Saya terganggu dengan filem ini. Saya marah, kecewa, sekaligus terharu. Filem ini meruntun lebih daripada sekadar emosi saya tetapi menguji rasa kemanusiaan saya. Sebagai wartawan veteran saya telah menyaksikan kekejaman, kemusnahan dan pembunuhan. Di beberapa zon konlik saya tidak sekadar menjadi pelapor tetapi turut disentuh oleh kejadian di hadapan saya.
Saya diseludupkan ke Wilayah Kunar, Afghanistan bersama-sama Allahyarhan Wan Omar Ahmad (Sutung Umar RS) dan Mohd Ali Zakaria pada musim bunga 1989. Kami melihat bagaimana kekejaman diperlakukan ke atas rakyat Afghanistan oleh tentera Rusia dan sekutunya. Kami melihat korban dan mangsa perang bukan sahaja di dalam Afghanistan tetapi juga di Peshawar, Pakistan tempat berhimpunnya ratusan ribu pelarian ketika itu.
Saya pernah menyaksikan keganasan ke atas penduduk kulit hitam sewaktu apartheid di Afrika Selatan. Juga malapetaka pembersihan etnik di Bosnia-Herzegovina. Mangsanya adalah orang biasa – khususya wanita, kanak-kanak dan orang tua. Kesemua mereka tidak bersalah apapun dalam konflik itu. Kekejaman manusia sewaktu perang nampaknya tanpa batas. Tanpa belas kasihan. Tanpa peri kemanusiaan.

The Voice of Hind Rajab lebih daripada sebuah filem. Ini bukan cerita rekaan. Bukan rekayasa sejarah. Tetapi kisah benar. Kisah yang menimpa Hind Rami Iyad Rajab (Hind Rajab) yang berusia enam tahun. Beliau anak Palestin yang harus meninggalkan kediamannya pada 29 Januari 2024 untuk mencari tempat lebih selamat apabila tentera Israel (IDF) menduduki kewasan sekitar. Hind Rajab bersama bapa saudara dan ibu saudaranya serta tiga orang sepupunya berada dalam sebuah kereta jenis Kia berwarna hitam. Apabila mereka melalui kawasan bernama Tel al-Hawa kereta itu ditembak oleh kereta kebal tentera Israel – bukan dengan satu tembakan, tetapi 335 pusingan tembakan peluru.
Bapa saudara dan ibu saudaranya meninggal dunia serta merta beserta dua orang sepupunya. Hanya seorang lain, Layan Hamadeh selain Hind Rajab yang masih hidup. Layan Hamadeh membuat panggilan kepada Pusat Kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang berpengkalan 52 kilometer dari situ.
“Mereka menembak ke arah kami. Kereta kebal itu dekat kami. Kami dalam kereta, kereta kebal itu di sebelah kami.” Terdengar suara Layan Hamadeh, cemas dan ketakutan. Tidak lama kemudian terdengar bunyi tembakan mesingun dan Hind Rajab tinggal seorang bersama mayat lima yang lain.
Filem ini mengetengahkan suara sebenar Hind Rajab yang dirakam oleh PRCS. Hind Rajab yang dipercayai cedera di bahagian belakang, tangan dan kaki kedengaran merayu agar dia diselamatkan. Selama beberapa waktusuara itu terdengar dengan jelas – suara pilu, menyayat, terdesak, ketakutan. Suara merayu dan berharap.
“Saya takut, tolong datang. Ambil saya. Tolong, apakah kamu akan datang?”
Peristiwa itu berlaku sebulan selepas IDF menduduki Gaza. Menjelang bulan November 2023 sebahagian besar Gaza sudah jadi padang jarak padang tekukur. Sistem dan prasarana kesihatan terjejas teruk akibat serangan Israel dan tindakan IDF menghalang menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Di Gaza Utara tidak ada hospital yang berfungsi sepenuhnya dan ubat-ubatan hampir habis.
