Membangunkan masyarakat madani adalah satu cita-cita besar yang memerlukan usaha kolektif daripada seluruh lapisan masyarakat.
Bagi Penerima SEA Write Award 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir), sebagai elemen penting dalam pembentukan peradaban, buku menjadi komponen yang tidak boleh dipisahkan daripada proses pembangunan ini.
Katanya, buku sebagai penyampai ilmu, memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, berilmu, dan berperaturan—ciri utama sebuah masyarakat madani.
“Menurut ahli sejarah dan pemikir terkemuka, Ibn Khaldun, sebuah kota atau masyarakat yang berperadaban tinggi adalah yang mempunyai peraturan yang jelas dan masyarakat yang berilmu.
“Masyarakat berperadaban ini bukan sahaja mampu menguruskan kehidupan mereka dengan baik, tetapi juga memajukan diri melalui pengetahuan yang diperoleh.
“Dalam konteks ini, buku adalah konduktor utama kepada penyebaran ilmu, menjadikan ia unsur penting dalam mencorakkan masyarakat madani,” katanya pada sesi ketiga Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Mengulas lanjut, SM Zakir berkata, buku tidak hanya perlu menjadi keperluan bagi golongan elit atau intelektual, tetapi juga harus menjadi budaya yang melibatkan setiap lapisan masyarakat—termasuk petani, pekerja, dan golongan bawahan.
Beliau berkata, untuk mencapai matlamat ini, buku perlu diangkat menjadi satu budaya yang dianggap penting dalam kehidupan seharian.
“Masyarakat yang mengutamakan ilmu pengetahuan, yang memanfaatkan buku sebagai sumber maklumat dan pembelajaran, adalah masyarakat yang akan lebih maju dalam pelbagai aspek—ekonomi, sosial, dan budaya.
“Dalam hal ini, usaha seperti pemberian baucar buku boleh dilihat sebagai langkah positif untuk menggalakkan industri buku berkembang.
Baucar buku memberi peluang kepada masyarakat membeli buku dengan harga yang lebih rendah, sekaligus membantu meningkatkan budaya membaca.
“Namun, untuk benar-benar membudayakan buku dalam masyarakat, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan buku sebagai keperluan yang tidak hanya terhad kepada golongan tertentu,” katanya lagi.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”. Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.

