Satu Ulasan Tentang Jalan Pulang Yang Panjang
“Ada 3 elemen penting dalam rumah ni semasa arwah hidup,” kata Nazura Rahime.
“Food – no one leaves hungry.
Music – he plays guitar to unwind.
Rokok – he smokes everywhere.”
Makanan – tiada siapa yang pulang dalam keadaan lapar.
Muzik – dia main gitar untuk lepaskan penat.
Rokok – dia merokok merata-rata
“Rumah ni, pada saya, adalah landskap kasih. Juga landskap duka.”

Rumah kedai itu diwarisi Nazura dari Rahime Harun & Zarina Ariffin, terletak di sebelah Jalan Negara, Taman Melawati, Ampang, Selangor.
Agaknya, landskap yg dimaksudkan itu adalah ‘backdrop’ atau ‘setting’.
Persis latar untuk sebuah cerita, induknya adalah pengalaman mewarisi sebuah rumah. Pengalamannya bersimpang-siur dan bertindan, tidak berurutan. ‘tidak linear’ tulis Nazura.
Semalam, dulu, hari ini, sekarang, esok, masa depan, semua hadir sekaligus dalam tiap sekarang.

Mungkin dinding-dinding dan objek-objek dalam rumah itu bersuara serentak, timbal-balik, ‘non-linear’.
Kadang berbisik, kadang bergema.
Ruang-ruang tertentu memujuk dialog dalam hati.
Banyak memori.
Berat, terutama bila bersendiri dalam diam dan sunyi.
Namun, dalam ruang-ruang sunyi, mungkin tersembunyi keriangan dan kasih abadi.

Itulah lebih kurang yang aku rasa bila bersembang santai dengan Nazura dan Anderson Ee di rumah kedainya suatu ketika dulum macam abang-abang bersembang dengan adik.
Nazura tekun belajar walaupun dia dah jadi mak budak.
Dia rajin berguru, tidak serik berguru, walaupun sesekali kena tempias ‘angst’ dan ‘punk’ zaman muda aku.

Nazura Rahime ialah satu-satunya anak arwah Rahime Harun, kenalan aku dulu.
Sesiapa yang pernah lalu seni rupa 1980an dan 1990an, mesti kenal dia.
Mereka yang celik sejarah dan takda penyakit amnesia terpilih, tentu sekali memperakui ketokohan Rahime, dia pernah pegang jawatan Pengarah Galeri Shah Alam dan selepas itu Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara.
Rahime Harun lahir di Kampung Dodol, Pulau Pinang, pada 29 Sept 1954.
Isterinya Zarina Ariffin, lahir di Istana Juita, Kelantan pada 21 November 1955.
Tok Mek & Tok Ayoh kepada Nazura bekerja di istana sebagai dayang dan budak suruhan.

Rahime dan Zarina berjumpa dan bercinta di UiTM sekitar 1970an.
Ya, zaman disko dengan seluar boleh sapu sampah, aku masih di bangku sekolah rendah.
Rahime ambil bidang Rekabentuk Industri, Zarina bidang Seni Logam Halus, mereka ‘super-duper seniors’ AD (nama mesra untuk Kajian Seni Lukis & Seni Reka ITM ketika zaman aku belajar).
Mereka bernikah tahun 1977 di Kampung Huda, Kota Bharu, Kelantan.
Aku darjah enam, di Teluk Intan, Perak.
Nazura dilahirkan 2 tahun kemudian, pada 14 March 1979 di Kampung Huda, Kota Bharu.
Rahime dan Zarina buka A.P Gallery (A.P tu ‘Art Promoter’) di Pasar Seni Kuala Lumpur pada tahun 1983, setahun sebelum aku masuk UiTM ambil jurusan Seni Halus.
Setelah menjadi pelajar Seni Halus, galeri itu sering aku kunjungi ketika hari minggu dan jika poket tebal, galeri itu jadi ruang pembelajaran aku, khususnya tentang seni dan cari makan.
Rahimime dan Zarina pindah ke rumah kedai yang ada sekarang di Taman Melawati pada 1996.

