“Manusia tidak sekadar mendiami alam semesta fizikal, sebaliknya dia hidup dan bernaung dalam suatu kosmos simbolik yang dibentuk oleh makna, bahasa, dan kebudayaan.”
(Man does not live in a merely physical universe, but in a symbolic universe)
– Ernst Cassirer, 1944.

Mukadimah
Dalam ranah kefalsafahan Barat, manusia lazimnya digelar dengan ungkapan ‘haiwan rasional’, yakni makhluk yang mengabsahkan pemikirannya berbeza daripada spesis ‘haiwan-haiwan’ lain, disebabkan oleh keupayaannya untuk berfikir secara logik serta reflektif. Takrif ini, yang berakar daripada tradisi Aristotelian dan diteruskan oleh faham rasionalisme moden, telah menjadi cetusan kepada sebuah pemahaman yang membentuk hakikat kemanusiaan. Namun, sejak menjengahnya abad ke-20, Ernst Cassirer (1874–1945), seorang ahli falsafah Neo-Kantian, tanpa segan silu tampil menggugat pengertian lama ini dengan menggagaskan konsep manusia sebagai animal symbolicum, iaitu manusia sebagai makhluk yang hidup dan memahami dunia melalui tatanan simbol. Pada Cassirer, rasionaliti bukanlah ciri utama yang paling mendasar dalam diri manusia. Namun, keupayaan manusia untuk mencipta, mengadaptasi, menggunakan, dan hidup dalam dunia simbol, sebenarnya yang menjadi asas sebenar kepada kewujudannya. Gagasan animal symbolicum ini mempunyai implikasi yang mendalam terhadap lingkungan dunia seni dan estetika. Seni tidak lagi difahami semata-mata sebagai objek keindahan atau ekspresi emosi individu, tetapi sebagai satu percikan simbolik yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan struktur pengalaman umat manusia.
Siapa Ernst Cassirer?
Ernst Cassirer merupakan tokoh utama aliran Neo-Kantian, yang berusaha untuk terus melestarikan falsafah Immanuel Kant dalam konteks kebudayaan moden. Sekiranya Kant menumpukan perhatian kepada syarat-syarat apriori (pengetahuan atau pemahaman yang diperoleh sebelum sesuatu pengalaman atau pemerhatian itu berlaku) bagi segenap pengetahuan saintifik, Cassirer pula memberdaya persoalan ini kepada keseluruhan kebudayaan manusia. Bagi Cassirer, persoalan asas bukan sekadar bagaimana pengetahuan saintifik itu serba mungkin, tetapi bagaimana segenap makna dapat dibentuk dalam pelbagai dimensi kebudayaan manusia? Cassirer menjawab tanya ini dengan mengemukakan konsep ‘bentuk simbolik’ (symbolic forms). Melalui karya The Philosophy of Symbolic Forms (1923–1929), Cassirer berhujah bahawa manusia membina dunianya melalui sistem simbol seperti bahasa, mitos, agama, seni, dan sains. Setiap sistem ini bukan sekadar cerminan realiti objektif, namun menjadi kaedah tersendiri manusia untuk mengorganisasi, bahkan menafsirkan pengalaman-pengalamannya. Secara sederhana, dapatlah kita andaikan bahawa falsafah Cassirer bersifat anti-reduksionis. Ertinya, manusia itu secara harfiah, tidak boleh difahami hanya melalui pengamatan biologi, psikologi, atau logik formal semata-mata. Hakikat manusia terletak pada keupayaannya buat menciptakan makna simbolik, dan seterusnya hidup dalam jaringan-jaringan makna tersebut.
Manusia sebagai Animal Symbolicum
Konsep animal symbolicum dirumuskan dengan jelas dalam karya An Essay on Man (1944). Di dalam buku ini, Cassirer menegaskan bahawa, manusia hidup bukan dalam dunia yang bercirikan material semata-mata, tetapi ‘bergelanggang’ di dalam dunia simbol. Lantaran demikian, bahasa, mitos, seni, dan sistem kepercayaan (agama), lalunya menjadi jambatan atau perantara (symbolic universe) yang memisahkan manusia daripada realiti semula jadi yang samar-samar.

