PADA Sabtu 15 November lalu. saya menjadi ahli panel Forum 100 Tahun yang diadakan di Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Ia merupakan satu tempat yang klasik kerana bangunan itu merupakan binaan warisan.
Forum itu bertajuk Gelora Laut, Tekad Anak Jantan dengan moderator Hafizah Iszahamid.
Ahli panel lain ialah Dr Roosfa Hashim, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Hani Salwah Yaakup, Noorsamila Samsudin dan Arif Danial.
Dr Roosfa adalah ahli panel yang paling hampir dengan Arenawati kerana beliau adalah editor bagi memoir novelis itu, Enda Gulingku yang setebal 1,424 halaman. Saya kata padanya, pengalaman menjadi editor bagi Enda Gulingku itu sendiri sudah boleh menjadi bab panjang bagi memoir dirinya sendirinya.

Dalam usianya, Dr Roosfa adalah sebaya saya, dan satu generasi dengan saya. Oleh itu beliau menemui Arenawati juga pada zaman sama itu pada tahun 1970-an.
Saya mulai mengenal Dr Roosfa pada tahun 1999 ketika saya menjadi Editor Rencana Utusan Malaysia dan beliau adalah editor buku di Penerbit UKM. Beliau sering datang ke pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin dan menghantar rencana dan buku-buku terbitan UKM. Ketika Penerbit UKM cergas menerbitkan biografi dan memoir pejuang-pejuang kemerdekaan sebagai suatu dokumentasi, antaranya tentulah dari kalangan tokoh-tokoh kiri lama seperti Said Zahari, Shamsiah Fakeh, Salleh Majid, Abdullah CD dan seumpamanya.
Pada masa itu, akhbar Utusan Malaysia ada ruangan ulasan buku pada setiap minggu dan ruangan kecil Sehari Sebuah Buku setiap hari. Di sinilah saya siarkan buku-buku yang diterbitkan oleh Penerbit UKM termasuk karya-karya Arenawati seperti Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu.
Tetapi saya tidak membaca karya-karya baharu Arenawati itu. Dalam hidup saya, saya hanya membaca tiga buku Arenawatu iaitu Sandera, Johor Bahru dan Enda Gulingku. Tetapi Sandera mempengaruhi hidup saya sepanjang hayat baik dari segi politik mahupun kewartawanan. Bagi saya sehingga hari ini, Sandera adalah novel terbaik yang pernah saya baca.
Namun begitu, perlu disebut di sini, saya hanya aktif membaca novel bahasa Melayu dari tahun 1973 hingga ke tahun 1983, bermula dengan Merantau Ke Deli karya Hamka kerana itulah tempoh masa yang saya minat pada sastera. Selepas itu saya tidak aktif membaca novel.
Perlu juga disebut bahawa pada tahun 1973, membesar di kampung di Batu Pahat pada usia remaja belasan tahun, buku, majalah, akhbar dan radio hanyalah media yang menjadi saluran hiburan. Televisyen tidak ada kerana tiada bekalan elektrik.
Maka buku-buku itu pula dipinjam dari perpustakaan dan sanak-saudara. Maka karya sastera yang menjadi hiburan, sama ada novel, cerpen dan puisi untuk semua remaja yang dahagakan ilmu walaupun tidak mengambil mata pelajaran sastera.
Saya sendiri menyebut mengenai karya Arenawati, Sandera dalam memoir pertama saya berjudul “Ideologi, sebuah memoir” yang diterbitkan oleh Republik Buku pada tahun 2019 dengan edisi kedua diterbitkan oleh Gerak Budaya pada tahun 2020.
Dalam memoir itu saya sebut tentang pengaruh besar novel Sandera terhadap pemahaman politik saya mengenai nasionalisme dan sosialisme dengan kesusasteraan sebagai alat membangun identiti bangsa Malaysia yang baru dibentuk pada tahun 1963.
Maka apabila saya dapat tahu bahawa kelahiran 100 tahun Arenawati disambut pada tahun ini, ia membawa ingatan saya pada Sandera dan betapa ia mencorak pemikiran saya selama ini.
Jadi apabila sidang redaksi majalah Svara menghubungi saya untuk menulis satu makalah bertemakan 100 tahun Arenawati itu, saya menyambut naik.
Namun begitu, saya beritahu awal-awal bahawa saya tidak pernah ada hubungan dengan Arenawati, malah tidak pernah berjumpa dengan beliau. Hubungan saya dengan beliau hanyalah membaca dua novel iaitu Sandera dan Johor Bahru serta memoir Enda Gulingku.
Sandera yang menang tempat ketiga Pertandingan Penulisan Novel sempena 10 tahun negara merdeka telah mengalahkan novel Interlok oleh Abdullah Hussain dan Meniti Buih oleh Alias Harun yang mendapat hadiah sagu hati. Saya baca kedua-dua novel ini. Tidak ada pemenang tempat pertama dan kedua. Novel-novel ini menceritakan kisah-kisah keluarga di Malaysia dari tahun sebelum Perang Dunia Kedua, masa Jepun, waktu perjuangan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Novel Johor Bahru merupakan sebuah karya motivasi remaja mengisahkan perjuangan seorang usahawan Melayu selaras dengan slogan Jaya Diri yang disemai dalam buku Revolusi Mental dan semangat Dasar Ekonomi Baru pada zaman pemerintahan Tun Razak.

Sementara banyak-banyak perkara yang ditulis oleh Arenawati dalam Enda Gulingku, satu-satunya yang terlekat dalam ingatan saya ialah kritik pedas beliau terhadap Hamka. Saya terkejut dengan tulisan beliau itu dan ia meruntuhkan segala minat saya terhadap karya-karya Hamka.
