Untuk penganjuran pertama pada tahun 2026, Makar Fest meletakkan XL pada nama acaranya. Ia membawa dua maksud, iaitu extra large dan experience local yang memberi petanda bahawa acara pembuka tahun di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu, Kelantan itu akan lebih meriah dan lebih teliti kurasinya.

Saya tertarik dengan nama itu yang mungkin nampak ringkas pada ramai orang. Sebab selain menggambarkan skala dan hala tuju, ia turut memberi peringatan tentang muasal Makar Fest: budaya makar itu sendiri.
Makar bermaksud “memakai”, atau lebih berkonteks, orang yang suka bergaya. Ia datang dari dialek Kelantan yang menyebut memakai menjadi “mmaka” tapi untuk konteks makar, ia bukan sekadar dialek tetapi sudah menjadi slanga—perkataan atau istilah yang digunakan kelompok sosial tertentu.
Menurut cerita Pok Renn, pemilik The Sunburst Store dan pengasas bersama Makar Fest, perkataan itu timbul di Kelantan apabila seorang anak muda di sana membuka sebuah perniagaan bundle yang diberi nama Makar Store pada dekad 90-an. Ia seterusnya menjadi istilah yang sebahagiannya bertujuan mengejek mereka yang suka bergaya berlebihan, lalu menjadi slanga spesifik yang lebih positif untuk merujuk mereka yang suka berpakaian unik.
Makar berasal dari budaya bundle yang memang meriah di Kelantan – negeri sempadan – dari dulu sehingga sekarang. Namun, ia bukan sekadar bundle, kata Pok Renn. Ia telah bergerak dalam budaya sehingga membentuk gaya hidup. Dan Makar Fest dianjur dengan tujuan meraikan gaya hidup tersebut.

Berfesyen perlahan-lahan
Saya masih ingat ketika mula-mula sampai di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 13 tahun lepas. Ketika orientasi kolej kediaman, rata-rata kumpulan yang ditetapkan akan ada lebih 40 peratus ahli dari Kelantan. Itu normal, pelajar Kelantan memang ramai.
Tapi dalam kumpulan sendiri, saya tertarik dengan seorang pelajar bidang sastera bernama Farhi. Dia dari Kelantan dan pakaiannya agak unik. Taklah terlalu berbeza tapi saya pasti baju-bajunya tak dibeli di pusat beli-belah. Dia bukan penikmat fast fashion.
Kalau tak silap, waktu pertama kali berjumpa, dia pakai t-shirt Adidas kapas dengan potongan ketat, menonjolkan tubuhnya yang kurus landai, macam Bruce Lee. Saya pula berbangga menyarung jenama Giordano hasil diskaun ketika bekerja di Sogo sebelum itu.
Saya tak kenal budaya bundle, apatah lagi makar, tapi pakaian Farhi buat saya tertarik. Saya memandangnya sebagai kawan yang ada cita rasa unik dari sudut fesyen.

Farhi sendiri mungkin tak faham dengan mendalam budaya bundle atau makar, kemungkinan dia hanya menurut trend di tempat asalnya. Tapi di seluruh dunia, amalan menolak fast fashion yang bawa banyak keburukan kepada alam sekitar dan etika buruh telah dianalisis panjang.
Kate Fletcher memperkenalkan istilah slow fashion untuk melawan budaya fast fashion. Antara amalan yang menyokong gerakan slow fashion ialah bundle-membeli pakaian terpakai berbanding berbelanja untuk pakaian baharu yang dikeluarkan jenama francais gergasi.
Mungkin Farhi atau pemuda yang buka Makar Store di Kelantan itu tak tahu tapi mereka sebenarnya dah berjasa besar pada bumi. Dan semangat itu juga ada dalam budaya makar yang dipromosi Makar Fest.
Tak semua reruai pakaian di Makar Fest berkonsep pakaian terpakai tapi mereka menyokong jenama-jenama tempatan yang berskala lebih kecil. Skala produksi yang kecil dan berkurasi lebih mesra alam sekitar.
Malah, kata Pok Renn, di Makar Fest XL nanti akan ada acara Belah Guni yang rapat dengan budaya bundle.

Melawan dengan tradisi
Selain akar bundle yang ada sifat perlawanan, budaya makar juga menawan dengan keunikan dan ketersendiriannya. Melihat pengamal-pengamalnya berpakaian unik buat saya kagum bercampur cemburu.
Apabila Pok Renn bercerita tentang wawasannya untuk Makar Fest, baik yang telah, sedang atau akan dilaksanakan, saya jadi lebih gembira. Satu hal yang paling saya suka dan mahu sokong ialah usahanya untuk menjadikan seni tradisional lebih pop.
Dalam empat siri yang telah dilaksanakan tahun lalu, banyak aktiviti seni tradisional diperkenalkan kepada pengunjung, berpandukan kearifan tempatan masyarakat di negeri tuan rumah.
Contohnya di Kelantan, ada persembahan dikir barat, kraf tangan dan batik bermotifkan hikayat Melayu oleh seniman negeri tersebut, Azzaha Ibrahim (Batik Chop Naga). Di Terengganu, ada pameran pembinaan kapal dan songket oleh generasi terakhir pelayar di negeri itu, selain ceramah agama oleh Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Razak.

