SECARA umum, pertemuan atau penggabungan karya kesusasteran dalam bentuk seni visual telah wujud sejak sekian lama. Dalam kesenian catan manuskrip Parsi mahupun seni catan miniatur Mughal pada abad ke-15, catan dan ilustrasi digunakan bagi menghiasi hikayat-hikayat lama, sastera dan sejarah bagi menyampaikan naratif.
Dalam seni lukis Malaysia, Hikayat Hang Tuah telah memberi inspirasi kepada Jaafar Taib dalam menghasilkan karya-karya catan yang kuat serta siri komik yang memindahkan sastera sejarah itu ke dalam bentuk seni bersekuen atau sequential art. Anuar Rashid pula menimba inspirasi daripada Hikayat Inderaputera menerusi karya pentingnya “Kelahiran Inderaputera” (1978).
Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal pula pernah menjalinkan seni catan dengan sastera menerusi karya-karya yang berasaskan puisi-puisi Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh dalam pameran “Meraih Ruang” di Muzium Kesenian Islam (2004) dan dia juga merujuk Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dalam melahirkan karya-karya penting seperti “Semangat Ledang” (1999), “Impian Ledang” (2000) dan “Kunang-kunang Gunung Ledang” (2000).

Menurut Syed Ahmad Jamal, dengan membaca dan merujuk Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, ia memperkayakan jiwa dan dirinya sebagai seorang berbudaya Melayu (Kunang-kunang: Kenang-kenangan Syed Ahmad Jamal, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999: 18-19).
Sementara itu, banyak filem Melayu klasik daripada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an juga mendapat ilham dan membuat adaptasi daripada kesusasteraan rakyat dan sejarah. Justeru itu, pertemuan atau penggabungan kesusasteraan dengan seni atau budaya visual telah berlaku sejak sekian lama.
Dalam era awal seni komik dan kartun Melayu pada tahun 1950-an, pelukis-pelukis komik seperti Halim Teh, Saidin Yahya, dan Nora Abdullah juga merujuk kesusasteraan sejarah dan cerita rakyat, biasanya adaptasi daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sebelum beralih kepada tema cinta, drama masyarakat dan detektif pada dekad berikutnya. Komik-komik ini banyak menekankan kepada aspek pendidikan bagi pembaca sasaran yang terdiri daripada golongan belia dan dewasa (Annabel Teh Gallop, “Malay Comic Books from the 1950s and 1960s in the British Library,” dalam Southeast Asia Library Group Newsletter, No.54/Dec 2022).
Pada tahun 1995, Creative Enterprise Sdn, Bhd., penerbit Majalah Humor Nasional Gila-Gila dan majalah grafik Fantasi menghasilkan satu siri komik berasaskan sastera klasik dan sastera rakyat seperti kisah Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih Bawang Merah, Tun Perak, Mahsuri, Tun Kudu, Laksamana Bentan, Badang, Batu Belah Batu Bertangkup, Malim Dewa, Hang Nadim, Merong Mahawangsa, Raja Bersiong, dan Tun Teja dengan barisan pelukis seperti Fazrul Arhan Razali, Rosli Hamid, Athool, Azman Yusof, Nizam Bachok, dan Zaharuddin Sarbini, dengan olahan skrip oleh Adi Alhadi. Usaha ini dilihat amat positif dalam menemukan kesusasteraan tradisonal dengan seni komik yang merupakan teras penerbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd. ketika itu.
Rejabhad atau lebih dikenali sebagai Pak Jab juga menemukan kesusasteraan dengan seni komik seperti dalam Selendang Siti Rugayah (1997) dan Periwira Mat Gila (PMG) (1988) yang mengandungi dialog-dialog puitis, syair dan pantun dalam majalah Gila-Gila. Karya-karyanya itu terhasil berasaskan prinsip pengkaryaannya, bahawa kartun itu haruslah “menghibur, mengajar dan menyedarkan.”

Pada era sebelum merdeka dan sewaktu kemunculan semangat nasionalisme, banyak kartun politik Melayu yang dihasilkan berdasarkan syair, gurindam dan peribahasa. Karya-karya tersebut bukan sekadar meniupkan semangat kebangsaan, pada masa yang sama mempersoalkan apa yang disebut sebagai “sikap buruk” bangsa dalam usaha memperteguhkan identiti kemelayuan.
Tokoh Kewartawanan Moden Abdul Rahim Kajai pula menulis satira dalam ruangan pojoknya dengan dihiasi kartun-kartun Ali Sanat berjudul “Wak Ketok” dalam meniupkan semangat kebangsaan. Watak kartun ini boleh dipadankan dengan pelbagai watak dalam sastera lisan. Malahan, ada waktunya Kajai menulis berdasarkan kartun yang dilukis Ali Sanat itu. Kartun menjadi wadah penceritaan bagi menyampaikan maklumat terutamanya kepada mereka yang buta huruf.
