukaan matriks. Teknik ini menuntut kefahaman terhadap campuran dakwat, urutan aplikasi, tekanan dan keadaan permukaan. Perubahan kecil pada sifat dakwat boleh menghasilkan kesan visual yang berbeza.
Kolagraf pula membina matriks melalui susunan dan pelekatan bahan yang mempunyai tekstur serta aras permukaan berbeza. Dalam kaedah ini, pelbagai objek yang mempunyai kualiti permukaan bertekstur boleh memperoleh fungsi baharu sebagai pembentuk imej.
Nilai karya tidak hanya bergantung pada pemilihan bahan, tetapi pada keupayaan seniman memahami tindak balas setiap permukaan ketika menerima dakwat dan tekanan.

Kedua-dua teknik ini mempertemukan kebebasan bereksperimen dengan disiplin teknikal. Peserta mungkin menghasilkan kesan yang tidak dirancang, namun ketidaktentuan itu tidak bermaksud proses tersebut berlaku tanpa pengetahuan.
Dalam seni cetak, kejutan visual yang berjaya lazimnya lahir daripada hubungan antara kawalan, pengalaman dan kesediaan menerima kemungkinan yang ditawarkan oleh bahan.
Di sinilah sumbangan penting program seperti PrintLab dapat dilihat. Masyarakat tidak hanya diperlihatkan karya yang telah siap dan dibingkaikan, tetapi turut diberikan akses kepada proses yang biasanya terlindung di dalam studio.
Apabila peserta menyentuh matriks, menyapu dakwat dan melihat imej terangkat selepas kertas melalui tekanan, seni cetak berubah daripada sesuatu yang kelihatan sukar dan jauh kepada pengalaman yang dapat difahami secara langsung.
Dalam konteks ini, bengkel bukan sekadar pelengkap kepada pameran, tetapi menjadi ruang pemindahan ilmu yang menghubungkan pengalaman seorang tokoh seni cetak dengan peserta dan komuniti setempat.
Legasi Buden dan cetakan yang diteruskan
Perjalanan PrintLab dan pameran ini tidak dapat dipisahkan daripada ingatan terhadap Allahyarham Samsudin Wahab, atau Buden, yang meninggal dunia pada 7 Mei 2026. Sebagai pengasas bersama, Buden memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju Chetak17, khususnya dalam pemantapan seni cetak konvensional, kawalan teknikal dan kualiti cetakan.
Karyanya bergerak antara dua medan. Medan pertama bersifat peribadi, berhubung dengan keluarga, kerinduan dan memori. Medan kedua memasuki ruang awam melalui kritikan sosial, politik dan perhatian terhadap ketidakseimbangan kuasa. Kedua-duanya menunjukkan bahawa ketelitian teknik tidak pernah terpisah daripada keperluan menyampaikan pengalaman dan pandangan terhadap kehidupan.

Penghormatan terhadap Buden tidak seharusnya dilihat sebagai penutupan sebuah sejarah. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana suatu legasi diteruskan melalui nilai kerja, pengetahuan dan hubungan yang pernah dibina. Mesin boleh terus digunakan, teknik boleh diajarkan dan pameran boleh diteruskan, tetapi yang lebih penting ialah etika kebersamaan yang ditinggalkan.
Dalam seni cetak, matriks membolehkan imej dipindahkan dan diulang. Namun, setiap cetakan tetap membawa sedikit perbezaan daripada cetakan sebelumnya. Legasi juga bergerak dengan cara yang hampir sama. Ia tidak diteruskan melalui peniruan mutlak, tetapi melalui pengolahan semula nilai dan pengetahuan oleh generasi yang masih bekerja.
Mencetak masa hadapan
PrintLab memperlihatkan bahawa kelangsungan seni cetak tidak hanya bergantung pada kedudukan medium tersebut di dalam galeri atau sejarah seni. Kelangsungannya ditentukan oleh kewujudan ruang bekerja, akses kepada peralatan, kesediaan berkongsi pengetahuan dan hubungan yang dibina antara seniman, institusi pendidikan, galeri serta masyarakat.
Kerjasama antara Balai Seni Negara Langkawi dengan Chetak17 menjadi penting kerana ia mempertemukan dua bentuk kekuatan. Institusi menyediakan ruang awam, jaringan dan legitimasi, sementara kolektif membawa pengalaman langsung, pengetahuan proses serta budaya kerja studio. Hubungan seperti ini perlu dibina secara berterusan, bukan hanya melalui program bermusim.

