DALAM usaha memperkukuh budaya dan sastera kebangsaan, Projek Buku PENA – Malaysia MADANI melibatkan penyertaan penulis-penulis dari pelbagai latar belakang yang bersedia berkarya untuk meningkatkan kecintaan terhadap kesusasteraan tempatan. Projek ini bukan sahaja membuka peluang untuk bakat-bakat baharu, tetapi juga menghidupkan nilai-nilai kemasyarakatan serta kebangsaan yang dirangkum dalam sastera kita.
Kali ini, kita akan menelusuri bagaimana projek ini menjadi cerminan misi Persatuan Penulis Nasional (PENA), cabaran-cabaran yang ditempuh, serta harapan mereka terhadap penerimaan masyarakat, khususnya generasi muda. Senimalaya menemubual Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengenai inspirasi di sebalik Projek Buku PENA – Malaysia MADANI dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni dan berilmu.
Senimalaya: Bagaimana Projek Buku PENA – Malaysia MADANI selari dengan usaha PENA untuk memartabatkan budaya dan kesusasteraan Malaysia?
Dr Mohamad Saleeh Rahamad: Projek penerbitan ini mengisi misi perjuangan PENA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PENA yang antara lainnya “mengusahakan penerbitan hasil karya penulis dari semasa ke semasa; mempertinggi bakat penulis dengan jalan mengadakan latihan-latihan tersusun kepada mereka.”
Siapakah penulis-penulis yang terlibat dalam projek ini, dan apakah kriteria pemilihan mereka?
Dr Mohamad Saleeh: Penulis yang terlibat atau diterima untuk menyertai projek ini ialah warganegara Malaysia sahaja kerana ini peruntukan daripada kerajaan Malaysia dalam Inisiatif Belanjawan. Mereka terdiri daripada sesiapa sahaja tanpa terikat dengan mana-mana persatuan. Maksudnya peluang ini bukan hanya untuk ahli PENA.
Apakah tema-tema utama yang diketengahkan dalam Projek Buku PENA – Malaysia Madani, dan mengapa tema-tema ini dipilih?
Dr Mohamad Saleeh: Kami tidak menetapkan tema tetapi dari segi genre kami hanya berfokus kepada karya kreatif dan karya umum yang berkaitan dengan sastera sahaja. Kami tidak menerima buku umum seperti motivasi, sejarah, politik dan sebagainya. Itu biarlah diusahakan oleh pihak lain walaupun kami tidak menolak kepentingannya dalam mempertingkatkan pengetahuan dan kecerdasan penulis.

Adakah terdapat cabaran khusus yang dihadapi oleh pihak PENA dalam merealisasikan penerbitan buku ini?
Dr Mohamad Saleeh: Cabaran terbesar kami ialah masa dan kekurangan tenaga kerja. Masa sangat suntuk untuk kami menghasilkan 100 judul sehingga Disember 2024 sedangkan kami hanya menerima dana ini pada pertengahan tahun 2024. Selain itu, untuk mendapatkan manuskrip yang memenuhi kriteria dan bermutu juga merupakan cabaran besar. Banyak manuskrip yang kami terima tetapi kami terpaksa membuat saringan dengan pertimbangan tertentu.
Cabaran lain ialah mendapatkan editor naskhah yang berpengalaman, pereka buku, dan segala hal yang berkaitan dengan kerja pracetak. Tenaga mahir ini sudah dibebani banyak kerja lain dan terpaksalah kami membuat sedikit kerja tambahan untuk memastikan kerja mereka, terutama penyuntingan naskhah, memenuhi keperluan dalam penerbitan.
Kami juga mengadakan jelajah seluruh negara untuk memberikan penjelasan kepada penulis tentang muatan manuskrip yang kami perlukan. Mereka juga dipandu supaya menyediakan manuskrip yang sehabis bersih sebelum kami tangani secara profesional. Tanpa penjelasan begini, banyak manuskrip yang masuk ke dalam kantung manuskrip kami tetapi tidak dapat dipakai. Bagi mengurangkan kerugian itulah maka kami mengadakan jerayawara di tujuh tempat termasuk Sabah dan Sarawak.
Bagaimana Projek Buku PENA – Malaysia Madani ini dapat menyumbang kepada perbincangan tentang nilai-nilai kemasyarakatan dan kebangsaan di Malaysia?
Dr Mohamad Saleeh: Melalui penerbitan bahan bacaan yang dipandu (tidak secara rigid), kami berharap penulis di negara ini mendapat suntikan untuk berkarya dengan lebih gigih. Penulis akan menerima suntikan semangat apabila karya mereka diterbitkan dan penerbitan itu pula memberikan imbalan yang sewajarnya. Melalui projek ini kami menyediakan royalti secara terus kepada penulis sebaik-baik sahaja buku siap terbit. Kami tidak menunggu jualan kerana buku akan diedarkan secara percuma kepada sekolah-sekolah dan perpustakaan.
Dalam penyaringan manuskrip kami sangat mementingkan kandungan buku yang bagus, membawa nilai yang diperlukan untuk membina masyarakat Madani. Kami tidak dapat menjadi terlalu terbuka sehingga terperangkap dalam gejala bebas nilai kerana buku yang membawa unsur negative hanya akan merosakkan pemikiran masyarakat.
Dalam penilaian manuskrip kami menari kekuatan dari segi isi dan Teknik pengkaryaan. Isinya boleh apa-apa sahaja tetapi nilainya menjurus kepada pembinaan ilmu, ideologi, dan kemanusiaan. Dengan bahan bacaan sebegini kami berharap masyarakat Malaysia menerima manfaatnya. Mereka seterusnya perlu menghidupkan karya berkenaan dengan pelbagai cara dalam komuniti masing-masing. Kita sedar di negara ini terlalu banyak komuniti sastera tumbuh dan bergerak secara mandiri. Kami juga tidak menutup pintu kepada komuniti atau kelompok usia tertentu, malahan kami menerima manuskrip semua kumpulan.
Kami berharap semua penulis sedar bahawa PENA bukan persatuan yang bersifat parokial, bahkan kami menjadi entiti yang berusaha mempertingkatkan kreativiti semua golongan.
Bagaimana projek ini akan dipromosikan untuk mencapai audiens yang lebih luas, khususnya dalam kalangan generasi muda?
Dr Mohamad Saleeh: Usaha telah kami buat tanpa membataskan penyertaan, malahan kami sangat berharap penulis generasi muda menghantar karya kepada kami. Pintu sudah kami buka tanpa mengira batas usia atau generasi. Kini terserahlah kepada mereka memasuki rumah yang mesra tamu ini. Mari kita Bersatu dalam mengangkat martabat sastera negara ini.
Apakah harapan PENA terhadap penerimaan masyarakat terhadap Projek Buku PENA – Malaysia MADANI?
Dr Mohamad Saleeh: Kami berharap masyarakat menerima projek ini dengan hati terbuka dan tanpa prasangka, tetapi marilah bersama-sama kami menghidupkan sastera negara ini agar penjalarannya merenatsi sempadan negara. Hasilkan karya yang bermutu dan mencapai tahap antarabangsa, bersifat sejagat. Itu bukan untuk PENA tetapi untuk negara dan penulis itu sendiri.
Kami membuka ruang penerbitan untuk semua peringkat usia, sama ada dewasa, remaja, dan kanak-kanak. Genre yang kami terima juga merentas bidang, sama ada novel, puisi, drama, biografi, umum, dan segala genre yang berkaitan dengan sastera.

