Mansur & Liu membawa penonton memasuki sebuah dunia yang dibina daripada cebisan sejarah, muzik, bahasa, tubuh, cahaya dan imej dengan mengangkat kisah Sultan Mansur Syah dan Puteri Liu dalam latar Kesultanan Melaka,
Persembahan ini mengambil sebahagian naratif sejarah lalu mengembangkannya menjadi sebuah produksi pentas teater berskala besar, dengan pelbagai disiplin artistik bertemu dalam satu ruang yang sama.
Skala itu tidak sekadar terletak pada ukuran set atau jumlah pelakon dan juga keseluruhan warga kerja yang terlibat. Ia hadir melalui cita-cita produksi untuk membentuk sebuah dunia yang mempunyai bahasa, bunyi, tekstur dan ritmanya sendiri.
Lakonan, persembahan muzik secara langsung, kostum, pencahayaan dan penggunaan multimedia digital tidak berfungsi sebagai lapisan dekoratif yang berdiri sendiri, tetapi sebagai komponen yang saling bertaut dalam menggerakkan sebuah penceritaan.

Persoalan yang lebih menarik ialah bagaimana sebuah kisah separa sejarah diadun bersama fiksi romansa kreatif dapat diterjemahkan kepada bahasa pentas tanpa menjadikannya sekadar sebuah ilustrasi masa lalu.
Dalam pendekatan ini, Mansur & Liu memilih untuk tidak mengikat dirinya sepenuhnya kepada gambaran sejarah yang statik.
Dengan menggunakan dialog bahasa Melayu lama bersama beberapa slanga dan dialek Siam Ayutthaya serta Tanah Besar China, ia menghasilkan satu bentuk bahasa pentas yang bergerak antara zaman dan sensibiliti kontemporari.
Pilihan linguistik ini penting kerana Melaka yang digambarkan bukan sebuah ruang budaya yang homogen. Perbezaan nada dan dialek membantu membentuk suasana sebuah pelabuhan yang secara sejarahnya terbuka kepada pertemuan manusia, bahasa dan budaya.
Yang menarik, penggunaan dialek tersebut tidak bersifat karikatur atau humor mudah. Ia lebih berfungsi sebagai tekstur dramatik yang memberi tubuh kepada sebuah dunia dan seni penceritaan.
Di sini produksi mula memperlihatkan kesedarannya terhadap sejarah sebagai sesuatu yang hidup, bukan hanya sekadar latar.
Muzik sebagai dramaturgi
Jika terdapat satu unsur yang paling kuat mengikat keseluruhan persembahan, ia adalah muzik.
Dengan sekitar 30 skor ciptaan Dato’ M. Nasir yang merentasi irama tradisional, moden dan orkestra, muzik menjadi lebih daripada pengiring kepada aksi.
Ia merupakan salah satu struktur utama dramaturgi. Lagu, dialog dan bunyi bergerak keluar masuk antara satu sama lain, membina perubahan emosi serta menentukan tenaga sesebuah babak.
Pendekatan ini memberikan Mansur & Liu sifat yang hampir sinematik, tetapi kekuatanya menyerlah dengan kehadiran persembahan muzik yang dimainkan secara langsung.
Pemuzik tidak sekadar menghasilkan runut bunyi untuk mengisi ruang; bunyi itu hadir sebagai sebahagian daripada tubuh persembahan yang tak kelihatan tetapi dirasai.

Ada sesuatu yang lebih bersifat fizikal apabila muzik berlangsung serentak dengan lakonan; tenaga, tempo dan resonansnya tidak lagi sekadar mengiringi persembahan, tetapi menjadi sebahagian daripada pengalaman penonton.
Peralihan antara nyanyian dan dialog juga relatif organik. Lagu tidak muncul sebagai gangguan kepada naratif, sebaliknya menjadi lanjutan kepada keadaan emosi watak.
Dalam perhubungan ini, muzik berfungsi sebagai bahasa kedua kepada skrip: apabila dialog mencapai batas tertentu, muzik mengambil alih dan memperluaskan ruang emosi dan imiginasi.
Namun, kekuatan muzik juga mencipta satu cabaran, dalam produksi sebesar ini, muzik yang terlalu dominan berpotensi mengambil alih dramaturgi.
Mansur & Liu sebahagian besarnya berjaya mengelakkan perangkap tersebut kerana susunan muzik digunakan untuk memperbesar konflik, bukan sekadar menghasilkan momen spektakular.
Tubuh pelakon sebagai pusat pengalaman
Kemegahan produksi dengan set berskala besar yang bersilih ganti melatari ruang pentas akhirnya perlu kembali kepada tubuh manusia yang menguasainya.
Di sini barisan pelakon menentukan sama ada dunia yang dibina tersebut benar-benar dapat mengangkat sebuah kehidupan.
Setiap kali babak berakhir, tepukan penonton hadir hampir tanpa jeda, menandai sebuah respons spontan terhadap intensiti lakonan, ketepatan pengarahan, dan bahasa pentas yang secara konsisten mencipta momen-momen yang memukau.
Aliff Aziz, yang membawa watak Sultan Mansur Shah, tampil dengan kehadiran pentas yang sepadan dengan kedudukan wataknya. Persembahannya tidak bergantung semata-mata pada status karakter, sebaliknya keupayaan menguasai pentas, berdialog dan bernyanyi tanpa pernah kehilangan hubungan dengan penonton.
Melinda Dadew pula menjadi antara penemuan menarik dalam produksi ini.
Penglibatannya dalam teater muzikal buat pertama kali menuntut lebih daripada kemampuan vokal. Bentuk ini memerlukan pelakon menggabungkan nyanyian, lakonan, pergerakan dan kawalan emosi dalam satu kesinambungan.
Dalam beberapa momen, kehadiran dan kemantapan vokalnya memberikan lapisan yang ketara kepada persembahan secara keseluruhan.