Dalam konteks ini, pertemuan di antara kesusasteraan dan seni visual adalah perihal pertemuan teks dengan imejan menerusi kaedah naratif atau penceritaan yang tertentu.
Dalam usaha memanifestasikan kesusasteraan dalam karya seni visual kini, persoalan yang harus difikirkan ialah, apakah objektif dan bagaimanakah pertemuan atau penggabungan harus dilakukan? Bagaimanakah sesebuah karya kesusasteraan itu diangkat atau dimanifestasikan ke dalam bentuk visual? Apakah strategi atau pendekatan yang digunakan oleh pelukis untuk mencapai objektifnya? Dan yang lebih penting, bagaimanakah kesusasteraan dan seni visual boleh bersatu dengan mesra dan bermakna?

Menghasilkan karya seni visual juga seperti melakukan penyelidikan. Pengkarya perlu ada permasalahan yang ingin diselesaikan, objektif yang hendak dicapai, kajian literatur atau kajian terhadap karya-karya visual atau pelukis lain yang berkaitan sebagai rujukan, ada metodologi atau kaedah yang digunakan bagi mencapai objektif-objektif yang direncanakan, dan ada penemuan yang ingin dipersembahkan dalam bentuk visual kepada khalayak.
Usaha mengangkat karya agung Sasterawan Negara S. Othman Kelantan berjudul Juara (1976) oleh para pelajar jurusan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM cawangan Kelantan merupakan suatu inisiatif yang baik, kerana kisah dalam novel ini tidak asing dengan latar belakang hidup masyarakat di sini, justeru pemilihannya amat tepat sekali. Nilai-nilai budaya dan pengajaran yang terdapat dalam novel ini wajar diberi perhatian dan diambil serius.
Sesebuah karya agung itu lazimnya unik dan luar biasa dari pelbagai aspek, seperti nilai seni, budaya, estetika, ilmu dan pemikiran. Karya sebegini juga menampilkan teknik dan pendekatan pengkaryaan yang hebat serta mempunyai nilai bahasa yang tinggi lagi indah. Justeru itu, usaha untuk mentransformasi atau memanifestasikannya ke dalam bentuk seni visual perlulah mengambil kira hal-hal ini.
Apakah tema, plot, subplot, teknik penceritaan atau naratif, latar atau konteks, gaya bahasa, watak dan perwatakan yang ditampilkan? Bagaimanakah penilaian harus dilakukan terhadap aspek pemikiran, nilai estetik, kepengarangan, nilai budaya dan pegangan hidup, pandangan hidup atau weltanschauung masyarakat ditampilkan, atau apakah nilai-nilai ilmu lain yang dapat kita cerap daripada karya ini?
Pertemuan kesusasteraan dengan seni visual juga adalah perihal pertemuan kaedah naratif atau penceritaan, yang satu berbentuk tulisan dan bergantung kepada keindahan bahasa dan kekuatan kata-kata, yang satu lagi banyak bergantung kepada imejan dan keindahan bahasa, bukan verbal, tetapi visual.
Pertembungan kesusasteraan dan seni visual adalah berkaitan persoalan naratif dan penceritaan. Seni dan naratif dalam bentuk visual. Bagaimanakah kita membaca, memahami, menganalisis, membincang dan membahaskan dalam minda kita, dan akhirnya menceritakan dan mentafsirkan semula secara visual, dalam bentuk karya yang kita pilih, sama ada catan, lukisan, lakaran, cetakan, arca, ilustrasi, komik, kartun, filem, animasi dan lain-lain lagi.

Usaha untuk memindahkan karya sastera kepada karya seni visual memerlukan seseorang pelukis atau secara umum seniman visual itu memahami dengan jelas karya yang hendak dirujuknya itu. Dalam konteks ini, karya tersebut perlulah dibaca dan difahami, bukan sahaja jalan ceritanya, tetapi juga falsafah, pemikiran, serta makna dan mesej yang tersurat dan tersirat.
Seperti karya seni visual, karya sastera juga mempunyai bentuk dan makna, atau rupa dan jiwa. Sebagai seorang pelukis, karya sastera juga boleh didekati dengan metodologi-metodologi Sejarah dan Kritikan Seni, yang memungkinkan kita memahami bahasa dan rupa yang tersurat serta makna yang tersirat. Apakah rupa bentuknya, atau bahasa pengucapannya, apakah simbol-simbol yang digunakan, makna dan mesej yang ingin disampaikan, dan apakah pertimbangan atau penilaian yang boleh kita lakukan.
Dalam membuat transformasi itu, adalah wajar kita meneliti pendekatan-pendekatan seniman besar yang pernah berbuat demikian, seperti kita membuat kajian literatur ketika membuat penyelidikan.
