Judul: Hingyaku
Pengarang: Ratna Laila Shahidin
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – Malaysia Madani
Tahun terbit: 2025
KUMPULAN yang memuatkan 13 cerpen karya Ratna Laila Shahidin ini menghimpunkan pelbagai naratif yang bukan sahaja memikat dari segi judulnya yang boleh dikatakan unik, malah memberi gambaran awal tentang kepelbagaian tema, latar, dan pendekatan penceritaan yang digunakan oleh pengarang.
Judul-judul cerpen seperti “Hingyaku,” “Deus Ex Machina” dan “Putih Awan di Hati” memberikan isyarat kepada pembaca bahawa cerita-cerita ini mungkin merentasi sempadan realiti, emosi, dan bahkan sejarah peribadi.
Cerpen “Hingyaku” misalnya ( halaman 1 – 12) segera menggamit ingatan kita kepada tragedi sebenar yang menimpa satu bangsa pelarian bernama Rohingya.
Ratna Laila Shahidin juga memaparkan pelbagai gaya dan tema dalam cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini.
Judul cerpen seperti “Kumulonimbus” dan “Surut” menampilkan kecenderungan menjadikan fenomena alam dan metafora cuaca yang mungkin membawa kepada renungan batin, simbol perubahan, atau kehilangan.
Judul seperti “Adik Tidak Mahu ke Sungai Lagi’ pula memberi petunjuk kepada drama keluarga atau trauma masa lalu, manakala cerpen “Gerabak Satu Tiga” menjadikan elemen perjalanan, kenangan sebagai suatu simbolisme sosial.
Unsur global dan tempatan turut ditampilkan pengarang dalam cerpen seperti “Deus Ex Machina” — frasa Latin yang bermaksud “tuhan dari mesin” — menunjukkan pengaruh luar dan konsep dramatik klasik yang digunakan dalam konteks moden.
“‘Dari Jendela Abraj Janadriyah” pula membuka pintu tafsiran kita selaku pembaca kepada eksplorasi budaya Timur Tengah dan bernuansa Islamik. Cerpen ini mungkin ditulis berdasarkan pengalaman peribadi atau pengamatan di perantauan pengarang. Secara tidak langsung mempamerkan kecenderungan pengarang untuk menyisipkan elemen global dalam kisah yang bersifat peribadi atau introspektif.
Penggunaan judul dan nama watak seperti Tan, Lila, dan Pah Niseh memperlihatkan pendekatan yang mungkin lebih peribadi dan berakar dalam budaya tempatan.
Judul seperti ,”Disember Tidak Lagi Dimusuhi” pula menunjukkan permainan naratif pengarang terhadap masa dan emosi, mungkin berkait dengan penerimaan atau memberikan kemaafan.
Sikap Syed yang yang mahu Beti, isterinya berbangsa Balkan segera menanggalkan pakaian bangsanya untuk segera memakai busana bangsa Melayu yang amat asing, sukar sekali untuk diterima wanita itu.

Bagi Beti, yang bertukar hanyalah kepercayaannya terhadap Pencipta Yang Agung, bukan bangsa dan keturunan. Bagi Beti: “Saya masuk Islam tapi saya bukan masuk Melayu! Saya boleh memilih anutan agama tapi saya tidak boleh sama sekali memilih bangsa saya,” ujar Beti dengan tegas (halaman 117).
Watak Koron dalam cerpen dengan judul sama dalam kumpulan ini melambangkan satu watak yang digambarkan pengarang sebagai: “Nyatalah. Kuat benar musuhku ini. Seluruh dunia tunduk kepadanya. Dia berjaya mematikan tawa. Dia berjaya mengurung manusia di dalam kediaman mereka sendiri. Dia berjaya melumpuhkan ekonomi!” (halaman 127).
Malah Koron sebagai antagonis di dalam cerpen ini, digambarkan pengarang dengan angkuhnya mengakui betapa dirinya: “Aku boleh melumpuhkan segala aktiviti di seluruh dunia. Aku boleh menjadikan semua manusia menyembahku, takutkan aku. Hahahahahaha… ” (halaman 128).
Namun bagi Yusuf, sebagai antagonis dalam cerpen ini, Koron bukanlah makhluk yang tidak dapat ditewaskan. Membaca rahsia yang disebutkan pengarang melalui watak Kayyisa ini segera mengingatkan kita suatu wabah yang pernah melanda seantero dunia.
“Kita kena sama-sama mengalahkan Koron. Ubatnya ada pada diri kita. Pakai pelitup muka. Kerap mencuci tangan. Laksanakan penjarakan sosial. Keluar hanya perlu. Jauhi tempat yang ramai manusia. Selalu berdoa. Jangan berkelahi. Ayuh gerakkan otot-otot di pipi dan ketawa. Koron pasti mati mendengarkan keriangan kita.” Kayyisa menamatkan bualannya. (halaman 130)
Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini memuatkan cerpen yang sarat dengan kepelbagaian gaya, latar dan mesej. Ia sesuai untuk pembaca yang menghargai cerita-cerita pendek yang tidak klise, malah membuka ruang untuk penafsiran yang luas di sebalik setiap cerita yang dihidangkan pengarang.
Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini jelas bukan sekadar koleksi naratif yang klise— ia merupakan satu perjalanan imaginatif, emosi dan intelektual yang dijalin dengan kepekaan budaya, falsafah dan keindahan bahasa ciptaan pengarangnya.
Pembaca dibawa menelusuri pelbagai dunia kecil yang saling berbeza, namun dihubungkan oleh daya naratif pengarang yang tajam, imaginatif dan kreatif.
Selamat membaca.
– MARSLI N.O adalah penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian. E-mail beliau: marslino57@gmail.com