Hal ini diteruskan di Johor melalui persembahan tarian barongan dan pementasan teater dalam jel manakala di Kuala Lumpur, kota yang memusatkan budaya pelbagai negeri, dikir barat dibawa kembali sebagai menghormati muasal budaya makar.
Makar Fest menggunakan subbudaya yang ranggi dan pop untuk mendekatkan generasi baharu dengan seni tradisional yang semakin dilupakan. Ini satu usaha yang patut dipuji.

Pergi ke khalayak
Saya akan berminat dengan apa saja hal yang melawan kelaziman. Mengikut ke mana saja khalayak pergi, lebih-lebih lagi dalam zaman trend bertukar setiap tiga hari seperti sekarang, terasa membosankan dan kontang.
Mungkin terpengaruh dengan Bukowski yang berpesan, ke arah mana khalayak pergi, lari ke arah bertentangan. Atau mungkin kerana takjub dengan semangat jalan lain yang menjadi tunjang muzik independen. Hal-hal alternatif selalu lebih menawan.
Dick Hebdige, penulis buku Subculture: The Meaning of Style antara yang awal melihat fesyen sebagai jalan perlawanan. Subbudaya punk, Mods dan lain-lain menjadikan fesyen sebagai manifesto pemberontakan—menolak kepatuhan dan keseragaman melalui pakaian yang lain dari yang lain, yang mencolok mata masyarakat skema.

Mana-mana subbudaya juga akan cuba mengasingkan diri dari kelompok massa, sama ada melalui imej yang ditampilkan, gaya hidup mahupun pengetahuan eksklusif pengamalnya. Ini apa yang Sarah Thornton sebut sebagai modal subbudaya (subcultural capital).
Hal-hal yang ditulis di atas ialah modal subbudaya makar dan melalui Makar Fest, ia sedang dibawa ke massa. Subbudaya berteras fesyen yang satu masa dulu hanya diamalkan kelompok tertentu, terutamanya golongan pekerja yang mahu bergaya tetapi berjimat, sedang dipromosi dalam skala mega—skala XL.
Setakat pengalaman memerhati perkembangan pelbagai subbudaya di Malaysia, saya tahu yang usaha mengkomersialkan perkara niche akan berdepan banyak cabaran, terutamanya untuk mereka yang betul-betul peduli pada perkara tersebut.
Lihat bagaimana terma indie yang berasal dari muzik yang melawan kelaziman, kawalan dan keseragaman ditunggang menjadi jenama jualan selepas ia komersial hampir 20 tahun lalu di Malaysia. Budayanya ditinggal setelah popular; yang bergerak merentasi massa hanya produk dan nama, yang ironinya, semakin lazim, terkawal dan seragam.
Makar Fest juga berhadapan cabaran itu tapi nampaknya mereka ada strategi. Strateginya tiga M – makar, makan dan muzik. Dengan tiga teras yang menjadi tiang penganjuran, subbudaya seperti makar boleh ditempatkan di ruang mega dan komersial tanpa mengorbankan modal subbudayanya.

Sebab untuk menarik pengunjung, mereka ada muzik. Untuk membiaya pesta dan mendapat untung, mereka ada makan. Tetapi di tengah-tengah dua benda lagho itu, ada makar. Orang yang datang untuk dengar muzik dan cari makan secara tak sedar terhidu bau jaket kulit, seluar denim dan guni bundle. Mereka ditarik perlahan-lahan untuk mendalami makar.
Ini formula ampuh yang boleh disalin tampal orang lain yang mahu menampilkan kelainan, mengangkat subbudaya di ruang mega.

Makar Fest XL adalah yang terbesar dalam siri penganjurannya, setakat ini. Dan apa yang akan berlaku di Kota Bharu hujung minggu ini akan menentukan arah tuju pesta itu. Saya jangka, akan lebih banyak Makar Fest dianjurkan tahun ini, termasuk kerjasamanya dengan acara lain di pelbagai negeri lain. Pengaruhnya akan menjalar jauh dan lebar.
Dan makar berpotensi menjadi subbudaya kebanggaan negara yang unik dan menawan. Ia menggalak keunikan dalam dunia algoritmik serba seragam, membawa amalan mesra alam ketika bumi semakin panas dan mengangkat tradisi di tengah kekeliruan pasca-pasca-moden.
Makar melawan dan kita perlu melawan.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik dan lain lain hal berkaitan Subbudaya. Gonzo Tanpa Fiasco, Tatal & ANGH merupakan buku tulisan beliau.