Sebagai contoh, bagaimanakah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal yang memegang prinsip bahawa “seni catan perlulah indah, meskipun ia menggambarkan hal-hal yang tidak menyenangkan” memindahkah teks ke dalam bahasa catan? Atau bagaimanakah Anuar Rashid memilih peristiwa yang penting dalam hikayat untuk melahirkan catan “Kelahiran Inderaputera” dengan kesan visual penuh dramatik? Apakah teks sasteranya memang begitu? Atau bagaimanakah dan apakah rasional Jaafar Taib memilih adegan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat itu sebagai subjeknya?
Saya kira, usaha memindahkan teks sastera khususnya novel kepada seni catan, mempunyai permasalahan-permasalahan yang sama seperti penghasilan catan sejarah. Greene, T.M., dalam bukunya The Arts and the Art of Criticism (Princeton University Press, 1965) menjelaskan bahawa permasalahan dalam catan sejarah agak padat kerana kesementaraan peristiwa yang ingin digambarkan, serta bagaimana hendak menggambarkan secara terperinci dalam medium catan yang statik akan sebuah representasi subjek yang lengkap dan dapat dilihat dari sudut sejarah.
Dalam konteks ini, dia menegaskan pelukis perlu memikirkan kaedah tertentu untuk memilih peristiwa yang dapat dihasilkan dalam suasana penuh artistik dan kemanusiaan, membataskan penampilan peristiwa itu, memilih serta memberi interpretasi kepada watak-watak serta peristiwa yang digambarkan.
Dalam representasi itu, pelukis perlu memilih sama ada karyanya itu akan lebih menampilkan peristiwa sejarah itu sendiri ataupun menonjolkan nilai serta makna universal yang dimengerti umum, contohnya tentang kesan buruk peperangan yang menyusahkan serta menyeksa masyarakat.
Dalam konteks novel Juara, sekiranya seseorang pelukis itu memilih untuk menggambarkan mana-mana bahagian atau adegan dalam novel tersebut, dia perlu memikirkan, adegan atau bahagian manakah yang wajar dipilih. Apakah signifikannya dan bagaimanakah ia harus digambarkan? Apakah yang akan dapat difahami atau dimanfaatkan oleh khalayak apabila menghayatinya nanti dalam konteks karya sastera tersebut dan nilai-nilai yang dibawanya?
Apakah ada bahagian-bahagian atau frasa-frasa penting dalam novel itu, atau mungkin aspek moral, nilai, keindahan, falsafah dan pengajaran yang harus ditonjolkan? Mungkinkah ia terungkap menerusi petikan baris-baris ayat tertentu, misalnya tentang perjuangan: “Setiap perjuangan ialah darah dan air mata. Setiap perjuangan ialah kejayaan dan kegagalan. Setiap perjuangan ialah kehidupan dan kematian. Begitulah!” (1976: 5).
Ataupun perihal kehidupan yang sementara dan kematian: “Masuk dalam tanah kemudian dilupakan” (Ibid). Mungkin juga perihal politik:”[…] kita haruslah mengucapkan selamat jalan kepada politik apabila rakyat membuktikan bahawa mereka tidak mahu!” (1976: 14), atau perihal konflik dalam hidup: “Mempertarungkan binatang… Itu pun satu kerja untuk menyambung nyawa anak isteri” (Ibid).
Mengambil contoh pendekatan catan bertema sejarah, peristiwa atau adegan mana daripada novel ini yang harus dipilih dan digambarkan? Adakah ketika Pak Lazim dan Calet ditembak? Apakah ketika Mamat menembak Pak Isa? Apakah ketika suasana gamat di gelanggang laga lembu atau bong itu? Atau yang mana? Hal ini banyak bergantung kepada objektif pengkarya itu, apa yang ingin dicapai dan disampaikan? Bagaimana ia harus digambarkan? Realistik? Abstrak? Simbolik? Atau bagaimana?
Penghasilan karya seni visual lazimnya akan melalui suatu proses kreatif yang bermula daripada penjanaan idea, memikirkan konsep dan falsafah, menggubal objektif dan mengenalpasti kaedah, merancang strategi perlaksanaan, melakar, mengenalpasti media yang sesuai, dan melakukannya.
Dalam konteks ini, kreativiti dan inovasi amat penting. Sifat lumrah seni moden dan kontemporari, usaha mencari sesuatu yang baharu dari segi gaya, bentuk dan makna sering kali menjadi keutamaan. Manifestasi sastera dalam seni visual adalah perihal mengangkat kekuatan bahasa sastera menerusi kekuatan pengolahan bahasa visual. Seni visual adalah suatu kaedah komunikasi intelektual yang berteraskan kreativiti dan inovasi.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