Rakaman suara sebenar Hind Rajab selama kira-kira 70 minit itu digunakan dengan cara cukup berkesan dalam filem ini. Hind Rajab tidak ditunjukkan langsung. Tidak ada dramatisasi keadaan budak perempuan yang terperangkap di dalam kereta itu. Yang terdengar hanya suaranya.
Pengarahnya adalah pembikin filem wanita terkenal dari Tunisia bernama Kaouther Ben Hania. Sebelum ini beliau dikenal kerana dokumentari Four Sisters dan filem The Man Who Sold His Skin (2021). Beliau pertama kali mendengar rakaman audio suara Hind Rajab sewaktu menunggu di Lapangan Terbang Los Angeles. Rakaman itu viral di Internet. Beliau meminta rakaman penuh dari PRCS. Kaouther Ben Hania mengambil keputusan untuk membuat filem tentang Hind Rajab. Beliau mendapat sokongan sepenuhnya dari Wesam, ibu kanak-kanak itu.
Sebenarnya terdapat dua buah filem lagi menggunakan kisah tragis itu, Close Your Eyes, filem pendek dari Belanda dan filem Jordan, Hind Under Seige. Ketiga-tiga buah filem ini ditayangkan pada tahun 2025.
Filem ini hanya berlaku di satu lokasi, Pusat Kecemasan PRCS. Hanya empat orang pelakon utama terlibat. Yang terlihat hanyalah reaksi empat watak utama Rana Hassan Faqih (lakonan Saja Kilani), Omar A Alqam (Motaz Malhees), Mahdi M Aljamal (Amer Hlehel) dan Nasreen Jeris Qawas (Clara Khoury) terhadap suara Hind Rajab.
Dalam situasi yang normal, apa yang perlukan hanyalah menghantar penyelamat atau petugas ambulans untuk menyelamatkan Hind Rajab. Ambulans terdekat hanya kira-kira lapan minit dari tempat kejadian. Tetapi di bumi yang dikuasi oleh Rejim Tel Aviv, keadaannya tidak semudah itu. Omar yang mendengar suara itu, lalu menggerakkan penyelianya Rana Hassan untuk bertindak. Mereka mendesak ketua mereka, Mahdi Aljamal untuk menghantar pasukan penyelamat.
IDF tidak membenarkan sebarang pergerakan melainkan dengan izin mereka. Mahdi harus “berunding” dengan pelbagai pihak, bagi mendapatkan kebenaran IDF. Langkah yang membebankan, lambat dan tidak pasti. Desakan Omar dan Rana Hassan memeningkan Mahdi. Dalam situasi seperti itu, Nisreen, pakar psikitri di pejabat itu cuba menenangkan semua yang terlibat. Kesemua mereka terseret dalam dilema untuk menyelamatkan Hind Rajab. Kesabaran menipis apabila masa berlalu tanpa tindakan.
Setiap saat bermakna. Ini soal hidup dan mati Hind Rajab. Tuntutan birokrasi dan keangkuhan IDF mempersulit keadaan. Jalan penyeselaiannya tidak mudah. Akhirnya mereka menggunakan media sosial untuk menarik perhatian luar. Rakaman audio dan foto Hind Rajab diviralkan.
Akhirnya mereka mendapat lampu hijau untuk menghantar ambulans ke tempat kejadian. Dalam situasi sebenar dua orang petugas dihantar untuk menyelamatkan Hind Rajab. Mereka adalah Youssef Zeino dan Ahmad Madhoun. Dalam filem itu keempat-empat orang tadi mengikuti perkembangan ambulans itu. Mereka optimis bahawa Hind Rajab boleh diselamatkan.
Ini momen sinema sebenar. Momen dramatik yang menggetarkan. Penuh suspen. Mereka mengikuti pergerakan ambulans itu melalui skrin computer. Setiap saat bermakna. Setiap pergerakan ambulans memberikan harapan. Kita sebagai penonton juga diseret sama dalam penantian cemas itu. Seperti watak-watak di Ibu Pusat Kecemasan PRCS, kita juga mengharapkan kesudahan yang baik.