‘Cut to’ 1980an
Rahimie sibuk jadi promoter, juga penyokong tegar seni rupa di ibukota.
Dia mengumpul karya-karya para pelukis tersohor dan bakat-bakat baru.
Setahu aku, tidak ramai kolektor ketika itu.
Tidak ramai yang beli karya-karya ‘keras’ dan ‘susah’.
Tidak ramai kolektor yg dikenali atau suka menonjol diri.
Selalunya ‘low profile’.
Ada yang tidak suka hadir ke majlis perasmian, mereka lebih suka datang diam-diam seorang.
Rahime pernah menayang koleksinya dalam satu pameran khusus berjudul “Mengejar Impian” atau “Pursuing A Dream” pada tahun 1993 di Galeri Petronas.
Aku tidak pasti sama ada ini pameran koleksi seorang kolektor yang pertama di Malaysia.
Aku pun dimaklumkan tentang pameran ini oleh Nazura kerana dari 1989 hingga 1994 aku di Amerika Syarikat melanjutkan pelajaran.
Ada banyak rekod keratan akhbar tentang kegiatan Rahime yang masih disimpan rapi oleh Nazura.
Pameran koleksi seorang kolektor terawal yang aku pernah singgah adalah Pameran “Koleksi Saya” dari 28 Oktober – Disember 2008, bertempat di Galeri 2A, Balai Seni Negara (BSLN), Kuala Lumpur. Ia dianjurkan BSLN sebagai penghormatan untuk Rahime selaku mantan Ketua Pengarah.
Kalau rajin, carilah bukunya, ia memaparkan koleksi yang sangat dekat dengan kembara seni halus aku, banyak karya yang dekat dihati aku, ada dalam koleksi Rahime itu.
Selain menjadi kolektor dan promoter, kekadang Rahime jadi abang dan bapa angkat untuk beberapa pengkarya melarat. Rumahnya jadi ‘port’ untuk seniman ‘wanna be’ tidak bertempat yang ‘sesat di Kuala Lumpur’, antaranya penyair otai, abang Ladin Nuawi, rumah kedai itu pusat singgahan.
Dulu tiada istilah ‘artspace’ atau ‘place making’ untuk komuniti pengkarya lepak, sembang dan menumpang nasib. Jika ada, tentulah Rahime antara pelopornya. Dialah ‘big brother’ atau abang besar kawasan.
Dia juga rajin masak dan jamu tetamu, selain bersembang panjang tentang seni rupa sambil sedut rokok Benson & Hedges (ke Marlboro Light? aku pun dah lupa) tidak putus. Dua kotak sehari.
Bagi aku, dia pemikir dan perancang yang pragmatis, walaupun tiada gelaran profesor, tiada Dr. depan nama dan tiada PhD.

Jalan Negara
Hari ini, anaknya Nazura pula gigih dengan ‘place making’ Jalan Negara persis akak kawasan, gigih sampai ke Brazil dan merata dunia untuk belajar tentang ‘place making’ dan bercerita pasal Jalan Negara.
Dari ruang kosong yang terbiar jadi ruang komuniti yang mesra, meriah dan penuh rasa kekeluargaan, kekitaan dan pemilikan bersama.

Aku pernah berdiskusi dengan Nazura tentang kesan buruk gentrifikasi termasuk gentrifikasi estetik yang menyorok disebalik ungkapan ‘place making’.
Panas juga dan tegang urat aku berhujah, terutama ‘gate-keeping’ yang gemar guna nilai-nilai kuantitatif sebagai asas pemberian geran, tapi itu mungkin juga kerana buruk sangka aku.

Ni dah melalut ke laut…Kembali ke Rahime, isterinya dan koleksi.
Rahimie meninggal pada 2008, Zarina menyusul dua tahun kemudian pada 2010.
Rumah kedai itu ditutup.
Apa jadi pada Nazura?
Dia tidak jejak kaki ke rumah itu sejak ibunya meninggal pada 2010.
Hinggalah 2020, selang sepuluh tahun, baru dia ada kekuatan untuk ‘pulang’.
Jauh perjalanan pulang si Nazura ini.

“Macam mana ya si Nazura ni membesar sebagai anak tunggal Rahime dan Zarina? Dan lepas tu berdepan pula dengan kematian mereka?” aku tanya dalam hati.
Tidak dapat dibayangkan.
Mereka pula sebelum itu rapat seperti satu unit, sering berkembara tiga beranak merata dunia, sejak Nazura masih budak.
“Macam mana dia hidup di rumah kedai tu, sebelum dan sesudah keduanya pergi? Macam mana dia nak jaga koleksi Rahime yang sangat bernilai itu? Dia faham ke? Dia tau ke betapa bernilainya koleksi yang dia warisi? Ada karya-karya Amron Omar, Anuar Rasyid, Mad Anuar, Juhari Said dan ramai lagi. Tak jadi beban ke untuk dia?” macam-macam aku tanya dalam kepala.

