Sewaktu mengerjakan filem ‘Inglourious Basterds’ (2009) Quentin Tarantino telah menggunakan ‘lesen artistik’ penulisan kreatif dengan menyuntik sejarah alternatif menjadi sebuah kisah fantasi sinematik di mana watak-wataknya secara aktif telah mengubah sejarah serta haluan Perang Dunia Kedua untuk menuruti versi fiktif imaginasinya.
Di situ, keindahan sinema dan kreativiti mula terbentuk, daripada berpegang pada garis masa sejarah sebenar yang telah tercatat, dia mencipta watak-watak rekaan dengan menyatakan bahawa, walaupun peristiwa itu tidak pernah berlaku, ia berfungsi sebagai senario alternatif “bagaimana jika” (what if) individu luar biasa dari rekayasa naratif yang dicipta tampil pada garis masa tersebut.
Sememangnya sejarah dan dunia kreatif mempunyai tabiat aneh: semakin lama ia berlalu, semakin kuat keinginan para seniman untuk menghidupkannya kembali, walaupun setiap usaha membangkitkan semula masa lalu sering berhujung dengan penghasilan sesuatu yang baharu.
Kini apabila sepotong kisah sejarah dalam sebuah hikayat Melayu dipindahkan daripada halaman sebuah kitab ke ruangan pentas teater, apa yang berlaku bukan sekadar proses menghidupkan semula masa lalu, sebaliknya, ia menyaksikan satu bentuk penulisan semula, sebuah tindakan memilih, menyusun, menafsir dan membayangkan kembali sesuatu yang telah berlaku melalui imiginasi dan pancaindera zaman ini.
Di situlah letaknya persoalan menarik tentang Teater Muzikal Mansur & Liu, sebuah produksi berskala besar yang diangkat daripada kisah Sultan Mansur Shah (gelaran kepada Raja Abdullah) dan Puteri Liu (juga dikenali sebagai Puteri Hang Li Po) sebagaimana yang direkodkan dalam tradisi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Teater Muzikal Mansur & Liu bakal dipentaskan dari 10 hingga 20 September 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya, dengan cadangan sebanyak 14 pementasan akan dipersembahkan. Naskah arahan Dato’ M. Nasir ini bakal membawa sebuah episod sejarah Melaka – China daripada halaman sebuah kitab hikayat ke dalam ruangan panggung teater.
Menurut Dato’ M. Nasir, beliau terdorong dan terinspirasi untuk melakukan sesuatu pada naskah tersebut sewaktu menarasikan versi ‘Audio Book’ hikayat tersebut yang diterbitkan oleh Nusantara Audiobooks.
Salatus Salatin merupakan sebuah karya yang dikarang pada awal abad ke-16 oleh Tun Seri Lanang., walaupun teks asal dan versi terdahulunya telah dikarang lebih awal pada abad ke-16 (sekitar 1536 atau sebelumnya) berikutan kejatuhan Melaka, ia masih dianggap sebagai salah satu karya sastera dan sejarah terbaik dalam bahasa Melayu.
Pendekatan ini menjadikan produksi tersebut menarik bukan semata-mata kerana skala pementasannya, tetapi kerana usaha menceritakan semula sebuah naratif sejarah menjadi pengalaman ke pentas teater yang hidup.
Dalam banyak praktik seni persembahan kontemporari, sejarah semakin dilihat sebagai sesuatu yang boleh dibentuk semula melalui tubuh, ruang dan ingatan kolektif, bukan lagi sebagai naratif tunggal yang pegun.
Di pentas Mansur & Liu, peranan utama bakal digalas oleh Alif Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dan Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, Pertemuan kedua-dua pelakon ini menjadi paksi dramatik sebuah cerita yang merentas batas kerajaan dan budaya, juga memperlihatkan usaha produksi untuk memberikan wajah baharu kepada dua figura yang selama ini hanya dikenali melalui rekod sejarah dan hikayat.
Pemilihan Alif Aziz dan Melinda Dadew juga dilihat sebagai satu pilihan merit yang tepat kerana peran utama tersebut memerlukan sosok yang ideal untuk setiap kriteria artistik bagi sebuah pementasan teater muzikal komersial dengan latar sejarah kesultanan yang memerlukan komitmen tinggi. Mereka harus berlakon, menyanyi, berpencak dan menari pada durasi masa yang dianggarkan akan berlangsung sekitar 165 minit (Seperti ketepatan merit Stephen Rahman-Hughes dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang pada 2006)
Barisan para pelakon bukan sahaja harus memainkan watak sejarah dengan pelbagai disiplin seni, tetapi juga menjadi medium untuk membawa persoalan lama ke hadapan penonton hari ini: bagaimana kita memahami kuasa, hubungan antara budaya dan identiti melalui kisah yang diwarisi.
Di belakang produksi ini berdiri Dato’ M. Nasir, yang buat pertama kalinya akan mengemudi sebuah teater muzikal sebagai sutradara, bersama gandingan pasangan serta figura yang tidak asing lagi dalam dunia seni teater tanahair, Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dan juga Iman Tang dari Icon Entertainment.