Pada masa yang sama, program sebegini perlu bergerak melampaui demonstrasi dan apresiasi asas. Jika Balai Seni Negara Langkawi benar-benar berhasrat berkembang sebagai salah satu pusat rujukan dan pengumpulan seni cetak, kesinambungan program, dokumentasi proses, pembangunan koleksi, penyelidikan serta pembinaan komuniti tempatan perlu diberikan perhatian.
Bengkel yang berakhir tanpa laluan susulan hanya menghasilkan pengalaman sementara. Sebaliknya, bengkel yang disambungkan kepada latihan lanjutan, ruang produksi dan peluang pameran boleh melahirkan ekosistem baharu.
Selepas hampir sedekad perjalanan Chetak12 dan Chetak17, serta akar gerakan yang lebih awal melalui Cetak Kolektif. PrintLab di Langkawi memperlihatkan bahawa kekuatan kolektif ini bukan sekadar pada jumlah pameran atau karya yang telah dihasilkan.
Kekuatannya terletak pada kemampuan mengekalkan ruang, memindahkan pengetahuan dan membina kepercayaan dalam sebuah bidang yang sering bergerak secara senyap di pinggir perhatian arus perdana.

“Melakar kenangan” dalam konteks ini bukanlah tindakan bernostalgia semata-mata. Kenangan menjadi matriks yang menyimpan pengalaman, persahabatan, kehilangan dan pembelajaran.
“Mencetak impian” pula menuntut tindakan yang lebih konkrit—menyediakan ruang, mengendalikan mesin, berkongsi kemahiran, menjaga mutu dan membuka jalan kepada generasi berikutnya.
Akhirnya, cetakan yang paling penting daripada perjalanan ini mungkin bukan hanya imej di atas kertas. Ia ialah kesan yang ditinggalkan oleh sebuah kolektif terhadap manusia, institusi dan ekosistem seni di sekelilingnya.
Seperti matriks yang terus menyimpan jejak selepas sesuatu imej dicetak, perjalanan Chetak17 menunjukkan bahawa seni dapat terus hidup apabila pengetahuan dan impian tidak disimpan untuk diri sendiri, tetapi dipindahkan kepada orang lain.
Program PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian telah berlangsung dari 2 hingga 8 Ogos 2026 di Balai Seni Negara Langkawi, merangkumi aktiviti Printmaking In-Situ–Lakar Terus serta bengkel cetakan viscosity dan kolagraf.
Pameran Melakar Kenangan, Mencetak Impian, yang menampilkan karya-karya seni cetak terpilih dalam perjalanan Chetak17 dan seniman jemputan, dibuka kepada khalayak mulai 8 Ogos 2026 hingga 28 Februari 2027 di lokasi yang sama.

Sumber foto: Balai Seni Negara Langkawi
FADLI MOKHTAR
Ogos 2026
Fadli Mokhtar ialah seorang seniman seni visual yang aktif dalam bidang seni cetak kontemporari. Beliau terlibat dalam pameran, penulisan dan projek kolaborasi di peringkat domestik dan antarabangsa, dengan tumpuan kepada amalan seni cetak konvensional dan alternatif. Beliau juga merupakan ahli kumpulan seni cetak alternatif GO-BLOCK dan studio Chetak 17.