Amerul Affendi tampil dengan tenaga antagonis yang berbeza sebagai Datuk Syahbandar.
Latar teaternya terasa kuat dan jelas, khususnya dalam babak monolog yang memberikan ruang kepadanya menguasai pentas melalui suara, gerak tubuh, jeda dan intonasi. Beberapa babak monolog memperlihatkan kemampuanya menguasai pentas secara dominan.
Penguasaan pentas tidak semestinya bergantung pada skala produksi; ia boleh bermula daripada seorang pelakon yang tahu bagaimana menguasai gelanggang permainannya dalam mengawal perhatian penonton.
Hazama pula memperlihatkan hasil kejayaan daripada proses penyesuaian yang serius terhadap medium teater. Pengalaman dalam dunia persembahan muzik tidak secara langsung diterjemahkan kepada lakonan teater, tetapi percubaan tersebut menunjukkan kesungguhanya untuk bekerja dalam disiplin yang berbeza.
Sherry Alhadad, Fadhli Masoot, Brian Chan, Arena Wan, Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Ruzana Ibrahim dan Fiza Thomas pula melengkapkan struktur karakter dengan pendekatan masing-masing.
Dalam sebuah produksi yang mempunyai banyak watak dan jalur cerita, fungsi mereka penting dalam memastikan dunia pentas tidak hanya berpusat pada protagonis.
Elemen komedi yang muncul pada beberapa bahagian turut mempunyai fungsi dramaturgi yang jelas. Ia menjadi ruang untuk penonton melepaskan ketegangan sebelum cerita kembali kepada konflik utama.
Yang pasti dalam Mansur & Liu, komedi tidak sepenuhnya mengubah nada produksi atau menjadikan sebagai bahan olokan, ia hadir sekadar mencuit hati penonton secara tidak berlebihan.
Membina Melaka melalui ruang
Reka bentuk visual Mansur & Liu memilih bahasa spektakel. Set berskala besar, kostum period, pencahayaan dan multimedia digital dan prop digunakan secara aktif untuk membentuk perubahan ruang dan masa.
Kostum khususnya memainkan peranan yang lebih daripada sekadar estetika. Perbezaan pakaian membantu membentuk hierarki dan kedudukan watak, sekali gus menjadikan tubuh pelakon sebahagian daripada seni bina sosial dunia yang digambarkan.
Pencahayaan pula berfungsi sebagai pengawal emosi. Perubahan cahaya membantu menandakan perubahan suasana dan memberikan ritma visual kepada persembahan. Multimedia digital meluaskan lagi ruang pentas, membolehkan dunia yang sukar dibina secara fizikal diterjemahkan melalui imej.

Tetapi semakin besar sesebuah produksi, semakin besar juga persoalan tentang beberapa elemen yang masih belum sempat diterokai.
Mansur & Liu mempunyai potensi untuk membawa pengalaman penonton lebih jauh melalui unsur aroma.
Haruman dupa dan setanggi Cina, aroma laut, pasar, pelabuhan serta wangian taman dan ruang istana misalnya boleh menjadi satu lagi lapisan naratif yang bekerja secara bawah sedar.
Pandangan ini bukan sekadar soal menjadikan teater lebih “imersif”, ini kerana aroma mempunyai hubungan yang kuat bagi memecahkan “dinding keempat” dengan menyasarkan deria bau bagi membangkitkan suasana, memori, dan unsur realisme.
Dalam sebuah karya yang berlatar kepada sejarah dan pembinaan dunia, deria bau boleh membuka hubungan yang berbeza antara penonton dengan ruang yang sedang dibayangkan.
Antara sejarah dan spektakel
Tempo pada awal persembahan terasa sedikit perlahan sebelum naratif menemukan momentumnya. Namun, keperlahanan itu tidak berkembang menjadi beban yang ketara, terutama apabila cerita mula membuka lapisan konflik serta memperjelas hubungan antara watak.
Malah, rentak yang pada awalnya berhati-hati itu memberi ruang kepada naratif untuk membina ketegangan secara beransur-ansur sebelum akhirnya bergerak dengan lebih meyakinkan.
Dengan durasi yang menghampiri tiga jam, cabaran terbesar ialah mengekalkan perhatian penonton tanpa menjadikan setiap babak perlu bersaing untuk menjadi klimaks.

