AWAL November lalu, saya dengan penuh keterujaan dan rasa syukur, bertuah diundang menjadi panel sebuah acara di Singapura. Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai seorang panel jemputan di luar Malaysia, dan ia benar-benar memberi makna yang mendalam dalam perjalanan sebagai seorang penulis dan karyawan.
Sembang Puisi: Mekar dalam Belukar merupakan sebuah persidangan yang diadakan pada 2 November lalu di Common Ground Civic Centre Auditorium, Bedok Singapura. Sebuah acara diskusi dalam meneroka kemungkinan serta potensi bahasa Melayu dan kesusasteraan untuk terus mekar dan berkembang meski pun pelbagai cabaran merentanginya.
Mekar dalam Belukar adalah tema acara ini yang membawa maksud keindahan dan kehalusan seni; seperti puisi, boleh berkembang di tempat yang tidak terduga atau terabaikan. Simbolik kepada pertumbuhan budaya dan seni dalam situasi yang sukar atau penuh cabaran. Istilah mekar (bermaksud berkembang) merujuk kepada pertumbuhan seni yang hidup dan penuh warna, manakala belukar menggambarkan tempat yang mungkin dipandang sebelah mata atau tidak disedari oleh masyarakat. Ini memberikan gambaran bahawa kesenian dan puisi masih boleh berkembang dan dikenali, walau pun dalam keadaan yang kurang mendapat perhatian.
Acara ini diterajui dan dibawakan oleh Kamelia Co. Ltd merupakan sebuah organisasi di Singapura dengan fokus kepada seni, kebudayaan, dan program-program yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pengembangan budaya Melayu. Turut membantu dan menggerakkan acara ini adalah kolektif Meja Conteng. Meja Conteng sebuah gerakan kebudayaan (dibangunkan oleh anak-anak muda) di Singapura yang bertujuan untuk mempromosi dan menyemarakkan seni penulisan kreatif dan puisi melalui platform yang bersifat santai dan inklusif.

Perasaan bercampur baur antara gembira, terharu dan gugup tentunya. Peluang untuk berkongsi rumah dengan penggiat sastera dan karyawan seni yang berpengalaman di Singapura adalah surreal. Saya melihatnya sebagai satu penghormatan dan penghargaan untuk berada di hadapan audiens dan berkongsi pengalaman dalam dunia persuratan.
Bertemu dengan barisan karyawan yang hebat, mendengar pengalaman dan kisah mereka, menyuntik semangat dan inspirasi. Acara ini bukan saja memberikan pengalaman baharu, tetapi juga menyalakan unggun api dalam memperjuangkan penulisan sebagai medium untuk berkomunikasi, menyatakan sikap dan memberi makna kepada masyarakat.
Acara ini dikurasi dengan sangat cemerlang. Setiap panel undangan, skop perbincangan, keterlibatan aktiviti begitu terancang dan sepadu. Saya semakin sedar dan faham, betapa pentingnya berkongsi pengetahuan, dan betapa banyak yang boleh dipelajari melalui interaksi bersama audiens yang mempunyai latar belakang dan pandangan yang berbeza.
Ucaptama oleh Aidli Mosbit seorang seniman dari Singapura yang dikenali sebagai aktor dan juga sutradara teater, begitu menggugah. Beliau juga dikenal sebagai seorang penggiat seni yang mempromosikan keberagaman budaya melalui karyanya. Turut bertugas sebagai pensyarah seni persembahan di pusat pendidikan Singapura yang terkenal. Mungkin ini merupakan pembukaan acara yang akan saya ingati sepanjang zaman. Tanpa perlu microphone, Aidli Mosbit dengan tenaga semulajadinya (gerak tubuh dan senyuman yang ikhlas), memberikan momen dan pedoman yang berharga buat khalayak yang hadir. Perjalanan kisahnya menelusuri daerah kesenian sehinggalah ke hari ini masih terus berkarya dan memberikan manfaat kepada masyarakat, amat mengagumkan.
Resilience atau kemampuan untuk bertahan adalah mantra keramat dari Aidli Mosbit untuk tetap berkarya dalam apa sahaja cabaran dan rintangan yang hadir. Perkara ini mengingatkan saya sendiri bahawa konsisten adalah akar kejayaan. Seperti pohon, walau diterpa angin dan musibah akan tetap tegak berdiri, jika akarnya kukuh. Begitulah simbol ketahanan jiwa dan kekuatan batin seseorang. Rintangan yang datang tidak akan menghalang kerana mereka punya dasar yang kuat untuk bertahan.
Acara kedua saya digandingkan dengan seorang pempengaruh muda Singapura, Shahrin Said membincangkan topik Kuasa Media Sosial: Like, Follow & Share! Sebuah perbincangan yang fun, merangsang pemikiran dan menyambung kepada pertanyaan-pertanyaan baharu. Pada zaman digital, media sosial adalah alat yang tidak dapat dipisahkan dalam hampir semua aspek kehidupan, termasuk dalam dunia sastera dan seni. Platform seperti Instagram, Twitter, TikTok, dan YouTube telah mengubah cara karya seni dihasilkan, dipersembahkan dan dinikmati oleh khalayak. Kuasa media sosial dalam dunia sastera dan seni hari ini bukan hanya sekadar medium komunikasi, tetapi juga menjadi alat yang membentuk cara karya seni dan sastera berkembang, serta cara penerimaan masyarakat terhadapnya.