Dalam upaya menjelaskan manusia sebagai animal symbolicum, Cassirer turut menekankan bahawa tindakan manusia yang paling awal, termasuk gerak tubuh dan ritual, sememangnya sudah ada ciri-ciri simbolik, yang bukan semata-mata bersifat reaktif atau naluriah. Misalnya, tatkala beliau membahas tentang mitos dan ritual-ritual awal, Cassirer merujuk kepada tarian orang-orang primitif yang meniru gerak laku haiwan seperti rusa, dalam konteks merepresentasi aktiviti perburuan atau kesuburan. Peniruan ini tidak harus difahami sebagai imitasi biologis secara langsung, tetapi sebagai transformasi simbolik terhadap pengalaman hidup manusia dengan alam yang melingkunginya. Apabila manusia meniru lompatan, lenggok-gerak, atau ritma tari rusa dalam tarian ritual, jelmaan tersebut tidak lagi berfungsi sebagai gerak fizikal semata-mata. Ia menjadi simbol kosmik yang menghubungkan manusia dengan kekuatan alam, kitaran kehidupan, malah struktur mitos dalam sesebuah komuniti. Dalam kerangka Cassirer, gerak tubuh itu telah ‘diangkat’ daripada dunia nyata kepada dunia makna. Tarian yang dipersembahkan, bukan sekadar bertujuan untuk menyalin realiti, tetapi untuk menafsir, menghayati, serta menguasai realiti secara simbolik. Contoh ini memperlihatkan dengan jelas bahawa bagi Cassirer, simbol mendahului konsep rasional. Sebelum manusia membina teori atau bahasa saintifik tentang alam, mereka terlebih dahulu membentuk bahasa tubuh simbolik melalui ritual, tarian, dan seni. Justeru, manusia tidak menjadi makhluk rasional terlebih dahulu, yang kemudian cuba menciptakan simbol, tetapi sebaliknya, manusia berekspresi melalui simbol, untuk mewujudkan rasionaliti.
Maka, di sinilah terletaknya kekuatan konsep animal symbolicum, bilamana manusia menjadi makhluk yang memahami dunia, bukan pada tataran refleksi intelektual semata-mata, tetapi melalui tindakan simbolik yang hidup, berirama, dan sarat dengan jutaan maksud. Ini bererti pengalaman manusia sentiasa bergandingan secara langsung dengan segala macam simbol. Apabila manusia melihat alam, berinteraksi dengan orang lain, atau menghasilkan seni, mereka tidak berinteraksi terus dengan realiti objektif, tetapi dengan kenyataan yang telah ditafsir, diberi makna, bahkan disusun atur secara simbolik. Dalam konteks ini, simbol tidak selalunya kita fahamkan sebagai tanda arbitrari (sewenang-wenang/mana suka) semata-mata. Bagi Cassirer, simbol merupakan struktur aktif yang membentuk kesedaran manusia. Ia bukan sekadar mewakili realiti, tetapi mencipta dunia makna yang memungkinkan manusia memahami dan menghayati kewujudan dirinya.

atau kesuburan
Bentuk Simbolik dan Kebudayaan
Cassirer membahagikan kebudayaan manusia kepada beberapa bentuk simbolik utama, antaranya mitos, bahasa, seni, dan sains. Setiap bentuk simbolik mempunyai logik serta fungsinya yang tersendiri. Sebagai contoh, ‘mitos’ tidak boleh dinilai berdasarkan persyaratan penemuan kebenaran ilmiah. Ia berfungsi untuk mengungkapkan pengalaman emosi dan kosmik manusia dalam bentuk naratifnya yang misteri, malah simbolik. Bahasa menyediakan struktur konseptual yang memungkinkan komunikasi serta pemikiran abstrak. Sains, sebaliknya, membentuk simbol matematik dan teori untuk memahami alam secara objektif serta sistematik. Lalunya, tafsiran seni pula berekspresi dalam pendekatan yang sedikit unik. Ia tidak bertujuan untuk menjelaskan realiti secara empirikal (nyata) sepertimana dalam ilmu sains, dan tidak juga mengikat pengalaman dalam dogma, sebagaimana sesuatu mitos itu difahami. Seni membuka ruang pengalaman simbolik yang bebas, intuitif, dan ekspresif. Maka, dalam pemikiran Cassirer, seni tidak boleh disederhanakan kepada persoalan rasa cantik atau penilaian subjektif semata-mata. Seni merupakan satu bentuk simbolik yang tersendiri, dengan cara khusus dalam mengungkapkan realiti. Seni tidak meniru alam secara literal. Walaupun unsur-unsur penyalinan (mimesis) itu wujud, seni merupakan proses transformasi simbolik. Melalui garis, warna, ritma, bunyi, dan bentuk, seni membina dunia makna yang tidak dapat dicapai melalui bahasa konseptual mahupun pendekatan logik secara saintifik.