Mansur & Liu mengatasinya melalui pertukaran bentuk, dialog, nyanyian, muzik, aksi, komedi dan visual, yang menghasilkan variasi ritma sepanjang persembahan.
Pada akhirnya, nilai produksi ini terletak pada percubaannya mengimbangi dua tuntutan yang sering sukar disatukan: sejarah memerlukan konteks, sementara teater memerlukan kehidupan.
Muzik menjadi dramaturgi, kostum menjadi penanda sosial, pencahayaan menjadi emosi, multimedia menjadi peluasan ruang, sementara tubuh pelakon menjadi tempat sejarah itu memperoleh suara.
Dalam bentuknya sekarang, Mansur & Liu tidak sekadar menceritakan sejarah; ia berusaha menghidupkannya kembali melalui bunyi, tubuh, visual dan tafsiran baharu. Sejarah tidak ditempatkan sebagai sesuatu yang telah selesai, tetapi dibawa ke dalam dunia semasa untuk didengar, dilihat dan dirasakan semula dari sudut pandang hari ini.
Istilah “masterclass” mungkin agak berlebihan untuk digunakan sebagai ukuran mutlak.
Tetapi jika ia dibaca sebagai pemerhatian terhadap disiplin mengurus sebuah produksi besar, Mansur & Liu menawarkan sesuatu yang signifikan dan hampir setara dalam pembuktian bahawa skala tidak semestinya bertentangan dengan ketelitian.
Pada sebuah produksi teater berskala sebesar ini, kejayaan tidak seharusnya diletakkan pada satu nama semata-mata. Penghargaan sewajarnya diberikan kepada seluruh warga kerja produksi di bawah arahan Dato’ M. Nasir, yang bergandingan dengan pasangannya Datin Marlia Musa, figura dengan pengalaman luas dalam bidang akademik dan juga praktik yang mempunyai kedudukan penting dalam perkembangan teater tanah air.

Setelah sekian lama, Panggung Sari Istana Budaya akhirnya kembali menemukan sebuah karya yang bukan sahaja mampu mengisi kemegahan ruangnya, tetapi juga mengujinya.
Mansur & Liu meninggalkan lebih daripada sebuah persembahan; ia merakam satu detik penting tentang sejauh mana sebuah produksi boleh diterjemahkan menjadi pengalaman pentas yang hidup, kompleks dan relevan dengan zamannya.
Dalam pengertian itu, karya ini berpotensi menjadi bukan sekadar rekod sebuah produksi, tetapi sebagai rujukan tentang bagaimana sebuah naskah, institusi, pemegang taruh dan teater boleh saling berhadapan.
Maka, cabaran selepas Mansur & Liu bukanlah untuk membina sesuatu yang lebih melebihinya, cabarannya adalah agar tidak kembali ke titik asal.
Apa yang telah dibina di sini menuntut untuk diteruskan, dipersoalkan dan diperdalam, sehingga ia menjadi ukuran baharu terhadap cara produksi dirancang, pemegang taruh melabur, institusi berfikir dan penggiat teater bekerja.
Jika Mansur & Liu menandakan satu titik penting, nilai sebenarnya hanya akan terbukti melalui apa yang akan lahir selepasnya.
Produksi teater tidak lagi wajar diperlakukan secara sambil lewa. Ia menuntut keseriusan, ketelitian dan keberanian artistik dan materi untuk mengangkat kembali sebuah bentuk kesenian yang terlalu lama dipinggirkan, sehingga ia hampir luput daripada ingatan khalayak terbanyak.

Dengan hanya berbaki dua hari sebelum Mansur & Liu melabuhkan tirai persembahan, inilah masanya untuk setiap yang berkesempatan merasai sendiri pengalaman menyaksikan sebuah persembahan teater pada skala ini, sebuah pengalaman yang entah bila pula dapat kita berpeluang untuk menyaksikannya.
Teater Muzikal Mansur & Liu
Tarikh: 10 – 20 September 2026
Lokasi: Panggung Sari, Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Jadual tayangan dan pembelian tiket: Ticket2U