Selain Merantau ke Deli, antara lain karya Hamka yang saya baca ialah Di bawah Lindungan Kaabah, Peribadi, Tasawuf Moden, Lembaga Hidup, Lembaga Budi dan Melawat ke Amerika Jilid 2 dan 3.
Tetapi saya mengandaikan sebab redaksi Svara mengundang saya untuk menulis makalah mengenai Arenawati adalah kerana sebelum ini mereka pernah menyiarkan makalah panjang saya mengenai Allahyarham Ahmad Lutfi Othman yang merupakan wartawan gerakan Islam.
Setelah beberapa bulan makalah mengenai Arenawati itu dihantar, anggota redaksi Svara menghubungi saya mengundang untuk menjadi ahli forum sempena 100 tahun Arenawati. Saya terima undangan itu walaupun saya rasakan orang yang paling layak bercakap mengenai Arenawati adalah pengkaji-pengkaji karyanya di kalangan ahli akademik di mana-mana universiti yang ada pengajian sastera.
Namun apabila saya dapat tahu ahli-ahli forum itu, maka saya berpendapat bahawa mereka mempunyai banyak perkara untuk dibincangkan mengenai Arenawati terutamanya Dr Roosfa.
Malah saya berpendapat bahawa Dr Roosfa wajar diberikan satu acara syarahan khas untuk Arenawati. Beliau juga boleh menyumbang makalah panjang untuk Svara lebih-lebih lagi beliau mempunyai banyak gambar langka Arenawati.
Acara 100 tahun Arenawati itu ditaja oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), badan yang menerbitkan novel Sandera. Oleh kerana Arenawati adalah seorang Sasterawan Negara, maka DBP menjadi institusi bagi mendukungnya. Saya juga berpendapat bahawa Sandera perlu diterbitkan semula sebagai edisi terkini.
Satu pameran karya-karya Arenawati turut ada dalam acara itu. Karya-karya itu dipinjamkan oleh Perpustakaan DBP. Tidak kesemuanya dapat dipamerkan kerana Arenawati menghasilkan tulisan yang banyak. Antaranya langka dan saya percaya ada juga yang hilang.
Think City yang menguruskan bangunan-bangunan warisan bagi menyediakan tempat acara di Muzium Telekom. Penjual buku yang saya lihat turut terlibat ialah Kawah Buku dan IBDE (Inisiatif Buku Darul Ehsan).
Apabila saya ditanya apakah tajuk yang saya ingin bawa, secara spontan saya menjawab “nasionalisne dan peranan kesusasteraan dalam pembentukan negara “
Saya faham bahawa masa untuk menyampaikan gagasan tajuk ini adalah thread dalam forum yang mempunyai lima ahli panel ini dalam masa dua jam. Maka saya hanya sempat menyatakan sedikit saja. Namun begitu ada dua orang audiens faham dan minat terhadap apa yang saya telah sampaikan mengenai pembinaan negara.
Apa yang saya hendak menyatakan ialah cabaran besar bagi usaha membina satu-satu negara baharu. Ini kerana penduduk Malaysia tidak mempunyai jati diri nasional ketika negara ini ditubuhkan.
Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, maknanya Malaya baru merdeka enam tahun. Jati diri bangsa Malaya pun belum sempat kukuh. Malah tidak ada apa yang disebut sebagai Bangsa Malaya, yang ada ialah bangsa Melayu, Cina dan India. Cabaran utama Malaya merdeka ialah perpaduan antara kaum ini.
Maka apabila ditubuhkan Malaysia, cabaran jati diri bangsa dengan adanya empat wilayah berbeza: Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah. Maka cabaran tambahan adalah integrasi wilayah. Ternyata projek Malaysia terpaksa berundur setapak dengan terkeluarnya Singapura pada tahun 1965.
Dalam satu kaedah bagi memupuk perpaduan dan integrasi nasional adalah kesusasteraan. Melalui DBP kerajaan menganjurkan Pertandingan Menulis Novel sempena 10 tahun kemerdekaan yang boleh menyulam naratif tenunan jati diri bangsa merdeka.
Pertandingan itu dibuka pada tahun 1967 dan Arenawati pun turut serta. Beliau adalah seorang penulis yang gemar menyertai pertandingan. Pada tahun 1970, keputusan diumumkan dan pada tahun 1971, tiga novel yang memenangi hadiah itu, iaitu Sandera, Interlok dan Meniti Buih diterbitkan dan dijadikan buku teks bagi mata pelajaran sastera untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Kebanyakan pelajar Melayu ketika itu mengambil mata pelajaran sastera dan mereka mengupas novel itu.
Pada masa itu saya baru berada di tingkatan dua tetapi sudah dapat membaca novel itu kerana minat dan bukannya kerana ia merupakan buku teks. Maka saya percaya beribu-ribu pelajar di Malaysia telah disemai naratif jati diri bangsa daripada novel itu. Secara peribadi, walaupun kini saya sudah menjadi warga emas, Sandera itu telah mencorakkan minda supaya menjadi rakyat Malaysia yang memahami kepentingan perpaduan kaum Melayu, Cina dan India serta integrasi wilayah Malaya, Sarawak dan Sabah.
Ada baiknya untuk diri saya membaca semula Sandera dan mengenal pasti apa yang saya teruja pada tahun 1973 hingga ia menyemai semangat patriotisme, nasionalisme dan jati diri Malaysia. Begitu juga akan diketahui sama ada pengkisahan Arenawati itu masih relevan atau wajar diubah untuk mengikut peredaran zaman.