Tetapi kekejaman rejim Israel tidak berakhir dengan pembunuhan anggota keluarga terdekat Hind Rajab. Ambulans itu pula diserang. Paling akhir adalah bunyi tembakan dan letupan.
Sambungan talian telefon dengan Hind Rajab terputus.
Selama 12 hari tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku. Tiada siapa yang boleh mendekati kereta di mana Hind Rajab terbunuh bersama yang lain, juga ambulans yang dihantar untuk menyelamatkannya. Selama 12 hari suara Hind Rajab berkumandang dalam hampir semua platform media sosial. Aktivis dan anggota badan kemanusiaan mendesak agar Hind Rajab dicari atau jikalau masih hidup dibawa pulang. Ibunya merayu masyarakat antarabangsa agar jangan melupakan anaknya.
Hanya 12 hari selepas kejadian itu, dengan pengunduran tentera Israel di kawasan itu, barulah masyarakat antarangsa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Pengarahnya tidak memilih untuk memperlihatkan kesan tembakan atau wajah ketakutan Hind Rajab di skrin atau anggota keluarga terdekatnya yang berdarah. Atau ambulans yang bersarang peluru seperti kereta Kia itu. Apa yang diperdengarkan adalah suara melalui spectrogram. Nama digital di penjuru skrin komputer dan gelombang audio yang ketara sudah cukup menyayukan.
Ada kalanya dalam usaha untuk menenangkan Hind Rajab, mereka mengajaknya bercakap tentang sekolah (nama sekolahnya A Happy Childhood) dan kelas (Rama-Rama). Tetapi suara itu kembali cemas apabila kereta kebal semakin mendekat. Hind Rajab bagaikan sedar nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk.
Apabila Hind Rajab ditunjukkan oleh petugas PRCS dalam filem ini bagi tujuan menarik perhatian umum, kita baru tahu wajah sebenar di sebalik suara itu. Kesedihan kita meningkat. Demikian juga kekecewaan dan kemarahan. Ini bukan lagi tentang suara yang meminta bantuan tetapi seorang budak yang bergelut dengan ancaman kematian. Ini ujian keprihatinan kita.
Pada penghujung filem kita diperkenalkan pada ibu Hind Rajab, juga video beliau bermain di pantai.
Filem ini tidak sekadar menyentuh hati penonton dan pengkritik di pelbagai pesta filem tetapi mendapat sanjungan dan pengiktirafan yang luar biasa. Filem ini juga menarik perhatian beberapa orang tokoh besar perfileman Hollywood – termasuk pelakon dan pengarah yang meminjamkan nama mereka sebagai penerbit – di antaranya Brad Pitt, Joaquin Phoenix, Rooney Mara, Alfonso Cuaron, Spike Lee, Michael Moore dan Elizabeth Woodward.
Saya yakin The Voice of Hind Rajab menjadi filem yang paling banyak diperkatakan tahun ini. Filem ini juga menyentuh perasaan demikian banyak orang. Ini bukan filem biasa. Ini sebuah filem yang mempersolakan nilai sebenar kemanusiaan.
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya menangis apabila menonton sebuah filem.
Filem ini mesti ditonton oleh setiap orang yang bersimpati dengan penanggungan rakyat Palestin.
Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga seorang aktivis seni. Beliau telah menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad yang merakamkan pembabitan beliau selama lebih 50 tahun dalam bidang seni.
Nota Editorial:
The Voice of Hind Rajab telah mencatatkan lebih 60,000 tontonan selepas 21 hari ditayangkan di Malaysia iaitu ketiga tertinggi di dunia. Senimalaya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menonton filem yang telah mencatat rekod ‘Standing Ovation’ selama 23 minit di premier (paling lama dalam sejarah) Venice Film Festival. Dapatkan tiket di (TGV & GSC) seluruh negara:
www.gsc.com.my/movie/the-voice-of-hind-rajab/
www.tgv.com.my/movie/the-voice-of-hind-rajab
