FILEM Maryam Pagi ke Malam, arahan Badrul Hisham Ismail memenangi dua anugerah di Festival Filem Asia ke-21 di Rome, Itali.
Filem yang dihadkan tayangan di Malaysia itu menang anugerah Most Original Film manakala pelakon utamanya Datin Sofia Jane menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di festival berprestij itu.
Dalam satu kenyataan, Badrul berkata dia bangga kerana filem tersebut diberi penghargaan di luar negara walau tayangannya dihadkan di negara sendiri.
“Jadi ia sangat memberi semangat apabila diiktiraf dan diraikan di tempat lain,” katanya dalam satu rakaman video baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Sofia meluahkan rasa syukurnya dan ucapan tahniah buat pasukan produksi yang terlibat.
“Tahniah buat tim produksi Maryam Pagi ke Malam di Asian Film Festival semalam di Rome, Italy.
“Sesungguhnya, seniman Omar Abdullah dan seniman Roslan Madun yang berperan sebagai ayah dan pengasuh Maryam dalam filem ini memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan watak Maryam.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” tulisnya.
Filem Maryam Pagi ke Malam mengisahkan seorang wanita berusia 50 tahun (Maryam) yang berdepan halangan dari orang tua dan pelbagai pihak dalam usahanya untuk mengahwini seorang pemuda dari Sierra Leone.
Karya itu mendedahkan pelbagai cabaran birokrasi yang menghalang seorang wanita untuk menentukan haluan hidupnya.
Filem tulisan Faisal Tehrani itu dihasilkan dengan geran dari Penjaya Kreatif serta MyCreative Ventures dan diterbitkan Anomalous Films.
Ia turut menampilkan Susan Lankaster, Vanidah Imran, Roslan Madun, Azman Hassan, Pekin Ibrahim dan Bella Rahim.
Filem berkenaan juga satu-satunya wakil Malaysia ke International Film Festival Rotterdam (IFFR) 2023.