Secara keseluruhan, kuasa media sosial dalam dunia sastera dan seni hari ini sangat luas, memberi ruang kepada pengkarya untuk berkongsi karya, meningkatkan interaksi dengan audiens, dan memberi peluang pemasaran yang lebih efektif. Namun begitu, media sosial juga membawa cabaran tersendiri dalam hal hak cipta, komersialisasi seni dan tekanan untuk mengikuti tren. Meski begitu, kuasa media sosial yang mampu memberi platform kepada pengkarya untuk menyebarkan karya mereka kepada dunia adalah satu perubahan yang tidak dapat dipandang ringan dalam perkembangan seni dan sastera masa kini.
Sesi seterusnya iaitu Sajak Spontan (Drop-In Activity) yang dikendalikan oleh Fadhli Fadzil dan Lissa Chan penyair muda Singapura. Aktiviti ini merupakan proses menulis puisi atau sajak dengan cara yang cepat, tanpa perancangan terperinci terlebih dahulu. Dalam aktiviti ini, penulis menghasilkan sajak secara langsung berdasarkan permintaan khalayak dari beberapa pilihan kad (tertulis tema) yang telah disediakan. Sajak yang dihasilkan tidak melalui draf atau perubahan yang berulang-ulang, sebaliknya ditulis dalam satu aliran fikiran atau emosi yang spontan. Perkara ini memberikan kreativiti tanpa batasan dan menggalakkan improvisasi ketika sesi berlangsung. Ia juga dapat membentuk kemahiran menulis dan memberikan ruang bereksperimen dalam keterbatasan waktu. Sebuah aktiviti yang sangat menyeronokkan, saya sendiri mengambil bahagian dan menerima dua buah sajak dari dua penulis yang berbakat ini.
Acara diteruskan dengan pembentangan dari Aisyah Liyana seorang penyair muda berpotensi besar dari Singapura yang mendokumentasikan perjalanan pengkaryaan di Singapura dengan tajuk Karya Singapura: Melawan Arus dan Menggaris Batas. Aisyah Liyana ditemani Aqmal N. sebagai pemudahcara yang juga karyawan seni dari Singapura yang berbakat. Melawan arus dalam konteks ini merujuk kepada karya seni atau sastera yang tidak mengikuti apa yang dianggap sebagai arus dominan dalam masyarakat Singapura. Ini termasuk penulisan yang mencabar norma sosial, seperti karya yang membincangkan isu sensitif seperti kebebasan bersuara, hak asasi manusia, atau ketidakadilan sosial. Manakala menggaris batas merujuk kepada usaha untuk melampaui sempadan tradisional dalam pelbagai bentuk seni dan sastera. Karya yang menggaris batas ini sering kali berusaha memperkenalkan bentuk baharu, mencabar tradisi, dan membuka ruang bagi ekspresi yang lebih besar. Melalui pembentangan ini kita dapat menghayati bagaimana karya dan zaman mencerminkan keberanian dan inovasi dalam seni dan sastera Singapura. Ia merujuk kepada usaha pengkarya untuk mencabar norma, menonjolkan isu-isu sensitif, dan memperkenalkan bentuk ekspresi baru dalam karya mereka. Walaupun ada risiko terutama dengan pengawasan atau penapisan, pengkarya yang berani melawan arus ini terus memainkan peranan penting dalam mewujudkan dialog sosial dan memperkaya budaya Singapura dengan karya yang lebih berani dan inovatif. Syabas kepada Aisyah Liyana yang berusaha untuk menggali dan membuat rujukan yang komprehensif terhadap pengkaryaan Singapura. Sebuah pembentangan yang menyuntik pemahaman mendalam serta membuka perspektif baharu yang dinamik.
Merawat Dalam Dakwat adalah topik seterusnya yang dibincangkan bersama tiga panel iaitu Hidayat Nordin dan Fadhli Fadzil (penggiat seni dan penyair Singapura), termasuk saya sendiri. Diskusi ini dikendalikan oleh Nur Hikmah juga merupakan penyair Singapura yang menjanjikan. Healing mungkin menjadi sebuah kata yang sangat overrated penggunaannya sejak akhir-akhir ini.

Merawat dalam Dakwat adalah sebuah ungkapan yang membawa maksud penyembuhan melalui penulisan atau menggunakan kata-kata untuk merawat. Konsep healing (penyembuhan) dalam penulisan penting kerana ia menawarkan cara yang berkesan untuk menghadapi dan memproses emosi, trauma, dan kesulitan hidup.
