MAKANAN bukan hanya ehwal rasa tetapi juga menyimpan segudang cerita.
Hampir 10 tahun lalu, majalah berita mingguan Tempo menerbitkan laporan khas yang menyelongkar sisi politik dan ekonomi makanan di serata Indonesia. Ia meneliti asal usul dan ciri khas makanan di pelbagai daerah. Misalnya, kenapa sajian di Aceh umumnya pedas tetapi makanan Jawa dominan manis.
Tempo menggelarkan laporannya mengenai “sejarah dan politik di balik sejumlah bumbu” itu sebagai “antropologi bumbu”.
“Laporan kali ini tidak hanya membahas makanan yang tersaji di atas meja. Kami melacak lebih jauh: bagaimana masakan di suatu daerah tercipta,” kata lidah pengarang Tempo terbitan 1 Disember 2014.
Dalam laporannya, Tempo mahu merakamkan makanan lebih daripada hanya resipi. Ia membongkar sisi sejarah, ekonomi, politik malah agama yang mungkin mempengaruhi makanan di tujuh daerah: Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Solo dan Jogjakarta di Jawa Tengah, Kalimantan Utara, Sulawesi Utara, dan Maluku Utara.
Ia percaya sesuatu makanan tidak muncul begitu saja.
Kita dihidangkan dengan cerita, misalnya, tentang kenapa makanan di Maluku — daerah yang terkenal dengan rempah — hampir tidak menggunakan rempah. Rempah seperti cengkeh dan pala asalnya tumbuh liar dan melata di daerah ini. Ia tidak diusahakan sebagai tanaman sehinggalah pedagang Eropah datang mencarinya pada hujung abad ke-15.
Dalam erti kata lain, di Maluku, rempah adalah komoditi, yang diambil hampir semuanya oleh penguasa sehingga tidak tersisa untuk peribumi. Yang tinggal hanya bawang, halia, serai, dan kunyit dan tiada kayu manis, cengkih, lada hitam, atau pala.
Kisah cabai dalam masakan etnik Minahasa di Sulawesi Utara pula bukan lagi semata-mata tentang cabai tetapi tentang perebutan kuasa dan penyebaran agama. Di sana, cabai yang disebut rica hadir dalam hampir semua hidangan, termasuk pisang goreng yang dicicah dengan sambal.
Namun, cabai bukan tumbuhan asli di daerah itu. Ia dikatakan dibawa oleh orang Sepanyol dari tanah jajahannya di Amerika Selatan. Mereka datang tidak hanya membawa cabai tetapi juga agama Kristian.
Dalam laporannya, Tempo hampir tidak memakai perkataan “enak” atau “tidak enak” untuk mengulas makanan. Sedap dan tidak sedap adalah hal yang cukup subjektif. Setiap orang ada penerimaan yang berbeza-beza, yang selalunya dibentuk oleh pengalaman masing-masing yang kadang-kadang sangat peribadi sifatnya.
Tempo menerbitkan laporannya dengan saran khusus kepada pemerintah supaya mengangkat makanan sebagai sebahagian daripada produk ekonomi kreatif. Ia membayangkan suatu hari nanti restoran Indonesia megah di negara lain, sama seperti restoran Vietnam, Thailand, atau Jepun di Indonesia.
Melalui lidah pengarangnya, Tempo mencadangkan kepada Presiden Joko Widodo, yang pada masa itu baru hampir dua bulan memulakan pentadbirannya, supaya segera membentuk sebuah badan ekonomi kreatif. Badan itu diharap dapat meneruskan usaha mengembangkan daya ekonomi kreatif Indonesia — termasuk makanannya — yang sudah dirintis oleh Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Mari Elka Pangestu dalam pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Lajak hampir 10 tahun ke depan — Indonesia menetapkan sasaran mewujudkan 4,000 buah “rumah makan Nusantara” di serata dunia menjelang akhir tahun 2024. Restoran yang ke 1,301 dibuka di Kuala Lumpur pada April 2023.
Projek menakluk dunia dengan makanan ini adalah sebahagian daripada cita-cita menghadirkan Indonesia ke dalam setiap rumah dan jiwa manusia — sama sepertimana Korea Selatan hari ini hadir dalam hidup sebahagian besar daripada kita.
Makanan, sesungguhnya, bukan hanya soal rasa, dan bukan juga cerita — tetapi senjata.