21 November 2020, Nazura mula menulis surat kepada arwah ibunya. Itu sempena harijadi ibunya yang ke 65, sekiranya masih hidup. Tulis surat jadi medium untuk dia pulang dan pulih.
Setelah sepuluh tahun menggagahi kehilangan, Nazura pulang dan buka semula A.P Gallery.
Dia letakkan dirinya sebagai jambatan, diantara. Itu juga tajuk dua karya seni cetak arwah Rahime, “I Want To Be A Bridge” (1998 ) dan “In Between” (1998).

Beberapa projek pameran dilangsungkan. Pernah aku singgah untuk mengamati. Antaranya “Rahmat Bahgia” yang dikuratorkan oleh Anderson Ee, pendekatan kuratorialnya mungkin ‘fusion’ jika ia genre muzik. Segar, berani, juga mesra dan ada bahagian, selamba. Tidak ‘patronizing’, hormat pengunjung dan beri mereka ruang untuk fikir sendiri tanpa teks kuratorial berbelit-belit, tidak terlalu ‘generic’, tidak juga terlalu kering dan ‘sterile’ macam hospital.

Semasa mengamati karya-karya Juhari Said, Amron Omar, Mad Anuar dan Anuar Rasyid di rumah kedai itu, aku rasa seperti pulang ke UiTM. Dekat. Dinding-dinding rumah kedai itu terisi karya-karya yang seiring dengan perjalanan seni aku dan aku percaya, ramai pelukis lain, terutama yang pernah belajar di UiTM. Ada banyak cerita, ada yang rahsia, tersembunyi.

Tiap sudut terkandung memori dan naratif sunyi. Termasuk kotak rokok Malboro, tapi itu kena dengar cerita penuh dari Nazura. Aku tidak mahu jadi ‘spoiler’ walaupun aku cilok sebagai tajuk utama esei ini.
Tiap objek dalam rumah kedai itu berbisik dalam senyap. Ada masanya terasa seperti boleh berbual dengan dinding, karya dan objek di dalamnya.

Bila dibaca surat-surat Nazura kepada arwah ibunya, terasa keintiman dengan beberapa ruang, objek dan karya terpilih. Santai, membumi, langsung dan dekat. Ada rasa kasih, belas dan rindu yang pekat.
Nazura pula perlu izinkan diri menjadi ‘vulnurable’ sejujur dan seikhlas mungkin bila menulis. Juga membuka diri, sesuatu yang dia tidak biasa lakukan. Aku faham, aku pernah lalu dengan “H3RO”.

Bila ditanya apa namanya perkongsian ini, Nazura hanya kata, “dear Mama”. Tiada istilah-istilah seperti ‘curatorial walk-through’, ‘art appreciation’, ‘narration’, ‘story-telling’, ‘performance’, ‘seni di lokasi’, ‘site-specific installation’ dan lain-lain.
Pada aku, ia satu bentuk pendekatan kuratorial bersifat hibrid dan ‘fusion’ yang sangat organik. Tidak sama dengan pameran-pameran koleksi beberapa orang kolektor yang pernah aku alami sebelum ini.
Masuk 2026 sudah ada 4 siri. Terisi bacaan surat yang ditulis Nazura untuk ibunya. Diadun memori peribadi yang terkait dengan karya-karya di dinding dan objek-objek arkib dalam ruang-ruang tertentu.

Ada juga kolaborasi di lokasi dengan beberapa rakan pelukis, pemuzik, pembikin filem, pengarah teater, perekabentuk produksi dan pencahayaan, juga penyair.

Ini pendekatan separa ko-kreasi yang harapnya lekat dihati.
Semuanya bakal pujuk kita pulang.
Ramai dikalangan kita yang sudah lama merajuk, tidak pulang-pulang.
“Pulanglah…”
Hasnul Jamal Saidon: Seniman multidisiplin, kurator dan ahli akademik perintis. Menerima latihan dalam bidang seni lukis di Universiti Teknologi MARA, Southern Illinois University dan juga Ijazah Sarjana Seni Halus dalam bidang Seni Elektronik dan Media Baharu daripada Rensselaer Polytechnic Institute, New York. Praktik beliau merangkumi seni lukis, video, pengimejan digital, instalasi, media interaktif, teknologi, budaya dan masyarakat kontemporari.
Baca tulisan beliau di: Kebun Jiwa Halus