Penulisan bukan sahaja medium untuk menyampaikan maklumat, tetapi juga untuk mendalamkan pemahaman diri, membebaskan perasaan, dan mencari ketenangan. Setiap dari kami menceritakan bagaimana penulisan berfungsi sebagai terapi yang merawat jiwa dan sanubari. Juga bagaimana sesebuah pengkaryaan itu dapat memberi manfaat kepada penyembuhan masyarakat. Tidak ketinggalan membicarakan tentang lambakan buku healing yang mana wujudnya kesedaran yang lebih tinggi terhadap pentingnya kesejahteraan mental, serta pengaruh media sosial yang membawa penerimaan lebih luas terhadap topik tersebut. Buku-buku ini memenuhi keperluan orang ramai untuk mencari penyembuhan dari trauma atau stres, mencari makna dalam hidup, dan memperbaiki kesejahteraan diri. Dalam dunia yang penuh dengan cabaran moden, penyembuhan menjadi suatu tema yang amat relevan dan signifikan kepada masyarakat. Namun begitu, tentu ada buruknya apabila penerbitan buku-buku bertemakan penyembuhan ini menyasarkan keuntungan semata-mata. Sebuah perbincangan yang tiada noktahnya.
Dari Kata ke Pentas menutup tirai acara Sembang Puisi: Mekar Dalam Belukar. Acara ini bertujuan untuk menonjolkan kekuatan kata-kata dan seni sastera melalui pentas sebagai medium ekspresi seni. Penggiat seni Singapura yang terlibat ialah Qis Maraj dan Filza Izzati, dan Nabihah seorang penggerak seni dari Johor, Malaysia. Acara yang memadukan penulisan sastera dengan persembahan pentas ini, memberikan penulis dan pelaku seni peluang untuk menterjemahkan kata-kata menjadi pengalaman visual dan audio yang memberi impak mendalam kepada penonton. Ia menggabungkan elemen pembacaan puisi, drama, nyanyian dengan tujuan untuk membawa kata-kata dari penulisan ke persembahan langsung di ruang pentas. Melalui pentas, kata-kata tersebut diolah untuk mencipta kesan dramatik, memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada penonton. Pelakon atau pembaca sastera akan menginterpretasi karya yang ditulis dengan emosi, gerakan, dan intonasi suara, menambah lapisan baru kepada makna asal karya tersebut. Hidayat Nordin yang menjadi tunggak mengemudi dan menyelaras persembahan ini telah menjalankan amanahnya dengan sangat baik. Ia seperti sebuah simpulan acara ini yang memberi makna bahawa kata-kata sentiasa memberikan kemungkinan-kemungkinan yang magis. Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan persembahan ini.
Pengalaman ini memberikan saya keyakinan untuk terus berbicara, menulis, dan memberi sumbangan kepada dunia kesusasteraan, terutamanya dalam memperjuangkan bahasa Melayu di negara sendiri dan di peringkat serantau. Saya berharap ini bukan kali terakhir, diberi peluang menjadi panel dalam acara sebegini. Saya ingin terus berkembang, belajar dan memberi impak positif melalui kata-kata dan pengkaryaan.
Sebagai seorang yang berakar dari budaya Melayu, saya memikul tanggungjawab yang besar untuk menyokong dan terlibat dalam pergerakan kolektif yang berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga simbol identiti, sejarah, dan kehormatan bangsa. Ia sebagai jendela yang membuka horizon pemikiran kepada kekayaan budaya kita yang meliputi adat, seni, dan nilai-nilai yang telah diwariskan oleh generasi sebelumnya.
Saya percaya bahawa bahasa Melayu harus diberi tempat yang selayaknya dalam masyarakat di Nusantara. Di tengah-tengah pelbagai pengaruh global dan kepelbagaian bahasa yang wujud, bahasa Melayu sering kali dipandang sebagai sesuatu yang ketinggalan atau kurang penting, terutama dalam kalangan generasi muda. Bahasa Melayu bukan sahaja perlu dipertahankan, tetapi juga perlu diperkenalkan kembali dengan cara yang segar, relevan, dan bermakna dalam konteks dunia moden.
Menyokong dan melibatkan diri dengan pergerakan ini membuat saya bangga dan gembira kerana tahu yang saya tidak bersendirian. Saya bersama rakan-rakan penulis, penyair, pendidik, dan penggiat seni lain berkongsi visi yang sama. Melalui platform seperti acara sastera, bengkel penulisan, dan pembacaan puisi, kita bukan sahaja berbicara mengenai pentingnya bahasa Melayu, tetapi juga menghidupkan semula kreativiti dan seni dalam bahasa yang kita cintai ini.
Saya amat terinspirasi oleh semangat kolektif yang wujud dalam membangunkan usaha-usaha ini. Ada rasa saling memperkasa, di mana setiap individu dalam pergerakan ini memainkan peranan untuk membawa bahasa Melayu ke tempat yang lebih dihormati dalam masyarakat. Melalui penerbitan buku, perbincangan awam dan penggunaan media sosial, gerakan seperti ini telah membuka wadah diskusi yang lebih luas tentang bagaimana bahasa Melayu dapat dipelihara dan diberi perhatian yang sewajarnya dalam konteks kebudayaan nusantara yang moden.
Semoga ada pertembungan dan pertemuan lagi di masa akan datang demi kemurnian bahasa dan sastera.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