Simbol, Estetika dan Pengalaman Manusia
Pendekatan Cassirer terhadap estetika menekankan bahawa, pengalaman artistik manusia merupakan citraan simbolik yang tidak sepenuhnya dapat diterjemahkan ke dalam konsep rasional. Dalam perkara ini, Cassirer agak berseberangan dengan Kant. Beliau memahami seni sebagai sebahagian daripada struktur kebudayaan yang aktif. Sebaliknya Kant, sangat menekankan bahawa penilaian estetik merupakan hal yang disifatkan sebagai ‘kebertujuanan tanpa tujuan’ (purposiveness without purpose). Seni bukan sekadar pengalaman subjektif individu, tetapi satu sistem simbol yang dikongsi secara sosial dan sejarah. Sekilas, estetika Cassirer juga mempunyai pertalian dengan para pemikir lain seperti Susanne Langer, yang melihat seni sebagai ‘simbol perasaan’, dan Ernst Gombrich, yang menekankan peranan skema dan konvensi dalam seni visual. Namun, kekuatan Cassirer terletak pada kerangka falsafahnya yang menyatukan seni dengan keseluruhan struktur kebudayaan manusia.
Nota Akhir
Konsep manusia sebagai animal symbolicum yang dikemukakan oleh Ernst Cassirer, menawarkan satu kerangka falsafah yang kaya untuk memahami hakikat kemanusiaan, seni, dan estetika. Dengan menegaskan bahawa manusia hidup dalam dunia simbol, Cassirer mengalihkan tumpuan falsafah daripada persoalan yang berpijak kepada hal yang rasional semata-mata, kepada sebuah keteguhan simbolik yang lebih mencengkam. Saat kita meneroka pemuaraan di ranah estetika, hal kesenian itu difahami sebagai satu bentuk simbolik yang unik, yang membolehkan manusia mengungkap, mencitrakan, malah mengalami realiti dengan cara tersendiri, yang tidak dapat dicetuskan oleh ajaran-ajaran saintifik, mahupun melalui bahasa konseptual. Seni bukan sekadar objek keindahan, tetapi kaedah secara manusiawi, untuk dunia dimengerti. Tidak berlebihan jika dikatakan bahawasanya, fikrah Cassirer bukan cuma relevan dalam sejarah falsafah, namun ‘mujarab’ jua untuk kita memahamkan segala tantangan dan kemungkinan estetika dalam dunia kontemporari yang semakin dipenuhi simbol, imej, representasi, bahkan hari ini, oleh ‘rasukan-rasukan’ digital yang diselimuti praktik kepintaran buatan (Artificial Intelligence). Pada akhirnya, tatkala kita berterusa-terusan cuba untuk menyemangati gagasan animal symbolicum, seni dan estetika sebenarnya sedang kembali diposisikan sebagai teras kepada pengalaman serta makna seri hidup manusia nan sejati.
Rujukan
Cassirer, E. (1944). An essay on man: An introduction to a philosophy of human culture. New Haven, CT: Yale University Press.
Cassirer, E. (1955). The philosophy of symbolic forms (terjemahan Jilid 1–3, R. Manheim,). New Haven, CT: Yale University Press. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1923–1929)
Gombrich, E. H. (1960). Art and illusion: A study in the psychology of pictorial representation. Princeton, NJ: Princeton University Press.
Kant, I. (2000). Critique of the power of judgment (terjemahan P. Guyer & E. Matthews). Cambridge: Cambridge University Press. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1790)
Langer, S. K. (1953). Feeling and form: A theory of art. New York, NY: Scribner.

This article is both enjoyable and educational.
The site continues to be surprisingly dependable.