Produksi ini menghimpunkan barisan besar penggiat seni tempatan, menjadikan Mansur & Liu sebagai pertemuan antara muzik, lakonan, tari, reka bentuk pentas dan teknologi persembahan.
Dato’ M. Nasir turut menggubah lebih daripada 30 buah lagu dan skor muzik asli untuk produksi ini, dimana runut bunyi dan muziknya digambarkan bakal menggabungkan lenggok tradisi Melayu dengan susunan orkestra kontemporari, sekali gus membina jambatan antara estetika warisan dengan bahasa audio yang lebih moden.
Pilihan tersebut penting terutama pada teater muzikal tentang sejarah bukan sekadar berfungsi sebagai latar. Ia boleh menjadi alat untuk membina dunia, menentukan emosi dan menghubungkan penonton masa kini dengan imaginasi terhadap sesuatu zaman yang sudah berlalu.
Skala produksi turut diperkuatkan dengan kemunculan Amerul Affendi, Sherry Al Hadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad, yang bakal menghidupkan watak bala tentera, dayang, inang serta pelbagai figura di lingkungan istana.
Dari segi visual, produksi ini menjanjikan sebuah dunia pentas yang dibina melalui cahaya, bunyi, tari, busana, seni bina pentas dan teknologi terkini. Kesemuanya digunakan untuk membentuk semula imaginasi tentang Melaka sebagai pusat kuasa dan perdagangan penting di Alam Melayu suatu ketika dahulu.

Antara cabaran bagi sebuah karya seperti Mansur & Liu terletak pada persoalan bagaimana kisah sejarah dan hikayat dapat dipersembahkan tanpa menjadikannya sekadar sebuah naskah nostalgia masa lalu. Apabila sebuah kisah warisan dipindahkan ke pentas, terutamanya pada kisah yang masih belum pernah disentuh sebelumnya, ia sentiasa melalui proses pemilihan, penafsiran dan pembinaan semula yang memerlukan kekuatan imaginasi serta komitmen yang tinggi dari seluruh pasukan produksi.
Sejarah yang hadir di hadapan penonton bukan lagi sejarah yang sama, tetapi sejarah yang dilihat melalui kacamata dan imaginasi masa kini. Dalam pengertian itu, Mansur & Liu boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menghidupkan kembali sebuah memori budaya dan warisan sejarah hikayat melalui bahasa teater.
Kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu bukan sekadar hubungan peribadi atau romantik, tetapi sebuah naratif mengenai pertemuan dua dunia, Melaka dan China yang pernah bertemu melalui hubungan diplomasi, perdagangan dan kerjasama antara kerajaan.
Hasrat Roman Abadi dan Icon Entertainment tersebut juga bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan aspirasi menjadikan seni persembahan sebagai salah satu medium untuk memperkenalkan warisan Melayu kepada khalayak yang lebih luas, termasuk penonton antarabangsa.
Di sinilah Mansur & Liu menemukan perkaitanya. Dalam dunia yang semakin terhubung, warisan budaya tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pemeliharaan fizikal. Ia perlu terus diceritakan, dipentaskan dan ditafsirkan agar dapat berfungsi dalam imaginasi generasi baharu.
Seperti yang sering diperlihatkan dalam praktik seni kontemporari, sejarah bukan sesuatu yang selesai; ia sentiasa berubah apabila dilihat dari sudut masa, tempat dan pengalaman yang berbeza.
Mansur & Liu menawarkan sebuah bentuk “teater sejarah” dengan unsur muzikal yang menjadikan masa lalu sebagai pengalaman masa kini. Di Panggung Sari Instana Budaya itu nanti, Melaka tidak sekadar hadir sebagai latar, tetapi sebagai dunia yang dibina melalui muzik, tubuh, cahaya, bahasa dan imaginasi.
Jika sejarah ialah sebuah hikayat yang terus diwariskan, maka ruangan pentas menjadi salah satu medium terbaik untuk memastikan hikayat itu tidak hanya berhenti sebagai sebuah teks.
Mansur & Liu membawa sebuah kisah dari masa silam ke hadapan, bukan untuk mengulang sejarah secara literal, tetapi untuk membenarkan generasi hari ini melihat semula siapa mereka melalui cerita yang pernah membentuk dunia mereka.
Hikayat tidak selalu kembali dalam bentuk asalnya, kadangkala ia kembali sebagai sebuah tafsiran baharu. Mungkin itulah sifat sebenar sebuah hikayat, setiap generasi pasti akan menemukan alasan baru untuk diceritakan semula dalam bentuk dan alam yang baharu.
Maka hilang si raja Merlang
Ke Indragiri atau ke Jambi
Maka dikarang naskah cemerlang
Ke mana dipentas pasti berahi
Teater Muzikal Mansur & Liu
Tarikh: 10 – 20 September 2026
Lokasi: Panggung Sari, Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Jadual tayangan dan pembelian tiket: Ticket2U
