SENGAJA saya lambatkan menulis artikel yang menjadi tugasan program Kataseni ini. Puncanya mahu rakyat Malaysia habis kebah demam patriotik dahulu.
Dari Merdeka sampai Hari Malaysia, selama lebih dua minggu rakyat Malaysia akan tersenyum dalam gambar yang ditepek dengan kapsyen patriotik. Mereka meraikan kepelbagaian kaum, variasi makanan dan legasi pakaian tradisi negara.
Malah, ada sekumpulan anak muda yang berpeluh naik kereta api memakai pakaian tradisional pada hari Sabtu serba sesak yang lepas.
Hal-hal patriotik yang visual dan bermusim sebegitu banyak bermain dalam fikiran semasa Kataseni membawa saya dan dua penulis melawat galeri Har+a di Ampang.
Sebab pameran koleksi Pakharuddin Sulaiman yang dikurasi Yap Sau Bin itu, katanya, diadakan sempena sambutan bulan kebangsaan. Tajuknya pula Pesan & Kenangan.
Tapi yang dipamer di situ bukan hal-hal visual dan bermusim. Memanglah seninya seni visual tapi bila pandang jauh ke dalam karya-karya yang ada, kita berfikir tentang Malaysia yang asing dari pamplet Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Mengakhiri pembukaan artikel, saya sendiri kagum dengan kemahiran saya mencipta alasan kenapa lambar hantar artikel. Saya tak fikir Aloy dan Farez boleh lawan hasil goreng saya ini.
Sinis masyarakat bandar
Namun, secara serius, saya suka pameran Pesan & Kenangan sebab ia membisik bunyi sinis.
Lukisan Phuan Thai Meng contohnya, menunjukkan sudut pandang dari bawah lebuh raya bertingkat. Langitnya gelap, struktur konkrit berlumut. Mesejnya, “everyone thinks of changing the world, no one thinks of changing oneself”.

Banyak karya mengangkat idea sama – meme kartun tentang NIMBY, lagu Na Na Na oleh My Chemical Romance – tapi Thai Meng bawa perasaan terkepung yang biasa dirasa warga miskin bandar.
Suram langit dan lebuh raya bersimpang siur bukan perasaan bermusim. Bukan depresi yang datang singgah sebulan sekali. Buat warga bandar yang tak kaya, rasanya sentiasa ada.
Begitu juga beberapa karya yang sinis secara politikal. Gambar Perdana Putra terbengkalai oleh Nadiah Bamadhaj membayangkan masa hadapan Malaysia yang anarki atau semasa pimpinan yang tiada kepercayaan rakyat.
Lukisan dan kolaj Nor Azizan Paiman pula meletakkan wajah ahli politik ternama di sebelah kerja sekolah budak-budak. Tajam dalam main-main, itu menarik.

Saya suka kurasi Pesan & Kenangan sebab ia tidak mengangkat hal-hal muluk apabila bercerita tentang kemerdekaan dan patriotisme negara. Naratifnya sinis, bersifat kelorongan (anda yang suka meneroka lorong kecil bertikus di sekitar Kuala Lumpur boleh faham) dan beberapa bahagian sangat pop.
Tentang pesan
“Apa yang jadi sekarang ialah manifestasi kegelisahan masyarakat,” kata Rosli Ibrahim pada saya, ketika kami bersama menghirup teh masala mamak di depan monorel KL Sentral baru-baru ini.
“Saya rasa masyarakat semakin keliru. Politik dah kucar-kacir, parti kanan pun lawan Sultan,” balas saya.
Kami berbual banyak topik tapi topik-topik itu disatukan pada tema kegelisahan — individu dan masyarakat.

Kenapa Jeri Azahari lukis gambar Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dengan warna cerah dan pop?
Saya fikir mereka yang faham seni pop bawaan Warhol dan lain-lain ada jawapan yang lebih tepat. Tapi saya tak faham, sekadar suka.
Sebagai manusia polos di depan lukisan itu, saya melihat ia sebagai ejekan kepada ahli politik.
Ahli politik yang mahu meletakkan diri sebagai penyelamat umat perlu membina imej bersih dan suci di hadapan masyarakat feudal dan tradisional. Warna mereka putih dan kelabu; boleh juga warna lain tapi jangan terang-terang, biar malap dan menyenangkan mata.
Lukisan Jeri menunjukkan warna sebenar ahli politik. Merahnya menyala, birunya berombak, kuningnya mengunyit.
Lukisan itu mengajar saya untuk tidak lagi jadi polos apabila berhadapan ahli politik, lebih-lebih lagi ahpolol (ahli politik tolol).
Itu pesan yang saya dapat dari pameran Pesan & Kenangan.
Tentang kenangan
Ada masa saya termenung jauh, meneroka kemungkinan masa hadapan dalam kepala. Baru-baru ini juga saya ada berbual dengan kawan tentang masa hadapan.
Ketika ini, saya susah nak pisahkan diri dari kehidupan bandar. Kesibukannya datang bersama kesenangan — sumber banyak, nak ke mana-mana dan nak apa-apa mudah.
Kesempitannya juga datang dengan kelapangan. Setelah beberapa tahun tinggal di Kuala Lumpur, saya berjaya menjadikan bunyi jentera sebagai sebahagian bunyi alam yang terapeutik.
Merenung jalan tar sambil mendengar deram kenderaan menjadi semacam meditasi.
Kalaulah satu hari nanti saya memilih untuk tinggalkan bandar dan menetap di mana-mana ceruk kampung atau pekan, memori saya akan jadi seperti Galeri Har+a pada 31 Ogos.
Lukisan People Flow oleh Gan Chin Lee contohnya — ada papan tanda mamak, wajah asing berjalan, kedai-kedai meriah pelanggan.

Sejak mula menetap di Kuala Lumpur saya sudah suka masuk ke lorong-lorong. Mahu cabar diri berhadapan ketakutan pada gelap, kotor dan orang asing.
Apa yang dipapar oleh Chin Lee dalam lukisan tersebut terasa mesra pada mata. Sebab itulah yang dilihat dan diingat sepanjang saya di Kuala Lumpur. Dan itu kenangan yang saya dapat dari pameran Pesan & Kenangan.
– KU SYAFIQ KU FOZI menulis untuk Relevan dan Rondivu selain menjadi pengurus kepada kugiran rock alternatif, motherwit. Februari 2024 berjaya tulis buku pertama bertajuk Gonzo Tanpa Fiasco.
— Artikel ini merupakan sebahagian dari tugasan peserta program Kataseni yang dijalankan dengan kerjasama Balai Seni Negara.
